SALAM SEJAHTERA.. semoga anda semua sentiasa beroleh kesihatan yang baik dan rezeki yang melimpah ruah.. Amin.
Hmmm... lama sungguh saya tak memunculkan diri di Alam Sari ini. Bukannya tak ada bahan atau cerita nak dicoretkan tetapi entah kenapa di bulan Mac ini banyak sangat agenda yang menanti sehinggalah ke penghujungnya. Memang rasa tak sabar sangat nak habiskan bulan ini supaya nanti di akhirnya saya dapat bernafas lega.
Baru saja pulih dari kesakitan tulang-temulang dan sendi-mendi yang seperti hendak terjojol keluar angkara 'Tug Of War' dan permainan-permainan yang tak berapa nak ekstreem di Hari Jalinan Korporat anjuran syarikat saya mencari rezeki. Walaupun pada mulanya tu pergi kerana terpaksa,(memang perlu dipaksa) tetapi kadang-kadang suasana seperti inilah yang menambah warna-warni dalam kehidupan kita.
Entah mengapa kali ni saya boleh tidak membawa kamera. Tapi atas ihsan dan belas kasihan (hehehe) kawan-kawan, dapatlah saya menumpang sekaki dan mengabadikan fotonya di Alam Sari ini.
Tidak seperti Jalinan Korporat yang diadakan pada tahun 2005 iaitu 3 hari 2 malam, kali ini Ketua Pegawai Eksekutif yang kami kasihi bersetuju untuk mengadakan selama 2hari 1 malam sahaja. Dan atas budi bicara Tuan CEO juga, kami bertolak ke Mersing pada hari Jumaat iaitu hari bekerja walaupun pada perancangan awalnya majlis berlangsung pada Sabtu dan Ahad.
Di Pusat Kecemerlangan dan Pembangunan Insan (PKPI), Sekakap, Mersing yang terletak di perairan pantai Mersing ini, kami ditempatkan di dalam dorm. Maka bila waktu hendak mandi tu terpaksalah juga menunggu giliran, siapa cepat dia dapat (itu yang tak syok).
Yang di dalam bilik air tu pulak, kenalah beringat, ada kawan yang menunggu di luar, jadi tak bolehlah nak berlangir atau menyental kulit dengan buah petola, mandi seadanya dalam bilik air yang nak regang tuala pun tak berapa nak boleh tu.
Kalau agak-agak malas nak tunggu tu pergilah terjun ke laut dan mandilah selama mana yang suka, tiada siapa yang melarang. (tak tahulah.. ada ke yang buat macam ni..???)
Jadi semasa Tug Of War berlangsung di peringkat separuh akhir tu, dah ramai yang meninggalkan pantai kerana tak mahu berebut bilik air, hanya pasukan yang terkuat dan terhandal saja yang masih bersorak tak ingat dunia.. (termasuk aku..).
Walaupun hujan turun dengan tak berapa lebat malam itu, ramai yang tak rela berjalan dalam hujan kerana rata-ratanya sudah berhias habis-habisan untuk majlis makan malam yang ada karaoke dan cabutan bertuah. Alhamdulillah, dari mula dah rasa nombor saya mesti ada 'ong' dan akhirnya mengena walaupun hanya sebuah telefon tangan yang tak berapa canggih tapi masih berjenama Nokia.
Nampaknya hujan menemani awal pagi saya yang rasanya payah sungguh nak bangkit gara-gara susah betul nak tidur pada malamnya. Pusing kiri, pusing kanan, telentang... cuma tak tertiarap jer... tapi sempat juga bermimpi beberapa orang mat salih yang datang entah dari mana.
Maka tiada lainlah aktiviti pagi yang popular selain dari berjoget lambak eh.. menari poco-poco diikuti dengan acara membedal nasi lemak... takde maknanya poco-poco tu dah..
Saya dapat juga menyepak bola ke gol dalam acara sepakan penalti sayangnya gagal memecahkan telur dalam acara 'Tembak Telor'. Dan kerana hujan yang berterusan, tiada siapa yang dapat berkuda ala-ala Qabil Ambak apalagi nak berlari dalam guni.
Akhirnya saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada rakan-rakan sepasukan yang amat sporting dan pihak penganjur yang bekerja keras mengabadikan Hari Jalinan Korporat ini di dalam diari saya tahun ini. Tahniah!
menunggu giliran tarik tali separuh akhir, walaupun kalah tapi kami tetap menang sorak (gambar Norasikin Abu Bakar)
agak-agaklah saiz tali dengan tangan.. sadis sungguh! (Gambar Shuhaida Baharom)
majlis makan malam dengan sajian mistik ala kampung.. ada bbq di belakang, siapa lambat tak dapat (Gambar Shuhaida Baharom)
terpukau dengan persembahan siapa??? (Gambar Mohd Lokman Abdullah)
antara yang bertuah... (Gambar Mohd Lokman Abdullah)
Blog ini merupakan blog peribadi. Segala tulisan di dalamnya merupakan pengalaman sendiri atau pandangan peribadi Sk terhadap sesuatu produk, makanan atau perkhidmatan. Sk juga tidak bertanggungjawab sekiranya anda tidak mendapat kualiti produk, makanan atau perkhidmatan sebagaimana apa yang dinyatakan di dalam blog ini.
Segala komen yang dituliskan di sini adalah di bawah tanggungjawab pengomen sendiri. Untuk sebarang pertanyaan, anda boleh menghantar email kepada serikanditanahjauhar@gmail.com
Terima kasih