tiga hari dua malam di Kota Bandung

Seri Kandi Tanah Jauhar
0

TEPAT jam 4.35 petang waktu Malaysia, pesawat AirAsia QZ7596 selamat mendarat di Lapangan Tentera Udara Bandara Hussein Sastranegara, Kotaraya Bandung. Waktu di Bandung awal sejam dari Malaysia, mataharinya masih terik tetapi ketibaan kami disapa angin sejuk dan cuaca baik seolah-olah meraikan kedatangan saya yang pertama kali tetapi kali kedua bagi suami. Menurut suami semasa dia datang kali pertama dulu Bandung disiram hujan. Huh, patutlah dia demam seminggu sebaik pulang dari sana.

Manakala dalam berita di TV dua tiga hari lepas pula, saya melihat kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut disambut hujan lebat. Ramalan Cuaca di internet juga menunjukkan hujan dan rebut petir akan berlaku di Bandung. Kerana itu kami turut membawa dua helai windbreaker bagi melindungi kami jika cuaca tidak menentu. Saya berdoa agar cuaca baik supaya percutian kami tidak terjejas dan agenda shopping suami tidak terbatas.

Lapangan Terbang tempat pesawat yang kami naiki mendarat ini, sebenarnya adalah kem Tentera Udara Negara Indonesia dan ia digunakan sebagai tempat mendarat bagi pesawat-pesawat yang akan mendarat di Bandung. Kedatangan kami disambut petugas-petugas lapangan terbang dengan senyuman tanda Selamat Datang. Di kaunter Imigresen, hanya terdapat dua kaunter dan pegawai Imigresen bertugas menyapa ramah walaupun di wajahnya kelihatan agak penat, mungkin kerana hari sudah petang. Tetapi bila kami pulang ke Malaysia, tahulah kami kenapa pegawai tersebut keletihan. Rupa-rupanya dia bertugas di semua kaunter, kaunter ketibaan, kaunter pelepasan dan dia juga yang mengambil semula pas ketibaan kami sebelum kami bergerak ke pesawat pulang ke Malaysia… oh, patutlah…
Selepas mengambil bagasi kami mencari petugas hotel yang berjanji akan menjemput kami di lapangan terbang. Terdapat juga dua tiga orang yang memegang tanda nama tetapi tiada satu pun yang tertulis nama suami. Dalam kami tercari-cari, tiba-tiba terdengar satu suara menyapa, “Bapak Rizar, ya?”, kami sama-sama menoleh. Seorang pemuda beruniform coklat dan tertera tanda nama Kiki di dada sedang tersenyum ramah. Di tangannya ada sehelai kertas yang tercetak nama suami saya. Kami mengangguk. Kiki terus sahaja mengambil beg besar dari tangan suami saya.“ Bapak tunggu di sini, saya ambil mobilnya,” kami mengangguk. Suami saya mengambl semula beg dari tangan Kiki kerana memikirkan dia akan berjalan jauh ke tempat letak kenderaan.
Kira-kira lima minit, Kiki sampai dengan kenderaan mewah tertulis Arion Swiss-Belhotel. Wow.. saya dapat merasakan satu pengalaman indah akan menanti saya sepanjang tiga hari di sini.
Arion Swiss-Belhotel, Bandung merupakan hotel butik terbaik di Kota Bandung. Lokasinya terletak di dada Kota Bandung dan kira-kira dua jam perjalanan dari Jakarta menggunakan jalanraya bertol serta berdekatan dengan pelbagai kemudahan membeli belah di butik-butik ternama, makanan dan restoran yang pelbagai pilihan serta pusat hiburan. Hanya lebih kurang 10 minit menempuh jalanraya yang sesak dengan kenderaan yang dipandu rapat-rapat , akhirnya kami sampai di hotel tersebut.
Saya mengambil kesempatan meninjau sekitar lobi hotel dengan mata ketika suami mendaftar masuk di kaunter hotel. Tidak sampai lima minit, kami telah diberi kad bilik berserta baucer untuk minuman Selamat Datang dan sarapan pagi serta agak terkejut kerana hotel ini turut memberi baucer untuk makan malam. Ini kerana ketika pengesahan tempahan bilik melalui internet, kami cuma diberikan pakej penginapan termasuk sarapan pagi sahaja. Suami memberikan cenderahati yang kami bawa dari Malaysia untuk beberapa petugas hotel yang kami temui di kaunter tersebut.
Kami menaiki lif untuk ke bilik di tingkat 3. Bilik kami terletak di hujung sekali. Saya membaca Bismllah ketika suami memasukkan kad dan membuka pintu bilik. Wah… walaupun hanya Deluxe Room, tetapi biliknya agak mewah dengan katil bersaiz raja. Dan paling saya suka sekali pihak hotel turut menyediakan komputer dengan kemudahan internet dan kami telah disahkan penggunaan internet adalah percuma 24 jam. Memang syok betullah.
