MESTI KLIK

MESIN TEKAN CRUST TART

MESIN TEKAN CRUST TART
PEMBERITAHUAN : Sebarang pertanyaan atau tempahan mesin tart dan sebagainya hendaklah diajukan melalui sms dan whatsapp sahaja ke talian 0127844524. Terima kasih.

Monday, October 19, 2009

Cuti Di Mana?


Salam,apa khabar semua, semoga di hujung Syawal ini semuanya sihat-sihat belaka. Sesiapa yang dah naik berat badan tu bolehlah plan untuk berdiet dan bersenam. Jangan dibiarkan lemak-lemak di badan anda menjadi lemak tepu ye.. hehe.

Mmm, saya nak cerita tentang pengalaman bercuti sempena Deepavali kali ni. Ini bukanlah percutian saya yang pertama tapi sebab ini blog saya yang pertama jadi percutian yang lepas-lepas tu tak termasuklah dalam senarai. Tapi kalau tiba-tiba teringat pengalaman yang menarik tu, bolehlah saya cerita kemudian.

Hmm, ada ke yang nak baca, tapi terpulanglah. Seperti niat asal saya, hanya nak meneruskan minat dalam bidang penulisan ni. Saya masih ingat seorang cikgu semasa saya bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Rimba Terjun, Pontian, Johor. Namanya Cikgu Salina Sulaiman. Beliau selalu memuji karangan saya. Ha, bakat tu memang dah ada sejak sekolah rendah cuma tidak dipupuk. Akhirnya terkubur sehinggalah saya menceburkan diri dalam bidang kewartawanan pada akhir tahun 1996. Tapi cuma dapat bertahan sehingga tahun 2000 apabila saya menumpukan sepenuh perhatian pada rumahtangga.

Berbalik cerita pasal percutian tadi, kali ini destinasi pilihan suami saya ialah di Swiss Garden Resort & Spa, Kuantan, Pahang. Memang pilihan suami kerana percutian kali ini ditanggung sepenuhnya tanpa saya perlu membelanjakan seposen pun. Almaklumlah.. lepas-lepas raya ni.. hihi.

Ini kali ketiga saya datang bercuti ke Kuantan. Kali ini kami lebih arif tentang jalan-jalan di sini ( kawasan pantai sahajalah). Kalau sebelum ini kami biasanya akan menghala ke bandar Kuantan dahulu tetapi kali ini kami melalui jalan pintas iaitu masuk ke simpang Tanjung Lumpur. Jadi perjalanan yang biasanya hampir 5 jam kini jadi 4 jam sahaja.

Kami keluar rumah lebih kurang pukul 7.30 pagi. Yang bestnya anak kami, langsung tak tau perancangan kami. Yang dia tahu, dia akan mengikut saya ke pejabat kerana semua beg pakaian telah dimasukkan awal-awal ke dalam kereta dan pakaian saya kemas ketika dia menonton tv di bilik saya.

Selepas bersarapan nasi lemak di Gerai Pak Usop yang terkenal di Bandar Baru Uda, kami pun bergerak. Kali ni anak saya sudah mula menghidu perancangan kami. Berkali-kali dia bertanya. Akhirnya saya menjelaskan kami akan pergi ke tempat 'kita melepaskan anak penyu dulu, ingat tak?'

"Habis, takkan tak bawa baju?" tanyanya.

Saya suruh dia menarik kerusi belakang dan melihat dalam boot kereta. Hmm, melonjak-lonjaklah dia.

Sampai di Rompin yang terkenal dengan udang galah, suamiku bertanya kalau hendak berhenti makan. Perutku masih kenyang, begitu juga Yaya. Kami mengambil keputusan meneruskan perjalanan.

Sebaik sampai di Tanjung Lumpur, kami meninjau kawasan pantai di sana yang terkenal dengan makanan laut dan ikan bakar. Kami merancang untuk makan malam di sini malam nanti.

Kami sampai di Swiss Garden lebih kurang pukul 1.00 tengahari. Proses check-in tidak sampai 15 minit dan kami diberikan kunci bilik yang mengadap laut. Selepas berehat seketika dan bersolat, kami turun ke bawah meninjau kawasan sekitar. Anakku dah tak sabar untuk terjun ke kolam. Kami memujuknya supaya turun mandi ketika cuaca redup sedikit nanti.

