MESTI KLIK

Sahabat Seri Kandi

Pada-Mu Ku Bersujud

Pada-Mu Ku Bersujud

Labels

aaron aziz aboo acar ady putra aidilfitri ais krim apa cerita apam arab asam pedas award ayam bali Bandung Batam BelangaSatu belasungkawa belimbing bengkel bihun biskut raya blogger bloglist blueberry BMI Boboiyot bola Bono boycott buah burasak burger cake in jar cendawan cerita bersiri coconut shake coklat cookies cookies & ginger cream puff cucur cuti jumaat cutiecakemaker daging diabetes doa donut durian embun fear factor malaysia fettucinne filem GA goreng gulai kawah gunung kinabalu gyoza hari lahir hidayah ikan ikan bakar Ilham Iman itik jalan-jalan jeruk Johor jus kad kaki kambing Kapten Zaharie karaoke kari kasut keju kek kek cawan keluarga kenangan kentang kepala kerang kerutub ketam kisah pelajarku kucing kuey teow kuih melayu kuih tradisi kurma laksa laksa janggus lala lawak legoland legoland water park lembu lemon lempeng lepat link best lobster lontong love u mr arrogant macaron makan makanan laut mangga MAS masakan barat maulid meatball medan mee melaka merdeka mesin MH17 minuman mistik monopod muffin Munduk myChef Mykad nangka nasi nasi ayam nasi padang nenas ngeteh no label novel nukilan untuk teman nutella ombre oreo page Pak Chu Pak Itam panduan pasta pastri pau pavlova Pekanbaru Penang pencuci mulut pengantin penne petua pie pie maker pisang pizza pod premix promo pulut racun rahsia rainbow cake ramadan ramadhan raya red velvet rendang resepi adigun resepi ibu Riau rock roselle roti roti canai roti jala rumah terbalik sabah safee sali saja salam salam maulid sambal sardin sayur sejarah selfie semur seram SeriKandi Cintaku siput soto sotong spaghetti sup swans cream puff tagged tapai tart tauhu tayar tazkirah Teluk Kumbar telur tempahan tempoyak terbang tetel tinggi tomato tortilla tudung tulang twisties ubi udang ulangtahun perkahwinan untuk dijual upin ipin villa nabila wang western wheels wordless wednesday yang popular Yaya zonan

Search Alam Sari

Loading...

Thursday, December 31, 2009

SELAMAT DATANG 2010, SELAMAT TINGGAL 2009, KIRIM SALAM 2008


Hehe... saya masih ingat ayat ni. Selalu saya dan teman-teman zaman study gunakan bila tiba ambang tahun baru, cuma nombor tahun saja yang bertukar.
Hari ini 31 Disember 2009, sebentar sahaja lagi kita akan melangkahkan kaki ke tahun 2010. Saya seperti tak percaya, sudah berada di gerbang ini. ALhamdulillah.. harapnya umur dipanjangkan dan diberi kesihatan dan rezeki olah Allah swt.
Setelah lama tidak membuat azam baru, tahun 2010 ini saya ada misi. Harapannya dapatlah saya laksanakan dengan jayanya. Apa azam tu, bukanlah rahsia tapi saya hendak simpan sendiri dulu, nanti akan saya beritahu. Saya cuma berharap dan berdoa diberi semangat yang jitu supaya azam itu nanti akan tercapai..InsyaAllah.
Esok tidak seperti negeri-negeri lain, warga Johor akan bekerja, termasuklah saya. Semoga hari bekerja esok akan menjadi permulaan yang baik untuk saya. Saya menunggu kehadiran 2010 dengan lapang dada dan memperkasakan jiwa.

Wednesday, December 23, 2009

asyiknya Kota Bandung kalau ada banyak rupiah...


