MESTI KLIK

Sahabat Seri Kandi

Pada-Mu Ku Bersujud

Pada-Mu Ku Bersujud

Labels

aaron aziz aboo acar ady putra aidilfitri ais krim apa cerita apam asam pedas award ayam bali Bandung Batam BelangaSatu belasungkawa belimbing bengkel bihun biskut raya blogger bloglist blueberry BMI Boboiyot bola Bono boycott buah burasak burger cake in jar cendawan cerita bersiri coconut shake coklat cookies cookies & ginger cream puff cucur cuti jumaat cutiecakemaker daging diabetes doa donut durian embun fear factor malaysia fettucinne filem GA goreng gulai kawah gunung kinabalu gyoza hari lahir hidayah ikan ikan bakar Ilham Iman itik jalan-jalan jeruk Johor jus kad kaki kambing Kapten Zaharie karaoke kari kasut keju kek kek cawan keluarga kenangan kentang kepala kerutub ketam kisah pelajarku kucing kuey teow kuih melayu kuih tradisi kurma laksa laksa janggus lala lawak legoland legoland water park lembu lemon lempeng lepat link best lobster lontong love u mr arrogant macaron makan makanan laut mangga MAS masakan barat maulid meatball medan mee melaka merdeka mesin MH17 minuman mistik monopod muffin Munduk myChef Mykad nangka nasi nasi ayam nasi padang nenas ngeteh no label novel nukilan untuk teman nutella ombre oreo page Pak Chu Pak Itam panduan pasta pastri pau pavlova Pekanbaru Penang pencuci mulut pengantin penne petua pie pie maker pisang pizza pod premix promo pulut racun rahsia rainbow cake ramadan ramadhan raya red velvet rendang resepi adigun resepi ibu Riau rock roselle roti roti canai roti jala rumah terbalik sabah safee sali saja salam salam maulid sambal sardin sayur sejarah selfie semur seram SeriKandi Cintaku siput soto sotong spaghetti sup swans cream puff tagged tapai tart tauhu tayar tazkirah Teluk Kumbar telur tempahan tempoyak terbang tetel tinggi tomato tortilla tudung tulang twisties ubi udang ulangtahun perkahwinan untuk dijual upin ipin villa nabila wang western wheels wordless wednesday yang popular Yaya zonan

Search Alam Sari

Loading...