Suamiku mengajak mencari makanan tengahari. Haha, kerana memikirkan hendak simpan perut untuk makan malam nanti kami mengambil keputusan untuk pekena cendol dan rojak di caravan berhampiran pekan Pantai Balok.Bila terpandang bungkusan maggi, saya pun minta maggi. Yaya pula sibuk nak belanja kami makan. Bila bil dikira kembang hatinya dapat belanja kami.

Kami singgah di Natural Batik Village. Suamiku memilih beberapa helai baju kemeja batik untuk dipakai pada majlis rasmi, tapi satu sahaja yang berkenan. Saya memilih sehelai skarf dan Yaya sibuk hendakkan key-chain. Selepas membayar, kami pulang ke hotel kerana Yaya dah tak sabar nak mandi kolam.

Selepas beberapa minit kami turun ke laut. Seperti biasa Yaya memang tak suka mandi laut. Lebih-lebih lagi suami dan yaya mengadu di cucuk-cucuk binatang yang tidak diketahui maka kami pun naik dan terjun semula ke kolam.

Saya hanya turun sekejap ke dalam kolam, akhirnya tinggal suami yang melayan anak mandi. Saya lebih selesa duduk berehat sambil melayan facebook, ha.. itulah kegilaan saya sekarang.

Selepas maghrib kami menuju ke Tanjung Lumpur. Kami membuat keputusan memilih Restoran Ana Ikan Bakar Petai yang berwarna hijau kerana ramai pelanggan di situ.
Kami memilih menu sepeti biasa dan Ikan Pari Bakar Petai. Pernah dengar tak? Kami pun pertama kali dengar jadi rasa hendak mencuba.

Boleh tahanlah masakan di sini, tapi Ikan Bakar petai memang bukan taste kami.. hehe.
Harga berpatutan kot..

Sedang enak menjamu selera, tiba-tiba hujan turun selebat-lebatnya. pekerja restoran sibuk menurunkan bidai bagi mengelakkan tempias. Memandangkan tempat tersebut betul-betul di tepi pantai, kecut juga isi perut. Yaya duduk rapat dengan saya kerana takutkan petir yang sabung menyabung.

Suasana mula kecoh sedikit apabila petir yang paling kuat sehingga restoran black-out. Huhu... nasib baik ada emergency light, jadi taklah gelap sangat dan ia pulih tidak sampai 10 minit.

Kami pulang dalam hujan lebat kerana sudah tak sanggup menunggu hujan teduh. Sampai di lobi hotel, suami dan anak mengajak berehat di lobi, tetapi saya menolak kerana nak mengejar drama Nur Kasih yang berbaki setengah jam lagi. Jadi saya naik seorang meninggalkan mereka berdua.. hehe, Nur kasih punya pasal.

Belum pun Nur Kasih tamat, mereka sudah sampai ke bilik. Malam itu saya bercucuk tanam di ladang Farmville kesayangan sehingga jam mencecah angka 1 pagi.

Hari kedua di Kuantan, kami bersarapan kira-kira jam 9.00 pagi disimbah cahaya matahari. Ni semua pasal suami saya perokok orangnya jadi kami memilih makan di meja yang terletak di luar cafe.

Selepas bersarapan, kami mengambil gambar di persekitaran dan terus naik ke bilik. Suami menyuruh Yaya menyambung latihan Pemahaman dan Bahasa Inggeris. Manakala saya pula membayar hutang tidur malam tadi hingga waktu Zuhur.

Tengahari itu, kami bercadang untuk makan nasi berlaukkan gulai kawah. Lapar punya pasal, sampai saya terlupa nak ambil gambar gulai Kawah tu. Tapi ada satu cerita kecoh sebelum kami keluar apabila suami menyedari kunci kereta tak ada di mana-manapun.

Suami mula panik. Saya menyuruhnya bertenang walaupun dalam hati teramatlah risau, maklumlah kami sekarang jauhnya 4 jam perjalan dari Johor Bahru. Suami mengambil keputusan untuk bertanya di lobi jika ada sesiapa terjumpa kunci kereta. Saya meminta tolong Yaya mencari kunci.

Entah apa yang membantu apabila Yaya dengan mudah menjumpai kunci di dalam zip hadapan porch beg suami di atas katil. Kami bergegas turun, nasib baik saya ingat mencapai kad bilik. Lega rasa hati.

