MELAYU - Tanah jawi Itu Di Sini

Seri Kandi Tanah Jauhar
1
ASSALAMUALAIKUM...

JIWA halus SK tersentuh dengan sajak dari Tun Muhammad Farul Azri Ibni Tun Haji Muhammad Salleh. SK Melayu, jika hati melayu anda tidak tersentuh dengan sajak ini mungkin anda bukan benar-benar Melayu.

MELAYU - Tanah Jawi Itu Di Sini

Dulu..
Di sini..
i sini ini..
Bermula bicara

Di atas gunung berdiri cerita Tinggi Beruas
turun ke lembah Hulu semenanjung
sampai ke Manjung Gangga Negara
nama ditanda
Menjulang tinggi adaban dunia..

Dulu..
Di sana..
Di sana itu..
Ditulis surat Persuratan tua
buat umat Tamra ditanda batu bersurat
Tinggal sepi dalam negeri Megat..
Di Kuala Berang terpecah urat..

Sayup terdengar jeritan kelam..
Ini negeri Megat Panji Alam..!
Banyak wali Allah dan banyak pula Ahlul Bay'tul Rasul..!
Diwartakan buat kalian anak cucu umat Muhammad SAW..
Di sini..
Dalam akhir zaman..
Ini..

Maka tersurat...
Apa yang tersirat...

"Rasulullah dengan yang arwah santabi mereka..
Asa pada Dewata Mulia Raya beri hamba meneguhkan Agama Islam..
Dengan benar bicara derma mereka bagi sekalian hamba Dewata Mulia Raya..
Di benua ku ini penentu agama Rasulullah Salallahualaihi Wassalam.
"DI BENUA KU INI PENENTU AGAMA RASULULLAH SALALLAHUALAIHI WASSALAM..!
"Raja Mandalika yang benar bicara sebelah Dewata Mulia Raya..
DI DALAM BUMI INI PENENTU FARDHU PADA SEKALIAN..!
Raja Mandalika Islam menurut setitah Dewata Mulia Raya dengan benar..
Bicara berbajiki benua penentuan itu maka titah Seri Paduka;
Tuhan..!Tuhan..!
Tuhan yang menduduki Tamra ini di Benua Terengganu adi pertama..
Jumaat di bulan Rajab di tahun saratan disasanakala..
Baginda Rasulullah telah lalu tujuh ratus dua.."

"KELUARGA DI BENUA JAUH KAN DATANG BERIKAN.."

"Allahumasoli'ala Muhammad, Wa'ali Muhammad"

Dulu..
Di atas..
Di atas sana..
Tersurat hikayat Merong Maha Wangsa..
Kalha..
Kataha..
Nama tercipta Negeri Kedah Tua
Sheikh Abdullah al-Qaumiri
dan Sultan Muzzafar sendiri..
Berjanji teguh adinda kekanda..
Gunung Jerai ke Langkasuka..

Dulu..
Di bawah..
Dan di seberang sana..
Berteguh janji bapa saudara Demang Lebar Daun
juga Sang Sapurba
"Tak Melayu derhaka pada Rajanya,
Adil saksama ganjaran di beri Memberi malu tidak sekali"

Hikayat berlalu pecah gelora
Parameswara jadi Maharaja
Jadi lambang daulat negara
Kekallah Melaka jadi seadanya..

Dulu..
Di bawah sana..
Sultan Mansur Syah
dan Bendahara Seri Paduka RajaTun Perak
dan Laksamana Tun Tuah
memacu tenaga
Lekir di hilir,
Lekiu di hulu
Jebat-Kasturi tinggi berdiri..

Hilang..
Hilang terus perjanjian tua..
"Tak Melayu derhaka pada Rajanya..?"

Dulu..
Di sana..
Tiba giliran Paduka Sultan beraja Sultan Mahmud Shah
jadi ingatan Benggali Putih buat belasahan..
Terbakarlah Melaka zaman berzaman..

Undur Sultan ke serata peri..
Tinggal sekeping hati
dan alatan negeri Kampar
benteng harapan buat baginda merajai
Kekal tak kembali ke Melaka lagi..

Dulu..
Di tanah ini..
Raja Muzzaffar dijemput pergi..
Tanah Tun Saban dan Tok Temong dikongsi-bahagi ,
Berangkatlah ke negeri Perak yang belum beraja lagi..
Sambil diiring Paduka seberang..
Daulat raja di tanah Minang
Megat Terawis hulubalang terbilang..

Dulu..
Di bumi ini..
Datang pula dugaan Tuhan
Buat menguji hati sang raja
Supaya ingat akan asal dan jasa
Usul dititah untuk dijaga..

Lantas..
Dia berbisik..
Berbisik dari hati yang suci murni
Buat jadi benteng diri
Dari 'penghuni' segenap negeri..

