MESTI KLIK

MESIN TEKAN CRUST TART

MESIN TEKAN CRUST TART
PEMBERITAHUAN : Sebarang pertanyaan atau tempahan mesin tart dan sebagainya hendaklah diajukan melalui sms dan whatsapp sahaja ke talian 0127844524. Terima kasih.

Saturday, November 30, 2013

PENANGGAL... ANTARA TERPAKSA DAN DIPAKSA

ASSALAMUALAIKUM...


TWO thumbs up untuk pengarah Ellie Suriaty dan pelakon Ummi Nazeera. SK mengharapkan anugerah pengarah dan lakon layar terbaik bagi Anugerah Perfileman tahun depan akan menjadi milik Ellie dan pelakon wanita terbaik dalam genggaman Ummi. SK memang agak minat juga dengan lakonan Ellie terutama sejak beliau berlakon dalam filem The Spinning Gasing. Sejak tu SK memang selalu mengikuti cerita-cerita lakonan Ellie cuma kadang-kadang Ellie ni over acting jugaklahkan, hihi terutama bab mimik muka tu. Ellie sanggup jadi hodoh untuk menampakkan sisi lakonan yang mantap dan tak kurang juga Ellie ni kelakar juga macam lakonan dia sebagai orang gaji pah Bedah tu, hahaha.

 
Sebagai seorang peminat cerita-cerita mistik, thriller dan seram tak kiralah sama ada dari layar lebar atau kaca tv atau media cetak bila SK tahu yang Elly nak mengarah filem Penanggal ni memang SK tak sabar sangat menunggu filem ini ditayangkan. Oh, ya.. walaupun sangat meminati cerita-cerita seram tapi SK  bukanlah sentiasa  beli tiket wayang untuk cerita macam ni. Selalunya SK tengok dulu siapa pengarah dan penerbitnya. Kalau yang tajuknya dah sah-sah mengarut tu memang kirim salamlah tak kuasa SK nak membazir RM10 RM20 untuk cerita-cerita yang merepek. Kalau dah keluar dvd nya pun kalau masih nampak menarik tu SK belilah jugak sekadar layan sambil lipat kain, bolehlahhh.. huhu.
 

Sebenarnya mitos mengenai kewujudan penanggal ni memang sinonim dengan negara di Nusantara nikan cuma penanggal ni adalah panggilan popular di Tanah Melayu. Zaman berlalu cerita tentangnya tidak pernah lekang. Kalau di Thailand ia dipanggil Krasue, Phi-kasu (Kemboja), Nukekubi (Jepun), Leyak (Bali), Kuyang (Kalimantan), Palasik (orang Minangkabau) dan tidak terkecuali popular di Sabah dengan gelaran Balan-Balan.


Kita semua dah tahu penanggal ni adalah sejenis hantu yang berkebolehan menanggalkan kepalanya dari badan dan kepala ini akan mencari mangsa yang merupakan wanita yang baru bersalin. Cuma yang SK agak musykil di sini (dalam filem Penanggal) kenapalah bayi tupun jadi mangsa sekali. SK agak kurang jelas di situ sebab setahu SK cuma darah dan uri ibu yang baru bersalin tu sahaja yang diidamkan penanggal tu. Ada sesiapa boleh jelaskan tak?


Dalam filem penanggal ni barulah SK tahu bahawa penanggal ni boleh dikenali dengan melihat tanda kalungan darah di keliling lehernya. Yang terpaksa dan dipaksa menjadi penanggal ni adalah pelakon berwajah klasik, Ummi Nazeera (Murni) yang terpaksa mewarisi ilmu penanggal ni dari Mak Ajeng atau dipanggil Nyai oleh Murni yang memelihara Murni sejak dia kematian ayah dan ibunya semasa kecil. Watak Mak Ajeng ni dibawakan oleh Normah Damanhuri yang pada pendapat SK lebih sesuai dibawakan oleh Datin Paduka Umie Aida. Ialah, kan salah satu ilmu penanggal tu kononnya untuk sentiasa cantik dan muda, tapi Normah Damanhuri tu dah agak tak sesuailah rasanya.. itu pendapat SK, harap jangan ada yang tersinggung ya.


Lebih menarik apabila filem ini menampilkan kisah di tiga tempat atau kawasan yang berlainan iaitu di kampung asal Murni dipelihara oleh Mak Ajeng dan dia kemudiannya berpindah ke tempat lain setelah Mak Ajeng mati dan dihalau oleh penduduk kampung yang anti dengan Mak Ajeng ni. Kiranya masa tu orang kampung dah tahulah yang mak Ajeng tu penanggal tapi yang untungnya Mak Ajeng ni sampai dah tua dan dapat waris barulah di serang orang kampung. Sebaliknya Murni... heeehe.. nanti tengok sendirilah. Satu tempat lagi adalah di pekan  di mana ada satu keluarga saudagar arab yang dilakonkan oleh Syarifah Aini dan tiga anak bujangnya.


