MESTI KLIK

MESIN TEKAN CRUST TART

MESIN TEKAN CRUST TART
PEMBERITAHUAN : Sebarang pertanyaan atau tempahan mesin tart dan sebagainya hendaklah diajukan melalui sms dan whatsapp sahaja ke talian 0127844524. Terima kasih.

Tuesday, March 26, 2013

PAVLOVAKU...

ASSALAMUALAIKUM...


BERTEMU kembali di Alam Sari ini selepas agak lama berdiam diri. Di sini Seri Kandi ingin memohon maaf kiranya beberapa hari ini Seri Kandi menyepi tanpa sebarang komen ke blog kalian. Sebenarnya Seri Kandi mengalami masalah untuk meninggalkan komen kerana masalah talian yang tidak berapa bagus. Seri Kandi juga agak sibuk untuk menulis entry baru, kering idea pun ia juga walaupun sebenarnya ada banyak cerita yang hendak Seri Kandi lipurlarakan, hehehe. InsyaAllah, bila keadaan dah kembali normal, Seri Kandi akan meninggalkan komen, sekarang ini cuma mampu singgah, baca dan telan air liur sahaja, hiks ;-)


Seri Kandi juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung Alam Sari ini kerana tanpa anda siapalah Seri Kandi. Seri Kandi tak sangka, dalam pada membina blog untuk kepuasan sendiri selain kenang-kenangan untuk anaknda Seri Kandi, pengunjung Alam Sari telahpun mencecah lebih dari 1 juta. Walaupun tanpa entry baru namun setiap hari pasti ada yang singgah mencari resepi. Seri Kandi sendiri tidak menyangka bahawa Seri Kandi akan diiktiraf sebagai blogger dapur walaupun asalnya Seri Kandi cuma main-main sahaja berkongsi resepi. Ops! Main-main kongsi resepi tu janganlah ada yang salah faham pulak ingat Seri Kandi bagi resepi main-main ya, hihi.


Melalui blog ini jugalah Seri Kandi dapat menambah rezeki. Daripada hobi berkongsi resepi akhirnya ada pula yang teringin nak merasa manisan dari Seri Kandi. Ialah, bukan semua orang ada masa untuk membuat kerja-kerja membuat manisan yang remeh ini. Mungkin bagi kita yang sudah biasa, membuat sebiji pavlova adalah mudah. Membuat cheese tart itu tak susah. Mengadun sebiji kek itu tidak renyah. Tapi bagi yang baru hendak bermula, yang baru hendak mencari mangkuk 'mixer', baru nak kenal yang mana tepung jagung yang mana tepung gandum, yang mana krim tenusu yang mana krim masak, tentu bagi mereka lebih baik membeli sahaja dari memeningkan kepala. Tambah pulak vitamin R memang tak terdapat dalam dunia jadi sediakan sahajalah RM-nya.. betul tak??? ;-))))


Hujung minggu ini insyaAllah, Seri Kandi sekeluarga akan berada di utara menghabiskan saki baki cuti sekolah yang tinggal tiga hari. Sejak cuti sekolah bermula, Iman belum lagi bercuti dan berjalan kerana terlibat dengan kursus menjawab UPSR dan kelas tambahan. Bagi pengikut Alam Sari ini tentunya sedia maklum, Iman akan menghadapi peperiksaan besar tahun ini. Jadi rasanya, sehingga pertengahan September 2013 Iman pastinya akan sibuk dengan kelas-kelas tambahan dan pelbagai lagi aktiviti yang dianjurkan pihak sekolah. Kerana itu, Seri Kandi dan ER tidak berani untuk pergi lebih jauh sebab takut berselisih dengan jadual aktiviti Iman.


Haaa.. ini aktiviti malam tadi. Sebenarnya semalam ibu Seri Kandi ajak kami makan, ibu masak kari ikan tenggiri dengan sambal pelam. Waaaa, sedapnya! Bertambah-tambah ER dan Iman makan penangan ibu mertua, hihi. Bila dah sampai rumah, tekak Seri Kandi ni rasa berlubang pulak, hehe. Seri Kandi teringat Seri Kandi ada buat lebih crust pavlova masa terima tempahan hari tu. Fresh cream dan buah pun ada lagi. Memikir-mikir dah nak tinggalkan rumah untuk balik kampung lama, lalu kami anak beranak pun mengerjakanlah pavlova ni, hehe.