HARI kedua di Bandung, saya dan suami bangun awal. Suami saya awal-awal lagi telah menyewa kereta bersama pemandu bagi memudahkan pergerakan kami di sini. Saya dari mula memang tidak banyak membantah.. walaupun pada mulanya memikirkan kos RM150 terlalu mahal untuk tempoh 12 jam tetapi fikiran saya berubah kerana ini akan lebih memudahkan kami yang tentu tidak mahir selok belok di kota ini. Lebih-lebih lagi seorang teman pernah memberitahu ada yang mengenakan sehingga 1Juta Rupiah untuk perkhidmatan yang sama iaitu lebih kurang RM364.
Satu perkara menarik mengenai hotel kami menginap ini ialah adanya persembahan Saung Angklung Udjo iaitu sejenis muzik tradisional masyarakat Sunda yang dipersembahkan setiap hari bermula jam 3.30 petang. Tetapi memandangkan kami kesuntukan masa, saya tidak berpeluang menikmatinya lebih lama.
Kami selesai bersarapan kira-kira jam 7.30 pagi. Masih awal kan.. tapi waktu ini cahaya fajarnya sudah cerah seperti pukul 9 pagi. Suami mengajak saya menunggu di lobi, saya menyuruh suami pergi dahulu kerana saya mahu ke bilik sekejap. Sampai di lobi, saya melihat ada seorang lelaki lebih kurang separuh umur berbaju batik Jawa duduk di ruang tamu bersebelahan dengan ruang tamu tempat suami saya duduk. Saya terus mengambil tempat di sebelah suami. Kami berbual-bual sambil menunggu pemandu yang akan membawa kami berjalan-jalan nanti. Sempat juga suami mengagih-agihkan cenderahati yang masih ada kepada beberapa pekerja hotel yang menegur kami.
Hampir jam 9.00 pagi, suami saya mendapat panggilan daripada Bapak Roni, pemilik kereta yang kami hendak sewa meminta kami menunggu di lobi kerana pemandunya sudah sampai. Suami saya mencari-cari pemandu yang dimaksudkan, rupa-rupanya orangnya ialah lelaki yang duduk di sebelah kami tadi. Haha, rupa-rupanya sama-sama menunggu orang yang ada di depan mata.
Dia mengenalkan dirinya sebagai Pak Wan. Pak Wan orangnya begitu sopan dan merupakan orang tempatan. Pak Wan bertanyakan destinasi pertama kami. Kami meminta Pak Wan agar membawa kami ke Traditional Mall atau lebih dikenali dengan nama Pasar Baru. Dari luar bangunan Pasar Baru, saya dapati suasananya sudah agak sibuk dengan para peniaga yang baru saja hendak memulakan perniagaan masing-masing. Kebanyakan kedai sudah siap dibuka dan sedang menanti pelanggan. Pak Wan mencadangkan untuk meletak kenderaan di tingkat atas dan dia akan menunggu kami di tempat parkir. Kami bersetuju. Pak Wan terus memandu masuk ke tempat parkir di tingkat atas. Pening sekejap kepala saya kerana walaupun banyak lagi tempat parkir yang masih kosong tapi Pak Wan terus-terusan mendaki dengan kereta. Rupanya Pak Wan hendak parkir di tingkat paling atas, tinggi juga Pasar Baru ni, 8 tingkat rupanya.
Keadaan Pasar Baru lebih kurang seperti Pasar Wan Khadijah di Kelantan atau Komplek Arked Membeli-belah di Padang Besar, cuma keadaannya lebih padat. Hampir di setiap ceruk, ada saja kedai yang menjual pakaian yang kebanyakannya merupakan pakaian tradisional Indonesia. Di aras bawah, kebanyakan kedai menjual barangan makanan seperti keropok, ikan kering dan buah-buahan. Manakala dari tingkat 1 hingga 7 kebanyakannya menjual pelbagai barangan yang kebanyakannya khusus wanita seperti kain ela, batik, kebaya sulam, tudung pelbagai fesyen, telekung dan tas tangan. Amat sedikit pilihan untuk kaum lelaki tetapi suami saya tetap bersemangat memilih beberapa pakaian yang sesuai untuk saya. Dapatlah saya tiga empat pasang pakaian baru, Alhamdulillah.. terima kasih En Rizar.
Dari sana, Pak Wan membawa kami ke sebuah butik yang menjual pakaian jenama Levi. Menurut Pak Wan, ramai orang Malaysia yang tidak melepaskan peluang shopping di sini kerana harganya yang murah. Kami hanya melihat-lihat sebentar dan berjalan ke kedai-kedai lain berhampiran.
Tengahari itu kami memilih untuk makan Nasi Padang di Restoran Simpang Raya. Pak Wan makan bersama kami walaupun pada mulanya dia menolak dan memilih untuk makan di warung biasa saja. Sekejap sahaja pekerja restoran sampai dan meletakkan pelbagai lauk pauk memenuhi meja makan. Perghhh….. pilih saja mana anda suka dan anda perlu bayar apa yang anda makan ataupun sekadar mengambil sedikit sahaja. Terdapat lebih kurang 14 lauk yang dihidangkan dan semuanya kelihatan enak-enak belaka. Dan rasanya.. memang umpphh!

