MESTI KLIK

MESIN TEKAN CRUST TART

MESIN TEKAN CRUST TART
PEMBERITAHUAN : Sebarang pertanyaan atau tempahan mesin tart dan sebagainya hendaklah diajukan melalui sms dan whatsapp sahaja ke talian 0127844524. Terima kasih.

Friday, August 29, 2014

TRIPLE CHOCOLATE CHEESE TART

ASSALAMUALAIKUM...

HAAAA.. Tu dia untuk pencinta coklat. Dari crust, filling, krim dan hiasan semuanya berasaskan coklat. Pendekkata 200% coklat tau. Resepi sama dengan resepi yang Sk kongsi sebelum ni ya. Untuk resepi  crust atau tart shell anda boleh gunakan resepi black forest cheese tart. Yang lain- lain ikut sahaja aturan resepi Chocolate Cheese Tart yang Sk kongsi dua hari lepas rasanya. Taburkan krim dengan coklat chips atau chocolate rice sebelum dibakar selama 9 hingga 10 minit seperti biasa. Nyummmmm!!!

Wednesday, August 27, 2014

CHOCOLATE CHEESE TART

ASSALAMUALAIKUM...

APA khabar semua rakan bakers Sk sekelian teristimewanya kepada Cheese Tart Bakers. Wowwww!! Bukan main seronok lagi ber-cheese tart' setiap hari ya. Tambah-tambah lagi kepada yang guna mesin tu. Aktif betul menekan mesin ya. Masyukkkk gitu. Kan Sk dah cakap, berbaloi kalau dah ada mesin tu. Sekejap jer siap satu adunan. Haishhh.. takkanlah buat satu adunan jerkan.. mesti itu jam tekan sekilo tepung habis nih!

Yang belum lagi ada rezeki untuk memiliki mesin tart sendiri, jangan putus asa. InsyaAllah, kita semua ni dah ditetapkan rezeki masing-masing. Sk doakan nanti anda akan dapat memiliki mesin tart anda suatu masa nanti. Masa tu bolehlah pulun sakan, ya tak. InsyaAllah, dapat tu nanti.

Dalam dua minggu ni dapur Sk dilanda viral chocolate cheese tart. Sk ni sebenarnya memang dah tak buka tempahan sangat macam dulu-dulu. Dah sejuk.. hehehe. Sekarang ni masa untuk meluruskan pinggang. Tengok rumah Sk zaman-zaman aktif menge'tart' dulu dah macam kapal karam. Terbiar macamnya nakhoda dah tenggelam, hahaha. Kain baju bertimbun malas dilipat. Nak cari barang dalam kena menyelam, hahaha. Jadi sekarang ni dah ada banyak masa diperuntukkan untuk hal-hal rumah tangga. Pasu-pasu yang dulu penuh lalang pun dah mula rata, tinggal lagi nak cari pokok-pokok yang sesuai untuk surirumah yang bekerja macam Sk ni.

Sekarang ni dah rajin pulak ke Romantika membelek bunga-bunga. Duluuuu.. Sk tak minat bunga. Buat tampung habuk jer. Sekarang dah suka. Rasa sejuk jer mata. Walaupun bunga pelesu. Bunga yang tak bernyawa.. tak ada jiwa.. tapi kita suka ajer. Duluuuu.. berejam-rejam membelek loyang di Bakeri C Siang. Sekarang kalau lalu pun cuma lambai-lambai kot ada yang kenal :)))

Tapi.. disebabkan ada pelanggan setia yang masih mengingini cheese tart Sk, yang masih suka dengan snow cheese cake Sk, kadang tu tak sampai hati. "Akak, boleh buatkan cheese tart tak? Teringinlah..." dalam malas-malas, rajin juga mencatat tempahan. Nanti, tetiba macam ada deria keenam gitu, kawan yang lain pulak bertanya,"Kak, minggu ni ada orang tempah cheese tart tak? Kalau ada, saya nak selit order," gitu. "Kak.. kek yang ada bulu-bulu tu, akak buat tak? Naklahh.." Jadi, kalau dah tiga empat orang menyelit, sebati jugaklah dua kilo cream cheese, Alhamdulillah. Taklah sampai berkulat dalam peti. Perancangan Allah itu sungguh cantik, kannn.

Chocolate Cheese Tart ini ditempah oleh seorang kawan sepejabat SK. Mulanya, beliau tempah crust sahaja untuk raya bersama Blueberry Cheese Tart. Tup tup beliau terkena pulak sakit buatan orang. Loya.. muntah.. melepek jer dia. Lalu dia mintak Sk letakkan coklat filling macam dalam gambar ni. Sk pun tanya, bila nak makan tartnya. "Sabtu, anak nak bawa ke sekolah untuk jamuan raya," jawabnya. Sk garu kepala, nak ambil Khamis, nak makan Sabtu.. nak bawa pergi sekolah pulak tu. Terbayang dua anaknya terkedek-kedek bawa chocolate tart dalam kotak. Ada kawan tengah main 'ram ram rit'.. terlanggar.. kotak jatuh, tart berderai, coklat????

Errrr... ada lagi ke budak zaman sekarang main Ram Ram Rit????


