MESTI KLIK

MESIN TEKAN CRUST TART

MESIN TEKAN CRUST TART
PEMBERITAHUAN : Sebarang pertanyaan atau tempahan mesin tart dan sebagainya hendaklah diajukan melalui sms dan whatsapp sahaja ke talian 0127844524. Terima kasih.

Thursday, June 27, 2013

KERENTUNGAN SEKEPING HATI

ASSALAMUALAIKUM...

sambungan 'AKU RINDU PAPA'

"Maaaa... Diana dah jumpa papa...," takut-takut Diana memberitahu Emi. Sudah tiga hari dia duduk di rumah mama kerana cuti sekolah, barulah dia berani bersuara tentang papanya, Kamil.

"Jumpa papa? Macammana boleh jumpa? Jumpa kat mana?? Papa okey ke???" Bertalu-talu pertanyaan yang singgah ke telinga Diana. Emi tak sabar menunggu jawapan Diana. telah lama dia menanggung rasa bersalah akibat perbuatannya yang lalu terhadap Kamil.

"Jumpa dalam facebook... " menggigil Diana. Takut kalau Emi melenting. Silap-silap dihalau balik hari itu juga.

"Ohhhh..," Emi seperti mengeluh. Sangkanya Diana sudah bertemu empat mata dengan Kamil. Ada nada kecewa dalam nada suaranya. Diana rasa lega bila Emi tidak memarahinya.

"Mama nak tengok papa?" Emi mengangguk lemah. Cepat-cepat Diana membuka akaun facebooknya di dalam telefon bimbit. Ada rasa kesal bermain dalam hati Emi. Sesekali bertiup angin cemburu melihat kebahagiaan yang dipaparkan di dalam gambar Kamil dengan keluarga barunya. Gambar mereka bercuti ke pantai-pantai dan ke pulau-pulau malah gambar mereka membeli-belah hingga ke luar negara. Emi menelan liur, pahitnya sampai ke anak tekak. Pilunya hati hingga menikam jantung.

..................................................

"Hei, Emi!! Apa you buat berdiri sini??? Pergilah sana kasi sapu!!" Terbang segala memori yang melayang di kotak ingatan Emi bila disergah begitu.

"Errrr.... sekejap lagi saya sapulahhh," Emi cuba mengelak. Terkebil-kebil dia memandang tubuh Jennet yang tembun itu. Tak padan dengan tembun bergaya pula macam tomboy.

"Apa sekejap lagi? Orang dah ramai. Tadi satu group dah bangun, nanti orang lain nak duduk, macam mana kalau tak sapu? You kalau tak mahu sapu you berhenti duduk rumahlahhh!!" Macam tak cukup nafas Jennet memarahi Emi. Suaranya yang nyaring itu tenggelam dengan bunyi kelentung kelentang di dapur dan hiruk pikuk pelanggan berbual di restoran tetapi tetap menyakitkan telinga Emi.

Emi mengendap sekejap pasangan yang sedang menghabiskan ikan di dalam pinggan bujur. Seboleh mungkin si isteri menggaru isi ikan dan disuap ke mulut suami. Sesekali isi ikan disuap ke mulut sendiri. "Eiiii, macam tak pandai makan sendiri, nak bersuap-suap..." sedikit terbakar hati Emi dengan api cemburu.

Dalam terpaksa, penyodok dan penyapu yang dipegangnya sejak tadi diheret lemah menuju ke ruang restoran. Emi tunduk menyapu di bawah meja yang baru dikosongkan. Tisu-tisu pembungkus sudu garfu berterabur di bawah meja mungkin diterbangkan angin dari kipas besar restoran. Emi tertunduk-tunduk menyapu tisu cepat-cepat masuk ke dalam penyodok sampah. Dalam hatinya berdoa agar pasangan itu jangan menoleh ke arahnya. Emi sengaja menyapu membelakangkan meja pasangan itu.

"Heiiii, cepatlah! Orang dah ramai!" Jerkah Jennet. Restoran Cina Muslim itu memang sentiasa penuh lebih-lebih lagi pada hujung minggu. Apatah lagi ia merupakan satu-satunya restoran cina di kawasan peranginan itu yang mendapat pengiktirafan halal dan kerap pula dikunjungi orang 'besar-besar'.

"Cepattttttttt!!" Rasa nak diketuk sahaja kepala Jennet dengan penyodok sampah yang dipegangnya. Tak nampak ke dia sedang menyapu laju-laju. Dahlah hatinya terbakar melihat pasangan suami isteri itu makan ikan berharga RM70 sekilo itu. Emi yang siang malam menyapu di restoran itu nak merasa secubit pun payah tapi mereka dua suami isteri makan ikan seekor itu berdua sahaja sampai tinggal tulang. Emi makin cepat menyapu. Biar cepat siap, biar dia boleh beredar dari situ cepat-cepat. Jangan sampai Kamil nampak....


Bersambung...

Wednesday, June 26, 2013

ROTI CANAI ATAU ROTI PRATHA?

ASSALAMUALAIKUM...


TEPUNG yang diuli bersama mentega dan air, dilayangkan pula di udara rasa terawang-awang dibuatnya dan dicanai pula sebelum digoreng di atas kuali besar dan lebar kemudian dihempuk pula dicicah pula dengan kari dhal pekat likat, adakah sesiapa yang tak minat roti canai di sini. Oh! Ada yang panggil roti pratha.. kata ER, di kampungnya sesetengah orang menyebut roti planta. Apapun namanya, bagi Seri Kandi, ia adalah sarapan yang tersedap, termudah dan termurah... hehehehe.
 