Anak sulung kepada keluarga arab ini adalah Azri Iskandar yang membawakan watak Syed Yusof yang akhirnya terperangkap dalam kawasan penanggal ni. Bagaimana dia boleh terperangkap, kenalah tonton sendiri cerita ini. Yang pasti penceritaannya adalah sangat jelas dan mudah difahami. Tidak seperti filem lain yang sentiasa dikejutkan dengan bunyi-bunyi jeritan yang entah apa-apa, filem ini tidak banyak babak yang mengejutkan tetapi ada satu babak yang betul-betul buat SK terkejut. Bukan SK jer tau, satu panggung menjerit, hadoihaiii... kussss semangat, hahaha.


Filem penanggal bukanlah satu filem yang klise. Tidak mengenepikan elemen hiburan ia menggabungkan mitos hantu, cinta, kemanusiaan serta kepercayaan terhadap agama dalam menentang gangguan iblis dan syaitan. Akhir kalam, tahniah buat semua pelakon dalam filem ini terutama Ummi Nazeera yang telah membuat SK ternganga dengan kemampuannya membawakan watak penanggal dengan begitu baik sekali. Boleh dikatakan Ummi mencurahkan seluruh tenaga untuk filem ini. Sanggup bermandi lumpur, berlari di hutan yang gelap dan rebah di atas tanah yang penuh dengan daun-daun kering dan akar-akar pokok yang berselirat. Wajah klasik Ummi memang cukup kena dengan wataknya sebagai penanggal berlatar zaman 30-an. Tahniah dan selamat meneruskan pelajaran Ummi di Melbourne, Australia.

Apakah yang terjadi dengan Murni atau Penanggal di akhir cerita ini? Jom tengok sendiri, okeyyyyy!!!

Friday, November 29, 2013

MAKAN-MAKAN LAGI... YIK MUN TANJUNG MALIM .. YAKIN HALAL!

ASSALAMUALAIKUM...

CERITA dari utara tak habis lagi ni... jangan marah ek... hihi.. Semasa dalam  perjalanan melalui lebuhraya utara selatan tu, sedang SK melawan ngantuk yang terlampau, tetiba terdengar suara sayup-sayup...

"Cuba cari dekat Tanjung Malim tempat makan apa yang best.."

"Hah??!" Mamai.. hehe

"Lapar ke?"

"Sajalah tengok-tengok apa yang sedap kat situ, jom!" Ajak ER lagi.

Menjunjung titah perintah, SK teruslah menggoogle makanan istimewa Tanjung Malim yang membawa SK terus ke SINI.

... Apa yang istimewa dengan pau ini?untuk mendapatkan penjelasan saya dan rakan rakan telah pergi ke kedai pau ini dan mendapati kedai pau ini adalah kedai halal yang mempunyai ramai pelanggan melayu. Ia terkenal kerana cara pembuatannya selain itu ia mempunyai pelbagai perasa antaranya ialah Pau Ayam, Pau Daging, Pau Kaya dan Pau Kacang . Harga pau ini juga amat berpatutan dengan bentuknya yang besar. Jadi datanglah ke Tanjung Malim untuk menikmati Pau di Yik Mun.

SK terus membaca kajian yang SK jumpa tu kuat-kuat.

"Menarik tu.. cuba cari dalam GPS," Amboi... senyum sampai telinga pakcik ni... Mendengar kedai halal yang mempunyai ramai pelanggan melayu membuatkan kami yakin untuk mencuba sendiri keenakan makanan di Pau Yik Mun ni.


SK terlupa ambil gambar hadapan kedai sebab SK parking kat belakang.. jadi ini gambar dari Mr Google ya..
Akhirnya dengan bantuan Encik GPS sampailah kami ke restauran Pau Yik Mun yang telah mula beroperasi sejak tahun 1926 dan sekarang ini telah diwarisi oleh generasi yang ketiga tau. Phewwwwwwww... Penuh! Ada yang berdiri menunggu meja kosong. Rata-rata mereka yang datang dan makan di sini adalah orang Melayu dan pelayan serta juruwang juga melayu (bukan warga asing)membuatkan SK dan ER merasa lebih yakin untuk makan di sini. Tak lama menunggu kerana kebanyakan yang datang ke sini memahami untuk memberi laluan kepada pelanggan lain. Layanan cepat dan pantas juga salah satu faktor tidak perlu lama menunggu meja. Makanannya juga adalah antara yang terbaik pernah SK rasa sepanjang program JJCM kami sekeluarga.


Sorang sebijik tak boleh lebih... mahal nih!! Hahaha

Pau Daging sebiji RM2
puas hati intinya penuh!!
Halal JAKIM

Menu lain

Yee Mee... dalam menu tadi takde kan...
Sk nampak pelayan bawa mee ni hantar pada pelanggan lain
terus SK panggil
"Errrrr.. kak, saya nak order mee macam akak bawa tadi..." :-))))))
Mee (Bihun) Hainan... tetiba jer ada selai mee kuning dalam tu..