Lalu, Sk bagi cadangan untuk buatkan Choc Cheese Tart ni. Boleh simpan lama. Tahanlah sikit lasaknya berbanding tart yang intinya semata-mata coklat. Beliau terus setuju. Janji ada makanan yang boleh dibawa ke sekolah nanti, katanya. Lalu terjadilah Choc Cheese Tart ini. Lepas tu, kawan yang lain tumpang semangkuk, nak rasa. Terus jatuh cinta. Yang lain pun kata sedap, nak jugak.. Sk.. senyum sampai telinga :)))))


Chocolate Cheese Tart

Sediakan tart shell/ crust macam biasa.. boleh tengok di SINI.

Untuk chocolate filling, SK cairkan Milk Chocolate Compound Jenama Beryls jer secara double boil. Sk gunakan yang macam siling tu, senang, cepat dan bersih dapur.

Caranya :

Panaskan air dalam periuk kecil hingga mendidih. Kemudian tutup api.
Letakkan Milk Chocolate Compound dalam mangkuk tahan panas. Biarkan mencair. Kemudian sudukan dalam crust/ tart shell. Biar sejuk seketika. Kalau suka, boleh masukkan dalam peti sejuk sekejap.

Krim

250 gm cream cheese
2 sb gula kastor
1 biji telur
sedikit esen vanilla
sedikit chocolate emulco

Caranya :

Putarkan cream cheese bersama gula kastor sehingga lembut dan gula hancur (dalam satu minit)
Masukkan telur, chocolate emulco dan esen vanilla. Putar lagi sehingga licin dan sebati. Jika perlu kaup keliling mangkuk dengan spatula dan putar sampai licin tapi jangan terlalu lama. Dua tiga minit sudah memadai.

Masukkan ke dalam piping bag dan picit ke dalam tart shell yang ada coklat tadi. Picit sehingga ke tebing acuan. Kemudian picit lagi sampai kembung sikit (jangan sampai melimpah)

Hias ikut citarasa.

Bakar 170 darjah selsius selama 10 minit. Pastikan oven telah dipanaskan 20 minit awal,

Tips :

Untuk mendapatkan krim yang berkilat seperti dalam gambar, gunakan gula kastor sahaja.

Untuk mendapatkan krim yang gebu, jangan putar cream cheese terlalu lama. Sebaiknya gunakan telur dari peti sejuk. Keluarkan cream cheese 15 - 20 minit sebelum ia diputar.

Sekiranya anda menggunakan cream cheese jenama Tatura dalam bungkusan bunjut, putar cream cheese 10 minit selepas keluar dari peti sejuk.

**Jenama cheese bukan faktor gebu tetapi faktor suhu krim ketika dipicit ke dalam tart shell. Pastikan krim anda tidak mengalir dari spatula selepas diputar.

Nak tempah Mesin Tart??
Whatsapp 0127799705
SMS 0127844524




Tuesday, August 26, 2014

SELFIE ATAS BANGUNAN... PERKARA YANG TAK MUNGKIN SK BUAT

ASSALAMUALAIKUM...

HAH! Nak bagi Sk sejuta RM pun Sk tak sanggup buat ni... agagagaga

gadis selfie dari atas bangunan tinggi
tahniah adik!!
Adik manis ni memang berani mati kan? Sk ni baru berdiri kat balkoni bangunan 4 tingkat pun dah gayat tau. Nak suruh duduk berjuntai kaki kat tembok tu pun SK tak sanggup. Tak kiralah sama ada disuruh duduk bersila, berjuntai kaki ke arah luar bangunan atau berjuntai kaki ke dalam balkoni. Rasa macam nak terjungkit ke belakang jer. Tak seimbang, hahaha.

Bukan pasal dah gemuk. Malah dari kurus macam bini popeye dulu pun Sk memang dah sedia gayat. Takut pada ketinggian tu satu. Nak meniti menyeberang parit selangkah pun berdebar-debar, hahahaha. Eiii... seram.. seram....

Monday, August 25, 2014

BARBIE CAKE... SELAMAT HARI JADI, INDAH NUR ZAHIRAH

ASSALAMUALAIKUM...


DIAM tak diam sekejap sahaja setahun berlalu. Rasanya baru sahaja lagi Sk beli kek untuk hari jadi Indah (yang kononnya bonda buat sendiri... ekekeke..) kali ini akhirnya Sk dapat menyediakan sebiji kek untuk Indah. Kek Barbie Ekspress... kenapa ekspress? Sk mula mengadun kek ini jam 4 petang dan ia siap bergaun putih jam 8.30 malam. Ekpress kannnn...


Memang dah lama merancang untuk hadiahkan kek barbie ini kepada Indah selepas kes Tipah Tertipu tertipu Tipah tahun lepas tapi disebabkan sejak pagi dah menganga depan tv menunggu siaran langsung #MalaysiaBerkabung dan sangat terbawa-bawa perasaan sedihnya, Sk langsung terlupa hendak menyediakan kek untuk Indah. Lagi pulak, Sk belum lagi membeli kepala patung nikan. Mujur hari tu Sk keluar ke BBU menghantar dan mengambil Iman dari rumah terbuka kawan sekolah lamanya dapatlah SK singgah ke kedai bakeri. Sampai rumah, terus menggodeh. Sk malas nak fikir-fikir sangat, disebabkan 'one happy family' SK sangat menggemari 'Snow Cheese Cake' jadi Sk sediakan kek yang paling senang tapi tepung paling mahal tulah, hehehehe. Cuma kali ni Sk tak parutkan cheddar, nanti nampak macam Barbie pakai gaun bulu biri-biri pulak, hahahaha.


