MESTI KLIK

MESIN TEKAN CRUST TART

MESIN TEKAN CRUST TART
PEMBERITAHUAN : Sebarang pertanyaan atau tempahan mesin tart dan sebagainya hendaklah diajukan melalui sms dan whatsapp sahaja ke talian 0127844524. Terima kasih.

Tuesday, September 29, 2015

LONTONG

Assalamualaikum...
 
TAK ada apa nak cerita
cuma nak masukkan gambar Lontong yang tak keluar semalam.
Mulanya tengok dalam 'draft' tak keluar..
tetiba bila Sk 'view' dia terselit kat tepi pulak.
Masuk balik 'draft'
puas meng'adjust' dia main turun naik pulak.. huhu.
Sk perasan semalam dah ada pengunjung yang buka post tu
sebelum Sk tutup balik
dan mungkin ada yang nak masuk lepas tu
tak dapat.
Maaf ya sangat-sangat.
Akhirnya, Sk keluarkan gambar lontong tu..
senang.. huwa huwa huwa.
Jadi.. daripada buang karen 'edit'
kita buat jer entry lain.. kui kui.
 
Kali ini lontong tak lengkap
sebab tak ada sambal cengeng dan serunding.
Kira buat syarat ajelah
 sebab nenek dah janji dengan Iman.
Tapi tengok muka Iman pun
gembira beno dia mengadap lontong dari pagi sampai malam.. hahahah.
Nasi beriyani pun dia makan sekali jer..
lontong sampai dua kali.
Tupun.. macam makan empat kali
penuh semangkuk besar.
Tak apalah anak.. selagi ada selera makan, makanlah.
Gemuk pun tak apa.. kih kih kih.
 
Haaa.. inilah lontong ibu Sk
Iman kata banyak-banyak dia makan
Ini yang paling sedap
Tapi Iman ni tak makan tempe
Semua tempe dia letak tepi
Puas Sk pujuk dia
tempe ni sedapppp
sedapppp
tetap dia tak mahu makan
pernah termakan sekali
tapi dia kata tak suka
dua kali limalah dengan babahnya
 
Ibu kalau masak Kuah Lodeh
memang terbaik
santannya tak pecah
tidak terlalu cair
dan tak pula pekat sangat
Ibu juga tak menumis
semasa memasak kuah lodeh
sebab Sk ada perasan
resepi kuah lodeh yang ditumis
sehingga menyebabkan kuah lodeh
jadi berminyak
macam masak lemak cili padi pun ada
tapi terpulanglah
resepi masing-masing
macam sambal
ada orang suka bubuh gula
ada orang tak suka
ada orang suka manis-manis
gitu
 
Cara Sk memasak
banyak mengikut ibu Sk
dan sekarang ni
banyak dipengaruhi
cara ibu mertua
yang selalu Sk perhati
di zaman sihatnya
menumisnya lama-lama
dengan api perlahan giler
Ibu Sk pula
jenis buka api besar
dan tak meninggalkan dapur
kerana takut hangus
jadi cepat siap masakannya
Emak (mertua)
sambil memasak.. menumis bawang untuk kari
siap menyapu daun di laman rumah
cis!
bertuah punya menantu
bukan nak tolong mak mertua tu
huhu
 
Eh!
Tadi nak cerita pasal lontong
dah cerita pasal lain pula
kui kui

Monday, September 28, 2015

AIDILADHA 1436H

Assalamualaikum...
 
DAH 14 Zulhijjah, baru sempat nak ucapkan Salam Aidiladha. Alhamdulillah.. dah lebih 40 kali dapat menyambutnya, tidak tahu mungkinkah masih berpeluang menyambutnya di tahun depan pula. Bagaimana dengan sambutan Aidiladha di tempat anda? Tentu meriahkan. Kali ini Sk menyambut Aidiladha di Johor Bahru. Dan buat pertama kalinya juga Sk menyediakan nasi beriyani sebagai hidangan untuk keluarga kali ini.
 
