ASSALAMUALAIKUM..
KEMBALI bersua....
"Jah, bapak takutlah Jah..bapak ni bukan pandai baca-baca doa semua yang panjang-panjang tu, bapak tak yakin," luah Pak Denan pada anaknya Jah. Mungkin Pak Denan bimbang jika dia disuruh membacakan doa untuk jemaah-jemaah haji yang lain. Kalau nak membaca doa-doa yang pendek tu, bolehlah.. risau sungguh hatinya.
"Bapak, bapak jangan takut. Kan Jah ada, Salihin pun ada, kami boleh bantu bapak," pujuk Jah.
Pak Denan tak berapa pandai tentang semua tu, tapi apabila masuk sahaja waktu solat, Pak Denan tak pernah bertangguh. Anak-anaknya sentiasa diingatkan supaya jangan meninggalkan solat. Menjaga sepuluh anak bukanlah mudah, tambahan lagi Pak Denan cuma seorang peneroka. Tetapi setiap anaknya dididik dengan penuh kasih sayang, dihantar ke sekolah, dihantar mengaji Al-Quran, biar sama rata menuntut ilmu dunia dan ilmu akhirat.
Kehidupan sebagai peneroka, membuatkan Pak Denan banyak bercucuk tanam. Semua pokok buah-buahan yang ditanamnya berpuluh tahun dahulu telah lama dinikmati oleh anak cucu dan jiran sekeliling. Mungkin juga telah banyak binatang yang kenyang menikmati kemanisan buah-buahan yang ditanam Pak Denan. Tetapi Pak Denan tak pernah merungut, Pak Denan tak pernah berkira. Pak Denan suka berkongsi rezeki sesama makhluk. Semuanya makhluk Allah SWT yang berhak menikmati rezeki dari-Nya. Hujan yang Allah turunkan agar pokok-pokok itu terus subur dan hasilnya dapat dibahagi, bukan tamak seorang diri.
Pak Denan bukan orang warak, Pak Denan jarang sekali ke masjid utuk bersolat jemaah kecuali solat wajb pada tiap hari Jumaat. Waktu lainnya Pak Denan hanya bersolat di rumah bersama ahli keluarganya.
Pak Denan ada kereta. Setiap kali keluar ke mana-mana dan terserempak dengan orang kampung atau budak-budak yang berjalan kaki terutama budak sekolah, Pak Denan pasti akan berhenti. Dikutipnya semua budak-budak itu dan dihantarnya ke sekolah. Kalau waktu tu dah balik sekolah, dihantarnya pulang ke rumah. Pak Denan tak pernah berkira minyaknya berulang-alik, Pak Denan suka tolong orang.
Apabila ada kematian di tanah rancangan Felda itu, Pak Denan tidak sibuk-sibu bersembang depan rumah si mati. Di mana Pak Denan?
Oh, Pak Denan pergi menggali kubur. Walaupun itu bukan kerja Pak Denan, tetapi itulah sahaja sumbangan terakhir yang dapat Pak Denan lakukan untuk si mati. Mungkin si mati itu sahabat lamanya, kawannya, orang kampung... atau mungkin Pak Denan tak kenal pun, tapi mereka tetap makhluk yang sama di sisi Allah SWT. Berselut dan berlumpurpun dengan tanah kubur, Pak Denan tak kisah. Daripada tanah kita datang, kepada tanah kita dikembalikan.
Cangkul dan penyodok tu kotor dengan tanah dan lumpur. Tanah dalam tanah, mana sama dengan tanah kering yang kita pijak selalu. Kotor nanti kereta Pak Denan. Tapi Pak Denan selamba masukkan cangkul dan penyodok yang diselaputi sisa tanah kubur ke dalam bonet keretanya. Tak takut ke dengan tanah kubur tu? Pak Denan tak takut semua tu, Pak Denan cuma nak menolong orang. Pak Denan tak daya nak tolong cara lain, hanya inilah cara Pak Denan menolong orang yang sudah meninggal dunia.
Dan... bila tiba giliran kematian bagi Pak Denan, adakah orang-orang yang pernah menolong Pak Denan akan datang pula menolong Pak Denan? Di mana mereka semua? Allah Maha Kaya, hari ini kita tolong orang, esok lusa orang lain pula akan tolong kita.
Pak Denan tentunya tak pernah terfikir pun apabila saat kematiannya siapa yang akan menggalikan kuburnya. Siapa yang akan mengangkat mayatnya. Siapa akan menyembahyangkan jenazahnya. Pak Denan hanya berserah kepada Allah SWT.
Akhirnya ganjaran yang diterima... Meninggal dunia selepas solat sunat ihram. Jenazahnya disembahyangkan di Masjidil Haram oleh berjuta-juta umat Islam dari seluruh dunia. Kuburnya digali oleh bangsa Arab yang terkenal terpuji, keturunan para nabi. Inilah bahagianmu, pak.. atas kebaikanmu.
AL-Fatihah untuk Allahyarham Haji Denan Bin Othman... semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman.
~Ibnu 'Abbas –radhiyallahu 'anhu- menceritakan; "Seorang lelaki sedang wukuf di 'Arafah. Tiba-tiba ia terjatuh dari kudanya, lalu patah lehernya dan mati. Maka Nabi –sallallahu 'alaihi wasallam- bersabda;
اغْسِلُوهُ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ، وَكَفِّنُوهُ فِي ثَوْبَيْنِ، وَلاَ تُحَنِّطُوهُ، وَلاَ تُخَمِّرُوا وَجْهَهُ وَلاَ رَأْسَهُ، فَإِنَّهُ يُبْعَثُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مُلَبِّياً
"Mandikanlah ia dengan air dan sidr, kafankanlah ia dengan dua kain ihramnya, janganlah disapu/dipakaikan wangian kepadanya dan janganlah menutup wajah dan juga kepalanya. Sesungguhnya ia akan dibangkitkan di hari akhirat dalam keadaan bertalbiah".
Blog ini merupakan blog peribadi. Segala tulisan di dalamnya merupakan pengalaman sendiri atau pandangan peribadi Sk terhadap sesuatu produk, makanan atau perkhidmatan. Sk juga tidak bertanggungjawab sekiranya anda tidak mendapat kualiti produk, makanan atau perkhidmatan sebagaimana apa yang dinyatakan di dalam blog ini.
Segala komen yang dituliskan di sini adalah di bawah tanggungjawab pengomen sendiri. Untuk sebarang pertanyaan, anda boleh menghantar email kepada serikanditanahjauhar@gmail.com
Terima kasih