SK ni memang tak ada loyang khas untu gaun barbie tu, jadi Sk gunakan alternatif lainlah. Sk bakar aduanan dalam satu loyang 7", satu mangkuk besi kecil sikit dari loyang tu dan satu mould cup silicon. Kemudian ketiga-tiganya Sk sambung-sambung dan 'alter' sikit bahagian bawah (kek dari loyang 7") tu supaya jadi gaun. Tu yang macam tonggek lentik semacam jer punggung Barbie tu.. keh keh keh.


Apapun Sk gembira sebab nampak Indah sangat teruja dengan kek Barbienya tu. Untuk Indah Nur Zahirah... Selamat Hari Jadi... semoga panjang umur dan sihat selalu.. pandai belajar.. jadi anak yang solehah kepada kedua ibu bapamu serta dapat mengharumkan nama negara suatu hari kelak.

Resepi Snow Cheese Cake yang SK gunakan anda boleh lihat DI SINI.

Friday, August 22, 2014

REMUK REDAM #MH17

ASSALAMUALAIKUM...


MUNGKIN
ALLAH hendak tunjuk kepada kita
apa yang kita cakap
apa yang kita luah
apa yang kita bayangkan
sebenarnya tak semudah
yang kita cakap
yang kita luah
dan yang kita bayangkan

Apabila #MH370 hilang di lautan sepi
kita tak percaya
kita tak terima
kita andaikan macam-macam
kita kata
kalau hilang mana perginya
kalau mati mana kuburnya
kalau terhempas apa buktinya

Lalu
peristiwa yang berlaku
17 Julai 2014
begitu mengejutkan
baru kita tahu
apa yang kita cakap
apa yang kita luah
apa yang kita bayangkan
bila ianya benar terjadi
begitu pahit rupanya hendak ditelan
begitu payah rupanya hendak dihadam
hingga hati kita menjadi remuk redam

Hari ini
kita ingati mereka yang pergi
kita mungkin tak bersaudara dengan mereka
malah kita tak pernah kenal mereka
tetapi hati ini
mengapa mesti begitu remuk sekali
mengenangkan apa yang terjadi
malang yang datang tidak berbau
patah yang tidak tumbuh
hilang yang tidak berganti

Ya Allah, Ya Tuhan
Tunjukkanlah kami jalan
menuntut hak kami
yang sewenangnya dirampas pergi
kuatkanlah hati pemimpin kami
menangani dugaan sebesar ini
peliharalah negara kami
dari anasir jahat yang digeruni
sesungguhnya kami tidak sanggup menghadapi
kehilangan lagi..

Amin
Aminnn
Ya Rabbal Alamin.


Aduhai Jalur Gemilang
Hari ini kamu berkibar separuh tiang
Namun janganlah terus berhati walang
Semangat merdeka tak pernah padam
57 tahun menjadi warisan
Tiangmu teguh berdiri
Merah gagah berani
Putih luhur suci
Biru rukun berpadu
Kuning lambang setia
kepada Raja dan Negara
kita akan terus menuju hala yang sama
gigih dan taat menaikkan imej
Negara Malaysia yang tercinta

Thursday, August 21, 2014

SARDIN DALAM TIN.. LAUK YANG MEMBESARKANKU SELAMA BERPULUH TAHUN

ASSALAMUALAIKUM...

DALAM seminggu, tidak kurang dari sekali ibu akan memasak lauk sardin dalam tin untuk keluarga. Tak kiralah, sama ada sambal sardin, kari sardin atau sardin goreng (yang ini ibu jarang-jarang masak) kami tak pernah jemu menikmatinya. Kadang-kadang, kalau stok lada giling habis, tumis sahaja bawang besar dan cili hidup banyak-banyak, masukkan setin sardin dalam kuali pun sudah cukup sedap bagi kami. Licin pinggan dibuatnya. Kalau ada kuah yang lebih-lebih dalam pinggan, sambung pulak selet dengan roti. Memang marbeles. Yang pasti belum ada lagi dalam keluarga kami yang tulangnya reput kerana selalu berlaukkan sardin dalam tin seperti dakwaan orang bijak pandai sekarang... makan sardin boleh mereputkan tulang kita macam tulang ikan sardin tu. Yang paling tak senonoh sekali ada yang mendakwa, katak digunakan dalam proses menghasilkan sardin... phewwww!!

Setiap bulan, arwah abah akan meminta pakcik kedai runcit menghantar ke rumah berdozen tin sardin. Dulu-dulu bukan senang nak ke pasar macam sekarang. Jadi, penyelamatnya adalah sardin dalam tin. Kalau tetiba ada orang datang, sardin dalam tin akan jadi penyelamat. Kerrrlasssss apa masak sardin untuk tetamu. Cuma orang sekarang ni sensitif sangat. Artis masak sardin tin untuk jamu tetamu pun boleh jadi isu.. tak faham SK.. hehehehe.