Jemput makan!!

p/s Dah lama SK tak makan atau beli roti canai di kedai mamak yang besar-besar tu (yang kecik pun). SK pernah baca dalam suratkhabar, ketika satu serbuan dilakukan oleh pihak berkuasa (yang berkait dalam bidang makanan dan kesihatan nilah), beberapa pekerja restoran sedang menguli roti canai dengan kaki.. tobat, tak mahu terus SK makan roti canai mamak ni. Sekarang pun banyak kedai melayu yang jual roti canai sedapkan... insyaAllah, dijamin kebersihannya.

Tuesday, June 25, 2013

LONTONG & TELUR PINDANG

ASSALAMUALAIKUM...

ini lontong dari Restoran Fatimah, Bandar Baru Uda
GIGIH Seri Kandi memburu sarapan pagi ini selepas menghantar Iman ke sekolah. Tekak SK pagi teringin benooo nak makan lontong gara-gara kawan SK menyebut-nyebutnya semalam. Lontong kegemaran SK kalau di JB ni ada dua tempat sahaja yang betul-betul menepati citarasa SK iaitu di kantin Balai Polis Depoh atau di Restoran Fatimah di sebelah Sekolah Kebangsaan Kompleks Uda. Bukan sahaja dari segi rasa tapi juga dari segi nilai ringgitnya, hehehe.

Kadang tu susah juga nak jumpa lontong yang lengkap lauk pauknya. Ada sesetengah kedai atau restoran tak ada sambal kacangnya, ada pula yang tak ada serundingnya. Bagi SK, kalau nak makan lontong wajib ada sambal kacang, sambal tumis (bagi pedas kalau sambal kacang tak pedas) dan serunding. Yang paling penting kuah lodehnya mestilah pekat santannya dan cukup sayur, tauhu dan paling best kalau ada tempenya :)))

Duluuuuuuuuuu.. setahu SK tiada istilah lontong basah atau lontong kering. Kalau disebut lontong kita dah tahu hidangannya ialah potongan nasi impit yang dimakan bersama sayur lodeh, sambal kacang dan serunding. Kalau ada tambahan, mungkin cuma telur sebiji atau separuh. Ibu SK dulu buat nasi impit sendiri. SK rasa ramai anak-anak sekarang yang tak tahu bagaimana cara membuat nasi impit ni. Yang mereka tahu ketupat segera tu jer, kan.. kan... kan...

Kalau beraya di kampung suami, sebolehnya SK akan menyediakan sayur lodeh untuk dimakan bersama ketupat segera. Ramai juga yang datang beraya ke rumah mak mertua sukakan sayur lodeh yang SK buat. Ialah, dalam banyak-banyak rumah beraya, di rumah mertua saja yang ada sayur lodeh ni. Kembang kuncup juga kalau mak dok canang menantunya yang punya masakan lodeh tu. Tak sampai petang dah habis sayur lodeh seperiuk besar tau, Alhamdulillah.

Haaa.. telur pindang ini pula satu lagi makanan kebanggaan masyarakat Tanah Jauhar ini dan telur ini dibuat oleh ibu SK tau. Ia direbus dengan pelbagai jenis daun, rempah dan herba bagi membangkitkan rasanya. Dalam keluarga SK, jika terdapat majlis perkahwinan dan sebagainya telur pindang adalah cenderhati yang paling sering diberikan kepada tetamu begitu juga oleh kebanyakan masyarakat di negeri Johor ini.  Ia juga tahan lama sehingga dua minggu dan enak dimakan begitu sahaja. Ada yang berminat nak menempah telur pindang ni ke? Sebarang pertanyaan atau tempahan bolehlah diemailkan kepada SK ya di serikanditanahjauhar@gmail.com.

Sekian, wassalam.

Thursday, June 20, 2013

BUBUR KACANG HIJAU BERSAGU

ASSALAMUALAIKUM...


MASIH di sini, makannya sedap-sedap, enam kali sehari. Tak mustahil selepas seminggu, berat Seri Kandi naik berkati-kati. Eh! Mana ada lagi orang timbang guna kati, hihihihi. Ini Bubur Kacang Bersagu. SK selalu juga buat Bubur Kacang Hijau (kegemaran SK) tapi tak pernah lagi SK mencampak sagu ke dalamnya. Hasilnya, sedap juga. Nanti kalau balik rumah, SK nak masak bubur kacang macam ni. Cuma satu kurangnya, hujung-hujung tu, tak rasa lemak santan macam bubur kacang yang biasa kita makan. Ada kawan sekursus dengan SK ni mengambil tindakan drastik dengan memasukkan krimmer ke dalam mangkuk bubur kacang ni... hihihi... macam-macam.

Dan... beberapa hari ini, inilah minuman yang SK minum. Hari-hari mesti kopi O kurang manis. SK suka minum kopi panas-panas. Letak suku camca gula sahaja. Orang lain letak dua camca, ish.. SK tak suka minum manis-manis, Rasa melekit kat tekak SK ni. Kuih manis takpe pulak, hohoho. Waktu lain SK tak minum air pun kecuali makan tengahari, cuma segelas air yang dihidang tu jer pun. SK jenis tak kuat minum air, lebih-lebih lagi kalau duduk dalam bilik yang dingin macam peti sejuk tu. Karang asyik nak ke bilik air jer. Segan pulak kalau asyik keluar masuk, hehehe.