Bagusnya si bapak suka makan banyak buah, si anak tak suka makan buah. Jadi buah-buah si anak bagilah dekat si bapak. Sukalah si bapak sebab dapat buah extra, huhuhu. Seri Kandi pulak lebih suka ambil secara seimbang. Buah, krim dan crust mesti ada dalam satu suapan kalau tak rasa cam pening jer sebab pavlova nikan manis. Eh! Ada lagi ke yang belum mencuba membuat pavlova ini sendiri. Dengan baik hati, Seri Kandi taip sekali lagi resepinya di sini ya, buat jangan tak buat tau!!


Pavlova

Bahan-bahan :
4 biji putih telur
3/4 cawan gula kastor
1 sb tepung jagung
1 sk cuka masak


Cara-cara :
1. Panaskan oven 150 darjah selsius.
2. Masukkan putih telur dalam mangkuk pemutar yang kering dan putar dengan kelajuan tinggi sehingga berbuih. (Pastikan pemutar juga kering)
3. Sambil terus memutar, masukkan gula kastor sedikit demi sedikit sehingga habis dan putar lagi selama dua minit dengan kelajuan tinggi.
4. Matikan mesin pemutar, ayakkan terus tepung jagung ke dalam adunan putih telur dan kaup balik sebati.
5. Masukkan cuka, kaup lagi perlahan sehingga sebati. Untuk mudah, masukkan ke dalam piping bag.
6. Lakarkan bentuk yang anda kehendaki di atas baking paper. Terbalikkan baking paper dan paipkan adunan di atas baking paper (letak baking paper atas tray/ loyang)
7. Bakar selama 1 jam 20 minit. Rehatkan terus pavlova dalam oven selama 20 minit lagi selepas tamat membakar.


*Untuk krim, putar satu cawan 'non-dairy whipping cream' selama dua minit. Paipkan atau tepekkan terus di atas pavlova. Hidangkan bersama buah-buahan (taburkan buah yang siap dipotong kecil di atasnya) seperti strawberry, blueberry, anggur tanpa biji, kiwi dan peach.




Thursday, March 21, 2013

JANJI DIIKAT, KASIH TERSURAT

ASSALAMUALAIKUM...


GENAP seminggu sudah, adinda Seri Kandi bergelar tunangan orang, jejaka dari Terengganu. Ikan di laut, asam di darat, dalam kuali bertemu juga. Seri Kandi pohonkan dari sahabat-sahabat agar dapat mendoakan supaya segala urusan kami dipermudahkan sehingga tiba hari pernikahannya nanti... Amin.. amin.. Ya Rabbal Alamin...

gubahan rindu puisi syahdu dari Seri Kandi, hiks

pelekat bertenun songket berserta sejadah

persediaan hari pernikahan

lemon cake in jar dikawankan dengan lolipop oreo coklat

puding kasih bertaut

fruit tart

nikmatilah buah-buahan tempatan :-))))))

solekan sentuhan Seri Kandi
bunga rampai ditabur-tabur
hati longlai jadi terhibur....

Friday, March 15, 2013

STRAWBERRY & PEACH GIANT CHEESE TART

ASSALAMUALAIKUM...



SERI KANDI ambil cuti tahun hari ini. Cuti-cuti pun tak bermakna boleh berehat. pagi-pagi lagi Seri Kandi dah keluar hantar Iman ke sekolah. Sebenarnya Iman tu adalah mengendeng tak mahu pergi sekolah hari ini tapi Seri Kandi tak bagi sebab semalam pun Iman tak pergi sekolah. Dengan Seri Kandi sendiri pun terpaksa ambil cuti kecemasan semalam. Sebab apa? Panjang ceritanya, nanti Seri Kandi cerita kemudian ya. Kena tenangkan kepala otak dulu, hehehehe.