Alkisahnya, bila dah kahwin barulah Sk tahu yang jodoh Sk ni tak makan lauk sardin dalam tin. Kalau sandwich sardin dia makan tapi jangan sapu mentega. Tekaknya sungguh mengada-ngada. Masa baru kahwin dulu, kononnya isteri mithali ni sediakan sarapan sandwich sardin. Amboiiii.. merajuk tak makan. Rupanya dia nak roti tu makan alat-alat dengan sardin hancur yang dah digaul bersama cili dan bawang serta diperah dengan jus limau sahaja. Karipap sardin yang sedap giler tu pun dia tak suka. Rugi! Rugi!

Bila Iman makin membesar diapun jadi peminat lauk sardin tin macam bonda dia. Jadi, bila ER tak ada, amboiiiihhh, sakanlah dua beranak ni makan lauk sardin. Eh, bukanlah bila ada ER ni dia tak bagi masak lauk sardin. Tapi, membazir tak kalau masak lauk berjenis-jenis... hihi. Entah di mana silapnya, satu hari tu Iman makan di taska lauk sardin tin. SK tak tahu, Iman kata sardin tu sangat tak sedap, rasa nak muntah makan. Entah sardin basi ke apa, tak tahulah. Sampai Iman trauma tak mahu dah makan lauk sardin. Sandwich sardin pun Iman dah tak mahu sentuh. Fobia.. hahaha.

Lama-lama Iman dah mula boleh makan sardin. Setahun dua jugak nak pulihkan traumanya tu. Tapi tupun cuma sandwich sardin. Lauk sardin dia masih belum boleh terima. Pujuk-pujuk pun tak jalan. Tahan makan nasi dengan telur taruk kicap. Dia kata meremang bulu roma bila teringat lauk sardin yang dia makan di taska tu. Sampai begitu sekali traumanya. Jadi, terpaksalah Sk berhenti dari masak lauk sardin dalam tin.

Malam tadi, teringin benarlah sangat nak makan lauk sardin. Lama sangat dah tak jumpa ni. Nak makan lauk sardin yang masak sendiri. Tumis cili giling dengan bawang sampai naik minyak. Masukkan bawang banyak-banyak, cili padi, kentang goreng... alahai... sedapnyaaa... Iman... Iman... jomlah kita makan lauk sardin malam ni... pujuk-pujuk Iman akhirnya dia mengangguk setuju untuk makan lauk sardin. Yeay!!

Balik kerja semalam, laju-laju jerang nasi. Lepas tu terus tenggek kuali atas dapur. Kena cepat-cepat sebab nak kejarkan azan maghrib... dan ada nak buat tempahan cheese tart lagikan. Cili dan bawang giling tak ada masalah sentiasa ada dalam peti sejuk. Sambil tumis cili sambil goreng kentang. Kentang pun letak banyak-banyak. Campak itu campak ini.. siap! Mandi.. maghrib.. lepas tu suruh Iman cedok nasi. Lupa tengah 'kontrol' nasi sekarang.. hahaha. Berdebarlah pulak bila tengok Iman mula cedok lauk dalam pinggan.. kui kui.

Eh, apasal sambil taip ni tertelan-telan ailio pulak ni.. hihi. Iman makan diam jer. Lepas tu... lepas tu.. dia kata, "Bonda, nak tambah nasilah..." Hahahahaha. Iman dah hilang trauma nampaknya. Iman tambah nasi bonda pun tumpang sekakilah. Lama tu tak makan lauk sardin. Lauk sardin nilah yang membesarkan Sk dan adik beradik selama berpuluh tahun tau. Apapun resepinya lauk sardin tetap di hati.


SAMBAL SARDIN

Minyak secukupnya untuk menumis
Cili kering kisar halus
Bawang kisar halus
sardin tin dan sosnya
Bawang besar dipotong bulat
cili api secukup pedas
garam
air asam sedikit
kentang digoreng dahulu

Cara :

Panaskan minyak, tumis cili dan bawang kisar hingga pecah minyak.
Masukkan sardin tin dan sosnya sekali
Kacau kaup sekali-sekala, guna api perlahan.
Masukkan bawang dan cili api
masak hingga bawang layu
tambahkan garam dan air asam (jika suka)
masukkan kentang, gaul sekejap.. matikan api.
sedap dimakan bersama nasi putih

urmmm... dah telan ailio kali ke lapan belas.. hahahaha

Monday, August 18, 2014

PAHITNYA BERITA DI PAGI RAMADHAN KE 20

ASSALAMUALAIKUM...

"PESAWAT MAS terhempas kena tembak?" Beritahu ER pada Sk yang sedang sibuk menyiapkan juadah untuk bersahur pada pagi Ramadhan ke 20.

Sk menghampiri ER yang sedang membasuh tangan di sinki,"Apa dia?"

"Pesawat MAS kena tembak.. terhempas..." kata ER lagi.