Sebenarnya, mula-mula tak silaplah ibu Sk merancang nak masak soto. Jadi, ER pun punyalah seronokkan.. mak mertua nak masakkan soto. Tup-tup katanya nak masak Laksa Johor pulak. Lepas tu dah berjanji jugak katanya dengan Iman nak masakkan lontong sebab Iman tak dapat lontong nenek masa raya puasa hari tu. Jadi, disebabkan dua-dua makanan tu ER tak makan.. bolehlah kalau nak makan sikit, makan sampai kenyang tu taklah. Jadi Sk pun tak sampai hati, itu yang terjadinya Nasi Beriyani ni. Kita bukan apa, orang kalau lapar nanti tanduknya mudah keluar. Bercabang-cabang pulak tu. Jadi, sebelum kita pun ikut bertanduk sekali, baiklah kita mengelak dahulu.. ya tak. Jaga perut hati suamilah katakan... huwa huwa huwa.
 
Alhamdulillah... mewah rezeki kali ni. Rasanya inilah kali pertama ada berbagai jenis juadah dalam satu hari raya di rumah kami. Sebab biasanya kalau ibu kata nak masak Lontong tu.. memang yang ada lauk-lauk untuk lontong sahaja. Kalau ibu kata nak masak soto.. memang soto jerlah. kalau Laksa Johor, memang Laksa Johor jerlah. Masing-masing pun puas hati dapat makan apa yang dihajati.
 
Inilah set Nasi Beriyani yang Sk sediakan. Punyalah lambat Sk ni masak. Kalau masuk Masterchef sah-sah terkeluar awal.. hahaha. Sk mula merendam beras basmathi tu jam 10.50 pagi dan cuma mula menumis dekat-dekat 11.45 macam tu. Sambil tu bersihkan ayam dan perap dengan garam dan kunyit. Masa nak masak merah barulah nak potong daging padahal nasi pun dah kering. Tapi sebab Sk tahu, ER tu memang tak boleh makan awal-awal nanti dia cepat lapar tu yang Sk sengaja masak lambat-lambat.. hahah. Dekat pukul 3 jugaklah.. errr ke dah pukul 3 lebih baru dapat mengadap... Nasi Beriyani.. Ayam Masak Merah dan Kurma Daging serta acar jelatah... hebat.. hebat!
 
Sebelum tu pagi raya tu Sk dah makan Lontong dengan Rendang.
ER makan Ketupat Segera dan Rendang.
Iman makan Lontong dengan Rendang.. lepas tu dia balun Laksa Johor pulak.. huhu.
 
 
Apa yang anda faham tentang Lontong?
Sk sejak dulu faham Lontong tu adalah nasi impit yang dimakan bersama kuah lodeh dan sambal kacang. Bila raya, macam-macam lagi aksesori lontong ni antaranya rendang dan serunding. Kalau nak lebih mewah ada ayam kurma dan sebagainya.
 
Haishhhh! Tak keluar pulak gambar Lontong Sk tu...
Grrrrrrr... nanti Sk edit balik naaa...
 
 
 
 
Laksa Johor yang sedap tapi dah nak makan baru sedar taugeh tak ada.
Ibu kata taugeh tak elok.. ooo.. takpalah.. tak dosa pun.
Yang dosa.. timun tu.. amboiiii... macam tengah marah jer hirisannya.. hahahahaha.
 
 
Bagi tidak menghampakan menantu yang rindu nak makan soto.. akhirnya semalam ibu masakkan Soto Daging ni. Yang sebenarnya ibu Sk tak makan ayam.. tu yang kalau masak soto memang akan guna daging. Guna daging lagi mengancam tauuuuu!
Puas hati sangat akhirnya dapat makan soto ni. Dan ER ni memang pelik sebenarnya. Dia tak makan lontong, ketupat makan pulak dan dia jugak tak makan Soto Nasi padahal dia makan ketupat. Pelik betul tekak tu memilih jer. Jadi kita kenalah celurkan bihun khas untuk dia.. urmm... apa-apalah....
 
 
Penutup.. biskut raya.
Bukan Sk yang buat tapi kawan sekerja.. Kak Imah yang sangat rajinnnnn membuat biskut dan segala jenis kek. Pendekkata, kalau dia buat blog.. memang habislah blog korang semua.. hahahaha. 

Wednesday, September 23, 2015

RESEPI BIHUN SUP GITU-GITU

  Assalamualaikum...
 
INILAH yang terhasil bila Pak Inche dah jemu dengan nasi, sambal dan kari.
Nak makan bihun sup yang gitu-gitu aje katanya.
Tapi nanti sekejap dia soh bubuh daging
sekejap dia soh bubuh sotong
sekejap suh bubuh udang
Aik.. tadi kata nak bihun sup yang gitu-gitu
Ni banyak pulak yang nak dibubuhnya
Lagi.. nak soh letak fish ball dan fish cake banyak-banyak
Agagaga
 
 
Bihun Sup Gitu-Gitu
 
Bahan-bahan :
 
Bihun secukupnya.. dicelur hingga lembut dengan air panas suam.. tos dan ketepikan.
 
