MESTI KLIK

Sahabat Seri Kandi

Pada-Mu Ku Bersujud

Pada-Mu Ku Bersujud

Labels

aaron aziz aboo acar ady putra aidilfitri ais krim apa cerita apam arab asam pedas award ayam bali Bandung Batam BelangaSatu belasungkawa belimbing bengkel bihun biskut raya blogger bloglist blueberry BMI Boboiyot bola Bono boycott buah burasak burger cake in jar cendawan cerita bersiri coconut shake coklat cookies cookies & ginger cream puff cucur cuti jumaat cutiecakemaker daging diabetes doa donut durian embun fear factor malaysia fettucinne filem GA goreng gulai kawah gunung kinabalu gyoza hari lahir hidayah ikan ikan bakar Ilham Iman itik jalan-jalan jeruk Johor jus kad kaki kambing Kapten Zaharie karaoke kari kasut keju kek kek cawan keluarga kenangan kentang kepala kerang kerutub ketam kisah pelajarku kucing kuey teow kuih melayu kuih tradisi kurma laksa laksa janggus lala lawak legoland legoland water park lembu lemon lempeng lepat link best lobster lontong love u mr arrogant macaron makan makanan laut mangga MAS masakan barat maulid meatball medan mee melaka merdeka mesin MH17 minuman mistik monopod muffin Munduk myChef Mykad nangka nasi nasi ayam nasi padang nenas ngeteh no label novel nukilan untuk teman nutella ombre oreo page Pak Chu Pak Itam panduan pasta pastri pau pavlova Pekanbaru Penang pencuci mulut pengantin penne petua pie pie maker pisang pizza pod premix promo pulut racun rahsia rainbow cake ramadan ramadhan raya red velvet rendang resepi adigun resepi ibu Riau rock roselle roti roti canai roti jala rumah terbalik sabah safee sali saja salam salam maulid sambal sardin sayur sejarah selfie semur seram SeriKandi Cintaku siput soto sotong spaghetti sup swans cream puff tagged tapai tart tauhu tayar tazkirah Teluk Kumbar telur tempahan tempoyak terbang tetel tinggi tomato tortilla tudung tulang twisties ubi udang ulangtahun perkahwinan untuk dijual upin ipin villa nabila wang western wheels wordless wednesday yang popular Yaya zonan

Search Alam Sari

Loading...

Monday, December 31, 2012

RED RUBY PUDDING UNTUK ORANG YANG SEDANG MARAH!

ASSALAMUALAIKUM...

SALAM hujung tahun. Pejam celik pejam celik dah pun penghujung Disember 2012. Ada yang berpesan-pesan dengan Seri Kandi, jangan masuk bilik air pukul 12. 59 malam nanti sebab nanti bila keluar bilik air Seri Kandi akan berada di tahun 2013. Seram tak dengar?? Seramlah... seramlah........ hehehehe. Seri Kandi masih ingat dialog yang paling popular zaman Seri Kandi sekolah dulu antaranya tentang orang yang tak mandi dua tahun dan pakai baju yang sama selama dua tahun. Lama betul tukan, haha. Tapi bagi Seri Kandi yang berubah cuma helaian kalendar sahaja. Seri Kandi macam tu jugak, urmmmm... apa nak buat, nasib badannnnn.

Sebenarnya pagi ini rasanya macam bersemangat betul sebab Seri Kandi akan mengajar pelajar baru dan subjek yang paling Seri Kandi gemari iaitu Principal Of Electric & Electronics. Amboiiii, bukan main orang puteh lagi tajuknya tukan. Sebenarnya tajuk sahaja orang puteh tapi Seri Kandi mengajar dalam Bahasa Kebangsaan. Tetapi kalau dah subjek sains fizik tu memang tak boleh larilah dari istilah-istilah Bahasa Inggeris. Perkataan-perkataan ini kalau disebut dalam Bahasa Melayu bunyinya akan agak pelik sikit tapi Seri Kandi tetap akan terangkan dan huraikan dalam dua bahasa supaya mereka tidak keliru. Tapikan, Seri Kandi ni tunggu.. punya tunggu... punya tunggu, sampai ke sudah. Dah lebih 45 minit Seri Kandi tunggu. Batang hidung pun tak nampak. Ini boleh mendatangkan marah!! Sebelum Seri Kandi bertukar warna hijau pucuk pisang baiklah Seri Kandi makan puding dulu untuk menyejukkan hati ;-))))


Resepinya Seri Kandi akan masukkan kemudian sebab Seri Kandi nak buat kerja sikit. Sehingga bertemu nanti, daaaaaaaaaaaaa...

Wassalam.

Saturday, December 29, 2012

TARANTULA SERANG GADIS SEDANG MANDI

ASSALAMUALAIKUM...

TERKEJUT Seri Kandi bila baca tajuk berita di muka depan akhbar Berita Harian yang baru ER bawa balik petang tadi, Tarantula serang gadis sedang mandi, kemudian ada ditulis di situ di muka surat berapa berita itu dimuatkan. Seri Kandi tambah terkejut sebab ia dimuatkan di muka surat 9. Setahu Seri Kandi yang hari-hari membelek Berita Harian, ini berita dalam negara. Di Malaysia ada tarantula???? Dengan 1001 resepi pertanyaan, Seri Kandi selak laju-laju muka surat 9. Mangkuk tingkat tollah! Eiiii.. geram tau ;p

Selamat Pengantin Baru, Apex & Leuney :-)
mukasurat 9 tu berita tempatan maknanya
hakikatnya tiada siapa yang diserang tarantula.. huhu.. kena tipu ;p
Seri Kandi marah ni tau!