Okeylah.. tak ada apa nak cerita lagi. Kerja kursus tidak sangat membebankan apabila dibuat secara berkumpulan. Tapi biasalah, ada jugak ahli yang tak memberi kerjasama, tapi suka tunjuk pandai. menyampahs tau!! SK suka sangat dengan penceramah kali ini yang sangat friendly, Puan Rogayah dan Puan Rozita. Kadang-kadang SK rasa macam dah lama sangat kenal mereka berdua ni. Dan SK paling suka sekali kerana kerja yang kami bangunkan ni adalah sesuatu yang baru, yang asli dan kami karang sendiri dengan sepenuh jiwa raga sampai macam-macam gaya bahasa ada. Maklumlah, bahasa teknikal ni lain, tak sama dengan Bahasa Inggeris yang kita belajar dekat sekolah dulu.

Eh! Tadi kata tak ada pa nak cerita, ni dah melalut-lalut pulakkan... hahahaha.. okeylah, jumpa lagi ya..

Wassalam.

Wednesday, June 19, 2013

KUIH RAYA

ASSALAMUALAIKUM...

DAH 4 hari tiga malam Seri Kandi berkampung di sini dan pagi ini kami dihidangkan dengan kuih raya yang sedap-sedap... hehehehe... Alhamdulillah...

Tuesday, June 18, 2013

MAKAN MALAM

ASSALAMUALAIKUM....

TENTATIF program bengkel pembangunan Descum yang SK akan ikuti selama seminggu ini... sanggup tak makan malam gitew... :p

Monday, June 17, 2013

CHEESE TART'S LOVER

ASSALAMUALAIKUM...


SEMINGGU ini segala post yang ada di Alam Sari ini adalah secara 'auto publish' ya (kalau sempat SK buat entrilah..). SK minta maaf, mungkin sementara itu juga SK tidak membuat kunjungan ke blog kawan-kawan kerana SK telah tercampak ke satu daerah yang sunyi dan terputus dari segala hubungan luar. Okey, SK tipu di situ, hehe. Sebenarnya SK akan terlibat dengan satu bengkel membangunkan NOSS (National Occupational Skill Standard). Oh, dalam bahasa melayunya Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan... gitewww. Haaa.. adakah sesiapa pembaca Alam Sari ni mempunyai skop pekerjaan seperti SK ya? Kalau ada, sila angkat keyboard tinggi-tinggi... hihi.


Jadi, kalau ada sesiapa yang rindukan cheese tart SK, bolehlah tatap gambar cheese tart SK ni puas-puas ya. Kalau rasa tak puas, boleh cetak dan tampalkan sebelah katil atau dalam peti sejuk. Nanti, sekembalinya SK dari perantauan, SK akan buka kembali borang pesanan untuk anda ya. Oh, ya. SK ada dapat permintaan khas dari seseorang yang berkaitan dengan tart juga. SK tak tahulah, mampu ke tidak SK menunaikan permintaan beliau tapi insyaAllah, akan SK tunaikan bila SK dah balik nanti.

Blueberry dan Strawberry Cheese Tart (25pcs/ RM16)
Jadi.. kepada sesiapa yang nak beratur awal-awal tu, SK alu-alukan supaya senang SK menyusun jadual. Nak sms boleh, nak telefon boleh, nak whatsapp boleh, nak weechat pun boleh.. sila nyatakan nama anda agar SK tak keliru ayat orang yang hendak menempah ataupun nak mengurat ya.. uhuks.

Red Velvet Cheese Tart (25pcs/ RM18)
SK ~ 012-7799705
(Johor Bahru sahaja)
Black Forest Cheese Tart (25pcs/ RM17)
Amboi, bunyi perantauan tu, macam jauh bebeno jer kan.. hahaha. Tidaklah jauh sebenarnya pun. Cuma kalau dah namanya bengkel pembangunan, haruslah kita mengadap dari siang sampai ke malam. Jadi, bila sebut perantauan tu, saja je nak bagi lebih hiburan, sensasi dan kontroversi. Kalau tak, suammmm jer blog SK nikan. Hah! Cakap pasal suam, itulah yang berlaku pada SK apabila pergi ke majlis kenduri Kak Jun tempohari. Mak aihhh! Ramai sungguh blogger yang famous d amous dan terkenal ternama. Yang dah berblog sejak begitu lama. Jadi, bila orang tanya SK dari mana, bloger ke, baker ke.. SK dah termalu meow kat situ. Kita ni bukan siapa-siapa... apakan daya, awww.

umur Kak Jun 10 tahun tua dari saya tapi kenapa nampak macam sebaya.. apakah rahsianya???
Jadi, SK nak cerita.. masa SK dalam perjalanan nak naik ke bilik hotel yang SK telah tempah seminggu awal tu, SK telah terperanjat sakan sebab rupanya takdir menentukan SK tidur sebumbung (bukan setilam) dengan Kak Jun Roslan (KJ). Haaaaaaa.. tergebang jer terus tangan SK dan KJ macam orang yang bertahun menanggung rindu pulak. Satu perasaan yang tak boleh tergambar dengan kata-kata betapa gembiranya kami. Memang pertemuan yang tidak disangka dan esok paginya SK sempat juga singgah di bilik KJ. Tak puas rasanya berborak sebab SK harus berangkat segera pulang ke Johor Bahru.

cunnya Kak Jun, kan??


Friday, June 14, 2013

KUZI KAMBING PREMIX DAN NASI TOMATO TEDUHAN KASIH

ASSALAMUALAIKUM...