Bukti sedap!!
Ngeeeeeeeeeee
Tapikan..... huhuhu... bila dah balik ke Johor tetiba sahaja SK telah membaca status bahawa status HALAL Pau Yik Mun dan restorannya ini telah ditarik balik. Rasa macam berpusing-pusing sekejap kepala otak SK ni, maklumlah... kita baru lepas makan tetiba jer disebarkan dengan benda yang negatif macam ni. SK tak mahu tampal 'print screen' status tu di sini ya. Mungkin ada yang dah terbaca tentang penyebaran berita pelesu tersebut. Alhamdulillah, ada kawan SK yang baik hati telah menghantar 'private message' kepada SK tentang status Pau Yik Mun ni. Lega SK tau. Maceh ya anak Makcik Sa'diah :-)))))

Satu laporan polis telah dibuat oleh pemilik restoran
Sijil Pengesahan Halal

Thursday, November 28, 2013

SEMUR DAGING PONTIANAK

ASSALAMUALAIKUM...


SK terus menggoogle resepi Semur Daging bila seorang kawan menghantar status di muka buku terbau masakan semur di malam hari. Phewwwwwwww!! Dahlah malam-malam, google-google terjumpa resepi Semur Daging Pontianak kat blog Che Mat Gebu.. hahaha.... serammmm. Lepas tu barulah SK teringat myChef ada keluarkan satu produk Semur Daging Betawi.. baca SINI. Jadinya janganlah salah faham. Pontianak dalam tajuk resepi tu bukanlah pontianak yang gitew-gitew tu tapi merujuk satu tempat di Kalimantan Indonesia iaitu Pontianak, Kalimantan... bukan daging pontianak tau.. gilerlah siapa nak makan daging pontianak, jumpa pun tak mahu woooo.. hahaha.

Resepi ini menurut Che Mat Gebu adalah merupakan resepi dari Chef Wan (Datuk) dalam buku resepinya. Jadi, hari ini SK nak kongsikan pulak resepi Semur Daging yang sangat sedap di tekak SK ni di sini. SK ada ubah-ubah sikitlah resepinya mengikut cara SK memasak di rumah.. derhaka sangat tu taklah, adalah sikit-sikit.... ampunnnn. Okey, jadi di sini SK taipkan resepi mengikut cara SK. Bagi sesiapa yang nak tengok resepi asal bolehlah singgah ke Dapur Tanpa Sempadan milik Che Mat Gebu ya. Terima kasih Che Mat!!!

Resepi Semur Daging Pontianak
Resepi Asal : Datuk Chef Wan
Sumber : Che Mat Gebu

Bahan-bahan :

Bahan A :

2 camca teh ketumbar biji
1 camca teh jintan manis (jintan kasar)
1 camca teh jintan putih (jintan halus)
1/2 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
10 biji lada hitam
1.5 cm kulit kayu manis
3 biji buah keras
Semua bahan ini disangrai (goreng tanpa minyak) dan dikisar halus. SK tumbuk lumat-lumat. rajin tak SK??? Raaaaaajiiiinnnn....!!!

Bahan B :

500 gram daging batang pinang (lebi sedap guna daging segar) hiris, cuci dan toskan*
1 camca besar kicap manis*
1/4 cawan perahan jus limau nipis*(*digaul rata dan perap 30 minit)
1/4 cawan minyak masak
5 biji bawang merah, hiris
3 ulas bawang putih, hiris
2 biji tomato, didadu
5 camca besar kicap manis
3 biji kentang (potong bulat dan goreng empuk/ garing sedikit)
5 biji cili padi (hiris serong)
1 labu bawang besar (potong bulat)

Cara-caranya :
  1. Panaskan minyak masak, tumiskan bawang merah dan bawang putih hingga wangi.
  2. Masukkan bahan yang ditumbuk lumat tadi, tumis lagi hingga naik bau dengan api kecil.
  3. Kemudian masukkan daging yang telah diperap tadi. Gaul rata. Besarkan sedikit api.
  4. Kemudian masukkan kicap manis, tomato dan cili padi dan bawang besar yang dipotong bulat. Gaul rata. Masak sehingga daging empuk.
  5. Akhir sekali masukkan kentang yang digoreng tadi. Gaul sekejap, matikan api dan bolehlah dihidangkan dengan nasi putih.
Nyummy tau!!!

PERUT DIKEMUDIANKAN.. SEDAP DIUTAMAKAN... AMEKAW!

ASSALAMUALAIKUM...