Hari tu, Seri Kandi nampak Kak Nor yang suka cubit-cubit garam tu buat fruit tart. Adohai, jatuh hati Seri Kandi dibuatnya tengok fruit tart Kak Nor. Asyik terbayang-bayang ajekan, jadi sebelum Seri Kandi angau, Seri Kandi pun mengetartlah. Seri Kandi guna resepi biasa yang Seri Kandi gunakan dalam bisnes Seri Kandi (resepi tauke kak Azita Zain) dan sebab nak sangat tart sebesar Kak Nor punya (psssttt.. Kak Nor buat bentuk love), Seri Kandi pun sambarlah acuan pie masa pergi kedai bakeri tu hari. Rupanya guna acuan besar ni tak semudah yang selalu Seri Kandi buat tu... aishhh! Tak apa, belajar dari pengalaman. Nak buat punya pasal, kan.. bukan nak makan sangat pun.. hehehe. Nak bagi orang ni, agaknya siapaaaaaaaaaaalah yang bertuah tu ya??? Kuang.. kuang... kuanggggg!!

* Resepi boleh tengok DI SINI. Dengan sukatan tersebut, Seri Kandi boleh dapat dua giant tart berdiameter lebih kurang 18 cm.

p/s Seri Kandi banyak lagi kerja nak buat... jumpa lagi nanti ya,
      Wassalam :-)))))) (senyum itu sedekah)

Wednesday, March 13, 2013

LOLIPOP OREO CHOC DAN CERITANYA

ASSALAMUALAIKUM...



SEORANG teman Seri Kandi bertanya, orang tahu tak kalau Seri Kandi gantikan biskut oreo dalam lolipop oreo choc tu dengan biskut lain??? Errrr.. Seri Kandi tiba-tiba terkelu. Entah, tak pernah terfikir pulak nak gantikan oreo tu dengan oreo jadi-jadian. Dah namanya oreo, kan. Kalau ganti dengan biskut lain karang tak jadi pulak oreonya, hehehe. Seri Kandi tak nafikan bahawa biskut oreo yang original ni agak mahal. Tapi sebab dari mula Seri Kandi dah gunakan oreo Seri Kandi rasa macam susah nak terima biskut lain. Macam kita guna ubat gigi Colgate, kalau muncul ubat gigi lain yang murah pun kita tetap nak guna colgate jugakkan sebab kita nakkan kualitinya. Sabun cuci pinggan pun sama. Sejak kenal 'axion' tu, Seri Kandi memang susah nak tukar jenama lain. Pernah juga Seri Kandi beralih arah tapi akhirnya kembali berpaling jugak pada 'axion'.. eh! Dah melalut pulak.. hihihi.


Baru-baru ini, Seri Kandi dan ER adalah berjalan-jalan ke sebuah 'shopping complex' ni.., kitorang memang kerjanya mengukur jalanlah setiap hari Ahad sebab hantar Iman ke kelas tuisyen. Daripada buang minyak balik rumah di tempat jin bertendang tu, baiklah kita gi bakar kalori.. hehe. Lepas tu kami terjumpalah satu kedai jajan ni yang jual lolipop oreo ni dengan harga RM4 sebatang. Seri Kandi siap gosok mata sebab takut salah pandang tag harga. Betullah, dia tulis 'Oreo Lolipop RM4'. Waaaaa.. terkejut tauke tau, hiks.

ER pandang Seri Kandi... dah dapat jangka persoalannya. "Mestilah dia kena jual mahal. Dia nak bayar sewa lagi dah berapa.. bonda jual tak sewa kedai," jawab Seri Kandi... huhuhu.