Bahan Sup :
 
1 - 1.5 L air
2 genggam ikan bilis
4 - 5 ulas bawang putih diketuk dan dipecah-pecah
1 sb minyak bijan
Fish Ball
Fish Cake
Udang
 Sayur Sawi secukupnya
garam secukup rasa
 
Bahan sampingan untuk dimakan bersama :
 
Cili Jeruk atau hirisan cili padi
kicap cair
 
Didihkan air dengan ikan bilis kira-kira 15 minit
Keluarkan ikan bilis dari periuk
Masukkan bawang putih yang dah dipecah-pecah boleh hiris juga jika mahu
dan minyak bijan
biar sup terus mendidih
masukkan pelepah sawi (batangnya)
Fish Cake
Fish Ball
Udang
Biar 3 - 4  minit
Masukkan daun sawi
dan garam secukup rasa
Masak lagi 1 - 2 minit
Siapppp!!
 
Notakaki : Boleh gantikan garam dengan kiub ikan bilis jika suka
Sk memang jarang gunakan kiub atau serbuk perasa dalam masakan.
 
 

Tuesday, September 22, 2015

RESEPI BABY SQUID GORENG MADU

Assalamualaikum...
 
INI antara masakan kegemaran ER setiap kali kami makan di Restoran Makanan Laut.
Tak banyak restoran pun yang ada baby squid ni tapi
biasanya kalau ke Restoran Yeo di Gelang Patah mesti ada.
Kalau tak ada tu hampa jugaklah dia.
Tak musim sotong beranak katanya.. hahaha.
Mehlah Sk kongsikan cara memasak Baby Squid Goreng Madu ni.
Senang sangat.. tak yah nak berempah bagai
yang penting rasanya mabeles.

Baby Squid Goreng Madu
 
500 gm baby sotong (bersihkan, buang tulangnya)
Toskan baby sotong betul-betul
Panaskan minyak yang banyak (untuk goreng tenggelam) dalam kuali
Bila minyak dah betul-betul panas, masukkan sotong
Goreng 2 minit
Angkat dan toskan dalam penapis.. ketepikan
 
Bahan Sos Madu:
 
1/2 sb minyak masak
1 sb cili padi cincang
1/2 labu bawang Holland dibelah-belah
1 1/2 sk gula merah atau gula pasir
2 - 3 sb madu
sedikit kicap pekat
sedikit hirisan nenas dan timun
 
Panaskan minyak masak dalam kuali
Tumiskan cili padi cincang
Masukkan gula dan madu
kacau sehingga ia berbuih-buih
Masukkan sotong dan bawang Holland
Besarkan api, gaul rata sotong dan madu dalam seminit
Tutup api, masukkan nenas dan timun, kacau sekejap.
Siapppp!!
 

Monday, September 21, 2015

PUDING SEDUT GUNA SERBUK DADIH

  Assalamualaikum...
 
Selalu jugak nampak puding ni dijual di dalam botol
di butik-butik yang berkonsepkan
makan dan fesyen
 
Mula
Sk tak tahupun yang dalam botol tu adalah puding
ingatkan jus buah-buahan
rupa-rupanya
puding yang boleh disedut-sedut
hihihi
 
 
 
Kelmarin
Tetiba jer hati teringin
nak cuba buat sendiri
puding sedut ini
terus selongkar kabinet dapur
cari serbuk agar-agar
rupanya tak ada
tapi
Sk jumpa serbuk dadih satu bungkus
perisa vanilla
zaman bila beli tak ingat
bolehkah serbuk dadih ni
menggantikan serbuk agar-agar
dan yang penting
bolehkah ia disedut
slurpppp
slurpppp
??
 