Selepas makan, kami singgah ke Gedung CD yang berhampiran restoran. Suami memilih CD terbaru nyanyian Nidji, Ungu dan Ahmad Dhani. Harganya kalau duit Malaysia baru RM12, berbaloi kan.Banyak juga tempat yang kami singgah selepas itu dan suami saya yang lebih banyak membeli pakaian untuk anak kami dan dirinya sendiri.Biasanya Pak Wan akan menurunkan kami dan menunggu di kereta. Ada masanya dia melayan kami seperti orang kaya yang selalu disaksikan dalam drama Indonesia. Kami yang tidak biasa dilayan demikian kadang-kadang merasa janggal.
Kami meneruskan agenda shopping suami sebenarnya dari satu butik ke satu butik antaranya Raffless City, Glamour, Victoria, Jetset, The Secret, Stamp dan pelbagai lagi. Hampir jam 4 lebih saya hampir tidak larat lagi berjalan tetapi suami memaksa saya untuk pergi ke Paris Van Java, tempat wajib katanya. Paris Van Java merupakan sebuah shopping kompleks yang terkenal di Bandung tetapi ia bukanlah shopping kompleks yang terbesar. Menurut Pak Wan, ada lagi yang lebih besar, saya lupa nama yang Pak Wan sebut tetapi tak silap Super Mall, begitulah lebih kurang kot.
Apa yang menarik di Paris Van Java ialah adanya sepetak tanaman padi yang sedang tunduk berisi tetapi belum menguning, airnya pun masih belum kering cuma tiada ikan keli sawah je. Lintah.. yang tu saya tak pasti.

Di sini terdapat pelbagai kedai yang menjual barangan berjenama seperti yang sering ditemui di Malaysia dan ada juga Sogo dan Carrefour. Kami tidak membeli apa-apa di sini cuma meninjau-ninjau dan bergambar di sawah padi. Suami saya tiba-tiba pula hendak mencari cd dan memilih cd terbaru nyanyian Anang… cd lagi..
Destinasi terakir, kami meminta Pak Wan membawa kami ke warung kek lapis paling terkenal di sini iaitu Kartika Sari. Saya bertanyakan harga beberapa kek yang dipamerkan.. wow.. pada saya agak mahal. Kek Lapis Prune Indonesia sahaja sudah 160,000R manakala kek lapis Filipina pun 60,000R. Saiznya hanyalah lebih kurang 6cmX20cm sahaja, tapi terpaksa juga membeli sebagai oleh-oleh untuk keluarga dan kawan pejabat.
Walaupun sepatutnya kami menyewa hingga jam 9.00 malam, tetapi kami memilih untuk pulang sahaja ke hotel. Pak Wan seperti biasa tidak membantah, mungkin dia pun gembira dapat pulang awal. Seperti yang dijanjikan, suami saya membayar kepada Pak Wan dengan wang Malaysia. Kami berjanji akan datang lagi ke sini dan mengambil Pak Wan sebagai pemandu kerana puas hati dengan perkhidmatannya.
Apa yang saya perhatikan sepanjang di sini adalah penduduknya yang rajin menjalankan pelbagai perniagaan sama ada secara kecil-kecilan dengan menolak kereta sorong atau hanya menyusun barangan mereka di tepi jalan. Ada juga yang membawa barangan mereka dari seorang pelanggan ke pelanggan lain dan tidak jemu-jemu memujuk agar membeli barangan mereka.
Deretan kereta sorong yang menjual pelbagai makanan seperti aiskrim durian, baso ikan, tauhu dan sebagainya dan yang menarik pada saya adalah singkong keju tetapi saya tidak berani mencuba satu pun. Paling kecewa adalah saya tidak dapat mebeli sepasu pokok kaktus berbunga yang amat sukar ditemui di Malaysia dan kucing yang sangat comel dan cantik yang harganya cuma 25,000.
Dan di mana-mana persimpangan lampu isyarat juga ada sahaja persembahan jalanan yang dilihat sama ada sekumpulan anak muda yang bergelar pemuzik jalanan, atau sekumpulan monyet bersama tuannya memakai pakaian berwarna-warni membuat persembahan sarkis atau menari. Terdapat juga peminta sedekah berkeliaran dan akan mengetuk cermin kenderaan yang berhenti bagi meminta simpati.
Walaupun agak penat tapi pengalaman melihat kehidupan masyarakat di sini amatlah mahal. Dari saya turun tangga pesawat sehinggalah saya melangkah pulang, apa yang boleh saya katakan anda tidak akan menyesal kalau memilih untuk datang ke Kota Bandung yang mejanjikan 1001 keseronokan. Dan dalam anda shopping sakan tu jangan lupa meninggalkan sekurang-kurangnya 150,000 untuk membayar cukai lapangan terbang dan pastinya duit bagasi yang pastinya akan bertambah bila anda pulang.