tengok muka Abam Aaron terus tak jadi marah ;-))))))

 


'BLIND DATE' BERSAMA KAK ANIE & CHE LAH MASTERCHEF MALAYSIA 2

ASSALAMUALAIKUM...

comelnya Kak Lady kita
SEKIAN lama berjanji akhirnya semalam tercatatlah satu pertemuan antara Seri Kandi dengan  Kak Anie Coretan Warna Warni Kehidupanku di Karnival Upin Ipin yang berlangsung di Stadium Tertutup Bandaraya Johor Bahru. Bagi kebanyakan blogger yang sezaman dan seangkatan dengan Seri Kandi tentunya mengenali siapa Kak Anie yang merupakan ibu kepada pemilik suara Ehsan dalam Animasi Upin Ipin ini. Kalau jumpa Kak Anie tiada siapa yang menyangka ibu kepada empat anak ini sudah bergelar nenek. Nampak muda sangat orangnya dengan kulit yang halus mulus. Rupa-rupanya Kak Anie ni penjual produk kecantikan, ooo... patutlahhhh.. hehehe. Kebetulan pula stadium ni terletak lebih kurang 200 meter sahaja berjalan kaki dari kolej jadi Seri Kandi pun mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan Kak Anie.  Rasanya kalau karnival tu berlangsung di tempat lain tentu agak susah untuk Seri Kandi bertemu dengan Kak Anie memandangkan sudah ada beberapa program yang telah dirancang hujung minggu ini.

pelikkan.. comel jer walaupun pandai masak.. mana pergi zat yang Che Lah masak tu ya???
Sedang rancak berbual dengan Kak Anie, tiba-tiba anaknda Seri Kandi berkata,"Bonda, tu Che Lah.. Che Lah..." Sebenarnya Yaya ni satu sekolah dengan anak Che Lah Masterchef Malaysia musim kedua. Jadi mulanya dia perasan anak Che Lah tulah. Anggun betul Che Lah tau, macammana kita tengok beliau di MCM2 tu dengan suaranya yang seksi tu lagi, hehehe. Sempat jugaklah berbual sepatah dua ayat dengan Che Lah dan Seri Kandi sempatlah bertanya, betul ke Che Lah nak berlakon? Haaa.. memang betul, amboi.. habislah Cik Ta tak boleh cari makan lepas ni, hehehehehe.

agak-agak siapa paling kuat makan???? ;p

inilah Ehsan Upin Ipin.. anak Kak Anie
p/s hari ini Seri Kandi nak baring satu hari suntuk aci tak???

Friday, December 28, 2012

ISTIGHFAR KEPADA ALLAH SWT

ASSALAMUALAIKUM...

ISTIGHFAR, kalimah yang sangat pendek tetapi memiliki makna yang sangat dahsyat, sangat dalam, sangat indah dalam hidup kita. Istighfar memiliki dua makna.

Pertama, setipa kali kita mengucapkan Astaghfirullahal'azim bererti kita meminta ampun kepada Allah, minta dimaafkan kesalahan kita, minta ditutupi aib-aib kita. Semakin kerap kita beristighfar maka semakin bersih diri kita daripada dosa, kesalahan dan aib-aib kerana Allah sangat menyukai hamba-Nya yang terus beristighfar. Kerana tidak satu pun antara kita yang bersih daripada dosa maka istighfar adalah satu kewajiban dan keperluan kita agar Allah mengampuni dosa kita, memaafkan kesalahan kita dan menutupi aib kita.

Kedua, setiap kali kita mengucapkan astaghfirullahal'azim bererti kita minta kepada Allah, mohon kepada Allah, amat sangat agar Allah memperbaiki hidup kita, meguatkan akidah kita, membuat kita nikmat dalam ibadah khusyuk dan menjadikan akhlak kita mulia.

Subhanallah. Satu ucapan tetapi memiliki dua keinginan. Kerana itu tidak hairan hamba Allah yang sungguh-sungguh beristighfar tampak dalam kehidupannya semakin berkat, semakin membawa kebaikan dan kebaikan, semakin bahagia, tenang dan menyenangkan di dunia dan akhirat. Kerana itu Rasulullah SAW bersabda, " Barangsiapa yang membiasakan dan selalu beristighfar kepada Allah, maka Allah mudahkan saat ia sulit, Allah gembirakan saat ia sedih dan Allah beri rezeki dari jalan yang tidak pernah ia duga."

Kemudian, dalam Al-Quran surah Nuh ayat 10, 11 dan 12, Allah SWT berfirman, maksudnya, "Beristighfarlah kepada Tuhan-Mu sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. Nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan membanyakkan harta dan anak-anakmu dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai."

Beristighfarlah kita kepada Allah, nescaya Allah turunkan musim hujan yang berat. Allah mudahkan kita untuk mendapat rezeki. Allah hadirkan untuk kita anak-anak kita generasi-generasi yang soleh, generasi robbani. Kemudian Allah makmurkan negara kita dan Allah sejahterakan kita, Allahu Akbar!

