asyiknya Kota Bandung kalau ada banyak rupiah...

Seri Kandi Tanah Jauhar
1

HARI kedua di Bandung, saya dan suami bangun awal. Suami saya awal-awal lagi telah menyewa kereta bersama pemandu bagi memudahkan pergerakan kami di sini. Saya dari mula memang tidak banyak membantah.. walaupun pada mulanya memikirkan kos RM150 terlalu mahal untuk tempoh 12 jam tetapi fikiran saya berubah kerana ini akan lebih memudahkan kami yang tentu tidak mahir selok belok di kota ini. Lebih-lebih lagi seorang teman pernah memberitahu ada yang mengenakan sehingga 1Juta Rupiah untuk perkhidmatan yang sama iaitu lebih kurang RM364.
Satu perkara menarik mengenai hotel kami menginap ini ialah adanya persembahan Saung Angklung Udjo iaitu sejenis muzik tradisional masyarakat Sunda yang dipersembahkan setiap hari bermula jam 3.30 petang. Tetapi memandangkan kami kesuntukan masa, saya tidak berpeluang menikmatinya lebih lama.
Kami selesai bersarapan kira-kira jam 7.30 pagi. Masih awal kan.. tapi waktu ini cahaya fajarnya sudah cerah seperti pukul 9 pagi. Suami mengajak saya menunggu di lobi, saya menyuruh suami pergi dahulu kerana saya mahu ke bilik sekejap. Sampai di lobi, saya melihat ada seorang lelaki lebih kurang separuh umur berbaju batik Jawa duduk di ruang tamu bersebelahan dengan ruang tamu tempat suami saya duduk. Saya terus mengambil tempat di sebelah suami. Kami berbual-bual sambil menunggu pemandu yang akan membawa kami berjalan-jalan nanti. Sempat juga suami mengagih-agihkan cenderahati yang masih ada kepada beberapa pekerja hotel yang menegur kami.
Hampir jam 9.00 pagi, suami saya mendapat panggilan daripada Bapak Roni, pemilik kereta yang kami hendak sewa meminta kami menunggu di lobi kerana pemandunya sudah sampai. Suami saya mencari-cari pemandu yang dimaksudkan, rupa-rupanya orangnya ialah lelaki yang duduk di sebelah kami tadi. Haha, rupa-rupanya sama-sama menunggu orang yang ada di depan mata.
Dia mengenalkan dirinya sebagai Pak Wan. Pak Wan orangnya begitu sopan dan merupakan orang tempatan. Pak Wan bertanyakan destinasi pertama kami. Kami meminta Pak Wan agar membawa kami ke Traditional Mall atau lebih dikenali dengan nama Pasar Baru. Dari luar bangunan Pasar Baru, saya dapati suasananya sudah agak sibuk dengan para peniaga yang baru saja hendak memulakan perniagaan masing-masing. Kebanyakan kedai sudah siap dibuka dan sedang menanti pelanggan. Pak Wan mencadangkan untuk meletak kenderaan di tingkat atas dan dia akan menunggu kami di tempat parkir. Kami bersetuju. Pak Wan terus memandu masuk ke tempat parkir di tingkat atas. Pening sekejap kepala saya kerana walaupun banyak lagi tempat parkir yang masih kosong tapi Pak Wan terus-terusan mendaki dengan kereta. Rupanya Pak Wan hendak parkir di tingkat paling atas, tinggi juga Pasar Baru ni, 8 tingkat rupanya.
Keadaan Pasar Baru lebih kurang seperti Pasar Wan Khadijah di Kelantan atau Komplek Arked Membeli-belah di Padang Besar, cuma keadaannya lebih padat. Hampir di setiap ceruk, ada saja kedai yang menjual pakaian yang kebanyakannya merupakan pakaian tradisional Indonesia. Di aras bawah, kebanyakan kedai menjual barangan makanan seperti keropok, ikan kering dan buah-buahan. Manakala dari tingkat 1 hingga 7 kebanyakannya menjual pelbagai barangan yang kebanyakannya khusus wanita seperti kain ela, batik, kebaya sulam, tudung pelbagai fesyen, telekung dan tas tangan. Amat sedikit pilihan untuk kaum lelaki tetapi suami saya tetap bersemangat memilih beberapa pakaian yang sesuai untuk saya. Dapatlah saya tiga empat pasang pakaian baru, Alhamdulillah.. terima kasih En Rizar.
Dari sana, Pak Wan membawa kami ke sebuah butik yang menjual pakaian jenama Levi. Menurut Pak Wan, ramai orang Malaysia yang tidak melepaskan peluang shopping di sini kerana harganya yang murah. Kami hanya melihat-lihat sebentar dan berjalan ke kedai-kedai lain berhampiran.
Tengahari itu kami memilih untuk makan Nasi Padang di Restoran Simpang Raya. Pak Wan makan bersama kami walaupun pada mulanya dia menolak dan memilih untuk makan di warung biasa saja. Sekejap sahaja pekerja restoran sampai dan meletakkan pelbagai lauk pauk memenuhi meja makan. Perghhh….. pilih saja mana anda suka dan anda perlu bayar apa yang anda makan ataupun sekadar mengambil sedikit sahaja. Terdapat lebih kurang 14 lauk yang dihidangkan dan semuanya kelihatan enak-enak belaka. Dan rasanya.. memang umpphh!