perginya satu beg, pulangnya dua beg.. hehe

Tuesday, December 15, 2009

tiga hari dua malam di Kota Bandung


TEPAT jam 4.35 petang waktu Malaysia, pesawat AirAsia QZ7596 selamat mendarat di Lapangan Tentera Udara Bandara Hussein Sastranegara, Kotaraya Bandung. Waktu di Bandung awal sejam dari Malaysia, mataharinya masih terik tetapi ketibaan kami disapa angin sejuk dan cuaca baik seolah-olah meraikan kedatangan saya yang pertama kali tetapi kali kedua bagi suami. Menurut suami semasa dia datang kali pertama dulu Bandung disiram hujan. Huh, patutlah dia demam seminggu sebaik pulang dari sana.

Manakala dalam berita di TV dua tiga hari lepas pula, saya melihat kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut disambut hujan lebat. Ramalan Cuaca di internet juga menunjukkan hujan dan rebut petir akan berlaku di Bandung. Kerana itu kami turut membawa dua helai windbreaker bagi melindungi kami jika cuaca tidak menentu. Saya berdoa agar cuaca baik supaya percutian kami tidak terjejas dan agenda shopping suami tidak terbatas.

Lapangan Terbang tempat pesawat yang kami naiki mendarat ini, sebenarnya adalah kem Tentera Udara Negara Indonesia dan ia digunakan sebagai tempat mendarat bagi pesawat-pesawat yang akan mendarat di Bandung. Kedatangan kami disambut petugas-petugas lapangan terbang dengan senyuman tanda Selamat Datang. Di kaunter Imigresen, hanya terdapat dua kaunter dan pegawai Imigresen bertugas menyapa ramah walaupun di wajahnya kelihatan agak penat, mungkin kerana hari sudah petang. Tetapi bila kami pulang ke Malaysia, tahulah kami kenapa pegawai tersebut keletihan. Rupa-rupanya dia bertugas di semua kaunter, kaunter ketibaan, kaunter pelepasan dan dia juga yang mengambil semula pas ketibaan kami sebelum kami bergerak ke pesawat pulang ke Malaysia… oh, patutlah…
Selepas mengambil bagasi kami mencari petugas hotel yang berjanji akan menjemput kami di lapangan terbang. Terdapat juga dua tiga orang yang memegang tanda nama tetapi tiada satu pun yang tertulis nama suami. Dalam kami tercari-cari, tiba-tiba terdengar satu suara menyapa, “Bapak Rizar, ya?”, kami sama-sama menoleh. Seorang pemuda beruniform coklat dan tertera tanda nama Kiki di dada sedang tersenyum ramah. Di tangannya ada sehelai kertas yang tercetak nama suami saya. Kami mengangguk. Kiki terus sahaja mengambil beg besar dari tangan suami saya.“ Bapak tunggu di sini, saya ambil mobilnya,” kami mengangguk. Suami saya mengambl semula beg dari tangan Kiki kerana memikirkan dia akan berjalan jauh ke tempat letak kenderaan.
Kira-kira lima minit, Kiki sampai dengan kenderaan mewah tertulis Arion Swiss-Belhotel. Wow.. saya dapat merasakan satu pengalaman indah akan menanti saya sepanjang tiga hari di sini.
Arion Swiss-Belhotel, Bandung merupakan hotel butik terbaik di Kota Bandung. Lokasinya terletak di dada Kota Bandung dan kira-kira dua jam perjalanan dari Jakarta menggunakan jalanraya bertol serta berdekatan dengan pelbagai kemudahan membeli belah di butik-butik ternama, makanan dan restoran yang pelbagai pilihan serta pusat hiburan. Hanya lebih kurang 10 minit menempuh jalanraya yang sesak dengan kenderaan yang dipandu rapat-rapat , akhirnya kami sampai di hotel tersebut.
Saya mengambil kesempatan meninjau sekitar lobi hotel dengan mata ketika suami mendaftar masuk di kaunter hotel. Tidak sampai lima minit, kami telah diberi kad bilik berserta baucer untuk minuman Selamat Datang dan sarapan pagi serta agak terkejut kerana hotel ini turut memberi baucer untuk makan malam. Ini kerana ketika pengesahan tempahan bilik melalui internet, kami cuma diberikan pakej penginapan termasuk sarapan pagi sahaja. Suami memberikan cenderahati yang kami bawa dari Malaysia untuk beberapa petugas hotel yang kami temui di kaunter tersebut.