Wednesday, October 28, 2009



SUDAH lama rasanya saya tidak menonton pementasan teater. Rasanya kali terakhir saya menonton Roh Semberani karya Rahimah Muda yang dipentaskan di Auditorium RTM, Johor Bahru, tahun lalu.
Dan kalau anda tinggal di Johor, anda tidak akan selalu berpeluang untuk pergi menonton teater kerana acara ini agak kurang dipersembahkan di sini berbanding di Kuala Lumpur yang saya rasa saban minggu setiap kali menyelak helaian akhbar ada sahaja pementasan dilakukan sama ada oleh persatuan teater kecil atau yang masih merangkak. Lebih gah lagi jika ada persembahan teater di Istana Budaya yang pastinya mendapat publisiti yang meluas oleh pihak akhbar dan majalah.
Sekali lagi, kali ini sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 Negeri Johor, karya Rahimah menjadi pilihan untuk dipentaskan. Rahimah bukanlah orang asing bagi saya kerana kami pernah rapat sejak sama-sama mengikuti kursus kewartawanan di Teluk Mahkota, Kota Tinggi, Johor pada akhir Ogos 1996. Hubungan kakak dan adik terus terjalin sehingga hari ini di mana saya sering menjadikan beliau sebagai ikon bahawa usia bukan penghalang untuk seseorang mula berkarya.
Dengan barisan artis dari Persatuan Teater KESUMA-I, Johor Bahru dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Johor, kali ini Rahimah mementaskan teater Srikandi Tanah Jauhar yang menyorot kisah silam berlatar belakang dua zaman.
Saya yang datang berdua sahaja dengan anak yang nampaknya begitu teruja kerana kali pertama menonton, memilih untuk duduk di baris hadapan di deretan kerusi bertangga auditorium dengan harapan dapat melihat dan mendengar dengan jelas apa yang berlaku di atas pentas.
Mengikut sinopsis, Srikandi Tanah Jauhar yang dipentaskan dua hari berturut-turut pada 23 dan 24 Oktober lalu di Auditorium RTM, Johor Bahru mengungkap kegigihan anak-anak muda dalam memperjuangkan maruah bangsa dan tanah air. Johor pernah memiliki wilayah yang amat luas meliputi Terengganu, Kepulauan Riau melangkaui Pahang, Singapura dan selatan Semenanjung Tanah Melayu malah Johor itu berasal daripada perkataan ‘jauhar’ yang membawa makna ‘permata’ oleh pedagang-pedagang dan pendakwah dari Timur Tengah.
Srikandi Tanah Jauhar berlatarbelakangkan dua zaman. Zaman Bongkok sekitar awal tahun 1800, digabungkan dengan latarbelakang Tun Fatimah sekitar tahun 1500. Perjuangan dengan jiwa raga, darah dan airmata dalam menegak kedaulatan tanah tumpah darah, mempertahankan idealogi sedia ada serta menghapuskan ideologi lapuk yang membebankan orang kebanyakan. Mereka menjadi lagenda kepada para pejuang masa kini. Perjuangan melalui kuasa politik diteruskan dengan mengambil semangat daripada roh-roh pejuang yang tubuhnya telah lindap di bawah lapisan tanah namun semangatnya masih mengapung tekad cekal generasi warisan masa kini.
Bongkok mewakili anak muda yang perkasa dan berani yang mendahului zamannya. Dia menegakkan keadilan sosial dan perjuangan yang dipercayai benar dengan keperkasaannya.
Sebenarnya, kerana saya selalu sangat menonton filem-filem P Ramlee sejak kecil hingga kini, apabila saya cuba menyelami watak pejuang Bongkok, saya selalu sahaja dibayangi watak Bongkok dalam Sumpah Orang Minyak sehingga adakalanya saya menjadi keliru dengan kedua-dua watak ini.
Ada juga masanya ketika menyanyikan lagu tradisional Tanjung Puteri (saya memang suka menyanyi) apabila tiba pada baris ‘pusara si bongkok di lereng bukit’ saya pasti akan membayangkan P Ramlee yang bongkok dengan bonggol di bahunya dalam Sumpah Orang Minyak. Hahaha… mungkin kerana itu watak Bongkok sukar betul hendak masuk dalam kepala saya lebih-lebih lagi agak kurang berkesan watak pejuang yang dibawakan oleh Kamaruddin Abd Rahman ini mungkin kerana kekangan masa satu setengah jam. Saya lihat Bongkok hanyalah seperti anak-anak muda yang suka bergurau dan bercerita sahaja dengan dua sahabat baiknya Awang (Mohd Yatim Abd Karim) dan Daeng Alik (Muhammad Mukmin Mohd Khamis)serta mempunyai ramai sahabat yang suka padanya.
Sekali lagi keliru, kerana dalam Sumpah Orang Minyak, Bongkok dipulaukan oleh penduduk kampung.
Di sinilah hadirnya Pak Tua (Mohd Afendi Sarban) yang menceritakan tentang Tun Fatimah kepada Si Bongkok dan kawan-kawannya.
Tidak seperti Tun Fatimah yang mana saya seperti sudah sebati dengan watak beliau yang merupakan anak kepada Bendahara Tun Mutakhir yang telah dihukum bunuh kerana dikatakan menderhaka kepada sultan. Malah bukan sahaja bapa tetapi suami yang baru dinikahi serta saudara kandungnya turut dibunuh.
Tun Fatimah (Liyana Mustafa) digambarkan walaupun dipaksa berkahwin dengan Sultan Mahmud Syah (Zulkifle Abdul Majid) yang telah membunuh keluarganya tetapi beliau masih mencari ruang berjuang mengikut kemampuan keperempuanannya walaupun pada masa itu wanita dikatakan masih dicawat besi kebebasan minda dan tubuhnya . Tun Fatimah walaupun lembut tetapi cekal berani. Semangat Tun Fatimah tidak luput ditelan zaman kerana ia masih tumbuh dalam jiwa sebahagian gadis-gadis zaman ini dengan perspektif dan cara berbeza sesuai dengan perubahan zaman.
Apabila Melaka diserang Portugis, Sultan Mahmud Shah, Tun Fatimah dan pengikut-pengikutnya telah melarikan diri memudiki Sungai Johor sehingga akhirnya Sultan Mahmud Shah membuka Johor Lama yang kini terletak di Kota Tinggi.
Rahimah sendiri turut membuat penampilan khas sebagai Emas Tempawan yang muncul apabila Bongkok dalam keadaan sedih dan kesal kerana tertikam sahabat baiknya Daeng Alik.
Kini perjuangan Srikandi Tun Fatimah dan Bongkok disambung dengan perjuangan pemimpin-pemimpin-pemimpin di selatan Semenanjung Tanah Emas (Tanah Melayu). Sama seperti galuran sejarah- Johor menjadi pewaris dalam menyambung kejatuhan kerajaan Melayu Melaka. Dalam menegakkan isu-isu ketuanan dan kebangsaan, Johor masih relevan menjadi kubu terakhir medan penegakan bangsa berdaulat hingga berzaman-zaman berikutnya.
Sesungguhnya perjuangan tidak pernah mengenal zaman. Akan terus sambung-menyambung selagi bumi masih berputar, selagi manusia masih bernafas.
Akhir sekali saya ingin merakamkan tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan pementasan ini dan juga kepada semua penaja kerana tanpa anda tentulah orang Johor kempunan menonton teater di negeri sendiri.

