MESTI KLIK

MESIN TEKAN CRUST TART

MESIN TEKAN CRUST TART
PEMBERITAHUAN : Sebarang pertanyaan atau tempahan mesin tart dan sebagainya hendaklah diajukan melalui sms dan whatsapp sahaja ke talian 0127844524. Terima kasih.

Wednesday, October 28, 2009



SUDAH lama rasanya saya tidak menonton pementasan teater. Rasanya kali terakhir saya menonton Roh Semberani karya Rahimah Muda yang dipentaskan di Auditorium RTM, Johor Bahru, tahun lalu.
Dan kalau anda tinggal di Johor, anda tidak akan selalu berpeluang untuk pergi menonton teater kerana acara ini agak kurang dipersembahkan di sini berbanding di Kuala Lumpur yang saya rasa saban minggu setiap kali menyelak helaian akhbar ada sahaja pementasan dilakukan sama ada oleh persatuan teater kecil atau yang masih merangkak. Lebih gah lagi jika ada persembahan teater di Istana Budaya yang pastinya mendapat publisiti yang meluas oleh pihak akhbar dan majalah.
Sekali lagi, kali ini sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 Negeri Johor, karya Rahimah menjadi pilihan untuk dipentaskan. Rahimah bukanlah orang asing bagi saya kerana kami pernah rapat sejak sama-sama mengikuti kursus kewartawanan di Teluk Mahkota, Kota Tinggi, Johor pada akhir Ogos 1996. Hubungan kakak dan adik terus terjalin sehingga hari ini di mana saya sering menjadikan beliau sebagai ikon bahawa usia bukan penghalang untuk seseorang mula berkarya.
Dengan barisan artis dari Persatuan Teater KESUMA-I, Johor Bahru dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Johor, kali ini Rahimah mementaskan teater Srikandi Tanah Jauhar yang menyorot kisah silam berlatar belakang dua zaman.
Saya yang datang berdua sahaja dengan anak yang nampaknya begitu teruja kerana kali pertama menonton, memilih untuk duduk di baris hadapan di deretan kerusi bertangga auditorium dengan harapan dapat melihat dan mendengar dengan jelas apa yang berlaku di atas pentas.
Mengikut sinopsis, Srikandi Tanah Jauhar yang dipentaskan dua hari berturut-turut pada 23 dan 24 Oktober lalu di Auditorium RTM, Johor Bahru mengungkap kegigihan anak-anak muda dalam memperjuangkan maruah bangsa dan tanah air. Johor pernah memiliki wilayah yang amat luas meliputi Terengganu, Kepulauan Riau melangkaui Pahang, Singapura dan selatan Semenanjung Tanah Melayu malah Johor itu berasal daripada perkataan ‘jauhar’ yang membawa makna ‘permata’ oleh pedagang-pedagang dan pendakwah dari Timur Tengah.
Srikandi Tanah Jauhar berlatarbelakangkan dua zaman. Zaman Bongkok sekitar awal tahun 1800, digabungkan dengan latarbelakang Tun Fatimah sekitar tahun 1500. Perjuangan dengan jiwa raga, darah dan airmata dalam menegak kedaulatan tanah tumpah darah, mempertahankan idealogi sedia ada serta menghapuskan ideologi lapuk yang membebankan orang kebanyakan. Mereka menjadi lagenda kepada para pejuang masa kini. Perjuangan melalui kuasa politik diteruskan dengan mengambil semangat daripada roh-roh pejuang yang tubuhnya telah lindap di bawah lapisan tanah namun semangatnya masih mengapung tekad cekal generasi warisan masa kini.
Bongkok mewakili anak muda yang perkasa dan berani yang mendahului zamannya. Dia menegakkan keadilan sosial dan perjuangan yang dipercayai benar dengan keperkasaannya.
Sebenarnya, kerana saya selalu sangat menonton filem-filem P Ramlee sejak kecil hingga kini, apabila saya cuba menyelami watak pejuang Bongkok, saya selalu sahaja dibayangi watak Bongkok dalam Sumpah Orang Minyak sehingga adakalanya saya menjadi keliru dengan kedua-dua watak ini.