Kami menaiki lif untuk ke bilik di tingkat 3. Bilik kami terletak di hujung sekali. Saya membaca Bismllah ketika suami memasukkan kad dan membuka pintu bilik. Wah… walaupun hanya Deluxe Room, tetapi biliknya agak mewah dengan katil bersaiz raja. Dan paling saya suka sekali pihak hotel turut menyediakan komputer dengan kemudahan internet dan kami telah disahkan penggunaan internet adalah percuma 24 jam. Memang syok betullah.
Perjalanan seharian kami yang meletihkan tidak memungkinkan saya untuk berehat kerana suami saya ada agendanya sendiri. Apalagi kalau bukan shopping sebab itu memang hobi dia mengalahkan saya. Selepas melakukan perkara-perkara yang sepatutnya, kami pun turun untuk menikmati minuman Selamat Datang. Kami menunggu teksi yang telah ditempah Kiki. Agak lama menunggu, akhirnya kami diminta turun ke tempat parkir kerana teksi sudah menunggu. Sebaik bergerak, pemandu teksi itu menekan punat meter, tertera 6000 iaitu kira-kira RM2 wang Malaysia.
Sepanjang perjalanan, pemandu teksi itu agak ramah berbual. Dia turut memberi cadangan tempat-tempat tertentu jika hendak membeli pakaian yang murah. Saya kurang melayan berbanding suami kerana kecut perut memerhatikan cara pemandu di kota ini. Mereka sesuka hati membelok dan keluar dari simpang serta menukar lorong. Yang hendak melintas, angkat tangan tinggi-tinggi dan terus melintas. Yang naik motor pun sama mencilok, tapi tiada mat rempit pulak. Agaknya mereka ni tulang besi uratnya dawai.
Kami turun di hadapan sebuah bangunan kedai tertulis Heritage, meter teksi menunjukkan 16,700@ RM6. Walaupun waktu di Bandung baru 6.00 petang tetapi sudah gelap. Suami menarik tangan saya masuk ke bangunan tersebut. Memang macam bangunan warisan pun. Tetapi bila masuk ke dalam saya jadi keliru, macam butik, macam rumah dan macam pub pun ada. Dan kebanyakan kedai di situ mempunyai konsep yang berlainan tetapi agak menarik jika dibandingkan di Malaysia. Kebanyakan butik di sini menawarkan pelbagai pilihan berjenama terkemuka dengan harga yang mengagumkan. Kami pergi juga ke terminal tas, yang menjanjikan pelbagai pilihan beg tangan dari pelbagai jenama.
Yang menariknya, tiada satu pun shopping kompleks di kawasan ini, kebanyakannya adalah bangunan kedai yang besar dengan pelbagai rekabentuk dan lampu berwarna-warni sehinggakan saya keliru yang mana satu kedai, yang mana satu pusat hiburan. Tapi kebanyakannya adalah kedai dan ketibaan kami disambut oleh gadis-gadis manis yang mengucapkan Selamat Datang sambil merapatkan tangan ke dada.
Kira-kira jam 9.00 malam, saya sudah benar-benar keletihan. Saya memujuk suami agar pulang saja ke hotel. Kami menahan teksi tetapi kali ini pemandu teksi tdak mahu menggunakan meter. Dia meminta kami membayar 45000. Suami menawar, 30000. Dia meminta 35. Kami terus saja bersetuju. Sememangnya pemandu teksi di sini ramah-ramah, fikir saya kerana sepanjang perjalanan ada saja yang hendak dibualkannya.
Sebaik sampai di hotel, kami terus menuju ke Swiss Café untuk menikmati makan malam. Pelbagai pilihan lauk pauk ala Sunda disediakan untuk tetamu hotel malam itu. Saya yang selalunya jarang makan malam dengan selamba makan tanpa memikirkan diet kerana kali terakhir saya makan ialah pada pukul 10.30 pagi di rumah Abang Long. Sambil makan kami berborak tentang keseronokan shopping tadi. Suami memberitahu tentang rancangannya esok. Tapi suami memang sudah beritahu tempat pelancongan seperti Tangkuban Perahu, Punchak dan ladang teh tidak termasuk dalam senarai lawatan. Suami berjanji akan membawa saya bersama-sama anak kami pula nanti.. wow, macam banyaknya duit nak pergi lagi sekali.
Apa yang menarik di hari kedua , yang tu akan saya ceritakan pada blog yang akan datang.. InsyaAllah..