Jadi, istighfar bukan hanya disuruh untuk dilafazkan tetapi kewajiban kita. Kerana itulah Rasulullah SAW tidak bangun dari tempat tidur baginda kecuali baginda beristighfar 70 kali, dalam hadis lain 100 kali. Walaupun baginda maksum, dijamin masuk syurga, bebas dari dosa, (tapi) begitu hebat istighfarnya kepada Allah. Apalagi kita yang banyak dosa.

gambar hiasan - google image

DALAM SUJUD TERAKHIRKU
 
dalam sujud terakhirku, Ya Allah...
kuteriakkan Asma-Mu sekeras-kerasnya
agar runtuh dinding kesombongan dalam hatiku
 
dalam sujud terakhirku, Ya Rabbi...
kumenangis sejadi-jadinya
biar kering mata ini
namun basah ladang hati yang gersang

dalam sujud terakhirku, Ya Rahman...
kulihat semua dosa yang membayangiku
kelam mencengkam jiwa yang rusuh
 
dalam sujud terakhirku, Ya Rahim...
biarkan aku patah dalam cahaya-Mu
biarkan kumusnahkan titik-titik kemunafikanku
agar kukembali dalam pelukan hidayah-Mu
 
dalam sujud terakhirku
biarkan aku hirup nafasku sekali lagi
hanya untuk menyebut nama-Mu dan kekasih-Mu tercinta 
 
sedangkan batu bersujud - image google

Thursday, December 27, 2012

KUIH KELEDEK TIGA BERADIK

ASSALAMUALAIKUM...

DALAM perjalanan pulang dari Kuantan tempohari kami ada singgah di beberapa gerai untuk membeli buah cempedak. Sampai tiga kali berhenti semata-mata untuk membeli cempedak. Sebenarnya sepanjang perjalanan ke Kuantan tu jumpa ramai benar orang berjual cempedak tepi jalan dan memang dah terbayang dalam kepala ni nak beli masa perjalanan balik nanti. Tetapi bila dah balik tu eh, punyalah susah nak jumpa dan kebanyakan gerai pula di sebelah kanan jalan. Alhamdulillah, ada rezeki dan saya pun terlintaslah nak membeli keledek yang turut sama dijual. teringinlah pulak rasanya nak membuat kuih-muih tradisi berasaskan ubi keledek ni. Saya rasa agak-agak sekilo kot keledek yang dibeli dan tanpa teragak-agak dengan tamaknya saya rebus semua sekali.. hambikkkk! hahahaha.. Dalam kepala ni memang dah berangan nak buat cucur badak, keria dan cik mek molek. Jadi bila dah rebus semuanya kenalah dibuat serentak, ya tak?  Lepas tu separuhnya boleh dibekukan, senang bila rasa nak makan bolehlah goreng. Inti serunding kelapa berudang kering saya dah buat siap-siap (ikut gaya saya, tak berani bagi resepi) jadi sekarang ni nak menggayakan adunan keledek sebagai asas ketiga-tiga kuih tiga beradik ini.

maaf ya kualiti gambar kurang memuaskan
Keledek yang siap direbus saya lenyek dengan garfu seikut kerajinan yang mampu kemudian saya campurkan dengan tepung jagung dua sudu. Lepas tu saya tambahkan tepung gandum dalam setengah cawan, tak mahu letak banyak-banyak nanti hilang rasa keledek lebih rasa tepung. Lepas siap uli sebati saya mulakan dengan mengisi inti serunding kelapa. Berpeluh-peluh rasanya nak mengisi inti serunding tu dalam adunan keledek. Saya buat dalam 15 biji tembam-tembam sebab nak cepat habis, lagipun makan sendiri kan, kalau buat jual kata Yaya kena letak harga 50 sen satu, hihi, lepas tu saya cetak pula keria (tak guna pencetak pun sebenarnya). Saya selang seli buat keria dan cik mek molek supaya tak jemu. Agak mudah isi gula banding isi serunding kelapa. Perlahan-lahan penyakit M saya datang, maka dari plan asal nak buat cik mek molek dan keria sama banyak tapi rupanya keria yang terlebih-lebih cik mek molek ada berapa biji je. Senangkan, bulat-bulat, penyek-penyek cucuk lubang... hihihi.

STADIUM PENUH!

ASSALAMUALAIKUM...

SORAKAN LARKIN khabarnya kembali bergegar malam tadi di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunus ketika berlangsungnya perlawanan Jemputan Empat Penjuru Piala Tunku Mahkota Johor yang melibatkan perlawanan antara Pasukan Darul Takzim FC menentang pasukan Woodlands Wellington dari Negara Seberang Tambak. Amboi, meriah sungguh saya tengok kawan-kawan yang post status, yang 'check in' sedang berada di stadium. Stadium yang selama ini sepi tiba-tiba jadi riuh rendah. Agaknya kalau ada jin dan hantu yang menumpang di situ mesti mereka pun terperanjat kenapa tetiba jadi ramai macam tu, hehehehe. Selama saya mengekor ER ke stadium tak pernah lagi tempat duduk dipenuhkan walaupun setengah bahagian kecuali jika ada pasukan dari Selangor atau Kelantan yang bertandang. Yang biasa ada cuma peminat setia dan setiap minggu akan nampak muka yang sama, wajah yang serupa tapi memang sakitlah telinga kalau dengar maki hamun mereka sepanjang perlawanan menunggukan habis masa. Sebab itu saya rasa tak sesuai sangatlah anak-anak kecil dibawa bersama kerana mereka pun turut pandai menyumpah juga, sabar ajelah mendengarnya kadang rasa nak menampar pun iya juga, pakkallah anak manusia ;p

gambar kredit : jurugambar TV3 Yahya Kiprawi facebook
Tetapi saya rasa ini merupakan satu perubahan besar untuk orang Johor terutama warga JB. Stadium tidak lagi sepi, hidup segan tapi tak mati-mati. Rumput di padang pun sudah diganti yang baru, cantik sungguh di pandangan mata. Saya harap tandas-tandas turut dijaga dan diperiksa, pam yang rosak digantikan semua. Paip yang bocor beli yang baru. Bukan sedikit pengalaman pahit menggunakan tandas stadium, dua jam saya terkepit-kepit menahan nak ter....... mujur tak terkena penyakit ;p
Malam semalam saya tak berkesempatan kerana ada halangan, malam ini mungkin sampai ketika separuh perlawanan. Saya harap pakcik manis yang jaga pintu gate masih kenal saya lagi. Maklumlah orang dah ramai takut-takut saya pun kena beli tiket sendiri, rasa macam canggung maklum selama ini masuk 'free' . Perlawanan akhir esok saya pasti ada, tak tahu lagi nak duduk di mana. Bilik kaca berhawa dingin atau berpanas dan bersesak dengan hadirin kerana yang itu pastinya lebih meriah dan lebih 'happening'.

baca keputusan perlawanan oleh Panglima Hitam Seri Kandi di SINI

Wassalam.