Ada juga masanya ketika menyanyikan lagu tradisional Tanjung Puteri (saya memang suka menyanyi) apabila tiba pada baris ‘pusara si bongkok di lereng bukit’ saya pasti akan membayangkan P Ramlee yang bongkok dengan bonggol di bahunya dalam Sumpah Orang Minyak. Hahaha… mungkin kerana itu watak Bongkok sukar betul hendak masuk dalam kepala saya lebih-lebih lagi agak kurang berkesan watak pejuang yang dibawakan oleh Kamaruddin Abd Rahman ini mungkin kerana kekangan masa satu setengah jam. Saya lihat Bongkok hanyalah seperti anak-anak muda yang suka bergurau dan bercerita sahaja dengan dua sahabat baiknya Awang (Mohd Yatim Abd Karim) dan Daeng Alik (Muhammad Mukmin Mohd Khamis)serta mempunyai ramai sahabat yang suka padanya.
Sekali lagi keliru, kerana dalam Sumpah Orang Minyak, Bongkok dipulaukan oleh penduduk kampung.
Di sinilah hadirnya Pak Tua (Mohd Afendi Sarban) yang menceritakan tentang Tun Fatimah kepada Si Bongkok dan kawan-kawannya.
Tidak seperti Tun Fatimah yang mana saya seperti sudah sebati dengan watak beliau yang merupakan anak kepada Bendahara Tun Mutakhir yang telah dihukum bunuh kerana dikatakan menderhaka kepada sultan. Malah bukan sahaja bapa tetapi suami yang baru dinikahi serta saudara kandungnya turut dibunuh.
Tun Fatimah (Liyana Mustafa) digambarkan walaupun dipaksa berkahwin dengan Sultan Mahmud Syah (Zulkifle Abdul Majid) yang telah membunuh keluarganya tetapi beliau masih mencari ruang berjuang mengikut kemampuan keperempuanannya walaupun pada masa itu wanita dikatakan masih dicawat besi kebebasan minda dan tubuhnya . Tun Fatimah walaupun lembut tetapi cekal berani. Semangat Tun Fatimah tidak luput ditelan zaman kerana ia masih tumbuh dalam jiwa sebahagian gadis-gadis zaman ini dengan perspektif dan cara berbeza sesuai dengan perubahan zaman.
Apabila Melaka diserang Portugis, Sultan Mahmud Shah, Tun Fatimah dan pengikut-pengikutnya telah melarikan diri memudiki Sungai Johor sehingga akhirnya Sultan Mahmud Shah membuka Johor Lama yang kini terletak di Kota Tinggi.
Rahimah sendiri turut membuat penampilan khas sebagai Emas Tempawan yang muncul apabila Bongkok dalam keadaan sedih dan kesal kerana tertikam sahabat baiknya Daeng Alik.
Kini perjuangan Srikandi Tun Fatimah dan Bongkok disambung dengan perjuangan pemimpin-pemimpin-pemimpin di selatan Semenanjung Tanah Emas (Tanah Melayu). Sama seperti galuran sejarah- Johor menjadi pewaris dalam menyambung kejatuhan kerajaan Melayu Melaka. Dalam menegakkan isu-isu ketuanan dan kebangsaan, Johor masih relevan menjadi kubu terakhir medan penegakan bangsa berdaulat hingga berzaman-zaman berikutnya.
Sesungguhnya perjuangan tidak pernah mengenal zaman. Akan terus sambung-menyambung selagi bumi masih berputar, selagi manusia masih bernafas.
Akhir sekali saya ingin merakamkan tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan pementasan ini dan juga kepada semua penaja kerana tanpa anda tentulah orang Johor kempunan menonton teater di negeri sendiri.

No comments:

Post a Comment

tak nak komen???
urmmmm.. malaslah nak cerita lagi :)))))

FIESTA NANAS 60

Assalamualaikum... DIAM tak diam sudah hampir empat minggu cuti sekolah berlalu, kan. Tengok di laman sosial,  ramai kawan-kawan yang menga...