Jom Pi Bandung


BARU-BARU ini saya telah dipaksa untuk mengikut suami saya makan angin ke Bandung, Indonesia. Hehe, kenapa dipaksa yek? Sebabnya sebenarnya dah banyak kali suami saya mengajak saya melancong ke Indonesia, sama ada Bandung atau Medan, tetapi saya selalu menolak. Kenapa? Entahlah, saya ni agaknya terlalu terpengaruh dengan cerita-cerita tentang negara Indonesia. Saya selalu takut kalau-kalau nanti saya akan diculik atau dirampok di sana.. kahkahkah.. memang saya penakut. Sebab itu kalau saya pergi ke sempadan negara di utara, atau ke mana-mana sajalah saya akan kepit anak saya kuat-kuat dan tak akan biar dia berjalan sendiri. Kecuali jika kami dah biasa dengan tempat tersebut.
Jadi,bila suami mengajak lagi, saya sudah terfikir macam-macam. Tapi rancangan suami lain, kita tinggalkan Yaya dengan nenek, katanya. Perasaan saya bercampur baur, sedihnya nak tinggalkan anak yang selama ini tak pernah berenggang dengan kita. Tapi betul juga kata suami saya, Yaya ni selalu nak cepat balik kalau berjalan, lebih-lebih lagi kalau dah dapat barang yang dia nak. Jadi dari pengalaman-pengalaman sebelum ini, saya bersetuju untuk tinggalkan Yaya dengan ibu saya.
Kali ini saya bersetuju untuk pergi ke Indoesia. Petang tu, kami melayari internet untuk melihat pakej yang paling murah. Tapi ada masalah, penerbangan dari Kuala Lumpur ke Bandung ialah pada pukul 3.30 petang, tetapi tiada waktu penerbangan yang sesuai boleh kami ambil dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur supaya kami dapat transit di airport lebih awal. Kami melihat ada flight dari Johor Bahru ke Jakarta, tetapi perjalanan Jakarta-Bandung bukanlah singkat, kalau jalanraya sesak mahu 8 jam terkandas. Suami pula bertanya, hendak pergi Bandung ke Medan? Eh, dia ajak kita, dia tanya kita pulak. Saya memilih Bandung dan mencadangkan agar kami ke Kuala Lumpur dengan kereta dan tinggalkan kereta di rumah Abang Long, abang ipar saya.
Petang itu juga saya terus telefon Abang Long. Abang Long bersetuju dan minta saya comfirmkan balik dengannya esok petang. Esoknya, kami fikir takut menyusahkan Abang Long, jadi saya memberitahu Abang Long, saya akan tinggalkan kereta di LCCT saja. Esoknya, Along saya pula telefon. Dia menyuruh saya parking kereta di rumah Abang Long juga dan mengambil teksi ke LCCT. Saya serba salah. Saya tanya lagi dengan Abang Long. Abang Long kata dia akan hantar kami ke LCCT. Jadi keputusannya kami akan keluar dari rumah pagi-pagi buta dan terus ke rumah Abang Long di Bangi. Hmmm.. rasa macam tak sabar pula nak ke Bandung. Untuk episode di Bandung, akan saya ceritakan dalam blog yang akan datang.