Sk belek bungkusan
nak tengok cara buat
padahal bukan tak pernah buat
tapi mesti nak belek dulu
kot karang terlupa
sebab tak semua jenama
sama cara penyediaanya
 
Sk bercadang
nak buat perisa
Neopolitan
macam ais krim walls
hehehe
 
Vanilla
Coklat
dan Strawberry
 
Krim
Coklat
Merah Jambu
 
tapi tersalah letak perisa yang ketiga
sebab Sk kalau ternampak perisa blueberry
selalu lupa diri
 
Mula-mula Sk timbang dulu serbuk dadih tu
400 gm
Baca sukatan untuk air, susu dan gula
jadi semua sukatan Sk bahagi tiga
 
Leceh jugak rupanya
membuat puding sedut
yang berlapis-lapis warnanya
kerana perlu menunggu
lapisan bawah sejuk
bukannya seketika
 
tapi bila dislurppp
asyiknya memang tak terkata
berpusing-pusing puding berpusing
dalam botol
macam twister
seronok rasanya
dah macam baby tua
 
Puding Sedut Versi Serbuk Dadih
Perisa Neopolitan
 
Bahan-bahan :
Satu bungkus serbuk dadih perisa vanilla
Di bahagi 3/ asingkan
Sk anggarkan setiap bahagian ada 134gms
Chocolate Emulco
Blueberry atau Strawberry Emulco
 
Lapisan Pertama/ Vanilla :
 
Didihkan 1L air bersama 134ml susu cair dan 35 gm gula pasir
Bila dah mendidih, tutup api.
Masukkan 1/3 bahagian serbuk dadih.
Kacau 5 minit.
Masukkan sedikit gula buah-buahan (jika ada dalam bungkusan dadih)
Tuangkan memenuhi 1/3 gelas atau botol.
Biarkan sejuk.
Lebih baik simpan sebentar dalam peti sejuk.
 
Lapisan Kedua/ Coklat :
 
Apabila lapisan vanilla mula membeku barulah sediakan lapisan kedua.
Didihkan 1L air bersama 134ml susu cair dan 35 gm gula pasir
Bila dah mendidih, tutup api.
Masukkan 1/3 lagi bahagian serbuk dadih dan 1/2 sudu kecil Chocolate Emulco.
Kacau 5 minit.
Masukkan sedikit gula buah-buahan (jika ada dalam bungkusan dadih)
Tuangkan ke atas lapisan vanilla sehingga memenuhi 2/3 gelas atau botol.
Biarkan sejuk.
Lebih baik simpan sebentar dalam peti sejuk.
 
Lapisan Ketiga/ Strawberry atau Blueberry :
 
Apabila lapisan coklat mula membeku barulah sediakan lapisan kedua.
Didihkan 1L air bersama 134ml susu cair dan 35 gm gula pasir
Bila dah mendidih, tutup api.
Masukkan bahagian terakhir serbuk dadih tadi dan 1/2 sudu kecil Blueberry atau Strawberry Emulco dan beberapa titis pewarna ungu (atau pink untuk strawberry).
Kacau 5 minit.
Masukkan sedikit gula buah-buahan (jika ada dalam bungkusan dadih)
Tuangkan ke atas lapisan coklat sehingga memenuhi gelas atau botol.
Sejukkan di dalam peti sejuk
 
Syok gila menyedutttt!
 
 
 

Sunday, September 20, 2015

MAKAN DI 'THE BRIDGE'

  Assalamualaikum...
 
Lama sungguh Sk tak bercerita di sini. Sibuk ke Sk?
Ada yang tanya...
Tak ada cerita? Tak juga..
Lebih kepada tak ada idea.. rasa macam..
kosong..
kosong..
kosong..
gitew
 
Kadang-kadang terfikir
masih relevan lagikah berblog?
Masih ada lagikah orang yang nak baca
cerita merapu kita
huwa huwa huwa
di kalangan teman blogger sezaman Sk
ramai yang sudah pencen menulis
terutama blogger masak memasak
tapi Sk salute
dengan Che Mat Gebu
yang lebih dahulu berblog
dan dianggap otai
di kalangan blogger
tak pernah jemu
berkongsi resepi masakan
walaupun kadang beliau memasak benda yang sama
tetapi ideanya tetap segar
dan berbeza-beza
tak hairanlah beliau
dikagumi seantero Tanah Melayu
 
Sk nak jadi macam tu?
Jauh panggang dari api
umpama langit dengan bumi
 
huhuhu
 
Peristiwa beberapa malam sudah
Sk malas nak memasak
sebenarnya dah tak tahu nak masak apa
kari sambal
sambal kari
kadang-kadang goreng telur dadar
kadang-kadang goreng telur mata kobau
tuang kicap
hehehe
 
untunglah ada Pak Inche
yang kadang-kadang pun bosan
asyik makan benda yang sama
kekeke
lalu Sk mengajak Pak Inche pergi ke bawah jambatan
yang ada jual makan-makan
 