ADAKAH sesiapa di sini yang gilakan sambal macam SK?
Tak silap SK pernah cerita di sini tentang betapa kuatnya SK ni makan sambal,
dua kali lima dengan ER, hehehehehe.
Mujurrrrrrrrrrr tak banjir masa majlis kahwin 13 tahun dulu, kan.. :-))))


Orang kata, jangan makan sambal banyak, nanti sakit perut.
Iye... betullah tu, kalau orang dah cakap, cuba dengar.
Ini tidak, degil.
Katanya.. sakit perut biar kemudian, yang penting layan tekak dulu.. huhu.
Laaa ni, SK tengah sakit perut gara-gara menikmati sambal yang terlampau semalam.
Lain kali sendiri mahu ingatlah SK :-(((
 

Sebenarnya, sejak pagi SK tertanya-tanya.
Apa agaknya yang dimakan sampai sakit perut?
Yang peliknya cuma SK seorang yang sakit, orang lain rilek aje.
Lepas tu bila SK belek gambar-gambar sambal ni (kebetulan semalam Iman rajin pulak ambil gambar) barulah SK ingat puncanya kenapa boleh sakit perut.
Agak-agak SK insaf ke?
Errrr... mungkin tidak kot.
Makan tanpa sambal ibarat lagu yang tidak berirama tau, agagaga...
 
Lokasi : Restoran Nasi Padang, Jalan Padi Emas 3/1, Bandar Baru Uda
 

Wednesday, November 27, 2013

BELASUNGKAWA HAJI MAHMOOD MOHD YASSIN

ASSALAMUALAIKUM...


SEORANG demi seorang pergi meninggalkan dunia yang fana ini. Kelmarin, bapa saudara SK, Haji Mahmood Bin Mohd Yassin yang SK panggil Pak Itam telah kembali ke rahmatullah pada jam 3.05 petang dan selamat dikebumikan jam 8.00 malam di bumi Melaka. Kenapa bukan di Tanah Jauhar? Kerana bapa saudara SK ini tinggal bersama seorang lagi bapa saudara SK yang telah bermastautin di Melaka (kerana tugas.. sekarang dah pencen). SK pernah mendengar orang berkata, kita akan kembali (atau dikebumikan) di tanah di mana kita dijadikan, bukankah manusia itu dijadikan dari segumpal tanah... Wallahu'alam.

Tidak seperti bapa dan ibu saudara SK yang lain yang memanggil SK dengan nama Sari, Pak Itam satu-satunya bapa saudara yang memanggil SK, Sarima. Di antara adik-beradik, Pak Itam bertubuh agak kecil dan tetap 'slim'. Itam itu merujuk kepada giliran kelahiran dalam adik beradik arwah bapa SK (Pak Ngah). SK masih ingat dulu pernah SK muntah terbelahak dalam kereta Pak Itam (masa kecik-kecik) sebab SK dulu amatlah 'allergic' bila menaiki benda yang bergerak :p Tak sangka pulak kini SK mampu memandu beratus-ratus kilometer sendiri dan tidak lagi mabuk-mabuk macam dulu. Setiap kali berjalan, mesti kena paksa telan pil dulu, lepas tu rasanya macam susah betul nak telan pil tu, tersekat dekat kerongkong, sampai batuk terbelahak nak makan ubat, urmmm...

Apapun semua itu tetap terpahat dalam memori SK. SK memang tidak berapa rapat dengan bapa-bapa atau mak-mak saudara. SK ni sebenarnya agak pendiam juga. Tak pandai nak berbual sangat dengan pakcik-pakcik dan makcik-makcik ni. Mungkin salah satu faktornya adalah jarak umur yang terlalu jauh dan SK rasa macam mereka ni agak garang. Garang ke?? Huhuhu... Yang pasti kalau dengar jer bapa saudara bercakap, jantung rasa macam nak terbelah. Bukan macam budak-budak sekarang. Bukan main lagi hu ha hu ha dengan mak saudara. Boleh main tepuk tampar lagi. Kami dulu jangan haraplah.. huhuhu.

Al-Fatihah untuk Allahyarham Mahmood Bin Mohd Yassin, semoga diampunkan segala dosa-dosanya dan diterima segala amalannya. Terima kasih Pak Itam atas segalanya.


Arwah Pak Itam semasa dirawat di Hospital Pakar Perdana Kelantan sebelum dipindahkan ke Kuala Lumpur dan kemudian dipindahkan pula ke Hospital di Melaka

Monday, November 25, 2013

MENJEJAK KOTA JOHOR LAMA... JOHOR NEGERIKU

ASSALAMUALAIKUM...

BIAR apapun persepsi tentang orang Johor yang dicetuskan oleh mereka yang iri hati, namun SK tetap berbangga sebagai warga Johor yang lahir di Tanah Jauhar. Perkataan Jauhar adalah gelaran oleh pedagang Arab yang berdagang menjalankan perniagaan rempahnya di sini ratusan tahun dulu. Jauhar bermaksud, Permata Berharga. Orang-orang Siam pula menyebut Johor sebagai Gangganu yang bermaksud Batu Permata. Orang Johor lain tentu juga berbangga kan..