Harga sebungkus biskut oreo nipun berbeza-beza. Seri Kandi pernah jumpa yang dijual RM3.70 sebungkus. Jadi, kita bersangka baiklah sahaja. Mungkin mereka guna coklat yang ada 40% koko, mahal tau coklat tu, sekilo pun dah berpuluh ringgit. Seri Kandi tetap setia dengan Berryls dan Le Bourne. Bagi Seri Kandi, coklat yang berkualiti adalah coklat yang bila Seri Kandi masuk ke dalam mulut, Seri Kandi tak rasa milu dan sakit gigi. Kalau gigi Seri Kandi sakit tu (gigi ke gusi yang sakit ek) maknanya coklat tu mempunyai kandungan gula yang lebih tinggi dari koko dan susu.


Lolipop Oreo dalam gambar ni merupakan tempahan dari rakan sekerja ER, Huda yang juga kawan Seri Kandi sempena sambutan hari lahir anak bujang tengahnya, Adry Afdlin Ariff (Seri Kandi syak Huda ni peminat Afdlin Shaukilah). Seri Kandi kenal Huda dah lama, orangnya muda lagi dari Seri Kandi. Masa Huda mengandungkan anak sulungnya, Seri Kandi pun sedang mengandungkan Iman. Siap berlawan perut siapa lagi besar, hiks. Rezeki Huda, kini sudah beranak tiga dengan kelahiran puteri tunggalnya, Amanda. Kepada Huda, Seri Kandi minta maaf jika ada kekurangan dan terima kasih atas puji-pujian Huda terhadap lolipop Seri Kandi. Kepada Adry, Selamat Hari Lahir, semoga panjang umur, dilimpahkan rezeki dan menjadi insan kebanggaan keluarga dan negara tercinta, Aminnnn.

Untuk cara-cara membuat Lolipop Oreo bolehlah tengok DI SINI.

Tuesday, March 12, 2013

SEHINGGA TERBAWA KE DALAM MIMPIKU...

ASSALAMUALAIKUM...

"ADA.. ada stok..." janji manis si penjual kereta ketika Seri Kandi dan ER datang bertanyakan tentang kereta idaman kami, yang insyaAllah akan menjadi kereta keluarga yang kedua setelah lebih sedekad berkongsi kereta. Memandangkan ER memang sudah lama merancang dan berfikir semasak-masaknya untuk mempunyai dua kereta memandang komitmen terhadap kerjayanya yang kian bertambah maka deposit terus dibayar supaya proses seterusnya boleh dijalankan. Tak banyak deposit yang dikeluarkan memandangkan ini cuma untuk mengesahkan tempahan supaya dapat membuat permohonan pinjaman di bank rimau pula.

Setelah semua proses selesai, pinjaman lulus (Yey!) dan sejumlah bayaran muka dijelaskan, masa inilah tetiba...

... kereta belum sampai... nanti minggu depan baru sampai...

telefon lagi..

.. kereta sudah ada.. tunggu dia sampai...

telefon lagi..

ohhh, itu kereta sudah ada.. tinggal kita nak urus dengan JPJ.. no plat pun dah ada..

semalam petang saya telefon lagi..

kakak.. itu kereta belum sampai.. minggu ini insyaAllah...

agagagaga....

Sehingga terbawa di dalam mimpiku...

Seri Kandi tak ingat bagaimana mimpi Seri Kandi bermula, tahu-tahu si penjual kereta muncul di depan pintu sambil memegang sekeping plat kereta bertulis JPE**** (Seri Kandi tak mahu taip nombor ni, takut ada yang pergi kedai 4D nanti.. hihihi)

"Kakak, itu kereta belum sampai, kakak ambil plat ini, kakak tampal dekat kereta lama kakak," Seri Kandi ambil plat itu dan tengok ke luar rumah. Seri Kandi tengok Mr Matrix Seri Kandi tak pakai nombor plat. Plat tadi Seri Kandi tampal di ruangan plat nombor Mr Matrix tu. Tapi... errrr... kenapa huruf E nya kecik????



OOOoolalala... sampai mimpi-mimpi Seri Kandi, aishhh!!

kalau jumpa haiwan ini di jalanraya.. tabik spring toing2! ya ;-))))

Monday, March 11, 2013

KARES NASI.. PETUA ELAK ANAK DEGIL

ASSALAMUALAIKUM...