 
Apa-apa.. kita minum dulu!
Iman... Vanilla Shake.. sedap..
manisnya hingga ke titisan terakhir
ER... Ice Lemonade
Sk.. Hot Lemonade.. ada rasa soda
 
tengah-tengah syok minum
tetiba disapa seseorang yang dikenali
kawan sekolah Sk rupanya
dan The Bridge ini milik suaminya
ternganga sekejap Sk
hehehe
 
Dan Sk sangat berharap
Sk tidak akan 'bias' dalam memberi pendapat
tentang makanan di sini
disebabkan ia milik suami kawan Sk
nanti orang cakap
mentang-mentanglah kawan dia
dia nak promo baik punya
hahaha
 
Sebenarnya Sk nak makan pasta
tapi disebabkan pasta yang Sk nak tu tak ada
(tak ingat nama pasta tu)
jadi
kenapalah mulut ni
boleh tersebut burger
errrr
tak berbaloi betul minta burger
haishhh!
 
Tapikan... tapikan..
Tak menyesal pun ambil burger tu
sebab ia menggunakan patty home made
bukan daging burger biasa
Sk suruh ER rasa daging tu dan komen
ER kata sedap..
cuma masin sedikit
kentang goreng tu best tau
rangup dan gebusss
Sk bagi 4 bintang
 
 
Ini pilihan ER dan Iman
Dua beranak ni memang selera sama
dan suka order makanan yang sama
ini Grilled Chicken Chop
tak faham Sk
pergi mana-manapun nak makan Chicken Chop
hahaha
 
Lama jugaklah nak menunggu Chicken Chop ni masak
Tapi kata ER tak apa
sebab berbaloi
kerana ia dimasak dengan begitu sempurna
dan sos yang begitu mewah rasanya
dan masih panas lagi
ketika dihidang ke meja
ER bagi 5 bintang tau!!
 
 
The Bridge
Lokasi : Jalan Wadihana, Johor Bahru
Buka : Rabu hingga Isnin mula 4.30 petang
Tutup Selasa 
Untuk tempahan atau pertanyaan : 0127757405 

Thursday, September 17, 2015

MESIN TART.. ALAH MEMBELI MENANG MEMAKAI (UPDATE)

ASSALAMUALAIKUM...


ALHAMDULILLAH... ramai pembeli yang berpuas hati menggunakan mesin penekan kulit tart atau tart shell ini. 'Alah membeli, menang memakai' walaupun harga mesin tart ini sedikit mahal namun 'kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya', ya tak? Amboiiiihhh, asyik main peribahasa jer Sk hari ni ya. Dahlah semalam ada peribahasa baru.. apa tuuuu.. 'Sayang anak tangan-tangankan, sayang isteri belikan emas', gitewwwwwww.. hahahaha.


Bila ramai yang suka dan seronok menggunakan mesin ini, Sk pun dua kali seronok. Sekurang-kurangnya dengan membeli mesin ini pembeli tahu ia bukannya satu pembaziran. 'Yang pipih tak akan datang melayang tau, yang bulat tak akan datang bergolek.' Mesin tart ini Sk anggap sebagai mesin buat duit. Haaa.. bukanlah kita cetak duit guna mesin ni. Kalau boleh cetak duit, dah lama Sk kaya raya tau, hehehe.

Suarti adalah pelanggan Sk dari Sandakan, Sabah
Dengan mesin ini anda bukan sahaja boleh membuat tart anda sendiri malah boleh juga menjana pendapatan. Sk ingin beritahu anda, Sk cuma menjual mesin yang Sk sasarkan manafaatnya untuk anda. Sebab itu, bagi sesiapa yang pernah berurusan dengan Sk, kalau perlukan khidmat nasihat sebelum membeli sebolehnya Sk akan bantu apa yang Sk mampu dan tahu. Sk sedia juga memberikan khidmat selepas jualan. Nak tanya tentang apapun (yang berkaitan dengan mesin dan resepi serta petua) Sk akan bagitahu. Kalau anda tak beli mesin dari Sk pun, InsyaAllah.. Sk tak pernah membiarkan soalan anda terkapai-kapai tanpa jawapan. Lambat atau cepat Sk akan jawab, InsyaAllah.