Wednesday, December 26, 2012

SWEET COCONUT CREPE aka KUIH DADAR

ASSALAMUALAIKUM...

ORANG lain sibuk ber- DURIAN CREPE tiba-tiba Seri Kandi ber-KELAPA CREPE pulak ya... hehehe. Sebenarnya Seri Kandi adalah jugak dua tiga kali membuat Durian Crepe untuk melepas perasaan geram pada kawan-kawan yang sibuk menayang tu (bukan geram apa... geram tak dapat..) tapi belum sempat lagi Seri Kandi ketukkan ceritanya di sini tapi disebabkan masa Seri Kandi postkan gambar Sweet Coconut Crepe aka Kuih Dadar aka Kuih Ketayap aka Kuih Gulung kegemaran anaknda Seri Kandi ni di mukabuku rupanya punyalah ramai peminat kuih tradisi ni. Dan Seri Kandi tak sangka Panglima Hitam (ER) juga rupanya peminat kuih ni. Lepas satu Seri Kandi gulung satu dibalunnya, Seri Kandi gulung lagi pun dia capai juga maka sukalah hati Seri Kandi dan tak sia-sialah Seri Kandi menggoreng inti kelapa dan mendadar adunan tepung atas kuali ni sebab kekanda dan anaknda suka. Jadi kerana itu biarlah Seri Kandi masukkan dulu entri Kelapa Crepe ini kemudian akan menyusul pula Durian Crepe Seri Kandi ya. Mehlah tengok macammana Seri Kandi buat kuih ni tanpa berguru dari mana-mana kitab... Alhamdulillah, Allah permudahkan..


Sweet Coconut Crepe aka Kuih Dadar
Bahan-bahan Inti :
2 cawan kelapa parut diambil putihnya sahaja
3/4 buku gula melaka dihiris kasar

Cara-cara :
Goreng kelapa tanpa minyak sebentar sehingga agak kering kemudian masukkan gula melaka yang dihiris. Terus menggoreng sehingga semuanya sebati dan sempurna gulanya. Kalau rasa hendak lebih manis boleh ditambah gulanya.

Bahan-bahan Kulit :
1 cawan susu sejat (boleh ganti dengan sebarang jenis susu atau santan sederhana cair dan pekatnya)
1/2 cawan air
1/2 cawan air jus pandan
2 biji telur
sedikit pewarna hijau
2 cawan tepung gandum (kurangkan 2 sudu besar selepas disukat 2 cawan)
2 sb tepung jagung
1/3 sk garam

Cara-cara :
Masukkan semua bahan ke dalam jug pengisar mengikut turutan seperti di atas kemudian kisar sebati.
Panaskan kuali leper (kalau non stick lagi bagus), sapu sedikit minyak dengan tisu dapur. Dadarkan adunan tepung di atasnya. Bila dah masak, angkat dan terus isikan inti dan digulung sedikit. Lipat kiri dan kanan dan gulung terus. Buatlah sehingga habis semua adunan jangan separuh jalan ya, hiks!

p/s Rajin tak Seri Kandi masukkan entry sekarang? Semangat apakah (?) yang menyeru agaknya ya... urmmmm...

BERGESEL BAHU DENGAN SAFEE SALI.. ERKKK!

ASSALAMUALAIKUM...

BIAR gambar yang menceritakan segalanya.

Nampak tak muka Seri Kandi yang malu-malu gitu apabila bergesel bahu dengan penyerang kebangsaan Safee Sali di Stadium Tan Sri Haji Hasan Yunus, Larkin, Johor kelmarin. Errrr.. anda cemburu??? Cemburu tandanya sayang tau... ;p
Pertemuan dengan Safee tu sebenarnya diatur oleh ER sendiri yang tahu betapa Seri Kandi meminati Safee yang kini telah dipinjamkan selama semusim daripada kelab Liga Super Indonesia (ISL), Arema Indonesia. ER tak beritahu pun dengan Seri Kandi yang beliau akan membawa Seri Kandi bertemu dengan Safee dan Seri Kandi pulak baru balik kerja dan entah kenapa hari tu Seri Kandi malas betul nak melawa sampai ada kawan yang tegur sebab nampak Seri Kandi sangat sempoi hari tu. Safee pulak baru lepas mandi selepas latihan bersama pasukan Darul Takzim FC, wanginya sampai Seri Kandi malu sebab Seri Kandi dah berbau masem.. isk.. isk... isk.