DULUUUUU... Seri Kandi selalu kena jadi tukang kares nasi. Aiiii, balik-balik Seri Kandi yang kena jadi tukang kares.. "Sariiiiiiiiiiiiiiiiii, kares nasi?" "Sariiiiiiiiiiiiiiiii, dah kares nasi belum?" Sari! Sari! Sari! Hehehehe.. Kares nasi ni memang macam satu kewajiban dalam keluarga Seri Kandi. Sejak dah duduk sendiri, Seri Kandi tak lagi mengamalkan mengares nasi ni, malas! Huhuhu. Kalau nasi dah kering tu, Seri Kandi akan biar saja sampai waktu makan, Imanlah yang akan jadi tukang senduk nasi.

Baru-baru ni, masa membongkar khazanah di blog Auntie Marina Monroe, barulah Seri Kandi tahu rupanya kares nasi ni ada sebabnya. Laaa.. kenapalah arwah abah Seri Kandi tak pernah beritahu Seri Kandi atau Seri Kandi yang tak ambil tahu ya. Rasa macam menyesal pulak sebab sejak kahwin dah malas kares nasi ni. Patutlah Iman tu kadang-kadang degil sikit tak macam Seri Kandi ni. Nasib baik Seri Kandi terbaca entry INI dalam blog Auntie Nani.  Nasib baiklah Iman tu baru degil sikit, tanduknya pun tak berapa panjang lagi. Jadi, di sini Seri Kandi nak ajak kawan-kawan yang tak tahu pasal benda ni, marilah kita mengares nasi. Auntie Nani eja, karis nasi. Mungkin sebutan itu lain di setiap tempat tapi yang penting kita faham apa nak buat.

Di sini, Seri Kandi kongsikan ilmu kares nasi ni ya, kenapa dan mengapa ianya perlu kita buat.

S : Kenapa kena kares nasi ?

J : Supaya nasi tidak terbuku-buku dan berketul-ketul bila disenduk dan supaya tak ada kepala nasi

S : Kepala nasi ? Apa tu kepala nasi ?

J : Kepala nasi adalah lapisan pertama di atas nasi. Kepala nasi ini kalau diberi makan kepada anak-anak, nanti anak-anak akan menjadi degil, keras kepala dan melawan cakap ibu bapa. Sebab tu kita kena kares nasi supaya kepala nasi tu tak ada.

Wahhhhhh! Seri Kandi fikirlahkan, kepala nasi ni, kalau dimakan, bukan sahaja anak-anak menjadi degil, ngan bapaknya pun jadi degil. Mehlah kawan-kawan Seri Kandi, kita kares nasi lepas ni ya. Bagi yang dah amalkan tu, tahniah.. semoga terus istiqomah.

Wallahualam.

Ibu Seri Kandi pantang betul kalau air wap nasi ni dituang semula dalam periuk nasi

satu lagi pantang ibu Seri Kandi ialah menelungkupkan tudung periuk atas meja macam ni, seminggu berleter tak habis, hehe

Nasi yang belum berkares.. bahagian atas tu kepala nasi..

Kares dulu, lepas tu tutup semula periuk (tak perlu off periuk), nak makan nasi barulah dimatikan suis dan disenduk



Saturday, March 9, 2013

TMJ AKUR DAN HORMAT KEPUTUSAN FAM

ASSALAMUALAIKUM...

SEBAGAI anak jati Tanah Jauhar, sebak hati Seri Kandi apabila Encik Wartawan DiRaja, ER membacakan untuk Seri Kandi kenyataan akhbar tentang 'respons' Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim  tentang hukuman yang baginda terima berhubung dengan laporan media yang dibuat baginda pada 20 Februari lalu. Masa itu, ER di sebelah Seri Kandi yang sedang memandu kerana ER sedang menghubungi beberapa pihak berkenaan dengan kenyataan akhbar tersebut. Terserlah sifat rendah diri baginda yang ternyata akur dan menerima segala keputusan FAM dengan hati terbuka dan menganggap segalanya telah selesai berikutan hukuman yang diterima baginda... Alhamdulillah, Seri Kandi bangga dengan TMJ.