Perjalanan seharian kami yang meletihkan tidak memungkinkan saya untuk berehat kerana suami saya ada agendanya sendiri. Apalagi kalau bukan shopping sebab itu memang hobi dia mengalahkan saya. Selepas melakukan perkara-perkara yang sepatutnya, kami pun turun untuk menikmati minuman Selamat Datang. Kami menunggu teksi yang telah ditempah Kiki. Agak lama menunggu, akhirnya kami diminta turun ke tempat parkir kerana teksi sudah menunggu. Sebaik bergerak, pemandu teksi itu menekan punat meter, tertera 6000 iaitu kira-kira RM2 wang Malaysia.
Sepanjang perjalanan, pemandu teksi itu agak ramah berbual. Dia turut memberi cadangan tempat-tempat tertentu jika hendak membeli pakaian yang murah. Saya kurang melayan berbanding suami kerana kecut perut memerhatikan cara pemandu di kota ini. Mereka sesuka hati membelok dan keluar dari simpang serta menukar lorong. Yang hendak melintas, angkat tangan tinggi-tinggi dan terus melintas. Yang naik motor pun sama mencilok, tapi tiada mat rempit pulak. Agaknya mereka ni tulang besi uratnya dawai.
Kami turun di hadapan sebuah bangunan kedai tertulis Heritage, meter teksi menunjukkan 16,700@ RM6. Walaupun waktu di Bandung baru 6.00 petang tetapi sudah gelap. Suami menarik tangan saya masuk ke bangunan tersebut. Memang macam bangunan warisan pun. Tetapi bila masuk ke dalam saya jadi keliru, macam butik, macam rumah dan macam pub pun ada. Dan kebanyakan kedai di situ mempunyai konsep yang berlainan tetapi agak menarik jika dibandingkan di Malaysia. Kebanyakan butik di sini menawarkan pelbagai pilihan berjenama terkemuka dengan harga yang mengagumkan. Kami pergi juga ke terminal tas, yang menjanjikan pelbagai pilihan beg tangan dari pelbagai jenama.
Yang menariknya, tiada satu pun shopping kompleks di kawasan ini, kebanyakannya adalah bangunan kedai yang besar dengan pelbagai rekabentuk dan lampu berwarna-warni sehinggakan saya keliru yang mana satu kedai, yang mana satu pusat hiburan. Tapi kebanyakannya adalah kedai dan ketibaan kami disambut oleh gadis-gadis manis yang mengucapkan Selamat Datang sambil merapatkan tangan ke dada.
Kira-kira jam 9.00 malam, saya sudah benar-benar keletihan. Saya memujuk suami agar pulang saja ke hotel. Kami menahan teksi tetapi kali ini pemandu teksi tdak mahu menggunakan meter. Dia meminta kami membayar 45000. Suami menawar, 30000. Dia meminta 35. Kami terus saja bersetuju. Sememangnya pemandu teksi di sini ramah-ramah, fikir saya kerana sepanjang perjalanan ada saja yang hendak dibualkannya.
Sebaik sampai di hotel, kami terus menuju ke Swiss Café untuk menikmati makan malam. Pelbagai pilihan lauk pauk ala Sunda disediakan untuk tetamu hotel malam itu. Saya yang selalunya jarang makan malam dengan selamba makan tanpa memikirkan diet kerana kali terakhir saya makan ialah pada pukul 10.30 pagi di rumah Abang Long. Sambil makan kami berborak tentang keseronokan shopping tadi. Suami memberitahu tentang rancangannya esok. Tapi suami memang sudah beritahu tempat pelancongan seperti Tangkuban Perahu, Punchak dan ladang teh tidak termasuk dalam senarai lawatan. Suami berjanji akan membawa saya bersama-sama anak kami pula nanti.. wow, macam banyaknya duit nak pergi lagi sekali.
Apa yang menarik di hari kedua , yang tu akan saya ceritakan pada blog yang akan datang.. InsyaAllah..

Post a Comment

0Comments

Blog ini merupakan blog peribadi. Segala tulisan di dalamnya merupakan pengalaman sendiri atau pandangan peribadi Sk terhadap sesuatu produk, makanan atau perkhidmatan. Sk juga tidak bertanggungjawab sekiranya anda tidak mendapat kualiti produk, makanan atau perkhidmatan sebagaimana apa yang dinyatakan di dalam blog ini.

Segala komen yang dituliskan di sini adalah di bawah tanggungjawab pengomen sendiri. Untuk sebarang pertanyaan, anda boleh menghantar email kepada serikanditanahjauhar@gmail.com

Terima kasih

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!