Tentu ramai yang tahu kini Safee telah bersama skuad Harimau Selatan jadi Seri Kandi percaya ini bukanlah pertemuan pertama dan terakhir dengan Safee kerana tugas ER yang banyak berkait rapat dengan pasukan yang kini digeruni oleh pasukan lain di Malaysia. Boleh dikatakan sejak Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) memegang status sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) dan membawa banyak perubahan kepada pasukan, Seri Kandi pun turutlah terkena tempiasnya lebih-lebih lagi sejak TMJ membawa masuk empat pemain skuad kebangsaan ke negeri Johor iaitu Kapten Pasukan Harimau Malaya sendiri Safiq Rahim diikuti pasangan kembar Aidil Zafuan Radzak dan Zaquan Adha Radzak. Skuad Johor bertambah mantap bila turut mengikat bekas pertahanan Terengganu dan Harimau Muda A, Muslim Ahmad. Bila berlaku kontroversi perpindahan
Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo yang masih punya kontrak setahun dengan Kelantan masa tu rumah Seri Kandi ni dah macam Kelab Bolasepak. Telefon tak henti berdering begitu juga dalam kereta sampai pening kepala Seri Kandi dibuatnya tau. Dan akhirnya kehadiran Safee Sali ibarat hadiah dari TMJ kepada rakyat Johor, syukur Alhamdulillah, terima kasih TMJ.
 
Seri Kandi turut diheret ER ke Istana Bukit Pelangi ketika mengadap TMJ
 baca SINI juga


Tuesday, December 25, 2012

TERPERANJAT YANG TERLAMPAU 3

ASSALAMUALAIKUM...

SATU-SATUNYA orang yang saya sentiasa ingat untuk mengucapkan Merry Christmas setiap tahun adalah Mr S. Tiada niat lain selain tanda ingatan yang tersemai bertahun-tahun. Mr S juga tak pernah lupa mengucapkan Selamat Hari Raya setiap kali menjelangnya Syawal sejak 18 tahun lalu, bermakna kami dah kenal sejak 18 tahun lepas. Mr S boleh dianggap sebagai kawan, guru dan bapa kepada saya. Sempena ketibaan Natal tahun ini saya teringat kembali tentang peristiwa ini. Kalau dikenang memang kelakar ada.. sedih pun ada.. malu pun ada... geram??? Lagi laaaaaaaaaaa... hahaha.

Sudah menjadi kebiasaan setiap petang biasanya saya akan membuat persediaan mengajar untuk keesokan harinya. Sebagai pengajar yang masih muda belia tak banyak ilmu yang dapat diserap otak saya ini. Jadi perlulah untuk belajar dan praktis apa yang hendak diajar esok supaya tidak terkial-kial depan pelajar dan termangu-mangu bila ada yang bertanya. Memandangkan kami semua yang mengajar ini banyak menggunakan peralatan makmal jadi biasanya saya cuma akan belajar di dalam makmal di belakang almari. Almari tu kami susun memanjang macam dindinglah, jadi boleh jadi tempat menyorok kat belakang tu untuk makan, solat dan tidur. Bukan tiada surau tapi kami lebih senang buat di situ supaya tak gunakan banyak tenaga turun naik tangga ke surau, hihi.

Jadi petang tu saya pun belajar, tak ingat tajuk apa. Kira memang tengah khusyuklah. Saya tak sedar langsung Mr S ada kat belakang saya. Mr S ni bila tengok saya khusyuk macam tu, datanglah anginnya nak mengusik lalu menyergah saya dari belakang. Saya... haaaa.. siapa yang pernah baca episod 1 dan 2 tentu sedia maklum kan... hihihi.

imej from google
Saya terus menjerit dan melatah. Saya ni bukanlah pelatah tegar. Tapi kalau kena cara terkejutnya memang melatahlah jadi di hujung melatah tu saya terus menangis. Adoilaaaaaaaaa.. teruk betulkan. Saya terus tutup buku dan capai beg tangan. Terus-terus saya tinggalkan Mr S di situ dan jalan laju-laju ke 'bus stop'. Masa tu belum ada kereta lagi, baru kerja. Mr S panggil-panggil, sorry-sorry pun saya dah tak peduli. Kawan saya Mala pun panggil-panggil saya tak kisah. Pstttt... Mr S tu sebenarnya bos kecik saya, tapi saya peduli apa. Padan muka dia.. teruslah dia tak berani nak terperanjatkan saya lagi, hehe. Bukan saya saja, orang lain pun dah jarang disakatnya, kalau tak asyik nak sepak kerusi orang je, gurau kasar namanya tukan, hehehe.

Walaubagaimanapun hubungan kami tetap baik sampai sekarang. Saya pun dah maafkan dia lama dah. Kerja dalam bidang ni walaupun kami sudah berlainan bumbung namun tetap memerlukan untuk bertukar pendapat. Untuk Mr S, Selamat Hari Natal dan semoga bergembira di Tahun Baru 2013.

Monday, December 24, 2012

DIGAMIT KUANTAN

ASSALAMUALAIKUM...

SEKEJAP sahaja keputusan dibuat untuk bercuti ke Kuantan. Tanpa merancang tapi ia terlaksana dan dipermudahkan. Saya hanya menempah bilik hotel dua hari sebelum sampai dan Alhamdulillah, mungkin kerana bukan hari kelepasan am di negeri Pahang Darul Makmur dan dapatlah kami lena diulit intan ditemani angin sepoi-sepoi dan deruan ombak Laut China Selatan. Seingat saya sejak lima enam tahun lepas sekurang-kurangnya sekali dalam setahun kami akan bercuti ke Kuantan. Tidak lengkap rasanya jika sekali dalam setahun tidak menikmati ikan bakar di Tanjung Lumpur, gulai kawah dan masakan kampung di Balok dan jangan lupa singgah di Leban Condong, Kuala Rompin menikmati keenakan sambal udang galahnya. Namun percutian kali ini sedikit berbeza kerana kecuali udang galah di Leban Condong kali ini kami tidak ke Tanjung Lumpur dan mencedok semangkuk gulai kawah tetapi mengubah selera dengan rasa yang lain pula.