LAPORAN MEDIA BERKENAAN DENGAN TINDAKAN FAM TERHADAP PBNJ KETIKA PASUKAN JOHOR DARUL TAKZIM MENENTANG LIONS XII PADA 19.02.2013 DI STADIUM LARKIN JOHOR BAHRU

 

 
KEPADA SESIAPA YANG BERKENAAN

 

Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor, akur dengan segala keputusan dan tindakan undang-undang yang telah dibuat oleh FAM terhadap beliau. Tunku Ismail juga bertitah bahawa beliau menghormati atas keputusan yang dibuat oleh FAM berhubung dengan laporan media yang dibuat oleh beliau pada 20 Februari 2013 yang lalu, dan ianya dianggap telah selesai.

 
Tunku Ismail juga menasihatkan para penyokong Johor supaya sentiasa menjaga disiplin dan tatatertib, serta tidak terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang negatif. Tunku Ismail juga ingin mengingatkan bahawa Persatuan Bolasepak Negeri Johor adalah persatuan bolasepak yang paling professional dalam negara ini, dengan struktur serta pengurusan yang kuat dan tersusun. Tunku Ismail mahukan penyokong Johor mempunyai sikap berhemah, selain mempunyai semangat kesukanan yang tinggi, yang boleh menjadi kebanggan di kalangan penyokong bolasepak di seluruh negara. Selain itu, Tunku Ismail menyeru supaya rakyat Johor sentiasa bersatu dalam memberikan sokongan.

 
Tunku Ismail juga telah bertitah kepada para penyokong dan rakyat negeri Johor Darul Ta’zim supaya jangan bimbang di atas penggantungan yang beliau hadapi. “Saya masih bersama-sama awak sebagai Tunku Mahkota Johor dan saya akan sentiasa memastikan bahawa kita (Johor) akan menjadi satu pasukan yang kuat dan disegani di Negara ini”, tambah beliau lagi.



Wartawan DiRaja sedang sibuk.. segala panggilan akan dilayan sebentar lagi
 

 p/s Darah wartawan masih tebal lagi rupanya dalam diri Seri Kandi, hiks

p/s Bagi yang masih tertanya-tanya apa sebenarnya berlaku, boleh baca di SINI dan di SINI
 
p/s Wartawan DiRaja tu hanyalah usikan semata-mata kebanyakan kami kerana ER selalu duduk berhampiran TMJ semasa sidang akhbar, hehehe

Thursday, March 7, 2013

BLUEBERRY CHEESE TART... lagi dan lagi!

ASSALAMUALAIKUM...



ALHAMDULILLAH.. blueberry cheese tart Seri Kandi masih mendapat tempat di hati pelanggan Seri Kandi walaupun setahun lebihlah juga Seri Kandi berehat dalam bisnes ini. Seri Kandi ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang memberi sokongan di atas usaha yang Seri Kandi lakukan. Seri Kandi bersyukur di atas setiap pujian yang diberikan sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah SWT dan yang buruk itu dari Seri Kandi sendiri.





Salam Sayang selalu dari Seri Kandi Tanah Jauhar.

Untuk pertanyaan boleh hubungi Seri Kandi melalui facebook : Seri Kandi Tanah Jauhar

Monday, March 4, 2013

Tun Telani's 1st Giveaway - My Favourite Food


ASSALAMUALAIKUM...


SERI KANDI masih ingat, burger yang pertama Seri Kandi nikmati adalah ketika Seri Kandi sudah pun berada di sekolah menengah.. mungkin di Tingkatan Dua. Ya, masa itu adalah kali pertama Seri Kandi makan burger, bukan sebiji tapi 1/6. Sebiji burger dibelah enam dan dikongsi adik-beradik. Burger tersebut dibelanja oleh abang sepupu Seri Kandi yang datang menziarah ke rumah Seri Kandi. Nikmatnya burger yang sedikit itu masih Seri Kandi terkenang sehingga ke hari ini. Seri Kandi gigit sedikit-sedikit supaya lambat habis, sayang sungguhlaaaaaaa nak makan, hahaha.