SALAM pagi Jumaat :-)))) Ramai yang semangatnya datang bergolek-golek hari ini maklumlah esok Sabtu. Pasti ada yang dah tersenyum senang hati bila tiba hari minggu, kan. Namun begitu bagi Seri Kandi hari minggu adalah hari yang paling sibuk sekali. Kadang pelik juga, dua hari sekali selalunya SK membasuh kain baju tapi bila tiba hari Sabtu masih bertimbun lagi, adeilaaa. Dan bila tiba hari minggu jugalah nak kena masak sedap-sedap, kononnnnnn.

Haaa.. cakap pasal masak sedap-sedap ni, ada yang senyum sampai ke telinga tu bila nampak SK tayang Kuzi Kambing hari ni. Betul tak, Ann?? Percaya tak, kuzi kambing ini SK masak semudah A, B, C. Tumis rempah, masukkan susu, masukkan daging kambing. Siapa yang tak pandai masak pun boleh buat, yang pandai masak, apatah lagi. Yang malas masak??? Ini memang sesuai untuk anda.

Kalau sebelum ini SK ada memperkenalkan rempah rendah premix DI SINI, kali ini SK nak memperkenalkan pula kepada anda rempah kuzi premix ini. Rempah yang telah siap dengan segala rempah ratusnya, bawang dan ladanya serta garam dan gulanya. Anda cuma perlu membancuh rempah tersebut dengan 200 ml air dan ditumis sehingga pecah minyak sbelum dimasukkan bahan sampingannya iaitu gajus. Sebab SK tak ada gajus, SK gantikan dengan badam yang dah bertahun duduk dalam kabinet, hehehe.


Kuzi Kambing Premix

Bahan-bahan :

1 peket rempah kuzi premix
200 ml air
6 biji kacang gajus (SK ganti dengan badam)
1 sb minyak sapi/ minyak sayuran (SK guna margerin)
200 ml susu cair
600 gm daging kambing

Cara-caranya :
  1.  Panaskan minyak sapi dalam kuali.
  2. Campurkan air ke dalam rempah premix, kacau rata dan tumis dalam kuali tadi sehingga pecah minyak dengan api sederhana perlahan.
  3. Masukkan daging kambing, gaul bersama sebentar.
  4. Masukkan gajus dan susu cair. Masak sehingga mendidih.
  5. Bila mendidih, kecilkan api (jangan kecil sangat). Masak sehingga agak kering bergantung kepada citarasa anda.
  6. Tidak perlu tambah garam dan gula.
Sebenarnya SK selalu jugak membeli rempah atau paste segera ni dan pada pendapat SK, rempah Nurani ni memang best dan amat memudahkan kerja SK. Rasanya pun sedap dan berbaloi-baloi dengan nilainya. Ada yang berminat dengan rempah ni, bolehlah hubungi pengedarnya ni ya.

Ann 012-7815546
 
# Rempah Rendang Premix ini merupakan produk keluaran 'Nurani Spice' yang melalui proses iradiasi terlebih dahulu sebelum dijual bagi memastikan bahannya bebas dari kuman dan mirob menjadikannya tahan dua tahun lebih lama walaupun tanpa bahan pengawet. Ia juga tidak mengandungi pewarna dan perasa tiruan. Bagus, kannnn.

Ehem... tadi... Kak Yatie Sinar Kehidupanku ada post gambar Sambal Sotong Teduhan Kasih di fb kan. Haaaaaa.. ni SK nak tunjuk pula SK punya Nasi Tomato Teduhan Kasih... gitewwwww. Penangan drama bersiri di TV3, SK pun dah terjerat sama. Meletup-letup nama Ady Putra sekarang, kan. Kesian Abam Aaron Aziz i tauuuu... hihihi. Sebenarnya, SK dah lama mengikuti aktiviti seni Ady Putra ni, sejak dia berlakon dalam satu drama bersiri di TV Suria (Singapura) dulu lagi, tajuknya Anak Metropolitan. Masa tu memang tak miss tengok siri ni. Ady Putra pun masih muda remaja masa tu.

Nasi Tomato Teduhan Kasih ni, SK masak menggunakan buah tomato segar, sebab SK tiada stok tomato puri atau tomato sup. Lagi baikkan, takde guna bahan pengawet langsung. Tak payahlah SK tulis detail resepinya sebab SK masak secara ringkas jer. Eh! Nak jugak ke?? Baik.. baik...

Nasi Tomato Teduhan Kasih

Bahan-bahan :

3 ulas bawang merah dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
1 sb margerin
3 pot beras (dicuci bersih dan toskan, letak dalam periuk nasi elektrik siap-siap)
air secukupnya (macam masak nasi biasa)
1 batang kulit kayu manis
sekuntum bunga lawang
2 helai daun pandan
1 akar pokok ketumbar (tak ada pun tak apa)
1 sb kismis
1/2 cawan susu cair
1 biji tomato dipotong dadu (kalau tomato kecil, dua biji)
garam secukupnya

Cara-caranya :
  1. Panaskan margerin dalam kuali. Tumis bawang merah, bawang putih, kulit kayu manis dan bunga lawang sehingga layu dan naik bau. Tumis lagi hingga agak garing (bukan hangus tau, garing sikit jer)
  2. Masukkan tomato yang dipotong dadu. Kacau lagi sambil lenyek-lenyek tomato dengan sudip.
  3. Masukkan susu cair.
  4. Tuang semua dari kuali ke dalam periuk nasi yang ada beras tadi. Masukkan garam dan tambahkan air secukupnya.
  5. Campakkan masukkan sekali daun pandan dan kismis.
  6. 'on' kan periuk nasi dan biar ia masak.