"Selilit Tanah Minangkabau,
Selengkung Pulau Perca,
Dilengkung ular Saktimuna,
Sebenarnya Aku keturunan Raja,
Jauhkan segala malapetaka,
Perpisahan Aku di Selat Melaka.."

Hari ini..
Kini di sini..
Apa yang tinggal hanya kita-kita..
Menggalas tanggungan beban derita..
Bukan hanya sekadar cerita..
Buat mainan dikala hiba..
Atau buat mengulit si kecil lena..

Hari ini..
Di bumi ini..
Yang tinggal hanyalah aku dan kamu
Setelah cukup zaman itu
Kini bermula zaman yang baru
Kembalilah kita ke Khalifah yang satu..

Aku dan kamu Adalah darah saka,
Para panglima silam
Yang bergadai nyawa
Demi maruah agama, bangsa, tanahair
Tanah tumpah nya darahku

Tanah yang sekangkang kera ini..
Inilah tanah kita..
Ini Tanah para Syed dan Syarifah..
Ini tanah Raja-Raja ,
Ini tanah Megat-Megat,
Ini tanah Daeng-Karaeng ,
Ini tanah Meor-Meor,
Ini tanah Wan-Wan ,
Ini tanah Nik-Nik ,
Ini tanah kita semua..
Ini tanah Ahlul Bay't..!...
Tanah ini 'Tanah Melayu'

Aku dan kamu
Di antara saka pustaka
Penyambung warisan bangsa
Para pertapa ke Batu Belah
Ke Ulu Perak
ke Pulau Besar
Untuk bertauliah dan berijazah
Antara yang nyata atau Rijalul Ghaibi
Dengan para auliah dan para santabi

Aku dan kamu
Rajawali mahupun Jentayu
Mengembang sayap di angin lalu ,
Dengan seruan jihad bertalu-talu..
Telah berlalu 500 tahun itu..
1511 ke 2011
kini datanglah pula 2013..
Di sini kekita menanti
Dalam hati-hati manusia itu diam sendiri
Tentu ada yang tak takut mati..

Maka akan bangkit..
Inshaallah Taala akan bangkit nanti..
Akan bangkit hati-hati yang umpama kepingan besi..
Akan datang panji-panji hitam dari ufuk timur ini..
Agama Tauhid akan kembali berdiri..
Dari sini..
Dari sebelah sini..

Hari ini..
Antara Habil dan Qabil,
Antara Jalut dan Talut,
Antara Harut dan Marut,
Antara Hassan dan Hussin,
Antara Lekir dan Lekiu ,
Antara Osama dan Obama..

Ada sesuatu..
Ada sesuatu yang perlu diambil tahu..

Patah tongkat berjeremang..
Habis Hulubalang bersiak..

Bukan balang-balang Hulubalang,
Hulubalang terbilang jitu..
Bukan barang-barang Penjurit,
Penjurit Kepetangan jua yang tahu.....
Kepetangan itu adalah penamat ilmu kau dan aku...
 
Wassalam
 

Post a Comment

1Comments

Blog ini merupakan blog peribadi. Segala tulisan di dalamnya merupakan pengalaman sendiri atau pandangan peribadi Sk terhadap sesuatu produk, makanan atau perkhidmatan. Sk juga tidak bertanggungjawab sekiranya anda tidak mendapat kualiti produk, makanan atau perkhidmatan sebagaimana apa yang dinyatakan di dalam blog ini.

Segala komen yang dituliskan di sini adalah di bawah tanggungjawab pengomen sendiri. Untuk sebarang pertanyaan, anda boleh menghantar email kepada serikanditanahjauhar@gmail.com

Terima kasih

  1. Salam SeriKandi, juga salam kenal dari jauh nun disana...
    Tersentuh dan terusik jiwaraga Ratna pabila didalam serumpun kata-kata Sakti darinya Tun Muhammad Farul Azri Ibni Tun Haji Muhammad Salleh ada menyebut nama Duli yang Mulia keturunan warisan Ratna nan dahulu kala yaitu Demang Lebar Daun juga Tanah MinangKabau dimana pusaka tersebut terhenti di Selat Melaka...
    Tidak perlu Ratna huraikan seumpama mahu menyelongkar kembali sejarah yang sedari berpahat kukuh karena jiwa Melayu Ratna begitu utuh seutuh sesungguhnya didalam pundi darah nan biru bukannya merah...
    Iya SeriKandi, sememangnya suatu kemestian bagi kita berhalus hati dengan warisan kesatuan pusaka Melayu bangsa kita ini akan selamanya terus wujud bagi kedaulatan maruah bangsa Melayu... benar sesungguhnya Tanah ini kita punya Demi maruah agama, bangsa, tanahair Tanah tumpah darahku...

    Salam mesra semanis madu.

    ReplyDelete
Post a Comment

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!