Selepas itu, kami terus menuju ke Gerai Gulai Kawah yang saya terpandang semasa dalam perjalanan hendak pekena cendol semalam. Menariknya di sini, gulai kawahnya dihidangkan bersama sayur pencok dan ikan kering. Memang lembut dagingnya dan tidak dicampur dengan batang pisang (seperti di sebelah utara)dan organ dalaman yang lain. Bagi sesiapa yang datang ke sini, gerai gulai kawah di sini memang banyak, tapi saya cadangkan anda makan di Gerai Gulai Kawah di sebelah kiri menghala ke Terengganu berdepan dengan Pantai Balok berhampiran dengan KFC. Ada papan tanda besar warna putih yang bertulisan merah 'Gulai Kawah'. Di depan kedai ada diletakkan banyak buah kelapa muda. Cubalah, memang puas hati.

Selepas makan kami menuju ke Sanctuary Penyu, di Cherating. Sampai di sana kami lihat tidak banyak telur penyu yang hendak ditetaskan. Tidak seperti sebelum ini di mana kami berpeluang melepaskan anak-anak penyu ke laut. Bagi anda yang nak pergi ke tempat ini, Sanctuary Penyu ini terletak bersebelahan dengan Club Med. Jangan keliru ye antara Sanctuary Inn dengan Sanctuary Penyu.

Apabila kami meninggalkan Cherating, cuaca mula gelap. Kami sempat singgah membeli keropok. Airmata Yaya bergenang kerana petir dan kilat tidak memungkinkan dia dapat berendam di kolam petang itu.

Sampai di hotel, kami melihat staf-staf hotel sedang mengarahkan agar kolam dikosongkan. Barulah Yaya lebih tenang kerana bukan dia seorang tidak boleh berendam tapi semua orang tidak dibenarkan berada di dalam kolam.

Petang itu, kami mengambil keputusan untuk membakar kalori di gymnasium. Saya berlari di atas treadmill hampir setengah jam apabila hujan mula berhenti. Saya mengajak Yaya mengambil kad pool di bilik dan terus ke kolam manakala suami meneruskan rutin di gym.

Malam itu, kami fikir nak makan di kedai mamak sahaja kerana tiba-tiba rasa nak makan makanan India. Satu-satunya restoran mamak di sini ialah Restoran Aliff yang terletak berhampiran 7eleven. Suami saya memilih untuk makan tosei dan Yaya hendak makan roti telur. Saya tiba-tiba rasa nak makan roti nan pula yang ayamnya kami ratah bertiga.

Esoknya selepas bersarapan kami melayan Yaya yang turun seorang ke kolam. Semua barang dan pakaian awal-awal telah saya kemaskan. Pukul 11 pagi saya memaksa Yaya naik. Mungkin keletihan, Yaya tidak banyak alasan.

Saya mengambil kereta di parkir sementara menanti suami menyelesaikan bayaran. Pelan asal hendak makan gulai kawah lagi dibatalkan kerana masing-masing masih kenyang.
Sampai di Pekan, kami bercadang hendak minum cendol dan makan rojak di pinggir Sungai Pekan, tapi tiba-tiba terpandang Gerai Capati. Tanpa memikir lama , kami melintas jalan dan terus memesan sekeping capati setiap seorang.

Memang tak patut, tiga keping capati dengan kari ayam yang dipotong kecil-kecil yang kalau dicantum-cantum pun masih kecil beserta milo ais, limau ais & limau suam '0' berharga RM13. Sambil menuju ke kereta kami berkata, sekali ajelah kita makan kat sini.

Kami meneruskan perjalanan dan berhenti di Endau untuk membeli sedikit udang dan ketam yang entah bila hendak memasaknya. Kami berhenti juga di Mersing membeli sedikit keropok lekor kerana tak tahu juga bila ada masa untuk menggorengnya. Kami singgah di rumah ibu menghantar keropok lekor yang dibeli tadi.
Sampai di rumah jam menunjukkan hampir 7 malam yang menjanjikan kerja rumah yang tidak pernah selesai.. hehe..

No comments:

Post a Comment

tak nak komen???
urmmmm.. malaslah nak cerita lagi :)))))

FIESTA NANAS 60

Assalamualaikum... DIAM tak diam sudah hampir empat minggu cuti sekolah berlalu, kan. Tengok di laman sosial,  ramai kawan-kawan yang menga...