Sunday, October 25, 2009

MISTERI TELUR AYAM


Rumah ibu gempar lagi. Kali ini dengan penemuan 9 biji telur ayam yang diletakkan di dalam nyiru beralaskan suratkhabar dan disorok pula di bawah katil di bilik atas. Suasana agak mengelirukan kerana termasuk yang ini, sudah tiga kali kisah telur ayam membuatkan suasana rumah agak kelam kabut.
Segalanya bermula apabila ibu, Angah, Aini dan anak-anak Angah pergi ke Melaka beberapa bulan lepas. Mereka keluar bersaing dengan Abang Jamal (suami Angah) yang hendak pergi bekerja. Apabila pulang dari Melaka, ibu dapati keadaan atas meja makan tunggang langgang dengan kuah yang tertumpah di atas meja. Di atas dapur pula ada kuali yang telah digunakan untuk menggoreng telur.
Angah bertanya dengan Abang Jamal, " awak goreng telur ke bang?" Abang Jamal tak mengaku. Lalu persoalan itu dibiarkan tanpa jawapan.
Hari Khamis lepas, sewaktu mengemas di ruang tamu, Angah terjumpa sebiji telur di atas TV. TV di rumah Angah ada bahagian yang agak lekuk sedikit di atasnya membuatkan telur itu tidak akan tergolek ke bawah. Angah bertanya kepada anak-anaknya, masing-masing tidak mengaku meletakkan telur tersebut di atas TV.
Angah pening kepala, jika ada 'sesuatu' yang menumpang di rumahnya.
Dia teringat tentang telur sebanyak 2 papan yang baru dibeli sudah luak lebih 10 biji. Kebetulan hari itu Yaya datang ke rumah ibu kerana cuti Deepavali. Angah fikir, takkanlah Yaya makan telur banyak sangat. Perlahan Angah bertanya ibu, "kenapa telur macam tinggal sikit?"
Ibu menjawab, "budak2 ni satu hari makan 3 biji seorang.." ialah, pagi sekali, tengahri dan malam. Angah pelik, tapi telur itu memang banyak luaknya.
Pagi sabtu, Aini naik ke bilik atas untuk mencari speaker komputer. Sekejap saja dia sudah turun dan menghampiri ibu. Aini memanggil ibuku, mak. Begitu juga dengan Angah.
"Mak, ada telur bawah katil."
Ibu menyuruh Aini membawa telur yang ditemui itu turun. Aini tak berani. Akhirnya ibu naik ke atas. Sekejap lagi ibu membawa telur yang diletak dalam nyiru beralaskan suratkhabar yang disusun berlapis2. Angah betul-betul pening dan risau. Dia menyuruh Aini pergi mencari orang yang pandai 'menengok' bagi merungkai misteri penemuan telur kali ini.
Aini telah bersiap2 untuk keluar. Angah masih tidak puas hati. Hatinya berkata sesuatu, lantas dipanggilnya anak sulungnya Izat.
"Ni ibu nak cakap, sebelum Cik Ani pergi rumah nenek, tengok siapa yang buat telur tu, baik cakap, siapa yang letak telur tu?"
Haha... dalam tersedu akhirnya Izat mengaku dia yang meletakkan telur tersebut. Tujuannya?... sambil mengesat air mata, Izat berkata, "Izat nak tengok anak ayam... huhu.." Ha, kesiankan anak-anak zaman sekarang, tak pernah tengok anak ayam apatah lagi merasa pengalaman dikejar ibu ayam.. Aku yang mendengar cerita Angah, ketawa tak berhenti.. Dia jugalah yang meletakkan telur ayam di atas tv dengan harapan suhu panas tv akan membuat telur itu menetas. Bayangkan kalau telur itu boleh menetas, apa jadi dengan tv tersebut.
Bagaimanapun kisah kuali atas dapur tiada siapa yang dapat merungkainya..