Udang goreng kunyit ni pula dimasak oleh Panglima SK. Selesai sahaja menonton Teduhan Kasih, SK tengok ER dah siappun membogelkan udang-udang ni. Dia kata, nak goreng gitu-gitu jer, jadi SK taburkan garam dan kunyit, ER goreng sendiri udang ni selepas SK siap masak kuzi kambing tu, untung tak??? :p


Nenas ni pula pemberian dari seorang sahabat SK yang juga merupakan pelanggan tetap Cheese Tart SK. Dia pesan kat SK, suruh masak 'Sweet Sour' tapi SK derhaka. SK cuma panaskan dalam periuk kecil dan tambahkan kulit kayu manis dan biji sawi. Jimattttttttt tenaga SK. Jemput tengok ya...


Akhir kalam terima kasih atas kunjungan.

Salam sayang selalu dariku untukmu...

Thursday, June 13, 2013

WORLD'S BEST MOIST CHOCOLATE CAKE

ASSALAMUALAIKUM...


LAMA sungguh rasanya Seri Kandi tak berkongsi resepi kek di Alam Sari nikan. Bukan tak buat kek lagi, ada juga buat kek untuk makan sendiri tapiiii resepi berulang jadi malas nak tayang, hehehe. Haaa.. tengok tu, penyakit betulkan, M A L A S... agagaga.


Baiklah, ini adalah dua biji kek coklat yang SK buat sempena majlis perkahwinan adinda SK. SK telah tergoda dengan kata-kata pujian Kak Azie terhadap kek ini dan akhirnya terpengaruh jugalah untuk membuatnya. Wahhhhh, rasanya dalam banyak-banyak kek yang SK buat yang inilah yang paling senang. Semua bahan masuk jer sekali arung dalam mangkuk pemutar dan akhir sekali baru masukkan air panas. Rasa??? Aaaaaaa.. ini yang rasa nak nangis sebab SK tak dapat jamah langsung kek ni. Nampaknya kena ulang buat lagi, bila ya????

Kak Azie, terima kasih ya kerana berkongsi resepi kek coklat yang mudah ini. SK panjangkan pula di sini untuk rujukan kawan-kawan yang lain.

World's Best Moist Chocolate Cake
Sumber : Azie Kitchen
Resepi Asal : http://www.bestmoistchocolatecakerecipe.com/

Bahan-bahan :

2 cawan tepung gandum
2 cawan gula (SK letak 1 1/2 cawan saja)
3/4 cawan serbuk koko Hershey's
2 sk soda bikarbonat
1 sk baking powder
2 biji telur A
1 sk garam
1 cawan buttermilk
1 cawan minyak mazola
1 1/2 sk vanilla extract (SK guna esen vanilla)
1 cawan air panas mendidih (boleh letak coffee/ nescafe)

Cara Penyediaan :
  1. Panaskan oven pada suhu 150 darjah selsius (kaedah membakar perlahan)
  2. Lenser loyang 9" X 12" dengan minyak dan tabur sedikit tepung. (SK guna 9"X9")
  3. Masukkan semua bahan kecuali air mendidih ke dalam mangkuk pemutar
  4. Putar pada kelajuan sederhana selama 1 minit.
  5. Perlahankan kelajuan dan masukkan air mendidih sambil terus memutar
  6. Naikkan pada kelajuan sederhana dan terus memutar sehingga sebati.
  7. Tuangkan ke dalam loyang. Bakar selama 1 jam atau sehingga kek masak sepenuhnya (SK bakar 1 1/2 jam)
Resepi Substitute Buttermilk

1 cawan susu segar
1 sb cuka masak atau jus lemon

Campurkan keduanya dan biar selama 5 minit sebelum digunakan.

Untuk hiasan, SK gunakan chocolate filling siap yang dibeli di kedai bakeri jenama Suziwan.

Akhir kalam, terima kasih atas kunjungan... :-))))




Wednesday, June 12, 2013

PENANGAN ASAM PEDAS MAK NGAH

ASSALAMUALAIKUM....


SETIAP kali berjalan jauh waktu siang, Panglima Seri Kandi mesti tak mahu 'miss' singgah makan asam pedas. Destinasi asam pedas kami sama ada di Melaka, Batu Pahat atau Parit Jawa, Muar. Yang peliknya di JB ni ada juga restoran asam pedas tapi tak pulak ER suka selain dari asam pedas yang dimasak SK atau ibu SK. Biasanya destinasi pilihan itu ikut masa, lah, pukul berapa sampai. Haaa.. Asam Pedas Mak Ngah ni kami pergi sekembalinya dari majlis kenduri Alia dan Aizu tulah. Macam biasa, ER mesti nak singgah pasar basah kat Parit Jawa tu. Kononnya nak memburu udang rimau, tapi rimaunya tak ada. Yang ada udang sebesar jari hantu manis SK aje.


