KESILAPAN

Seri Kandi Tanah Jauhar
2
ASSALAMUALAIKUM wbt

APA khabar semua? Semoga teman-temanku sekelian sentiasa berada dalam limpahan rahmat dan hidayah dari Allah SWT. Masih sibuk lagi dengan beberapa tugasan yang tidak memungkinkan saya untuk berkunjung ke blog kalian tetapi pagi ini ingin saya kongsikan sesuatu untuk renungan diri sendiri dan anda sekalian. Marilah kita sama-sama mengambil pengajaran daripadanya.

BEBERAPA KESILAPAN IBU BAPA DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK

“Harta benda dan anak-anak kamu hanyalah menjadi ujian dan di sisi Allah ada pahala yang besar.” ~Surah At-Taghabun, 64: 15.

Anak-anak adalah amanah dari Allah swt dan ianya sebahagian dari ujian Allah swt kepada kita hamba-hamba-Nya. Sebagai ujian, ianya akan dipertanggungjawabkan. Orang yang malang adalah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya tidak membawa kebaikan kepadanya di akhirat. Rasulullah SAW diberitakan telah bersabda : “Tahukah engkau siapakah orang yang mandul.” Berkata para sahabat: “Orang yang mandul ialah orang yang tidak mempunyai anak.” Lalu Rasulullah SAW berkata, “Orang yang mandul itu ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya itu tidak memberi kemanafaatan kepadanya sesudah ia meninggal dunia.” (Maksud Al-Hadith).

1. Kesilapan pertama : Kurang berdoa iaitu kurang berdoa semasa mengandung dan semasa membesarkan anak.

2. Kesilapan kedua : Banyak memberi belaian Tarhib (menakutkan) daripada Targhib (didikan dan motivasi) seperti menakut-nakutkan anak dengan sekolah, menakutkan dengan tempat gelap, menakutkan dengan hutan rimba atau bukit bukau serta menggunakan kekerasan atau paksaan semasa menyuruh anak tidur.

3. Kesilapan ketiga: Tidak tegas dalam mendidik anak-anak seperti tidak menjadualkan kegiatan harian anak-anak dan terlalu memfokuskan anak-anak kepada sesuatu aktiviti sahaja tanpa mengambil kira perasaan mereka.

4. Kesilapan keempat: Menegur anak secara negatif seperti mengeluarkan kata-kata kesat dan maki hamun kepada anak-anak (semasa marah) dan membandingkan anak-anak dengan anak-anak lain atau anak orang lain.

5. Kesilapan kelima: Memberi didikan yang tidak seimbang antara jasmani (physical), rohani (spiritual) dan minda (intelektual). Ramai yang lebih mementingkan pendidikan minda dari pendidikan rohani.

6. Kesilapan keenam: Kurang member sentuhan kepada semua anak-anak sedangkan Rasulullah SAW kerap dilihat mendukung cucu-cucunya dan mencium mereka. Diriwayatkan oleh Aisyah ra: Pada suatu hari, Rasulullah SAW mencium Al-Hassan atau Al-Hussein bin Ali ra. Ketika itu Aqra’ bin Habis At-Tamimiy sedang berada di rumah baginda. Berkata Aqra’: “Ya Rasulullah, aku mempunyai sepuluh orang anak tetapi aku belum pernah mencium seorang pun daripada mereka.” Rasulullah melihat kepada Aqra’ kemudian berkata: “Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi.” (Maksud Al-Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

7. Kesilapan ketujuh: Penampilan diri yang kurang anggun dan kurang kemas. Ibu bapa tidak menunjukkan cara berpakaian yang kemas dan menepati kehendak syarak bila berada di rumah iaitu berpakaian secara selekeh atau berpakaian seksi di hadapan anak-anak.

8. Kesilapan kelapan: Susunan rumahtangga yang tidak kemas. Ini mengakibatkan anak-anak terikut-ikut dengan cara itu dan membesar menjadi pemalas dan selekeh.

9. Kesilapan kesembilan: Kurang menghidupkan sunnah di rumah seperti member salam, makan berjemaah, beribadah bersama-sama dan sebagainya. Dalam menjawab salam, lazimkanlah menjawab salam dengan yang lebih baik dari salam yang diberi.

10. Kesilapan kesepuluh: Tidak menggantungkan rotan di tempat yang mudah dilihat oleh anak-anak. Dalam islam, merotan anak dengan tujuan mendidik adalah satu sunnah.

11. Kesilapan kesebelas: Kurang mendedahkan anak-anak dengan model yang cemerlang seperti para ulama’ dan orang-orang yang berhemah tinggi serta berakhlak mulia. Anak-anak juga patut didedahkan dengan sembahyang jemaah, kuliah agama dan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan akhlak Islam.

12. Kesilapan keduabelas: Bertengkar di hadapan anak-anak. Ini akan menyebabkan anak-anak rasa tertekan dan membenci salah seorang dari ibu bapanya.

13. Kesilapan ketigabelas: Membenarkan orang yang tidak elok sahsiyahnya masuk ke dalam rumah kita, baik dari kalangan sahabat sendiri ataupun sahabat anak-anak kerana ini akan memberikan contoh yang tidak baik kepada anak-anak yang masih membesar.

14. Kesilapan keempatbelas: Kurang mengawasi rancangan-rancangan yang ditonton sama ada daripada TV ataupun video. Pengawasan dalam hal ini adalah penting kerana kebanyakan rancangan dari media ini menonjolkan akhlak yang kurang baik seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak menepati syarak dan perbualan yang boleh merosakkan agama anak-anak.

15. Kesilapan kelimabelas: Terlalu bergantung kepada pembantu rumah untuk mendidik anak-anak. Sebagai ibu bapa, kitalah yang akan disoal di akhirat kelak akan anak-anak ini. Oleh itu menjadi satu kepentingan kita untuk berusaha memastikan anak-anak terdidik dengan didikan Islam.

“Ya Allah! Ampunilah bagiku segala dosaku dan juga dosa ibu bapaku dan kasihanilah mereka keduanya sebagaimana mereka memelihara dan mendidikku di masa kecil, Amin”

(Sumber: Kuliah Mingguan Surau An-Nur, 10 Jun 1998 oleh Ustaz Khalid Haji Mohd Isa dan diubahsuai oleh Biro Kerohanian Badan Kebajikan ITPYPJ, Johor Bahru)

Post a Comment

2Comments

Blog ini merupakan blog peribadi. Segala tulisan di dalamnya merupakan pengalaman sendiri atau pandangan peribadi Sk terhadap sesuatu produk, makanan atau perkhidmatan. Sk juga tidak bertanggungjawab sekiranya anda tidak mendapat kualiti produk, makanan atau perkhidmatan sebagaimana apa yang dinyatakan di dalam blog ini.

Segala komen yang dituliskan di sini adalah di bawah tanggungjawab pengomen sendiri. Untuk sebarang pertanyaan, anda boleh menghantar email kepada serikanditanahjauhar@gmail.com

Terima kasih

  1. kak yus..saya copy entry ni nak simpan. ye..mekasih share

    ReplyDelete
  2. salam
    sesungguhnya menjadi ibubapa teramat berat tanggungjawab...teramat payah dizaman serba mencabar ni...bila anak2 buat perangai tak senonoh...org pantas bertanya..anak sapa ni?

    ReplyDelete
Post a Comment

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!