udang galah di Leban Condong
Kebetulan sehari sebelum bertolak saya sempat bersembang dengan blogger Azura Rahman yang tinggal di Kuantan. Barulah saya tahu di tepian Pantai Batu Hitam rupanya ada medan selera di tepi pantai waktu petang-petang. Cuaca petang itu seperti merestui kehadiran kami seperti kata Zura pada hari sebelumnya, Kuantan hari-hari hujan cuma hari ini panas sikit (sehari sebelum saya sampai). Dan betul, dua hari kami di Kuantan cuacanya elok betul dan cuma hujan bila kami berada di bawah bumbung bangunan sama ada di hotel atau di tempat makan. Memang langkah kanan betullah kali ni. Jadi dapatlah kami berendam di kolam sampai kecut, hahaha. Hari ketiga di Kuantan, hujan seperti mengucapkan selamat tinggal seperti tahu yang kami akan pulang ke sarang. Kesian pulak tengok budak-budak yang seronok bermandi-manda di kolam dikerah naik. Hujan berserta guruh jangan dibuat main takut ada yang kejang dalam air, betul tak?

tak pernah umur makan mee kari dalam kuali.. mak saya kata pantang makan dalam kuali atau periuk, alamak dah terlanggar pantang.. huhu
Malam pertama tu mengikut rancangan asalnya tentulah hendak makan di Tanjung Lumpur. Azura pula mencadangkan kami makan di Awana Ikan bakar yang baru dibuka di Sg Soi. Tapi disebabkan masih kenyang lagi makan keropok lekor, mee kari dan mee sup di Pantai batu Hitam ditambah pula ABC dan Lai Chi Kang semangkuk seorang ER mencadangkan kami keluar lewat sikit kononnya nak bagi perut lagi lapar barulah seronok makan ikan bakar. Tetapi tetiba sahaja ER mencadangkan untuk makan sate. Saya cepat-cepat mencapai GPS untuk mengesan kedudukan Sate Zul (juga cadangan Azura). Wah! Jumpa... Terminal Sate Zul.. ada tiga cawangan dan saya pilih yang paling hampir. Sampai di TSZ, pehhhh! Boleh tahan, penuh! Di luar bangunan kelihatan api menyala-nyala bagaikan memanggil-manggil. Saya menjenguk ke tingkat atas. Mujur ada meja kosong dan masa ini keliru sama ada kami akan dilayan atau kami perlu melayan diri. Oh, rupanya ada pelayan yang akan mengambil pesanan. Kecewa betul sebab sate kambing yang jadi juadah wajib telah kehabisan begitu juga dengan sate perut. Memandangkan 'review' yang kami baca sebelum ini bahawa sate Zul amatlah besar dan perut kami pun tak berapa lapar kami taklah minta banyak. Saya minta dua set nasi impit kot-kotlah tak berapa kenyang boleh di'cover' dengan nasi impit, hehe. Pelayan datang membawa dua set nasi impit dan semangkuk sederhana kuah kacang yang sedap. Dan sate ayamnya sangatlah sedap, sate daging tu saya rasa sate Johor lebih sedap kot mungkin kerana sate Zul menggunakan 100% daging dan ia agak kering. Kalau di Johor, di tengah-tengah batang sate tu biasanya akan dicucuk sedikit daging yang berlemak (tak semua penjual sate di Johor yang masih buat begini). Jadi apabila dibakar lemak tu akan meleleh dan menambah jus sate itu sendiri.. fullamakkk!! Mantapppp! Tapi sate ayam dia memang sedap, lain kali kalau datang kena minta sate ayam lebihlah.

Esoknya kami cuba-cubalah pulak tukar selera makan di bandar Kuantan. Ialah, nak jugaklah jalan-jalan di bandar pulak, kan.. rupa-rupanya bandar Kuantan amatlah sesak. Banyak sungguh persimpangan dan lampu isyaratnya. Dia punya merah punyalah lama, elok jer kita lepas lampu hijau di hadapan ada lagi lampu merah. Elok jer kita lepas lampu merah yang dah tukar hijau tu nanti dekat depan tu ada satu lagi lampu merah.. dan lagi.. dan lagi... lama-lama muka kami pun dah jadi merah hijau, agagaga!! Dan kami kena saman... kena kompaun sebenarnya sebab tidak pamerkan kupon meletak kenderaan. Sebenarnya kami bukan sengaja tak mahu beli kupon. Pertama sebab kami tak nampak adanya tempat jualan kupon (nampak tu tapi jauh kat tempat lain). Yang kedua sebab di JB kami dapat letak kenderaan percuma, ya.. kami ada pas parking VIP okeh.. uhuks! Ada unsur berlagak di situ, minta maaf. Itulah yang menyebabkan kami terlupa tentang kupon parking sebab dah biasa parking free, hehehe. Yang bagusnya jika anda dikompaun di Kuantan anda boleh pilih nak bayar kompaun dalam tiga hari, 14 hari atau hendak tunggu surat mahkamah. Dan saya tak rela tunggu surat mahkamah. Berdesup kami cari kaunter saman di Pasar Borong Kemunting sebab kalau bayar dalam tiga hari cuma kena RM5 sahaja. Tapi tetap sakit hati sebab tersangkut dalam kesesakan lampu isyarat, saya sampai ke kaunter lagi 10 minit, fuhhhhhhhh!!