Sejak itu, Seri Kandi dah mula jadi penggemar burger. Bukan sahaja Seri Kandi tetapi semua adik beradik dan ibu Seri Kandi pun suka makan burger tau. Biasanya kalau ibu Seri Kandi malas nak masak untuk makan malam, memang burgerlah yang akan jadi santapan kami. Sebab itulah adik beradik Seri Kandi semuanya bam-bam macam rupa burger tu jugak, huhuhu.


Kalau makan burger, Seri Kandi tak suka makan di kedai. Seri Kandi akan minta abang penjual burger tu tapaukan. Lagipun dulu-dulu jarang ada meja kerusi disediakan di gerai burger. Sekarang ni kebanyakan gerai burger dah mula menyediakan kerusi meja untuk pelanggannyakan. Tapi Seri kandi tetap juga nak tapau sebab Seri Kandi seganlah nak buka mulut besar-besar depan orang ramai-ramai. Depan ER tu tak apalah sebab dia kalau bukak mulut lagi besar dari Seri Kandi.... hihihi.


Selalu, Seri Kandi akan kelepetkan kertas pembalut burger tu ke kiri, ke kanan dan ke bawah sebab Seri Kandi tak mahulah jari jemari runcing Seri Kandi ni terkena sos dan mayonis burger tu. Lepas tu, dengan sopannya Seri Kandi akan buka mulut seluas keratan rentas burger tersebutlah. Kalau boleh gigitan yang pertama tu mesti ada roti, salad, tomato, sos, mayonis, cheese dan yang paling penting daging burger tulahkan. Seri Kandi pegang kuat-kuat bungkusan burger tu supaya tak terbarai. Kalau dah terbarai tak syoklahhhkan :D

Tapikan... ER tu suka mintak burger Seri Kandi tau... tak aci betullah!!!


Seri Kandi bagi ER gigit sekali jer, lepas tu Seri Kandi sambung makan lagi. Burger yang jadi pilihan Seri Kandi sekarang tentulah Burger Bakar No 1. Kiranya Seri Kandi memang pelanggan tetap BBN1 tau. Seri Kandi adalah jugak cuba burger bakar yang lain tapi tak se-umph! Burger Bakar No 1.. betulllll.. Seri Kandi tak tipu. Dan, Seri Kandi boleh makan burger dengan daging setebal 200 gm tu tanpa menjejaskan struktur burger tersebut. Terror tak?


ER tu suka kacau tau! Dahlah yang akhir ni paling nikmat... paling nikmat tau!! Tak boleh.. tak boleh.. tak boleh mintak... cepat-cepat Seri Kandi masukkan dalam mulut Seri Kandi, hihihi.


Burpppp! Alhamdulillah...

Eh! Lupa nak bagitahu.. sebenarnya entry Seri Kandi ini adalah bersempena GA yang dianjurkan adik manis Tun Telani. Cepat-cepat tau, tarikh tutupnya pada 17 Mac ini. Nak tahu lebih lanjut?? Mehlah klik gambar kat bawah ni... jom.. jom.. kita join ramai-ramai ;-))))))







Friday, March 1, 2013

SWANS CREAM PUFF... YANG TETIBA TERJADI!

ASSALAMUALAIKUM...


ADA yang bertanya Seri Kandi perbezaan antara kedua jenis cream puff yang Seri Kandi buat sebelum ini, entrynya Cream Puff Pilihan Kalbu. Seri Kandi ni bukanlah pakar sangat bab kuih-muih ni, Seri Kandi rasa lebih ramai yang pakar tapi kalau nak bagi pendapat dari pengalaman Seri Kandi yang sejengkal ni, bolehlah.. huhuhu hehehe.