Negerinya Besar Di Suatu Masa
Barat Timur Selatan Ke Utara
Pusat Pemerintah Di Johor Lama
Dikenali Juga Kota Diraja

Pemerintah Dan Rakyat Negeri
Serangan Musuh Terus Ditangkisi
Berbagai Cabaran Sama Menangani
Bangun Jatuh Berdiri Kembali

Bacalah Sejarah Negeri Johor
Negeri Terbilang Serta Termasyhur
Dalami Sejarah Kenali Bangsa
Barulah Kita Dapat Berbangga

Sejak Dahulu Sehingga Kini
Berbagai Perubahan Dilalui
Lapan Daerah Berkembang Maju
Pesat Membangun Johor Negeriku
 

 
 
 

Saturday, November 23, 2013

CUTI MINGGUAN JOHOR MULAI 2014 ADALAH JUMAAT DAN SABTU

ASSALAMUALAIKUM...


AKHIRNYA segala persoalan telah terjawab. Mulai 1 Januari 2014, cuti mingguan bagi seluruh negeri Johor adalah pada hari Jumaat dan Sabtu, sebagaimana yang diumumkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar hari ini. (Boleh baca di fb Kesultanan Johor). Maknanya warga Johor akan mula bercuti mingguan pada Jumaat 3 Januari 2014. Yang paling gembira nampaknya adalah anaknda SK, Iman kerana katanya tidak perlu lagi duduk berejam-rejam menunggu masuk waktu sekolah agama pada hari Jumaat seperti sebelum ini. Bayangkan, Iman balik sekolah kebangsaan jam 11.50 pagi dan perlu menunggu sesi sekolah agama jam 3.45 petang, memang lemau sebab Iman akan transit terus dari sekolah kebangsaan ke sekolah agama... Alhamdulillah, ada hikmahnya.

Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!


Sumber Sahih DI SINI!!

Friday, November 22, 2013

CHEESE OH CHEESE!!

ASSALAMUALAIKUM...

CHEESE habis berkilo-kilo di dapur SK. SK pun dah tak tertimbang dan tersukat lagi. Ramai benar yang sukakan rasa 'Snow Cheese Cake' lebih-lebih lagi versi meleleh tu. Ramai yang mengulang order, tak puas makan kata mereka. SK suka.. suka sangat. Terima kasih kepada semua yang sudi menempah dengan SK. SK merasa amat dihargai... muahhhhhhhhh!!

Oh, ya! Sebelum terlupa hari ini adalah hari cuti bagi warga Johor sempena Hari Keputeraan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang ke 55. Seronoklahkan sebab menyambung cuti sampai hujung minggu. Tapi SK agak kurang seronok sebab esok, Sabtu SK terpaksa bertugas bagi sesi pengambilan pelajar baru... aduh dududu... mencik! Tapi tak apa, sebab boleh ambil cuti ganti. Kalau nak tahu, cuti tahunan SK sekarang adalah 'zero' adeh. Ini akibat terlalu banyak ambil cutilah ni. ER lah punya pasal ni.. dush!

Okey, mehlah cuci mata dengan gambar-gambar yang ada dalam kamera cabuk SK ni ya. Nak kasi clear sebab ada banyak lagi tempat nak pergi dan banyak lagi gambar nak ambil. Nanti memori card penuh, dah satu hal pulak nak buang satu-satu. Jadi... jom layan jerlah gambarnya ya..



Tempahan Cheese Tart dari rakan sekerja SK untuk guru-guru anaknya sempena hari akhir persekolahan. SK suka kotak tu, warna gold cantik dan nampak mewah apatah lagi selepas diisi dengan cheese tart munge-munge Sk, hiks.


Snow Cheese Cake.. ini adalah antara tempahan yang paling banyak SK terima. Sampai melekat resepinya dalam kepala otak SK ni tau. Kek yang meletops-letops tahun 2013 ni padahal kek ini sebenarnya dah lama di MyResepi dan SK pulak baru terhegeh-hegeh nak membuatnya. Ramai yang ulang order sebab tak puas makan. Memang bila menyupa kek ni tak sedar diri, tahu-tahu dah habis.. hehehe. Banyak betul gambar kek ni dalam folder SK tapi faham-fahamlah, ambil gambar asal boleh jadi gambar tak berapa nak cun. Kita layan gambar yang cun saja tau.


Yang ini versi meleleh-leleh. Ramai yang sukakan versi meleleh ni. Anda belum cuba lagi?? Haruslahhhh cuba tau. Kalau tak tempah dengan SK pun, SK percaya ramai sangat pengusaha kek salju meleleh ni berhampiran tempat tinggal anda. Ada yang takut makan sebab takut gemuk??? Alaaaa.. lupakan pasal gemuk yang penting hati mahu gembira, betul tak???

Betullllllllllllllllllllll.

p/s : Padahal SK pun takut jugak gemuk... hehehehehe..
p/s : Memang dah gemuk punnnnn... kui kui


Thursday, November 21, 2013

MEE KETAM MAK JAH PULAK... SEDAP RUPA DARI RASA

ASSALAMUALAIKUM...

SK suka background ni
"UDANG tak ada..," Hah??! Terkejut beruk SK bila dengar udang tak ada di Gerai Mee Udang Mak Jah, Kuala Sepetang, Taiping. Patutlah tadi SK nampak banyak kedai mee udang yang tutup, rupa-rupanya tauke udang tidak menghantar stok udang ke gerai-gerai. Punah ranahlah hasrat nak makan mee udang hari tu. Mujur tak kempunan telur tembakul.