Untuk menggunakan mesin ini, tak susah pun sebenarnya kerana mesin ini 100% dikendalikan secara manual dan tiada penggunaan elektrik ya. Anda cuma perlu balut tombol-tombol penekan doh dengan plastik nipis macam plastik yang biasa kita dapat kalau beli bawang lada sayur kat pasar tu. Kalau tak dibalut dengan plastik, nanti doh anda akan melekat pada tombol tu. Lepas dah siap balut semua tombol dengan plastik bolehlah mula mencetak tart shell. Jangan lupa sediakan dohnya dahulu.


Masukkan sahaja doh sebanyak 3/4 acuan tak perlu ditimbang atau disukat atau dibulat-bulat. Nak penuh-penuh pun boleh juga tapi nanti banyak pulak nak kena trim. Ingat ya, mesin ini cuma cetak lubang tart shell sahaja. Bentuk tart shell ditentukan oleh acuan anda yang diletakkan dalam lubang mesin tu. Maksudnya wajib ada acuan anda sendiri. kalau tak ada, bolehlah beli juga dengan Sk atau dapatkan di kedai bakeri berhampiran anda. Lepas tu tekanlah tombol itu ke dalam acuan anda yang telah diletakkan doh tu. dah tekan angkat.. jangan terkejut pulak tengok semua acuan yang ada doh tu melekat pada tombol tu ya. Tarik keluar perlahan, nanti tengoklah cantik sahaja doh anda tercetak :))))))




Cara Sk bekerja, Sk akan isi semua acuan dengan doh dahulu sehingga habis. Kemudian barulah Sk mula mencetak atau menerap doh tart shell. Pap! Pap! Pap! Sammmmmpai habis semua doh dalam acuan diterap barulah Sk trim atau kemaskan kelililing doh tart shell. Ulang semula mengisi acuan dengan baki doh dari doh yang ditrim tadi. Pastikan anda mempunyai sekurang-kurangnya 100 acuan untuk satu adunan. Kalau orang berbisnes, memang tak mainlah kan buat satu adunan. Sekurang-kurangnya sekali hayun tu dua adunan dan kalau dulu tak ada mesin berejam-rejam kita mengadap adunan tu, dengan mesin ni, tak sempat cerekarama habis, dah siap dua adunan dibakar. Silap-silap dah boleh menyandar sambil minum kopi tau.

Mak Tok dari Brunei pun beli tau
Hah, tak mahu ke mesin ni? Ramai yang beritahu Sk, tak sanggup lagi nak mengadap doh sebesen. Menekan kulit tart dengan jari sambil diiringi bunyi cengkerik sehingga azan subuh berkumandang?? Orang lain lena diulit intan, kita terlena mengulit tepung. Zaman dah berubah, jadi marilah ubah kehidupan kita. Jom beli mesin tart dengan Sk dan turuti jejak pelanggan-pelanggan yang pernah berurusan dengan Sk. Dari Perlis sampailah ke Sabah.. malah sehingga ke Brunei pun ada. Sampai ada yang Sk dah tak ingat namanya sebab kebanyakan kami cuma berurusan melalui telefon.
Kak Ilah JY yang kreatif... Kuala Lumpur
Kepada pelanggan-pelanggan yang pernah berurusan dengan Sk, di sini Sk ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat maju jaya dan terima kasih banyak-banyak di atas kepercayaan yang anda berikan terhadap Sk. Sk tahu, bukan mudah nak berurusan melibatkan wang ratusan ringgit lebih-lebih lagi anda tidak pernah bertemu Sk. Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan mesin tart ini anda bolehlah menghubungi Sk melalui panggilan, sms atau whatsapp di 0127844524. InsyaAllah, setiap pertanyaan akan dibalas.

Shaza Bakers Melaka

Azizaton.. KL

meletops gitew!! AyuZa.. dari Kota Kinabalu, Sabah.
Berminat untuk mendapatkan mesin ini??

Hubungi Sk
                      0127844524 (panggilan, sms atau whatsapp)

sila nyatakan saiz acuan dan kawasan tempat tinggal anda.

cara mengukur acuan




BORA OMBAK

Assalamualaikum... MAJLIS perkahwinan antara Ellyz dan Auzaie ini berlangsung di Bora Ombak,  Putrajaya pada 16 Julai lalu. Awal-awal lagi ...