"A... apa dia??? Apa kena tembak???" Berderau darah Sk dengar perkataan MAS. Tapi tak mungkin.. tak mungkin kot.. mesti Sk salah dengar pagi-pagi tu.

"Pesawat MAS kena tembak." Wahhhh.. kalau orang lain mungkin dah kena penampar boya SK ni. Tak faham-faham..

"Habis tu???"

"Jatuh terhempas... semua mati.." lirih suara ER.

"Allahu Akbar!" Perlahan-lahan SK meletak punggung di kerusi. Sk tenung nasi yang telah disenduk ke dalam pinggan. Doa dibaca perlahan tapi tangan ini seolah tak sampai untuk menyuap. Lama termenung, akhirnya Sk mencubit nasi sebutir-sebutir disuap ke dalam mulut.

Dugaan apakah yang menimpa negaraku yang tercinta ini? Lepas satu.. satu lagi peristiwa hitam tertulis dalam sejarah. Hendak menangis pun rasa macam tak berairmata. Terus rasa macam tak mampu nak menulis di blog.. nak meneruskan Diari Ramadhan. Tak tergamak rasanya nak ceria-ceria di saat negara sedang berduka. Tambah lagi dengan peristiwa yang menimpa saudara kita di Gaza sana. Allahu Akbar!


#Al-Fatihah
#MH17
#MH370 tetap dalam ingatan

Wednesday, August 13, 2014

MESIN TART 4 LUBANG

ASSALAMUALAIKUM...

TERLEBIH dahulu Sk ingin memohon maaf jika ada di antara anda yang menghantar pertanyaan melalui email tentang mesin tart ini. Sebenarnya Sk mempunyai masalah untuk membuka email... entah apakebendalah gmail ni katanya suruh Sk upgrade browser tapi bila Sk cuba upgrade, dia 'loading' punyalah lama. Sebab tu mungkin ada yang tak menerima balasan dari Sk terutama email yang dihantar di akhir puasa lepas hingga sekarang. Jadi, sesiapa yang nak bertanyakan soalan tentang mesin tart tu, bolehlah terus hubungi Sk di talian 0127799705. Boleh telefon atau whatsapp ya. Dan kalau nak hantar sms, hantar sms anda di 0127844524.


Okey, ni Sk nak beritahu, Sk nak buka tawaran harga hebat bagi mesin 4 lubang. Kalau anda kata tak hebat terpulanglah ya, hihi. Mesin 4 lubang + 100 biji acuan tart bersaiz 4.5 cm RM800 sahaja. Ada yang berminat? Siapa-siapa yang pernah pm Sk sebelum ni tentu tahu harga sebenar bagi mesin ini ya. RM800++ tau... tu belum termasuk harga acuan tu. Jadi.. kepada yang berminat, bolehlah terus pm Sk untuk maklumat pembayarannya. Jangan tunggu lama-lama. Percayalah, tak rugi anda membeli mesin tart ini. Jimat masa dan tenaga.

bukti berbaloi-baloi!


p/s Kredit untuk seorang pembeli yang whatsapp gambar mesin diterima pada Sk.

DIARI RAMADHAN 17... TERINGATLAH PULAK!!

ASSALAMUALAIKUM...

AIDILFITRI sudah 17 hari berlalu mengingatkan Sk pada peristiwa berdarah di petang 17 Ramadhan yang lalu. Haaaa... macam suspens ajerkan.. apa yang berdarah tu SK?? Hati ni berdarah! Darah naik sampai ke kepala rasanya masa tu... Oh, ya! Siapa yang kawan dengan Sk dalam fb rasanya dah tahu cerita ni.. hihihi.

Imbas semula...

Hari itu kami akan berbuka di rumah Angah. Ingatkan dari pejabat nak terus ke Senai tapi ER kata balik mandi dulu nanti keluar balik, pergi sama-sama dengan dia. Sk terus setuju jer. Sampai di kawasan perumahan Sk, teringatlah pulak nak beli ayam golek untuk bawa buah tangan ke rumah Angah. Lalu Sk pun singgahlah ke satu-satunya gerai ayam golek yang terletak di persimpangan jalan tu. Nampak macam tak ada orang selain peniaga ayam tu. Tapi, bila dah turun dari kereta dan berdiri depan gerai, rupanya ada seorang lelaki di bahagian dalam gerai. Sk rasa pelanggan macam Sk juga sedang menunggu ayamnya dipotong. Lelaki itu nampaknya seperti sudah bosan. Macam penat pun ada. Penatlah.. letih puasa kan. Sk tengok peniaga itu begitu berhati-hati potong ayam. Sk tahu dia cuma pekerja di gerai tu. Sebab gerai ayam golek ni banyak jugak cawangannya.

Sk pun tanya, "Ayam sekor kira macam mana?"

"Yang kecik RM19, yang besar RM20," jawab peniaga itu sambil terus memotong ayam.

Dalam hati Sk, 'alaaa.. beza singgit jer'... "bagi yang RM20 laa.."

Peniaga itu mengangguk sambil terus potong ayam, muka Sk pun dia tak pandang.. sangat lambat.. mak aihhh.. lambatnya.. dahlah panas petang tu.