"Laaa.., habis tu macammana?" tanya ER pada adik yang mengambil pesanan.

"Boleh pilihlah, nak sotong atau ketam."

"Ooooo...," kami mengangguk-ngangguk sambil membelek buku menu.

Selepas memilih menu, SK memerhati keadaan sekeliling. Duluuuu.. SK pernah datang makan di SINI sekali. Lepas tu setiap kali datang Kuala Sepetang, mesti gerai Mak Jah tutup. Gerai Mak Jah nampaknya semakin maju. Pekerja semakin ramai dan ada uniform sendiri. Semua pinggan dan sisa makanan diangkat menggunakan troli. Ada pula gerai menjual sotong goreng tepung dan cucur udang. Mak Jah turut menambah bangunan gerai bagi memuatkan pengunjung yang semakin ramai.

Nasi Goreng Kampung Tawa Hebe..
pedas tak
masin tak
manis tak
tak ada rasa
selain rasa nasi
Tapi sayangnya, Nasi Goreng Kampung yang Iman mintak, langsung tidak berasa apa. Mee Ketam sekadar bolehlah.. Mee Sotong pun tidak berapa rasanya. Kalau perut lapar sangat mungkin boleh habis kot. Patutlah kebelakangan ni SK pernah terbaca beberapa komen menyatakan masakan Mak Jah tidak lagi sesedap dulu. Kenapa ya? Adakah kerana orang terlalu ramai maka tidak dapat mengawal kualiti. Sedihlah, kalau bayar mahal tapi makan macam gerai di kampung-kampung. Gerai di kampung pun masakannya jauh lebih sedap macam Mee Pak Cik Pendek Kampung Pasir tu tau. Dahlah kami datang jauh-jauh... sedihlah Mak Jahhhh... lain kali masak sedap-sedap sikit ya, Mak Jah.

ni mesti ketam yang tak sempat ngajar anaknya berjalan...

sotong dimasak terlalu lama

cucur udang cicah dengan kuah kacang.. ini sedap!

sotong tepung
errr... tak tahu minyak dah ulang guna berapa kali

NIKON N1

ASSALAMUALAIKUM...

'Kehadapan Kak AzieAzah yang sukakan warna ungu....'

GAMBAR makanan SK semalam cantikkan??? SK ambil sendiri gambar tu pinjam kamera adik SK, Nikon N1. Pink kaler lagi. Dia nak jual dengan SK... perlukah SK beli??? Urmmmmm....

gambar ambil tahun dua ribu doblas

Wednesday, November 20, 2013

MAKAN-MAKAN LAGI... TELUK BAHANG PULAK!

ASSALAMUALAIKUM...


ERRRR... belum habis cerita dari Penang lagi ke SK?? Hiks.. belumlah.. panjang ceritanya. Almaklumlah.. tiga hari dua malam punya cerita. Cuba kira kalau satu hari enam kali makan, kalau tiga hari? Kalau dua malam? Agagaga!!

Malam pertama di Batu Feringgi, ER mengajak kami makan 'seafood' di Teluk Bahang. Lalu meng'gps' lah macam biasa mencari lokasi. Tapi bila tiba di lokasi, alamak... macam tak percaya aje nak makan. Isk, cari lainlah. Jumpa tempat lain pun sama, sampai SK macam nak buat keputusan, makan tosei jer malam tu. Tapi ER kata, takpe, kita jalan lagi sampai depan. ER ni jenis macam kalau dia kata nak makan satu benda tu, memang tu jugaklah yang dia nak. Rela memandu berbatu-batu pun asalkan dapat makan benda yang dia hendak.. kadang geram tau.

Berkat kegigihan ER dan kesabaran SK, akhirnya dapatlah makan 'seafood' di Teluk Bahang :-))))))
Maka hati pun menjadi gembira dan riang. Kalau hati gembira dan riang makannya banyak ke sedikit kawan-kawan??? Baaaaaaaaanyakkkkkkkkkkkkkk!! Pandaiiiiiiiii :p

Hong Kong maliiiii...
Awas! Ini adegan semasa lapar

Burpppp!
Kesian ikan ni kena belasah..
tinggal tulang tak sampai sejengkal.. kekeke
Udang Butter Telur Masin.. makan tak toleh kiri kanan tau!
makan sayur jangan dilupa

sotong goreng tepung wajiblahhhh diratah-ratah

amboi.. amboi... sampai terjelir lidah tu Iman??
Sedap beno ke??
lap mulut lepas makan... hehehe
Alhamdulillah... syukurrrr nikmat

Lokasi Tidak Ditaja: Taitong Seafood Restaurant, Teluk Bahang











Tuesday, November 19, 2013

VILLA NABILA YANG TAK BERDOSA

ASSALAMUALAIKUM...