Selepas makan, kami singgah ke Gedung CD yang berhampiran restoran. Suami memilih CD terbaru nyanyian Nidji, Ungu dan Ahmad Dhani. Harganya kalau duit Malaysia baru RM12, berbaloi kan.Banyak juga tempat yang kami singgah selepas itu dan suami saya yang lebih banyak membeli pakaian untuk anak kami dan dirinya sendiri.Biasanya Pak Wan akan menurunkan kami dan menunggu di kereta. Ada masanya dia melayan kami seperti orang kaya yang selalu disaksikan dalam drama Indonesia. Kami yang tidak biasa dilayan demikian kadang-kadang merasa janggal.
Kami meneruskan agenda shopping suami sebenarnya dari satu butik ke satu butik antaranya Raffless City, Glamour, Victoria, Jetset, The Secret, Stamp dan pelbagai lagi. Hampir jam 4 lebih saya hampir tidak larat lagi berjalan tetapi suami memaksa saya untuk pergi ke Paris Van Java, tempat wajib katanya. Paris Van Java merupakan sebuah shopping kompleks yang terkenal di Bandung tetapi ia bukanlah shopping kompleks yang terbesar. Menurut Pak Wan, ada lagi yang lebih besar, saya lupa nama yang Pak Wan sebut tetapi tak silap Super Mall, begitulah lebih kurang kot.
Apa yang menarik di Paris Van Java ialah adanya sepetak tanaman padi yang sedang tunduk berisi tetapi belum menguning, airnya pun masih belum kering cuma tiada ikan keli sawah je. Lintah.. yang tu saya tak pasti.

Di sini terdapat pelbagai kedai yang menjual barangan berjenama seperti yang sering ditemui di Malaysia dan ada juga Sogo dan Carrefour. Kami tidak membeli apa-apa di sini cuma meninjau-ninjau dan bergambar di sawah padi. Suami saya tiba-tiba pula hendak mencari cd dan memilih cd terbaru nyanyian Anang… cd lagi..
Destinasi terakir, kami meminta Pak Wan membawa kami ke warung kek lapis paling terkenal di sini iaitu Kartika Sari. Saya bertanyakan harga beberapa kek yang dipamerkan.. wow.. pada saya agak mahal. Kek Lapis Prune Indonesia sahaja sudah 160,000R manakala kek lapis Filipina pun 60,000R. Saiznya hanyalah lebih kurang 6cmX20cm sahaja, tapi terpaksa juga membeli sebagai oleh-oleh untuk keluarga dan kawan pejabat.
Walaupun sepatutnya kami menyewa hingga jam 9.00 malam, tetapi kami memilih untuk pulang sahaja ke hotel. Pak Wan seperti biasa tidak membantah, mungkin dia pun gembira dapat pulang awal. Seperti yang dijanjikan, suami saya membayar kepada Pak Wan dengan wang Malaysia. Kami berjanji akan datang lagi ke sini dan mengambil Pak Wan sebagai pemandu kerana puas hati dengan perkhidmatannya.
Apa yang saya perhatikan sepanjang di sini adalah penduduknya yang rajin menjalankan pelbagai perniagaan sama ada secara kecil-kecilan dengan menolak kereta sorong atau hanya menyusun barangan mereka di tepi jalan. Ada juga yang membawa barangan mereka dari seorang pelanggan ke pelanggan lain dan tidak jemu-jemu memujuk agar membeli barangan mereka.
Deretan kereta sorong yang menjual pelbagai makanan seperti aiskrim durian, baso ikan, tauhu dan sebagainya dan yang menarik pada saya adalah singkong keju tetapi saya tidak berani mencuba satu pun. Paling kecewa adalah saya tidak dapat mebeli sepasu pokok kaktus berbunga yang amat sukar ditemui di Malaysia dan kucing yang sangat comel dan cantik yang harganya cuma 25,000.
Dan di mana-mana persimpangan lampu isyarat juga ada sahaja persembahan jalanan yang dilihat sama ada sekumpulan anak muda yang bergelar pemuzik jalanan, atau sekumpulan monyet bersama tuannya memakai pakaian berwarna-warni membuat persembahan sarkis atau menari. Terdapat juga peminta sedekah berkeliaran dan akan mengetuk cermin kenderaan yang berhenti bagi meminta simpati.
Walaupun agak penat tapi pengalaman melihat kehidupan masyarakat di sini amatlah mahal. Dari saya turun tangga pesawat sehinggalah saya melangkah pulang, apa yang boleh saya katakan anda tidak akan menyesal kalau memilih untuk datang ke Kota Bandung yang mejanjikan 1001 keseronokan. Dan dalam anda shopping sakan tu jangan lupa meninggalkan sekurang-kurangnya 150,000 untuk membayar cukai lapangan terbang dan pastinya duit bagasi yang pastinya akan bertambah bila anda pulang.

perginya satu beg, pulangnya dua beg.. hehe

Post a Comment

1Comments

Blog ini merupakan blog peribadi. Segala tulisan di dalamnya merupakan pengalaman sendiri atau pandangan peribadi Sk terhadap sesuatu produk, makanan atau perkhidmatan. Sk juga tidak bertanggungjawab sekiranya anda tidak mendapat kualiti produk, makanan atau perkhidmatan sebagaimana apa yang dinyatakan di dalam blog ini.

Segala komen yang dituliskan di sini adalah di bawah tanggungjawab pengomen sendiri. Untuk sebarang pertanyaan, anda boleh menghantar email kepada serikanditanahjauhar@gmail.com

Terima kasih

  1. assalam, boleh tak saya dapatkan no telefon syarikat atau pak wan yang jadi pemandu kat sana? tq in advance ye

    ReplyDelete
Post a Comment

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!