Kerana hari pun dah petang dan perut pun dah berdondang sayang, ER bertanyakan SK, nak tak makan asam pedas. Ehhhhh! Mestilah nak, kalau ER tak ajak, SK yang akan ajak.. hehehe. Selalunya kami akan makan di Medan Asam Pedas tapi kali ini, SK ajak ER cuba makan di Asam Pedas Mak Ngah (APMN) . Ini adalah kerana terpengaruh dengan timeline fb, abang sepupu SK yang singgah makan di situ. Selain asam pedas, di situ juga ada menjual sotong dan kerang-kerangan yang dibakar (gerai lain tapi masih dalam warung APMN. SK terlupa pula nak ambil gambar sebab bila adik tu letak jer asam pedas atas meja, SK terus lupa dunia.. haha. Jemput makan semua... eh! Dah habislahhhh....


Oh, ya.. Mamamya pun buat entry tentang APMN ni semalam tau. Banyak betul gambar Mamamya ambil ialah, Mamamya kan pergi anak-beranak jadi ada alasanlah dia ambil banyak gambar. Gelagat anak-anak beliau memang selalu mencuit hati SK tau.. suka tengok gambar-gambar yang Mamamya post, rasa macam nak pergi lagi pulak, hahahaha.


Rasa??? Pada pendapat SK yang pakar asam pedas ni, APMN ni agak pekat kuahnya berbanding AP yang selalu SK makan di Medan Asam Pedas tu. Tapi yang 'best'nya makan AP di sini ialah, ikannya masih segar dan tip top. Isinya putih melepak menandakan ia ikan yang masih baru bukannya yang telah berhari-hari duduk dalam tong air batu. Harga di sini pun berpatutan serta layanan yang bagus dan cepat. Mungkin masa SK sampai tupun dah petang (bukan waktu puncak). SK tak pasti keadaan di warung ini kalau kita datang betul-betul waktu makan tengahari, mesti penuh dan kena menunggu meja jugak rasanya tu. Jadi, apalagi.. siapa yang singgah ke Muar tu, jangan lupa ya singgah ke sini menikmati asam pedas orang Muar, asam pedas yang tak pedas pastinya Mak Ngah menggunakan lada kering yang mahal, burpppp!! ALhamdulillah syukur nikmat kepada Allah yang menurunkan rezeki dan memberi rahmat.


Tuuuuuuu.. dia orang Kedah bila jumpa asam pedas, mak mertua lalu pun tak sedaqqqqqqq!!

Tuesday, June 11, 2013

PUDING TRIFFLE PENGANTIN

ASSALAMUALAIKUM...


MUSIM orang kahwin baru berlalu meninggalkan kenangan yang begitu banyak buat Seri Kandi. Apa tak banyaknya, lemak di pinggang SK ni dah berketul-ketul sampai bila nak beli baju (baju kurung) bajunya muat, tapi kain.. yassalammmmmm.. Tapi takkanlah pulak nak ambil kain saiz XL baju saiz L, kan. Tapi SK senyum kembang juga bila adik yang jaga butik tu kata SK tak gemuk. Tak gemuk??? Nak naik mesin penimbang pun takut wooo.. haha.


Okey, kali ini SK nak cerita tentang majlis perkahwinan adik saudara SK yang bongsu sebelah ibu, namanya Khairul Amri yang kami panggil Am. Am merupakan anak kepada adik ibu yang bongsu. Hubungan keluarga kami memang agak rapat kerana dulu kami tinggal di rumah mereka (lain pintu). Kadangkan, SK rasa masa terlalu jauh meninggalkan SK. SK masih ingat, masa kecik-kecik dulu Am ni selalu jer tidur di rumah SK. Kalau tak ada kat rumah tu, maka tahulah Mak Usu yang Am ni ada di rumah Cik Nah (ibu SK). Kadang tengok tv sampai tertidur. Am ni memang agak rapat dengan adik SK, Azwa.

hero dan heroin
Tup.. tup jer dah kahwin, kan. Dan Am menutup tirai majlis perkahwinan keluarga Pak Usu dan Mak Usu. Alhamdulillah, dah ramai cucu Pak Usu dan Mak Usu sampai SK pun dah tak 'cam' ni anak siapa, yang ni anak siapa.. hehehe.

bapak pengantin berseorangan... mak pengantin mana??
Haaa.. tulah dia kalau dah bercerita, intronya saja dah tiga para. Mehlah tengok puding triffle (ejaannya trifle ke triffle... belasah jelah!) yang SK sediakan untuk majlis makan beradap pengantin Am dan isterinya Intan ini. Masa mula-mula tu, SK memang semangat juga nak ambil gambar step by step tapi bila satu daripada bekas yang SK buat tu dah terjerlus, terus SK rasa nak pitam dan lupa ambil gambar puding triffle yang telah siap.. huhu. Esoknya, subuh-subuh lagi SK dah mengadap periuk menggodeh adunan yang baru, hihi. Gambar yang ada ni pun nasib baiklah sempat menembak di majlis yang dah lebih separuh bermula. Untuk puding triffle ni, SK masih menggunakan resepi DI SINI cuma kali ini SK gunakan swiss roll untuk mendapatkan hasil yang cantik.

SK sediakan puding dalam 'cup' khas untuk pengantin dan dua mangkuk besar untuk makan ramai-ramai..
Eh! Red Velvet Cheese Tart pun adalahhhhh!
Ada yang bertanya dengan SK, tentang lapisan puding SK yang kemas dan cantik (perasan). Sedikit tips dari SK, pertama, jangan terlalu banyak menuang air buah ke atas kek, cukup sekadar merenjis sedikit sahaja. Kedua, tuangkan lapisan kastard sehingga menutupi keseluruhan lapisan kek, jangan biarkan walau ada sedikit ruang pun. Dan yang ketiga, jangan biarkan lapisan kastard sejuk sebelum menuang lapisan jeli kerana ia akan membuatkan kedua-dua lapisan ini terlerai ketika dipotong atau disuap ke mulut. Jom semak resepi yang SK telah masukkan sukatan cecair yang sebenar (resepi asal tiada sukatan cecair yang tepat).