SESAK tak bergerak... selalunya kalau cuti-cuti sekolah macam ni, lebih-lebih lagi cuti baru bermula, jalan agak lapang dan lengang. Masa inilah ramai ibu bapa yang mengambil kesempatan untuk mengambil cuti hujung tahun dan membawa anak-anak melencong melancong. Tapi, sebaik sahaja melepasi jejambat Taman Ungku Tun Aminah memasuki Jalan Skudai, kereta mula terhenggut-henggut. Lutut lenguh kaki letih kerana asyik mengawal 'clutch' 'brake' dan minyak. Ya, SK masih lagi memandu kereta manual di saat kebanyakan orang lebih selesa menggunakan gear auto.

"Ish! Apa yang jem ni?" Mata SK ni bukannya boleh bertahan dengan 'traffic jammed' mulalah dia mengantuk. Lagu-lagu tangkap lentok pun tak berkumandang pagi-pagi ni. Kalau tak masihlah mampu memandu sambil ber'karok' katanya.. kekekeke. Sebaik melepasi Bandar Baru Uda, SK jadi makin pelik. Ada orang langgar ***tut kot... selalu memang macam tu, asal ada sebiji dua kereta bercium alamatnya berejamlah tersangkut dekat jalan. Tapi SK jadi dua kali pelik sebab jalan sesak menuju ke Pantai Lido, jalan yang hari-hari SK lalu untuk pergi kerja (balik lalu jalan lain). SK terus bagi isyarat ke kiri dan masuk ke Jalan Tasek. Tapi dalam kepala masih berfikir-fikir sebab jarang sekali jalan Pantai Lido yang besarnya lima enam lorong tu boleh sesak macm tu sekali.

google image...
sebagai seorang yang dah biasa dengan tempat ni SK nak bagitahu
 ini adalah pemandangan villa dari jalanraya atau Pantai Lido.

Sampai pejabat, SK baca status facebook Kak Zana Fahmi (Kak PB Pondok Buruk, Sabah) pasal Villa Nabila. Mula-mula tu SK pelik jugak. Dah lama kisah pasal villa tu senyap kat fesbuk, kenapa tetiba timbul balik. Mesti ada yang nak cari publisiti murahan lah ni. Al-kisah rupanya tersebutlah kisah, tak tahu betul atau olok-olok, 23 remaja dikatakan hilang di dalam villa tersebut kerana nak buat pesta di situ. Sebenarnya yang SK tak percaya bukan pasal remaja yang dikatakan hilang tu. Sebab memang ramai yang suka mencabar penunggu villa yang terletak berhadapan dengan Pantai Lido ni cuma belum ada kes yang betul-betul hilang. Yang jatuh sakit, dari cerita-cerita orang termasuk ibu SK memang ada. Yang SK menyampah dan meluat apabila beberapa versi bagaimana boleh menyebabkan hantu beranak-pinak di villa itu.

Dan disebabkan oleh kononnya 23 budak yang tak cukup ilmu di dada tu mengganggu ketenangan penghuni 'gelap' villa atas bukit tu, bukan sahaja satu jalan Pantai Lido tu kecoh, tapi kecoh satu Malaysia dan rupanya sampai disenaraikan antara lima tempat paling berhantu di dunia. Astaghfirullahalazimmm.. SK kan, lahir di Johor Bahru dan dibesarkan di bandaraya ini sehingga darjah dua sebelum berhijrah ke Pontian sehingga masuk Tingkatan Dua, SK menetap semula di JB. Selama SK membesar dan dewasa di sini sampai dah beranak pun, bukan sekali dua SK lalu depan Pantai Lido sekaligus melintasi villa ini kerana di sinilah laluan utama kalau nak ke pusat bandar dengan menaiki bas berhenti-henti. Waktu kecil dulu, di Pantai Lidolah nilah tempat kami bermandi manda dan berhampiran villa inilah kami membilas badan di sebuah mata air. Ialah, masa tu kecik-kecik lagi, siapalah nak heran budak kecik mandi tepi jalan oiii.. hahaha. Selalu SK ikut ibu dan Makcik Milah (kini arwah) menggali pasir mencari kepah lebihnya main lumpur jer lebih.

Jadi, bila timbul macam-macam versi cerita di villa ini, apa tak hangin SK dibuatnya. Amboiiii, masing-masing nak jadi wartawan tak bertauliah. Semua nak tunjuk pandai. Ada pulak tu yang sesuka hati mak tiri dia aje pergi salin dan tampal status orang lain dekat dinding muka buku sendiri sudahnya sendiri yang menggigil kepala lutut apa tidaknya, siap membabitkan nama Sultan sekali dalam status tu. Yang SK pelik, masa salin tu tak baca ke??? Ni namanya, kata ibu SK, makan tu bukan jadi otak tapi jadi ta**. @#$%^!! Eh.. eh.. aduh.. aduh.. aduh.. makin sakit pulak hati ni, darah boleh naik ni..