tunggu matahari tak timbul-timbul
ER yang suka menyakat
Malam tu kami tak jadi ke Tanjung Lumpur gara-gara tak sanggup nak melalui bandar Kuantan tu untuk ke sana. Tapi disebabkan banyak kali terkena makan di Balok hanya indah khabar dari rupa (nama restoran nampak gagah rupanya tak semenggah) kami berpusing-pusing di sepanjang jalan tu lebih dua kali semata-mata untuk memilih yang terbaik rupanya nan hado juga. Tak ambil gambar sebab kecewa.. hehehe. Balik esoknya kami singgah ke Pasar Balok.. tak pasti nama betul pasar ni. Macam biasa saya wajib beli ketupat palas yang dijual di sini dan... dan.... ER dan udang memang tak boleh dipisahkan. Aummmmmmmm!! Kenapa mengaum? Sebab udang rimau.. hehe.
udang tiga generasi??
lebih besar dar kepala Zonan (maaf kualiti gambar tidak memuaskan)
beli juga kekapis
cempedak jangan dilupa sebagai pewangi kereta
dan cendol sebagai penghilang dahaga

Sekian, wassalam.

p/s lepas ini nak ke mana pulak ya??

SAMBAL TOMAT

ASSALAMUALAIKUM...

ANDA gilakan sambal? Saya, ya.. saya penggila sambal. Sebutlah apa jenis sambal pun saya memang suka dan makan banyak. Sukar saya nak beritahu yang manakah sambal yang paling saya gila sekali sebab semua saya suka dan boleh makan banyak sambal dalam satu masa. Makcik yang jaga kantin kolej pun tahu saya hantu sambal.. ha.. tadi kata gila ni dah jadik hantu pulak.. hehehe.
Resepi sambal tomat ini saya jumpa hasil menyelongkar dapur Kak Ida yang sekarang ini berada jauh di kampung orang putih tu. Memang best sambal tomat ni dan dah banyak kali saya buat. Yang tak bestnya bila dah kena sambal tomat ni saya selalu terlupa hendak kurangkan makan. Dan lagi kalau ada sambal tomat ni saya memang tak pandang dah lauk lain. Laju jer menyuap tak toleh kiri-kanan dah.. terukkan.. memang teruk.. dasar si penggila sambal. Sambal tomat ini merupakan sejenis sambal dari Jawa dan biasa disediakan di Restoran Minang atau Nasi Padang Asli. Kalau pergi Restoran Minang atau Nasi Padang tak ada sambal ni kira macam tak acilahkan.. minyak yang berlinang tu perlu supaya sambal dapat direnih lama dan tidak kering atau hangus di kuali. Tapi janganlah sampai berkuah minyak pulak ya, karang makin membiak pulak lemak, hehehe. Sambal ini juga boleh digunakan untuk masakan ringkas lain seperti nasi goreng, sambal ayam, daging, atau seafood dan sebagainya.

Sambal Tomat
Sumber : Koleksi 1001 Resepi

Bahan-bahan:
10 biji cili padi
2 biji cili merah
1 biji tomato
1 biji bawang merah, hiris nipis (saya gunakan bawang besar)
belacan, sebesar ibu jari
garam, gula, msg secukup rasa

Cara membuatnya:
Panaskan sedikit minyak, masukkan hirisan bawang dan goreng sebentar (jangan garing). Sementara itu tumbuk lain-lain bahan seperti menumbuk sambal belacan. Masukkan bahan tumbuk ke dalam kuali (yang ada bawang tadi) dan terus menggoreng semua bahan sehingga menaikan aroma dan sedikit garing....rasanya haruslah pedas manis....sedaaap...

p/s terlebih rajin post dua entri hari ini.. sebenarnya silap teknik masa publish.... jadi jangan pening kalau entri bertukar-tukar hari ini ya ;-)))))


Wednesday, December 19, 2012

SARI KEJU MANIS KEMBALI

ASSALAMUALAIKUM...


JENUH menjawab pelbagai pertanyaan sahabat dan saudara kenapa saya tidak lagi mengambil tempahan kek dan cheese tart sepanjang tahun lepas. Ramai juga yang hampa bila saya terpaksa menolak tempahan mereka terutamanya yang meminta beribu cup cake sebagai cenderahati majlis perkahwinan. Aduhai, kakak, Encik Zanussi saya tu sekali masuk cuma sedozen jer. Mahu saya bertungku kat tepi tu selama tiga kali subuh ke subuh untuk mencukupkan 1000 cup cake. Memang betul, rezeki jangan ditolak tapi kalau sedar diri tak berdaya, baiklah berundur sebelum berperang. Saya tak mahu yang dikejar tak dapat yang dikendung berciciran. Saya cuma rajin membotolkan kek sahaja itupun tak berani ambil banyak-banyak. Masuk November saya tutup tempahan sebab cuti sekolah bagi saya adalah saat yang paling sibuk sebenarnya sebab saya terpaksa berulang menghantar anak saya agak jauh ke rumah neneknya yang tidak sehala dengan pejabat saya. Tahun 2012 juga merupakan tahun pertama Yaya belajar di sekolah baru. Ya, sekolah yang baru dibuka jadi cikgu-cikginya amatlah giat menganjurkan pelbagai kelas tambahan. Saya yang jadi mak budak ni terpaksalah juga berkejar ke sana ke mari. Memang tak sempat nak meladeni kerja-kerja mencetak tart shell apabila nak membunga-bungakannya.