Puding Triffle Pengantin
Resepi : DaniaElyza @myresepi
Sumber & Olahan : Alam Sari

Bahan-bahan Lapisan Bawah/ Kek :
  • 1 buku kek swiss roll perisa pandan (SK beli siap-siap sebab tak pandai buat swiss roll.. hehe)
  • 1 tin buah pic (ambil airnya sedikit)
Caranya :
  1. Potong kek swiss roll dan susunkan di tepi bekas yang lutsinar. Kemudian tutupkan juga bahagian dasar bekas dengan kek.
  2. Renjiskan air dari tin buah pic tadi. Ketepikan.
Bahan-bahan Lapisan Kastard :
  • 1 tin susu cair (boleh ganti dengan 380 ml sebarang susu kotak plain)
  • 2 sb gula pasir
  • 4 sb tepung kastard
  • 400 ml air
Caranya :
  1. Masukkan susu dan gula dalam periuk. Dengan api sederhana kacaukan sehingga gula larut.
  2. Sementara itu bancuhkan tepung kastard dengan air sehingga sebati. Tuangkan dalam periuk yang mengandungi susu.
  3. Kacau sehingga betul-betul pekat dan adunannya meletup-letup.
  4. Tutup api dan terus tuangkan ke atas lapisan kek sehingga menutupi keseluruhan kek sehingga ke dinding bekas.
Bahan-bahan Lapisan Jeli :
  • 1 kotak Jeli Nona (Perisa Rasberry atau Strawberry)
  • 400 ml air
Caranya :
  1. Panaskan air sehingga mendidih. Tutup api.
  2. Masukkan serbuk jeli nona. Kacau cepat sehingga larut dan terus tuangkan ke atas lapisan kastard.
Bahan hiasan :
  • Hirisan buah pic
  • Buah Strawberry
Selepas 5 hingga 10 minit, permukaan jeli mula membeku, terus hiaskan dengan hirisan buah pic dan strawberry. Simpan di dalam peti sejuk sebelum dihidangkan.

p/s Bukan pengantin jer boleh makan.. siapa-siapa pun sila-silalah ya..

Ucapan untuk Am & Intan... Selamat Pengantin Baru, Kak Sari doakan agar kebahagiaan sentiasa melingkari kehidupan kamu berdua sehingga ke akhir hayat. Amin.. Amin.. Ya Rabbal Alamin..

Monday, June 10, 2013

TERLERAI RINDU PENGANTIN BARU

ASSALAMUALAIKUM...


BUNGA rampai diracik-racik
Makin pandang bertambah cantik
Bunga rampai harum baunya
Kalau dah jodoh bertemu jua

... Berdebar rasa hati
bercampur dengan rasa suka
Hari yang dinanti
sudah sampailah masanya
Gadis dihias rapi
dengan inai merah dijari
 
Sanggul berbagai rupa
dihias pula dengan bunga
Baju kebaya panjang
bersulam manik nampak bercahaya
Bila dia tersenyum
ala sayang sungguh manisnya

Bunga rampai ditabur-tabur
Hati longlai jadi terhibur
Bunga rampai harum berbau
Biar lerai hati yang rindu
 
 
Alhamdulillah, setelah beberapa purnama menanggung rindu (rindu ke.. Alia?? hehe) dua hati dan dua jiwa ini telah pun selamat diijabkabulkan oleh bapa Alia sendiri dalam satu majlis meriah malam kelmarin dan Seri Kandi tumpang bangga kerana dapat menyaksikan sendiri penyatuan dua keluarga ini secara 'live' depan mata.
 
Tuan Rumah sekeluarga berbaju sedondon merah jambu
 Kepada Alia, auntie ingin mengucapkan tahniah
(sebenarnya agak terkilan kerana SK betul-betul lupa hendak bergambar dengan Alia pada malam tu). Layarilah rumahtangga yang baru dibina ini dengan sabar dan SK percaya, Kak Jun telah cukup membekalkan ilmu untuk anaknda beliau sebelum melepaskannya ke tangan jejaka yang dicintai dan disenangi Alia.

cenderahati yang amat bermakna
Sekali lagi untuk Alia & Aizu,
Selamat Pengantin Baru semoga mahligai yang dibina akan diserikan dengan kehadiran cahaya mata yang akan memeriahkan dunia kalian dan semoga bercinta hingga ke syurga abadi,
Amin.. Aminnn.. Ya Rabbal Alamin.

bersama orang lama (bloggers dan bakers) yang amat SK segani
kiri sekali Cek Mek Zue yang datang dari utara
kanan sekali Sashu (Sugar Pink Icing) dan di sebelah beliau Asilah Ceritera yang baik hati dan sangat mesra orangnya..
yang di tengah yang paling comel tentulah mak pengantin Kak Jun Cupcakekasih
terima kasih juga kepada Kak Ida yang membenarkan SK men'copy & paste' gambar-gambar dari blog Kak Ida ya. Best betul dapat peluk Kak Ida kuat-kuat malam tu, hihihi.
 
Kak Ida sangat cantik berbaju pink malam tu tau
dulu selalu berbalas komen di alam maya sahaja.. penulis tersohor Kak Lily Haslina Nasir
ini pengantin selamanya.. keh keh keh!