Dan.. dan... hari ni pulak ramai yang dah tahu cerita sebenarnya, kan. SK tak nak tulis dekat sini sebab ramai yang dah tulis. Yang SK tuliskan tadi adalah sekadar luahan perasaan SK sebagai orang Tanah Jauhar khasnya tinggal di Johor Bahru. Villa tu tidak akan mampu kita pindahkan walaupun sekadar ke seberang lautan yang hanya beberapa depa di depan. SK juga pernah diberitahu bukan tiada inisiatif untuk diroboh atau dibangun semula tetapi ada sahaja halangan dari pihak yang tidak 'berpenampakan' kerana itulah ia tetap tersergam di situ. Ia tak akan ganggu kita, kalau kita tak memulakan mengganggu dia, percayalah!!

Misteri sebenar di sebalik Villa Nabila yang boleh dipercayai adalah DI SINI!

Monday, November 18, 2013

COOKIES & GINGER... MURAH, SEDAP DAN TERBAEKKKK!!

ASSALAMUALAIKUM...


NAMPAKNYA azam untuk menurunkan berat badan atau sekurang-kurangnya mengurangkan inci di pinggang hanya tinggal angan-angan. Apa tidaknya, asyik dijamu dengan makanan yang sedap-sedap sahaja. Kata orang, rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Setiap kali ER mengajak makan tak mungkinlah SK hanya nak memandang.. kan. Tapi, kan... SK syak yang sebenarnya ER tu takut yang SK lagi kurus dari dialah... kui kui.


Cookies & Ginger, satu lagi tempat makan best  yang SK singgah baru-baru ini. Bertempat di Adda Heights, Johor Bahru, C&G yang baru sahaja dibuka telah mendapat tempat di hati ramai warga Johor Bahru dan Singapura nampaknya. Sebenarnya, kami singgah makan di sini bagi meraikan kejayaan Iman dalam peperiksaan UPSR baru-baru ini (yang itu nanti SK cerita ya). Jadi kenalah bawa ke tempat makan yang best sikit, kan. Di sini, anda akan disajikan dengan makanan hebat bertaraf lima bintang tau tapi dengan harga yang sangat.. sangat.. sangat berpatutan dan pada SK boleh dikatakan murah berbanding dengan hidangan dan layanan yang dipersembahkan, hebat!!
 

Sebaik melabuhkan punggung di meja luar restoran, SK terus rasa terkagum dengan suasana restoran yang agak santai. SK ada masuk sekejap ke dalam restoran untuk menggunakan tandas yang berhampiran dapur, fullamak.. dah macam dapur dalam siri-siri program masakan di AFC lah.. errrr.. rasa macam nak mintak kerja jadi tukang kemas dapur jer... huhuhu. Ruang dalaman restoran juga nampak selesa dan hiasan dalaman yang sangat cantik. Kalau datang dengan perut lapar pasti bertambah lapar tau.. adeh!

Okey, jom kita tengok menu dulu...

Light Entrees

Light Entrees jugak

Main Entrees

makanan budak-budak.. orang tua pun boleyyyy...
dan minuman
 
makanan orang tua.. budak-budak tak boleyyyy.. nanti tak habis, orang tuaaaaaa jugak yang kena habiskan.. hoh!

Minuman dan Dessert
Lepas puas membelek-belek, depan.. belakang.. depan.. belakang.. rasa macam nak order semua jer tau. Sebab semua tu bunyinya macam sedap jer... huhu. Dan teruja lak nak tengok rupanya macam mana. Pandai taktik 'owner' diakan... huhu. Tapi memandangkan perut cuma ada satu, maka setiap orang cuma pilih satu main dish lahkan. Tapikan... ada sorang yang tetap tamak, itu nak makan, ini nak makan, sudahnya order dua-dualah... kikiki. Huuuuu.. cemana nak ramping yek... kirim salam ajelahhhh... kui kui.

Kita minum dulu!!

Ribeye Steak With Black Peppercorn dihidangkan bersama Nasi Butter... hidangan ala-ala Mexican (sebab dimakan bersama nasi). Menurut pemilik, mereka menyajikan hidangan ala Texas.. wahhh.. patutlah ada banyak watak filem diframekan dan digantung di dalam restoran.
Harganya RM19.40... giler murah!!
Pan-Fried Salmon With Mustard Sauce.. juga dihidang bersama Nasi Butter
Harga RM19.00

C&G Boomerang... huhu.. teruja SK baca Boomerang tu tau.. ia adalah
Smoked Beef Short Ribs
Harga RM22.00

Favourite SK
Original Beef Lasagna yang dihidang bersama Roti Bawang Putih...
memang lazatnya!!
Harga RM14.00

Brownies yang disiram dengan Sos Coklat dan dihidang bersama Ais Krim Vanilla
Harga RM7.20

anak yang diraikan... Alhamdulillah...

"Babah....... jom pergi lagi!!!"

SAMBAL TEMPOYAK

Assalamualaikum... Nahhhh.. Sambal Tempoyak. Lepas ni tak perlu susah2 lagi nak menumbuk sambal. Sukacita dimaklumkan, tempah...