Monday, October 19, 2009

Cuti Di Mana?


Salam,apa khabar semua, semoga di hujung Syawal ini semuanya sihat-sihat belaka. Sesiapa yang dah naik berat badan tu bolehlah plan untuk berdiet dan bersenam. Jangan dibiarkan lemak-lemak di badan anda menjadi lemak tepu ye.. hehe.

Mmm, saya nak cerita tentang pengalaman bercuti sempena Deepavali kali ni. Ini bukanlah percutian saya yang pertama tapi sebab ini blog saya yang pertama jadi percutian yang lepas-lepas tu tak termasuklah dalam senarai. Tapi kalau tiba-tiba teringat pengalaman yang menarik tu, bolehlah saya cerita kemudian.

Hmm, ada ke yang nak baca, tapi terpulanglah. Seperti niat asal saya, hanya nak meneruskan minat dalam bidang penulisan ni. Saya masih ingat seorang cikgu semasa saya bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Rimba Terjun, Pontian, Johor. Namanya Cikgu Salina Sulaiman. Beliau selalu memuji karangan saya. Ha, bakat tu memang dah ada sejak sekolah rendah cuma tidak dipupuk. Akhirnya terkubur sehinggalah saya menceburkan diri dalam bidang kewartawanan pada akhir tahun 1996. Tapi cuma dapat bertahan sehingga tahun 2000 apabila saya menumpukan sepenuh perhatian pada rumahtangga.

Berbalik cerita pasal percutian tadi, kali ini destinasi pilihan suami saya ialah di Swiss Garden Resort & Spa, Kuantan, Pahang. Memang pilihan suami kerana percutian kali ini ditanggung sepenuhnya tanpa saya perlu membelanjakan seposen pun. Almaklumlah.. lepas-lepas raya ni.. hihi.

Ini kali ketiga saya datang bercuti ke Kuantan. Kali ini kami lebih arif tentang jalan-jalan di sini ( kawasan pantai sahajalah). Kalau sebelum ini kami biasanya akan menghala ke bandar Kuantan dahulu tetapi kali ini kami melalui jalan pintas iaitu masuk ke simpang Tanjung Lumpur. Jadi perjalanan yang biasanya hampir 5 jam kini jadi 4 jam sahaja.

Kami keluar rumah lebih kurang pukul 7.30 pagi. Yang bestnya anak kami, langsung tak tau perancangan kami. Yang dia tahu, dia akan mengikut saya ke pejabat kerana semua beg pakaian telah dimasukkan awal-awal ke dalam kereta dan pakaian saya kemas ketika dia menonton tv di bilik saya.

Selepas bersarapan nasi lemak di Gerai Pak Usop yang terkenal di Bandar Baru Uda, kami pun bergerak. Kali ni anak saya sudah mula menghidu perancangan kami. Berkali-kali dia bertanya. Akhirnya saya menjelaskan kami akan pergi ke tempat 'kita melepaskan anak penyu dulu, ingat tak?'

"Habis, takkan tak bawa baju?" tanyanya.

Saya suruh dia menarik kerusi belakang dan melihat dalam boot kereta. Hmm, melonjak-lonjaklah dia.

Sampai di Rompin yang terkenal dengan udang galah, suamiku bertanya kalau hendak berhenti makan. Perutku masih kenyang, begitu juga Yaya. Kami mengambil keputusan meneruskan perjalanan.

Sebaik sampai di Tanjung Lumpur, kami meninjau kawasan pantai di sana yang terkenal dengan makanan laut dan ikan bakar. Kami merancang untuk makan malam di sini malam nanti.

Kami sampai di Swiss Garden lebih kurang pukul 1.00 tengahari. Proses check-in tidak sampai 15 minit dan kami diberikan kunci bilik yang mengadap laut. Selepas berehat seketika dan bersolat, kami turun ke bawah meninjau kawasan sekitar. Anakku dah tak sabar untuk terjun ke kolam. Kami memujuknya supaya turun mandi ketika cuaca redup sedikit nanti.