Tuesday, June 4, 2013

SOTONG GORENG TEPUNG RANGUP

ASSALAMUALAIKUM...


MESTI ramai peminat sotong gergasi goreng tepung (SGT) dekat sini kan?? Macam orang lain, Seri Kandi anak-beranak pun merupakan peminat SGT ni. Suatu masa dahulu, SK pernah buat SGT ni dan ianya menjadi. Zaman belum pandai berblog dan berblogwalking, tak silap SK dapat resepi tu dalam suratkhabar atau majalah. Tapi itulah sekali SGT SK menjadi, lepas tu kalau buat lagi, hampeh, walaupun guna resepi yang sama entah di mana silapnya SK tak tahu sehingga SK dah malas nak membuat SGT lagi. Teragak nak makan, pesan aje di kedai.. huhuhu.

Kemudian, masa jalan-jalan di pasaraya gergasi tak silap, SK terjumpa sejenis tepung untuk menggoreng makanan laut ni. Tapi samalah jugak, tulah sekali menjadik, macam terkena sumpahan pulakkan, hahaha. Entah kenapa, malam kelmarin punya kelmarin, entah kenapa SK tetiba jer terrrrrajin nak mencuba lagi buat SGT ni dah SK google resepi SGT versi rangup (sebab selalu jumpa yang versi macam jemput-jemput maka terjatuh hatilah untuk mencuba resepi dari blog INI.

Alhamdulillah, memang sangat menjadi kerana Nas bukan sahaja berkongsi resepi tetapi juga tips bagi mendapatkan gorengan yang rangup dan sekaligus SK dapat mengagak kesalahan-kesalahan yang SK buat sehingga SGT SK sebelum ini longlai dalam pinggan sebelum sempat dihidang, hehehehe. Kepada Nas, terima kasih kerana berkongsi tips dan resepi SGT Rangup ni ya.. SK panjangkan pula di sini..

Resepi Sotong Goreng Tepung Rangup
Sumber : NasRina Honey

Bahan-bahan :

4 ekor sotong (saiz sederhana besar)
1 cawan kecil tepung gandum
1/2 cawan kecil tepung jagung
3 sudu besar tepung beras
Garam secukup rasa (untuk gaul dengan sotong dan dalam tepung)
Serbuk lada putih secukupnya (SK tambah)
Serbuk lada hitam secukupnya (SK tambah)
Serbuk kunyit secukupnya (SK tambah)
Sebiji telur dipukul sedikit
Minyak untuk menggoreng

Cara-cara :

1. Siang sotong dan hiris kasar (toskan betul-betul), gaul dengan sedikit garam
2. Campurkan semua jenis tepung, garam, serbuk lada putih dan serbuk lada hitam.
3. Ambil secukupnya campuran tepung campurkan dengan telur yang dipukul.
4. Panaskan minyak.
5. Gaulkan sotong dengan campuran tepung dan telur.
6. Ambil sekeping-sekeping hirisan sotong dan salutkan dengan lebihan tepung yang tidak dicampur telur.
7. Goreng dalam minyak yang sudah panas dengan api yang sederhana.
8. Rujuk tips di bawah...

Tips :
1. Jangan masukkan sotong dalam jumlah yang banyak dan bertindih-tindih.
2. Pastikan sotong tenggelam dalam minyak. Pastikan minyak telah panas, kemudian sederhanakan api dapur.
3. Balikkan sotong apabila bahagian atasnya telah garing.
4. Angkat sotong yang telah masak/ garing dan toskan di atas penapis (jangan toskan di atas tisu dapur)
5. Bila minyak sudah betul tos, barulah boleh letak di atas tisu dapur atau pinggan hidang.

*Hidangkan bersama sos cili thai... nyum nyum nyum...

Monday, June 3, 2013

SELAMAT PENGANTIN BARU ADINDAKU

ASSALAMUALAIKUM...


IKAN di laut asam di darat, dalam belanga bertemu jua.
Wahhhh! Kalau dah namanya blogger masak, nak jugak tu sebut perkataan ikan dan asam walaupun tak ada kena mengena dengan entry.. kih kih kih.


Eh! Eh! Adalah kait mengaitnya.. tak tumbuh tak melata,
tak ada apa-apa takkan Seri Kandi nak buat cerita.
Tapi ceritanya kemudianlah ya sebab SK belum habis lagi mengemas.
Dari depan rumah sampai belakang rumah bersepah-sepah macam tongkang pecah.
 Itu belum lagi rumah SK yang jadi tempat kenduri, kalau rumah SK...
 yasssssssssalammmmmmm..


Apapun, berlalulah sudah sebuah hari yang indah, yang awalnya mengundang resah dan gundah.. yang kalut dan yang ribut dan yang macam-macam lagi sampai tak tercatat dalam diari hanya bersemadi dalam hati, terkunci mati.
Lautan mana yang tidak bergelombang... bumi yang mana tak ditimpa hujan.. kannnn..


Untuk adindaku, Selamat Pengantin Baru..
semoga ikatan yang terbina berkekalan hingga ke syurga,
Aminnnnnnn.

p/s InsyaAllah, ada lagi gambar yang akan dikongsikan nanti, tungguuuuuuuu!!

SAMBAL TEMPOYAK

Assalamualaikum... Nahhhh.. Sambal Tempoyak. Lepas ni tak perlu susah2 lagi nak menumbuk sambal. Sukacita dimaklumkan, tempah...