Tak lama datang seorang mamat gebu (bukan Che Mat Gebu ya)

Mamat gebu itu kelihatan terkocoh-kocoh. Macam nak cepat ajer lagaknya.. "Ayam separuh berapa?" tanyanya sambil mengunjukkan jari ke arah ayam yang sedang dipotong. Ya, ayam yang tadi tu tak habis lagi dipotong.. hohoho.

"RM10," pendek jawapan peniaga.

 "Nak separuh," pinta mamat gebu itu.

 Peniaga itu mengangguk sambil terus memotong ayam. Agaaagaga.. tak habis lagikkkk???

Sk fikir, ayam separuh yang diminta mamat gebu tu mesti dia akan potong dari ayam yang harga RM19 seekor. Sk tunggu dengan geram sabar. Pelik betul sebab lambatnya dia buat kerja. Dia hampir siap potong ayam. Dari ekor mata, Sk nampak mamat gebu tu macam tak sabar-sabar. macam dia bajet ayam tu ayam dia. Siap potong ayam, peniaga itu bungkuskan dan masukkan dalam beg plastik dan hulur pada lelaki yang muka bosan tadi. Nampak macam bengang pun ada. Sk lega. Lelaki tu hulur duit RM50. Sk nampak peniaga itu pulang baki RM31.
Kemudian, peniaga tu pergi ke tempat ayam yang sedang bergolek. Dia mengalih-alihkan batang-batang besi silinder tempat mengikat ayam tu. Ada tiga batang besi semuanya. Satu darinya ayamnya agak gemuk, Sk sangka itu ayam kategori harga RM20 yang Sk nak beli tu lah. Tapi peniaga itu mengambil dua ekor ayam dari rod besi lain. Ayam sama saiz sedangkan pada rod besi lain ada ayam yang besar sikit saiznya. Sk dah keliru dekat situ.

Dua ekor ayam tu, dia letak atas papan pemotong. Sebelum tu dia bentang dua helai kertas coklat untuk bungkus ayam. Salah seekor ayam tu dibelah dua dan sebelah disimpan dalam termos. Kemudian dia potong ayam yang sebelah tu. Hati Sk dah menyirap... macam air sirap. Ayam sebelah yang siap dipotong-potong tu dihulur pada mamat gebu yang menyambut sambil hulur duit RM10. Pipi Sk yang tembambom ni mula dah rasa kebas. Rasa panas. Rasa pijor jer.. huwa huwa huwa. Mamat gebu berlalu dengan bangga. Peniaga menyambung potong ayam yang seekor lagi tu. Dalam hati Sk tertanya-tanya.. betul ke ni ayam RM20? Bukanlah berkira sangat tapi kenalah jugak berkira, huhuhu. Sabar... sabar... sabarrrrr... puasa nih... akhirnya tak tahan gelodak di jiwa, Sk pun bertanya...

Sk : Ni ayam yang RM20 ke?

Peniaga: (Angguk)

Sk : (kau tipu aku dosa) (Dalam hati... nak bersuara ke tak... nak bersuara keee tak? Akhirnya Sk bersuara juga)  Errr... kenapa eh, awak... orang yg datang kemudian awak dulukan.. orang yg datang dulu.. awak kemudiankan??

Peniaga : Sebab.. dia minta ayam separuh.

Sk : Kenapa kalau dia mintak ayam separuh?

Peniaga : Sebab kalau separuh kena potong cepat, tak boleh biar lama.

Sk : Eh, pedulilah dia nak separuh ke.. dia nak sekor ke.. patutnya orang yang datang dulu awak bagi dulularrr.. Dah, tak jadilah beli!!

Dan Sk terus meninggalkan peniaga itu terkulat-kulat di situ. Errrr.. ada sorang pakcik baru sampai.. Sk tak tahulah pakcik tu sempat tak sempat rakam perbuatan Sk yang naik baran. Tapi Sk rasa teraniaya dan diperbodohkan tau.  Dahlah menunggu dia potong ayam macam nak pitam... grrrrrr.




Monday, August 11, 2014

MELETOP STEAMBOAT & GRILL LAGI... RAMADHAN 20... RAMADHAN LEBIH 20 TAHUN LALU...

ASSALAMUALAIKUM...

HANYA seminggu selepas berbuka di SINI Sk buat ulang siaran atas permintaan Kak Long Sk yang datang dari Melaka Bandaraya Bersejarah. Tak cukup korum jugak sebenarnya sebab tak ada Cik Wa dan family Kak Long. Tapi cukuplah syarat dapat berbuka puasa bersama keluarga di Johor tahun ni, kan Kak Long.... hehehehe. Kak Long yang kami panggil Along jodohnya dengan orang Melaka. Walaupun jarak antara Melaka dan Johor cuma dua jam perjalanan namun kekangan masa dan jadual kerja yang padat membuatkan Along jarang balik ke Johor. Sebab tulah jarang nampak wajah Along dalam gambar-gambar di blog atau fb Sk.

