Siakap Kukus Stail Nyonya

Seri Kandi Tanah Jauhar
0


Assalamualaikum, salam pagi Khamis.. tak sabar nak tunggu esok.. tak sabar nak tunggu Sabtu supaya dapat qada tidur.. hehe.

Seperti yang dijanjikan pada entri Sotong Baby Kailan tu, hari ini saya akan masukkan resepi Siakap Kukus Stail Nyonya. Resepi ini sangat mudah, saya pasti ramai yang dah tahu cuma di sini saya nak kongsikan cara saya. Minta maaflah kalau ada para nyonya yang kebetulan terterjah ke sini kalau cara saya ni salah kerana saya tak pernah merujuk pada mana-mana resepi. Resepi ini saya belajar dengan en hubby tau, kami ni selalu jugak buat eksperimen masak-masak ni lagi-lagilah menu-menu yang terdapat di kedai tomyam tu. Kalau rasanya masyuk, wah... bukan main seronok lagi, nanti masing-masing tak mahu mengaku kalah dia yang cipta resepi.. dia yang masak sedap...hahaha.

Resepi saya ni sangat sesuai bagi kawan-kawan yang bekerja yang tak sempat nak sediakan rempah-ratus tu, sebab ia menggunakan ramuan segera, jadi tak perlulah nak mengisar bawang lada dan sebagainya. Tapi nak bagi tahu jugaklah, rempah-rempah segera ni bukan semuanya terus jadi sedap. Ada yang rasanya hampeh, jadi kena tambah bahan jugak, bukan main lebur je ya.

Asyik membebel je kan, jom layan resepi..

Ops, sebelum terlupa, pastikan ada pengukus yang boleh masukkan ikan seekor,ni pesanan untuk orang yang baru kahwin atau bujang, rasanya yang dah lama kahwin mesti dah adakan.. dan juga pinggan stainless steel untuk meletak ikan

Bahan-bahan:
1 ekor ikan siakap sederhana besar
2 sb perencah sambal ikan kukus nyonya (apa-apa jenama, kalau nak guna pes tomyam pun boleh)
3 ~ 4 biji limau nipis (diambil jusnya)
1 labu bawang besar (dipotong bulat)
1 biji tomato (dibelah empat)
2 tangkai daun ketumbar
1/2 sk serbuk lada putih
1/3 cawan air
Air secukupnya untuk mengukus
Sedikit minyak masak
1 sk garam

Cara-caranya:
1. Panaskan air dalam periuk kukusan. Masukkan sedikit minyak masak dan garam. Potong akar ketumbar, masukkan ke dalam air kukusan.
2. Ikan dibuang sisik, dibersihkan dan dibelah bahagian bawah sehingga jadi macam rama-rama nak terbang (yang ni selalu saya suruh orang pasar buat.. hehe, alasannya rumah takde pisau.. bole gitu?). Taburkan serbuk lada putih. Letakkan ikan meniarap di atas pinggan stainless steel.
3. Dalam mangkuk, masukkan perencah sambal nyonya atau pes tomyam dan jus limau nipis dan 1/3cawan air, kacau rata, tuangkan ke atas ikan yang meniarap tadi.
4. Susun bawang dipotong bulat dan tomato di atas ikan. Potong tangkai daun ketumbar anggaran 1/2" taburkan sekali di atasnya. (Bahagian daun tabur setelah ikan masak).
5. Kukuskan ikan selama 10~15 minit. Keluarkan ikan berhati-hati dari periuk kukusan. Taburkan daun ketumbar.

Hidangan ini lebih enak dinikmati bersama nasi putih dan sotong baby kailan (tengok sini). Lebih umphh lagi jika ada lada hijau jeruk.. memang tak toleh belakang punya.. hehe

Nota: Bahagian atas pengukus kalau nak senang gunakan yang rata supaya mudah meletak dan mengeluarkan pinggan ikan.
Tags

Post a Comment

0Comments

Blog ini merupakan blog peribadi. Segala tulisan di dalamnya merupakan pengalaman sendiri atau pandangan peribadi Sk terhadap sesuatu produk, makanan atau perkhidmatan. Sk juga tidak bertanggungjawab sekiranya anda tidak mendapat kualiti produk, makanan atau perkhidmatan sebagaimana apa yang dinyatakan di dalam blog ini.

Segala komen yang dituliskan di sini adalah di bawah tanggungjawab pengomen sendiri. Untuk sebarang pertanyaan, anda boleh menghantar email kepada serikanditanahjauhar@gmail.com

Terima kasih

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!