Saya berkira-kira untuk membuka kembali tempahan apabila cuti penggal akhir persekolahan bermula tetapi masih tidak terlaksana. Masa ibarat pedang, asyik saja saya dipancungnya. Dalam pada berangan-angan nak menekan doh itulah tetiba sahaja Cik Siti Intan Payung yang rajin menempah cheese tart dengan saya menghantar pesanan kalau-kalau saya sudi menerima tempahannya. Jadi saya anggap itu sebagai pembuka jalan untu saya kembali berbisnes dalam dunia yang saya sayangi ini. Kerana ia membuat poket saya agak kurang bocornya. Kalau tak asyiklah nak kena mintak tampal dengan ER, kan.. hehehe. Tapi, kata orang, besar periuk, besarlah keraknya. Bila ke kedai membeli bahan pastri dan inti tu, maka mata pun jadi rambang. Mulalah nak capai benda yang tak masuk dalam senarai, hai... nasib.. nasib.


Untuk makluma, saya menggunakan margerin jenama Buttercup dan Keju Philadelphia dalam produk saya. Jadi, kepada sesiapa yang ingin merasa Tart Keju Ungu saya ni, bolehlah meninggalkan komen dan nombor telefon anda di kotak komen atau terus menghantar mesej di facebook Seri Kandi Tanah Jauhar. Berikut merupakan senarai harga bagi sesiapa yang berminat dan maklumat penghantaran.

Perisa :
Blueberry sahaja (dengan corak bunga padi) dan Blueberry dan Coklat (tanpa corak bunga padi)

Harga : 25 pcs - RM16
             50 pcs - RM32

Lokasi & Waktu Pengambilan :
- Setiap hari Ahad di Bandar Baru Uda (masa akan diberitahu)
- Setiap hari Isnin di pejabat saya (lokasi & masa akan diberitahu)  atau di Bandar Baru Uda (masa akan diberitahu)
- Perkhidmatan penghantaran ke rumah setiap hari Sabtu dan Ahad dengan bayaran tambahan RM8 (mengikut lokasi sekitar Johor Bahru sahaja) atau kurang.
- Permintaan pada hari lain hendaklah dibuat tempahan sekurang-kurangnya tiga hari sebelum hari pengambilan.



Wassalam.

Tuesday, December 18, 2012

$1 BUNGA RAYA

ASSALAMUALAIKUM...

ANAK saya yang berumur 11 tahun, 11 bulan terkejut apabila melihat wang syiling bernilai $1 ini. Dia tak percaya negara kita pernah mengeluarkan duit syiling seperti ini dan merayu-rayu meminta saya membenarkannya mengambil sekeping. Ya, berapa ramai antara kita yang masih mempunyai wang syiling $1 ini. Berapa ramai yang minat menyimpan sekeping dan berapa ramai yang tidak hairan langsung untuk menyimpan. Sesiapa yang berminat dengan wang syiling $1 Bunga Raya ini, anda boleh email saya di yusarima@yahoo.com.my.


Untuk pengetahuan anda, $1 Bunga Raya ini adalah siri kedua yang dikeluarkan oleh BNM pada 4 September 1989 dengan ciri rekabentuk tradisi Malaysia. Pada 4 November 1993 ia kemudiannya ia digantikan dengan simbol RINGGIT. Edarannya mula ditarik balik pada 7 Disember 2005 dan tidak dikeluarkan lagi hingga sekarang. Pastikan ada satu dalam simpanan anda supaya dapat ditunjukkan kepada anak cucu anda.

Wassalam.

Friday, December 14, 2012

DERITA JIWA YANG BERDOSA

ASSALAMUALAIKUM...
 
kalbuku merintih
jiwaku pedih
melihat dosa yang melimpah ruah
bak air bah
aku terlibat juga
payah mengelaknya
keampunan-Mu Tuhan ku harapkan
maghfirah-Mu
itulah rahmat-Mu
pada hamba-hamba-Mu seperti aku
...
dosaku
buat aku derita di jiwa
yang tidak kunjung hilang
moga-moga itulah penghapusan dosaku
dicintai lebih dari tasbih aulia
jiwaku kadang-kadang rasa terbakar
oleh dosa yang selalu mendatang
hilang bahagiaku
moga-moga itulah hukuman
yang didahulukan
agar terlepas di masa depan
yang sangat membimbangkan
di sana...
 
Gambar Hiasan : Kredit untuk Kak Yusnizah Mohd Bachalan

* Coretan di atas ini bukan nukilan saya tapi saya petik dari sekeping kad yang diterima dari seseorang
yang rasa macam kena sebijk-sebijik di muka sendiri dan pernah di'post'kan dalam status fb saya
 

Wednesday, December 12, 2012

SANG LABAH-LABAH

ASSALAMUALAIKUM...



AWAS! Mungkin ada sang labah-labah atas kepala anda ;-))))))

Sunday, December 2, 2012

ALHAMDULILLAH... TERIMA KASIH, ALLAH

ASSALAMUALAIKUM..
 
PAGI Ahad yang cerah.
Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana pagi ini masih ada kain yang dapat dibasuh, disidai dan dilipat. Masih dikurniakan tenaga dan kesihatan
untuk menyudahkan setiap tanggungjawab sebagai anak, isteri dan ibu... 
ada makanan untuk dimasak, ada rumah untuk dikemas.  
Masih diberi peluang untuk hidup berbahagia di samping orang yang disayangi dan disenangi.
 Masih dikurniakan lima dari yang lima...
 
 
 
Sihat sebelum sakit
 
Muda sebelum tua
 
Kaya sebelum miskin
 
Lapang sebelum sempit
 
Hidup sebelum mati
 
 
 
 
Alhamdulillah...
 
SEMOGA SAHABAT-SAHABATKU BEGITU JUA,
AMIN.. YA RABBAL ALAMIN
 
menulis bukan kerana nama
 

DEMI MASA

MENGHITUNG HARI

Anda Sukakan Ini?