Suamiku mengajak mencari makanan tengahari. Haha, kerana memikirkan hendak simpan perut untuk makan malam nanti kami mengambil keputusan untuk pekena cendol dan rojak di caravan berhampiran pekan Pantai Balok.Bila terpandang bungkusan maggi, saya pun minta maggi. Yaya pula sibuk nak belanja kami makan. Bila bil dikira kembang hatinya dapat belanja kami.

Kami singgah di Natural Batik Village. Suamiku memilih beberapa helai baju kemeja batik untuk dipakai pada majlis rasmi, tapi satu sahaja yang berkenan. Saya memilih sehelai skarf dan Yaya sibuk hendakkan key-chain. Selepas membayar, kami pulang ke hotel kerana Yaya dah tak sabar nak mandi kolam.

Selepas beberapa minit kami turun ke laut. Seperti biasa Yaya memang tak suka mandi laut. Lebih-lebih lagi suami dan yaya mengadu di cucuk-cucuk binatang yang tidak diketahui maka kami pun naik dan terjun semula ke kolam.

Saya hanya turun sekejap ke dalam kolam, akhirnya tinggal suami yang melayan anak mandi. Saya lebih selesa duduk berehat sambil melayan facebook, ha.. itulah kegilaan saya sekarang.

Selepas maghrib kami menuju ke Tanjung Lumpur. Kami membuat keputusan memilih Restoran Ana Ikan Bakar Petai yang berwarna hijau kerana ramai pelanggan di situ.
Kami memilih menu sepeti biasa dan Ikan Pari Bakar Petai. Pernah dengar tak? Kami pun pertama kali dengar jadi rasa hendak mencuba.

Boleh tahanlah masakan di sini, tapi Ikan Bakar petai memang bukan taste kami.. hehe.
Harga berpatutan kot..

Sedang enak menjamu selera, tiba-tiba hujan turun selebat-lebatnya. pekerja restoran sibuk menurunkan bidai bagi mengelakkan tempias. Memandangkan tempat tersebut betul-betul di tepi pantai, kecut juga isi perut. Yaya duduk rapat dengan saya kerana takutkan petir yang sabung menyabung.

Suasana mula kecoh sedikit apabila petir yang paling kuat sehingga restoran black-out. Huhu... nasib baik ada emergency light, jadi taklah gelap sangat dan ia pulih tidak sampai 10 minit.

Kami pulang dalam hujan lebat kerana sudah tak sanggup menunggu hujan teduh. Sampai di lobi hotel, suami dan anak mengajak berehat di lobi, tetapi saya menolak kerana nak mengejar drama Nur Kasih yang berbaki setengah jam lagi. Jadi saya naik seorang meninggalkan mereka berdua.. hehe, Nur kasih punya pasal.

Belum pun Nur Kasih tamat, mereka sudah sampai ke bilik. Malam itu saya bercucuk tanam di ladang Farmville kesayangan sehingga jam mencecah angka 1 pagi.

Hari kedua di Kuantan, kami bersarapan kira-kira jam 9.00 pagi disimbah cahaya matahari. Ni semua pasal suami saya perokok orangnya jadi kami memilih makan di meja yang terletak di luar cafe.

Selepas bersarapan, kami mengambil gambar di persekitaran dan terus naik ke bilik. Suami menyuruh Yaya menyambung latihan Pemahaman dan Bahasa Inggeris. Manakala saya pula membayar hutang tidur malam tadi hingga waktu Zuhur.

Tengahari itu, kami bercadang untuk makan nasi berlaukkan gulai kawah. Lapar punya pasal, sampai saya terlupa nak ambil gambar gulai Kawah tu. Tapi ada satu cerita kecoh sebelum kami keluar apabila suami menyedari kunci kereta tak ada di mana-manapun.

Suami mula panik. Saya menyuruhnya bertenang walaupun dalam hati teramatlah risau, maklumlah kami sekarang jauhnya 4 jam perjalan dari Johor Bahru. Suami mengambil keputusan untuk bertanya di lobi jika ada sesiapa terjumpa kunci kereta. Saya meminta tolong Yaya mencari kunci.

Entah apa yang membantu apabila Yaya dengan mudah menjumpai kunci di dalam zip hadapan porch beg suami di atas katil. Kami bergegas turun, nasib baik saya ingat mencapai kad bilik. Lega rasa hati.