Alhamdulillah, dapat jugaklah berikan kuih tart nenas air tangan Sk pada Along raya tahun ni. Patutlah masa menerap tart ini, SK asyik teringatkan Along, rupa-rupanya memang rezeki Alonglah. Sebenarnya, airmata Sk berlinangan semasa menerap tart ni tau. Kalau nak tahu, Sk gunakan penerap yang sama yang Along gunakan masa kita adik-beradik buat tart nenas dulu-dulu. Masa tu, ibu baru jer beli penerap tart plastik sebelum tu ibu gunakan penerap tart kayu dan tembaga. Jadi semangatlah masing-masing, kan. Ibu tukang adun, Along tukang terap, Sk letak inti dan Angah tukang bakar. Bila ibu tengok Sk suka buat-buat kuih ni, ibu beri Sk semua acuan dan alatan untuk membuat kuih-muih pada Sk. Tu yang syahdunya perasaan masa buat tart nenas ni. Nasib baiklah tak masin, masin tak Along??? :p


Satu lagi peristiwa Ramadhan bersama Along yang tak boleh Sk lupakan adalah bila Along membeli kfc untuk juadah berbuka puasa. Masa tu Sk masih di sekolah menengah dan Along dah bekerja. Zaman tu, kfc bukan bersepah macam sekarang ni. Kami pun tak berkereta, ke sana ke mari menaiki pengangkutan awam. Satu-satunya kfc yang ada adalah di Plaza Kotaraya. Jadi, terlanjur ada di bandar kami pun belilah kfc dan masa tu tak silap baru pukul 2 atau 3 petang. Punyalah malu bawa kfc naik bas sampai. Kan kuat bau kfc tu... huhuhu. Malu takut di'cop' tak puasa. Haiii.. setiap kali puasa mesti teringat tau... hihihi. Along, ingat lagi tak???

Thursday, August 7, 2014

HEADER BLOG BARU... CUN TAK?

ASSALAMUALAIKUM...

BLOGGER lain dah berapa puluh kali tukar header blog, SK baru ada hati nak tukar. Tak tahulah cantik ke tidak di mata anda. Walaupun Sk ni orang yang kenal kata kreatif tapi bila tak ada gambar yang sesuai susah jugak nak meng'kreativiti'kan diri. Ditambah lagi buta IT.. hihihi.. layan sajalah apa yang ada.. urmmmm..


p/s Sebenarnya banyak benda nak cerita tapi ada banyak benda nak kena selesaikan ni. Kita jumpa lain kali ya.. insyaAllah.

Wednesday, August 6, 2014

DAGING MASAK KURMA KAK FIDA

ASSALAMUALAIKUM...

JUJURNYA Sk bukannya pandai sangat memasak. Perlu jugak Sk jelaskan tentang ni sebab ramai yang ingat Sk ni pandai memasak. Malu tau. Sk ni masih peringkat belajar lagi. Adalah sesuatu yang amat berbeza antara tahu memasak dengan pandai memasak. Sk? Bolehlahhhh, hehehe. Blog inipun wujud bukannya seratus peratus tentang masakan. Sk pulak bukanlah kategori manusia yang rajin nak membuka dua tiga blog sekaligus. Dari memasak, makan di luar, jalan-jalan dan bisnes semuanya disumbat dalam Alam Sari di Tanah Jauhar ini. Haaaa, tu pun tak mampu nak update hari-hari.

Dan.. Sk pun bukannya jenis manusia yang terlalu rajin nak meneroka luasnya dunia maya ini. Baca pun blog yang sama aje. Dan tak semestinya blog masakan. Sk suka baca blog yang berkisar tentang cerita blogger tersebut. Cara penceritaan juga memainkan peranan. Asalkan jangan nak mengumpat keji orang lain, orang buat semua salah, kita buat semua betul. Sk suka blogger yang tak membesar diri. Badan besar tak apa, jangan besar kepala. Dahlah besar kepala, itu batu lagi duduk dalam. Kalau batu permata tak apa, boleh buat batu cincin, hehehe. Blog politik pun Sk jarang baca kecuali bila ada isu besar. Itupun bila kawan yang duduk depan mata ni cakap, barulah teringat nak buka, hihi. Blog retis?? Kalau ada mood laaarrrr.. huhuhu.

Apabila telah dicop sebagai blogger masak, Sk tidak tahu adakah sebenarnya memang menjadi satu kesalahan jika kita tidak menyatakan link mana kita mendapatkan resepi (jika resepi yang dipaparkan bukan resepi ori diri sendiri). Tetapi rasa macam tak beretika pulak kalau Sk tak menyatakan sumber resepi Sk, hehehe. Lainlah resepi tu datang dari ibu atau nenek moyang Sk yang sememangnya tidak memiliki blog sendiri. Dan, yang sebenarnya Sk malu sebab Resepi Daging Masak Kurma ni Sk ambil dari Kak Fida dari myresepi. Malu sebab Sk tak kenal sangat yang mana satu Kak Fida. Adakah beliau merupakan seorang blogger masak sekarang? Jadi, kepada sesiapa yang mengenali Kak Fida atau Kak Fida sendiri mencemar duli singgah di Alam Sari ini, Sk mohonkan agar dapat menghalalkan resepi ini yang Sk kongsikan di sini. Maaf, Sk tak dapat nak `link` kan post ini dengan resepi asal sebab Sk gunakan tablet untuk 'update' blog hari ini.