Antara Sibuk & Minat

Salam, lama sungguh saya tidak menulis di ruangan ini. Itulah, konon-kononnya buat blog ni kerana nak mengasah minat tapi masa membataskan segalanya. Bukanlah kata saya ni tak ada masa langsung, cuma sepanjang cuti sekolah ni agak sibuk. Tak tahulah apa yang saya sibukkan, jadi bila ada masa terluang kepala pun dah penat dan terfikir untuk berehat saja.
Apa ye yang saya sibuk sangat.. sibuk berjalan barangkali.. hehe. Maklumlah, hujung-hujung tahun ni biasanya suami saya agak kurang sibuk, lebih-lebih lagi beliau dah pun mencapai target jualan iklan tahunannya, jadi masa inilah beliau akan bercuti agak panjang, jadi selalunya dipaksa saya bercuti sekali.
Hmmm… masa cuti memanglah seronok tapi bayangkanlah penatnya nanti bila sampai ke rumah selepas pulang bercuti. Mana nak basuh pakaian yang digunakan sepanjang bercuti, nak menyidai, melipat dan menyusun dalam almari lagi. Nak harapkan suami dan anak, lipat baju kecik bolehlah.. hehe. Tapi biasanya tugas saya sehingga melipat sahaja, bab baju kecil dan susun dalam almari selalunya masing-masing kena buat. Jadi lepas lipat tu saya tinggal, pandai-pandailah diorang nak angkat. Yang bagusnya diorang ni terus jer angkat bila saya siap lipat jadi taklah menyemak mata memandang. Kalau diorang malas tu saya ugut-ugutlah lain kali basuh baju sendiri.. huhu..
Bab mengemas rumah, saya taklah penat sangat pasal dah takde sangat orang nak menyepah rumah, maklumlah anak dah besar, sorang pulak tu. Jadi selalunya tak ada apa nak dikemas sangat, saya pun bukanlah rajin sangat nak menghias-hias rumah, mengubah perabot dan sebagainya. Apa yang ada, itulah yang saya kemas.
Lagipun rumah saya kecil saja. Biasanya bahagian yang kena kemas selalu dapurlah. Walaupun kecil tapi pening gak kepala sebab banyak sangat barang. Bila dah digunakan satu hal pulak nak disimpan balik, itulah yang paling saya menyampah sekali, tapi apakan daya, kena juga buat walaupun tak suka. Nanti tak sedap pula mata memandang.
Tinggal dua minggu saja lagi penggal persekolahan akan dibuka, maknanya kenalah pula saya mula menggosok pakaian sekolah anak tunggal saya. Bukan saya hendak memanjakan kerana tidak menyuruh dia menggosok sendiri, dah banyak kali juga dia nak cuba menggosok sendiri, tapi saya masih tak percaya dia mampu menjalankan tugas tersebut. Hmm.. mungkin kali ni saya kena lapangkan dada membenarkan dia menggosok pakaiannya sendiri. Jadi saya boleh rehat sikit..hehe.. Mana tahu, tahun depan saya pun dah boleh rehat terus dari menggosok pakaian.. harap-harapnya begitulah..

DEMI MASA

MENGHITUNG HARI

Anda Sukakan Ini?