KALAU SUDAH TAKDIRNYA.. episod 2

Seri Kandi Tanah Jauhar
2
ASSALAMUALAIKUM...
Bertemu kembali....

SEBENARNYAKAN malam ni saya sibuk sikit, biasanya kalau masa-masa sibuk ni nak buka lappy pun malas, tapi saya nak cuba habiskan kisah kawan saya Azizah yang tergantung siang tadi. Saya tak janji ya, kalau saya boleh habiskan malam ni, takut nanti ada yang ingat saya sengaja nak buat sambungan, bayangkan kami berbual hampir satu jam, lebih kurang enam jam yang lalu jadi banyak juga fakta yang saya kena ingat supaya cerita tak terpesong. Nanti tak pasal-pasal kena saman pulak dengan Jah.. haha.

Jadi, berbalik tentang Jah tadi, dia cerita dekat saya bagaimana takutnya dia sewaktu berada di Jeddah. Dia tak dapat nak bayangkan kalau pihak berkuasa di sana tahu Jah ni mengandung, apa jadi dengan emak dan bapaknya kalau dia betul-betul kena balik ke Malaysia. Dalam hati tak habis-habis berdoa agar dia terselamat dari dikesan mengandung.

Dengan izin dan kurnia Allah SWT, Jah kata, orang lain punyalah ramai beratur nak masuk tapi Jah dengan mudah dapat masuk kerana membawa orang tua. Untuk pengetahuan kawan-kawan, emak Jah duduk di atas kerusi roda, jadi Jahlah yang menolak emaknya manakala suami Jah, Salihin berjalan bersama bapanya yang sihat walafiat. Jadi masuklah mereka berempat(saya tak pasti masuk ke mana) dengan mudahnya. Pegawai-pegawai yang menjaga di sana melambai-lambai Jah empat beranak menyuruhnya masuk. Jah sangat bersyukur kerana diberi kesihatan yang baik dan tak kelihatan letih langsung walaupun kandungannya telah masuk empat bulan.

Jah juga menceritakan betapa orang lain terpaksa menggunakan eskalator untuk pergi ke tingkat yang lain, tetapi Jah sekeluarga dapat menggunakan lif. Ini kerana keadaan di sana yang sangat mengutamakan orang-orang tua. Jadi memandangkan Jah dan suaminya membawa emak dan bapa mereka, maka mudahlah bagi mereka menuju ke mana-mana.

Menurut cerita Jah lagi, ketika jemaah yang lain berebut-rebut hendak bersembahyang sunat di Raudhah, tempat doa yang paling makbul ada seorang pegawai yang memanggil begini...

"Ibu... ibu... ibu..." dan Jah terus menyorong ibunya sehinggalah masuk ke kawasan berkarpet hijau, dapatlah dia bersembahyang di Raudhah.

Dan sesungguhnya perancangan Allah SWT mengatasi segala-galanya perancangan manusia.

Pada hari Jumaat, orang terlalu ramai, kita maklum bahawa berjuta-juta manusia berkumpul di tanah haram bagi menyahut seruan Kaabah. Walaupun Jah berhajat nak ikut sama solat Jumaat pada hari itu, tapi Jah terpaksa akur dengan keadaan yang begitu sesak. Cuma bapa Jah dan Salihin saja yang pergi. Apabila pulang dari solat Jumaat, bapa Jah bercerita dengan Jah...

"Jah, tadi masa bapak dengar imam tu berkhutbah, bapak tak tahulah kenapa Jah, tapi bapak sampai menangis Jah. Perasaan bapak lain macam," pada mulanya Jah fikir mungkin suasananya lain, bapa Jah pula pertama kali sampai di tanah suci tersebut, tentulah lain rasanya dengan bersolat Jumaat di kampung. Kebetulan suami Jah pernah menunaikan umrah, jadi Salihin memberitahu imam yang memberi khutbah tersebut merupakan imam nombor satu, Imam Abdul Rahman namanya. Bapa Jah memang tak menyangka hari itu dia berpeluang mendengar khutbah dan bersembahyang Jumaat berimamkan Imam Abdul Rahman.

Dan esoknya tibalah masa mereka mengerjakan ihram. Menurut Jah, sebelum itu bapanya memakai baju kurung/ melayu. Jadi apabila telah berniat ihram tu bapanya pun menukarlah baju kurungnya itu dengan pakaian ihram dan mereka berempat pun naiklah ke atas bas.

Perasaan seorang anak, tak tahulah kawan-kawan ya, mungkin mereka yang pernah mengalami saat-saat perpisahan sahaja yang dapat merasakannya. Menurut cerita Jah, bapanya memandang Jah dengan satu pandangan yang amat lembut sambil memangil...

"Jah... Jah...." sayu benar pandangan bapanya masa itu. Jah rasa lain macam.

"Ya, kenapa bapa?" Masa tu mereka berempat ada di dalam bas bersama-sama jemaah haji yang lain.

"Jah...," peliknya bapa aku ni, kata Jah dalam hati. Boleh pula terlintas dalam hatinya... 'bapak aku nak meninggal ke?'

Jah terus teringat, orang kalau nak meninggal ni katanya rasa haus.

"Bapak... bapak nak air ke?"

Bapa Jah menggeleng. Jah menoleh kepada emaknya.

"Emak, mak bawa ubat sakit jantung tak?" Emak Jah cepat-cepat mengeluarkan ubat dari dalam begnya dan memberinya pada Jah. Jah keluarkan sebiji, bagi pada bapanya.

"Bapak, letak pil ni kat bawah lidah, pak," bapa Jah menyambut pil yang Jah beri dan meletak di bawah lidahnya. Hati Jah berdebar-debar. Dalam hati tertanya-tanya, Ya Allah... bapak aku ni nak meninggal ke Ya Allah...???"


Duhhh, macam tak sempat nak habiskan sekarang, nak kena ambil en hubby kat stadium Larkin, nanti saya datang balik ya...



Allah SWT berfirman dalam surah Al-Imran: 97 yang bermaksud: Dan Allah SWT mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu) maka sesungguhnya Allah SWT Maha Kaya (tidak berhajat kepada sesuatu pun) daripada sekalian makhluk. Sementara dalam surah al-Baqarah ayat 196 turut menjelaskan yang bermaksud: Dan sempurnakanlah haji dan umrah kerana Allah...

Post a Comment

2Comments

Blog ini merupakan blog peribadi. Segala tulisan di dalamnya merupakan pengalaman sendiri atau pandangan peribadi Sk terhadap sesuatu produk, makanan atau perkhidmatan. Sk juga tidak bertanggungjawab sekiranya anda tidak mendapat kualiti produk, makanan atau perkhidmatan sebagaimana apa yang dinyatakan di dalam blog ini.

Segala komen yang dituliskan di sini adalah di bawah tanggungjawab pengomen sendiri. Untuk sebarang pertanyaan, anda boleh menghantar email kepada serikanditanahjauhar@gmail.com

Terima kasih

Post a Comment

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!