Apa yang boleh Sk nyatakan, daging masak kurma resepi Kak Fida ini adalah mabeles dan pernah mendapat pujian di kalangan ipar duai Sk bila Sk menghidangkannya bersama nasi tomato di rumah mertua. Ramai yang bertanyakan Sk resepinya kerana kelainan rasanya. Kalau nak tahu macam mana, anda boleh cuba resepi ini sendiri di dapur anda.


Daging Masak Kurma
Resepi : Kak Fida
Sumber : myResepi
Jumlah hidangan : 10 orang

Bahan-bahan:

Bahan Kisar :

7 tangkai lada hijau
3 biji tomato
10 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
3 tangkai daun ketumbar
3 hiris halia muda

Bahan lain :

1 kg daging goreng# (rebus dulu jika perlu)
5 sb rempah kurma
1 cwn susu sejat
Air rebusan daging secukupnya
minyak secukupnya
garam secukup rasa

Cara-cara:

1. Panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan kisar hingga garing. Sk tambahkan dua batang serai diketuk, kulit kayu manis, sedikit cengkih dan biji pelaga serta sekuntum bunga lawang semasa menumis. Tumis hingga wangi.

2. Masukkan daging yang direbus bersama air rebusan secukupnya. Masak hingga mendidih dan daging empuk. Gaul rata.

3. Apabila daging sudah empuk, barulah masukkan susu sejat dan garam. Masak lagi hingga mendidih dan hendaklah sentiasa dikacau.

4. Apabila telah mendidih, bolehlah ditutup api dan dihidangkan.

#Daging goreng di sini adalah merujuk kepada nama panggilan daging tersebut kerana ada sesetengah negeri menyebut daging goreng atau daging kari.

Monday, August 4, 2014

DAH SEMINGGU... TAK APA KANNNN???

ASSALAMUALAIKUM...

kredit Affin Bank

SALAM 8 Syawal 1435H. Di kesempatan yang masih bersisa ini, Sk menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf sekiranya tersilap bicara dan terlanjur kata sepanjang Sk berblog ini. Mungkin ada perkataan atau ayat yang tak kena.. mungkin ada bicara yang menyinggung rasa atau gambar yang menyentap jiwa, ampun maaf zahir dan batin dipinta. Dan Sk... Sk... Sk mintak halalkan hutang blog yang tak ter'update' sejak kali terakhir 16 Julai yang lepas... huhuhuhu.


Ke mana beraya? Bagi Sk, tahun ini giliran berhari raya adalah di Tanah Jauhar. Mengikut perancangan asal, kami tak akan balik ke Kedah seperti tahun-tahun yang lepas tetapi di saat-saat akhir ER telah membuat keputusan untuk balik juga ke sana bertemu ibunda tercinta. Alhamdulillah, perjalanan pulang ke utara kali ini begitu dipermudahkan. Walaupun kereta agak banyak juga tetapi kami langsung tidak tersangkut dalam kesesakan lebuh raya. Perjalanan pergi balik yang lancar dan selamat dalam keadaan cuaca yang sangat elok.


Seperti tahun-tahun yang lepas persediaan raya bagi Sk biasa-biasa sahaja. Langsir pun tak berganti (memang selama ni tak berganti pun, hihihi). Kalau nak tahu, selama 9 tahun mendiami rumah sekarang, cuma dua kali sahaja Sk menukar langsir. Dan ini adalah kali ketiga Sk menggunakan langsir yang ada sekarang. Lagi tragis tahun ni langsung tak sempat menurun dan mencuci langsir tu, adoilaaaaaa... apalah yang kau sibukkan tu Sk??? Raya kali ini juga Sk telah mengambil keputusan drastik dengan membuang sebahagian besar barang-barang yang tak digunakan yang bikin semak dalam rumah. Proses pembuangan telah bermula seawal sebelum Ramadhan. Dan Sk juga telah memaksa ER untuk menggantikan sofa di rumah kami. Haaaa.. ni bukan saja-saja nak mintak ganti tapi sofa lama tu dah patah tengahnya.. Sk takut sedang asyik tetamu minum air sirap tetiba jer sofa tu terlipat dua, haaaa.. siapa yang naya???


Juadah raya kami macam biasalah ya... Ketupat.. Nasi Impit.. Rendang.. lodeh... dan macam-macam lagi. Ada yang dimasak.. ada yang jiran bagi dan ada jugak yang dibeli.. hihihi. Ketupat palas atas ni dibeli dari Pasar Tani oleh ER pagi hari sebelum raya bersama rendang Sk yang tak berapa nak jadi. ER kata kurang pedas. Baik, nanti Sk buat lagilah untuk memuaskan hati kekanda yang tercinta. Pssssss... yang sebenarnya dia tak tahu Sk guna rempah rendang segera sebab tulah kurang pedas walaupun Sk dah tambah lada, hihihihi. Jadi, nanti kenalah buat rendang original menggunakan bahan-bahan yang asli.. #sinsinglengan







FIESTA NANAS 60

Assalamualaikum... DIAM tak diam sudah hampir empat minggu cuti sekolah berlalu, kan. Tengok di laman sosial,  ramai kawan-kawan yang menga...