Malam Kenangan Bersama Black Dog Bone

Seri Kandi Tanah Jauhar
1



TERUBAT RINDU... mungkin itu yang dapat disimpulkan apabila saya melihat begitu ramai orang lama yang datang menyaksikan konsert Malam Kenangan Bersama Black Dog Bone (BDB) di Pusat Konvensyen Persada Johor, malam minggu lalu.
Malah bukan sahaja orang lama yang mengisi kerusi berbalut kain krim keemasan tetapi ia turut dimeriahkan dengan orang muda dan remaja bagi mengimbau kenangan membesar dengan lagu-lagu dendangan BDB.
Tentulah ada bezanya melalui zaman kanak-kanak dengan lagu-lagu seperti Geram, Nasi Goreng, Anekaragam dan sebagainya berbanding melalui zaman remaja sambil bersiulan lagu Dulu dan Sekarang, Diganggu Kenangan atau Ku Cari penawar Luka serta rangkaian lagu-lagu 'frust' yang lain.
Black Dog Bone, satu nama besar kumpulan pop melayu pada era 70an. Kalau disebut pada nama, bunyinya memang nampak garang.. tapi bila mendengar lagu-lagunya, memang lentok habis. Mungkin ramai generasi baru yang pelik, termasuklah anak saya bagaimana BDB mendapat nama tersebut, sayangnya kami terlupa untuk bertanya pada sesi santai bersama BDB pada petang sebelum konsert.
Mungkin berlaku 'miss informatian' apabila tidak ramai yang datang pada sesi santai tersebut. Sehinggakan hampir semua yang mendaftar terpilih memenangi cabutan bertuah, sepasang tiket menyaksikan konsert live BDB.
Namun, saya tetap rasa bertuah, kerana nama saya adalah yang mula-mula dicabut dan saya masih ingat kata-kata Jatt Ali, penyanyi utama BDB ketika menyampaikan tiket, "Jemput datang malam ni, ya".
Pertama kali bertemu dengan anggota BDB, saya langsung tidak menyangka yang Jatt bertubuh kecil, sehinggakan beliau nampak begitu muda berbanding anggota yang lain. Walaupun kecil, tapi jangan pandang sebelah mata, tunggu konsert malam nanti.
Lebih kurang 8.00 malam saya sudah tiba di Persada. Turut bersama saya selain suami dan anak ialah Aini dan Ayu kerana kami kelebihan tiket yang dimenangi petang tadi.
Saya tidak melepaskan peluang bergambar dengan 'Papa Rock' Ramli Sarip yang turut sama memberi sokongan kepada BDB. Walaupun nampak garang tetapi Papa Rock tidak sombong dan tetap sporting untuk bergambar.
Tirai konsert dibuka dengan penampilan artis yang amat saya minati di zaman sekolah, Jay Jay yang memang awet muda dari segi rupa mahupun suara. Dengan trademark topi yang sentiasa di kepala, Jay Jay tetap cool walaupun terdapat masalah pada sistem audio. Terdengar juga jeritan nakal yang meminta Jay Jay membuka topi, dan sampai ke sudah topi beliau setia di situ.
Tujuh lagu sahaja, tak boleh lawan tauke.. dan tak sangka anak saya boleh mengikut Jay Jay mendendang lagu Permaisuri dengan begitu baik. Jay Jay menutup persembahan dengan lagu joget semput, Joget Angan Tak Sudah, fuh.. memang semput dibuatnya.
Tepukan kian gemuruh bila kumpulan BDB yang bersuit kuning cair naik ke pentas. Peminat BDB bersorak tidak sabar. Saya percaya mereka adalah peminat setia sejak zaman kegemilangan BDB hampir 30 tahun lalu.
BDB bijak memilih lagu kerana hampir semuanya bagaikan melekat di kepala. Mungkin ada lagu yang agak asing didengar tetapi boleh masuk kerana iramanya yang malar segar. Walaupun ada lagu-lagu BDB yang disadur dari lagu Inggeris, namun lagu itu bagaikan milik BDB lebih-lebih lagi Jatt bagaikan mempunyai tenaga luarbiasa dengan suara yang memukau tidak kurang juga anggota lain yang masing-masing turut menyanyi seperti Ishhar, Masrun dan Hamid. Turut menganggotai kumpulan ini adalah Michael yang sentiasa senyum dan James yang adakalanya menari lenggok 70an.
Sebagai lagenda muzik pop Melayu, BDB membuktikan bahawa kumpulan mereka yang turut mendapat jolokan 'Band Dari Boyan' masih tajam permainan muzik mereka dan mempunyai magis tersendiri.
Ternyata selain berbakat menyanyi dan bermain alat muzik, BDB turut berbakat untuk melawak, ternyata mereka memang penghibur unggul. Patutlah orang Singapura sanggup menyeberang tambak dan mengharungi kesesakan semata-mata untuk menyaksikan BDB.
Dengan iringan orkestra bimbingan penerbit dan pemuzik terkenal S Atan, BDB membawa muzik mereka yang berteraskan rhythm & blues disamping elemen funk, soul dan disko, lagu-lagu mereka begitu hidup dan mempesona dan amat unik sekali.
Sesuai dengan tema konsert Malam Kenangan BDB, konsert malam ini pastinya menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan oleh sesiapa sahaja yang datang.
Tags

Post a Comment

1Comments

Blog ini merupakan blog peribadi. Segala tulisan di dalamnya merupakan pengalaman sendiri atau pandangan peribadi Sk terhadap sesuatu produk, makanan atau perkhidmatan. Sk juga tidak bertanggungjawab sekiranya anda tidak mendapat kualiti produk, makanan atau perkhidmatan sebagaimana apa yang dinyatakan di dalam blog ini.

Segala komen yang dituliskan di sini adalah di bawah tanggungjawab pengomen sendiri. Untuk sebarang pertanyaan, anda boleh menghantar email kepada serikanditanahjauhar@gmail.com

Terima kasih

Post a Comment

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!