Sebenarnya kedua-dua resepi cream puff tu sedap dan ada keistimewaannya yang tersendiri. Sepertimana yang Seri Kandi beritahu sebelum ini, puff yang kedua itu adalah dari resepi Japanese Cream Puff yang Seri Kandi ambil dari dapur Kak Ita Masam Manis (yang telah Seri Kandi derhakakan sebab tak tabur pai shuu crust-nya) manakala yang pertama itu adalah dari Dapur Tanpa Sempadan yang dimiliki oleh blogger masak terkemuka, Cik Mat Gebu (siapa lagi???). Perbezaan yang pertama adalah dari segi jumlah telur yang digunakan. Perbezaan yang kedua adalah struktur puff itu sendiri semasa dan selepas dibakar. Bagi yang belum pernah mencuba kedua-dua resepi ini, Seri Kandi nak maklumkan kalau anda inginkan puff yang masih terbentuk cantik selepas dibakar bolehlah gunakan resepi yang pertama. Adunan ini tidak begitu naik semasa dibakar dan ia akan mengekalkan bentuknya. Jarak setiap puff yang dipaip juga tidak perlu terlalu jauh kerana ia tidak akan mengembang dengan jayanya.


Bagi resepi yang kedua, awas.. jarakkan setiap puff anda semasa memicit di atas dulang pembakar kerana dia akan naik dengan begitu sihat walafiat ya. Seri Kandi yang baru mencuba resepi ini memang terkejut badak jugaklah apabila tengok di dalam oven semua puff Seri Kandi dah naik macam kuih pau, hahaha. Picitlah puff anda secomelnya di atas dulang pembakar dan jarakkan lebih kurang 2 1/2" hingga 3" setiap puff kalau anda tidak mahu puff anda menjadi kembar siam :p Oh! Ya.. kalau merujuk resepi asal puff perlu dibakar pada suhu 200 darjah selsius pada 20 minit pertama dengan api atas bawah, hidupkan kipas) dan 100 darjah selsius pada 20 minit terakhir dengan api bawah sahaja... tukan.. yang tu Seri Kandi tak ikut sebab semasa membakar dulang yang pertama tu apa yang terjadi apabila Seri Kandi turunkan suhu adalah puff-puff Seri Kandi terus melepek... huhuhu. Jadi, bab ini pandai-pandailah kita macam mana nak berkomunikasi dengan oven masing-masing.

Swans Cream Puff ini terjadi apabila anaknda Iman meminta Seri Kandi buatkan lagi cream puff untuk dia makan sambil tengok tv petang-petang hari minggu lepas. Oleh sebab Seri Kandi ada banyak stok kuning telur kerana aktiviti mem'pavlova' Seri Kandi tu, jadi Seri Kandi gunakan kelebihan yang ada untuk membuat krim kastard dan puff menggunakan resepi DTS yang menggunakan satu telur + satu kuning telur. Pada mulanya memanglah Seri Kandi tak ada niat pun untuk ambil gambar atau buat entry selain untuk di'ngap' sahaja, hehe. Tapi di akhir-akhir dulang tu, terlintas pulak di batu jemala Seri Kandi ni untuk mempraktikkan bentuk swans tu, hasilnya terjadilah dua ekor swan yang tak ada bijik mata.. kihkih. Malaslah Seri Kandi nak cairkan coklat untuk buatkan bijik mata dia.. dua ekor jerkan... huhu. Dan pada pendapat Seri Kandi resepi DTS ini memang sesuai untuk hasilkan swans yang berkepak cantik. Kalau resepi Japanese tu mungkin swans kita tak nampak urat-urat kepaknya tu sebab ia terlalu mengembang. Apapun, insyaAllah, nanti Seri Kandi tengok kalau resepi tu boleh dijadikan swans juga Seri Kandi akan buat entrynya nanti... mintak2 rajinlah.. hehe. Untuk resepi asal puff ini, bolehlah klik di blog DTS di SINI.

komen rakan fb yang mencuit hati Seri Kandi... hihi
(sila klik gambar untuk tumbesaran)
 

SAMBAL TEMPOYAK

Assalamualaikum... Nahhhh.. Sambal Tempoyak. Lepas ni tak perlu susah2 lagi nak menumbuk sambal. Sukacita dimaklumkan, tempah...