Selepas itu, kami terus menuju ke Gerai Gulai Kawah yang saya terpandang semasa dalam perjalanan hendak pekena cendol semalam. Menariknya di sini, gulai kawahnya dihidangkan bersama sayur pencok dan ikan kering. Memang lembut dagingnya dan tidak dicampur dengan batang pisang (seperti di sebelah utara)dan organ dalaman yang lain. Bagi sesiapa yang datang ke sini, gerai gulai kawah di sini memang banyak, tapi saya cadangkan anda makan di Gerai Gulai Kawah di sebelah kiri menghala ke Terengganu berdepan dengan Pantai Balok berhampiran dengan KFC. Ada papan tanda besar warna putih yang bertulisan merah 'Gulai Kawah'. Di depan kedai ada diletakkan banyak buah kelapa muda. Cubalah, memang puas hati.

Selepas makan kami menuju ke Sanctuary Penyu, di Cherating. Sampai di sana kami lihat tidak banyak telur penyu yang hendak ditetaskan. Tidak seperti sebelum ini di mana kami berpeluang melepaskan anak-anak penyu ke laut. Bagi anda yang nak pergi ke tempat ini, Sanctuary Penyu ini terletak bersebelahan dengan Club Med. Jangan keliru ye antara Sanctuary Inn dengan Sanctuary Penyu.

Apabila kami meninggalkan Cherating, cuaca mula gelap. Kami sempat singgah membeli keropok. Airmata Yaya bergenang kerana petir dan kilat tidak memungkinkan dia dapat berendam di kolam petang itu.

Sampai di hotel, kami melihat staf-staf hotel sedang mengarahkan agar kolam dikosongkan. Barulah Yaya lebih tenang kerana bukan dia seorang tidak boleh berendam tapi semua orang tidak dibenarkan berada di dalam kolam.

Petang itu, kami mengambil keputusan untuk membakar kalori di gymnasium. Saya berlari di atas treadmill hampir setengah jam apabila hujan mula berhenti. Saya mengajak Yaya mengambil kad pool di bilik dan terus ke kolam manakala suami meneruskan rutin di gym.

Malam itu, kami fikir nak makan di kedai mamak sahaja kerana tiba-tiba rasa nak makan makanan India. Satu-satunya restoran mamak di sini ialah Restoran Aliff yang terletak berhampiran 7eleven. Suami saya memilih untuk makan tosei dan Yaya hendak makan roti telur. Saya tiba-tiba rasa nak makan roti nan pula yang ayamnya kami ratah bertiga.

Esoknya selepas bersarapan kami melayan Yaya yang turun seorang ke kolam. Semua barang dan pakaian awal-awal telah saya kemaskan. Pukul 11 pagi saya memaksa Yaya naik. Mungkin keletihan, Yaya tidak banyak alasan.

Saya mengambil kereta di parkir sementara menanti suami menyelesaikan bayaran. Pelan asal hendak makan gulai kawah lagi dibatalkan kerana masing-masing masih kenyang.
Sampai di Pekan, kami bercadang hendak minum cendol dan makan rojak di pinggir Sungai Pekan, tapi tiba-tiba terpandang Gerai Capati. Tanpa memikir lama , kami melintas jalan dan terus memesan sekeping capati setiap seorang.

Memang tak patut, tiga keping capati dengan kari ayam yang dipotong kecil-kecil yang kalau dicantum-cantum pun masih kecil beserta milo ais, limau ais & limau suam '0' berharga RM13. Sambil menuju ke kereta kami berkata, sekali ajelah kita makan kat sini.

Kami meneruskan perjalanan dan berhenti di Endau untuk membeli sedikit udang dan ketam yang entah bila hendak memasaknya. Kami berhenti juga di Mersing membeli sedikit keropok lekor kerana tak tahu juga bila ada masa untuk menggorengnya. Kami singgah di rumah ibu menghantar keropok lekor yang dibeli tadi.
Sampai di rumah jam menunjukkan hampir 7 malam yang menjanjikan kerja rumah yang tidak pernah selesai.. hehe..

Thursday, October 15, 2009

Blog Pertama

Tengok semua orang ada blog, saya ingat saya pun nak jadi blogger juga. Tapi saya nak jadi blogger yg baik, yg tak kacau orang dan tak sentuh sensitiviti mana-mana pihak.
Just meneruskan minat menulis yang dah terkubur bersama cinta.. hehe.

DEMI MASA

MENGHITUNG HARI

Anda Sukakan Ini?