MAKAN DI RUMAH MAKAN RENDANG TOK YOEP

Seri Kandi Tanah Jauhar
1

 Assalamualaikum WBT 



MACAM tak puas pulak makan Mee Rebus dan Mee Kari di Warung Mak Linda. Sk cadangkan agar kami singgah JJCM di Kuala Kangsar pulak. Teringat Rumah Makan Rendang Tok Yeop yang pernah masuk dalam wishlist JJCM Pak Inche sebelum ini. PI kata, nak makan Ketupat Palas. Ah, jomlah kita! Walaupun ada ulasan yang Sk baca di TT agak negatif, kita terima sajalah apa yang bakal mendatang nanti, hihi.




Rumah Makan Rendang Tok Yoep ni menjalankan perniagaan di bangunan rumah pusaka seakan rumah agam yang dibina dari kayu dan bertiang tinggi. Kalau dilihat dari senibina rumah dan keluasannya ternyata ini rumah orang ada-ada zaman dahulu. Bangunannya bersayap di kiri dan kanan serta mempunyai anjung tinjau di bahagian tengah.




Buku menunya agak menarik untuk dibelek-belek namun pesanan perlu dibuat di dalam aplikasi dengan mengimbas QR Code yang diletakkan di meja. Pertama kali Sk jumpa Rendang Lamb Shank tapi Sk bukan peminat Lamb Shank dan tak sampai hati nak bayar juga, hihi.





Menu utama di sini adalah nasi beraroma seakan nasi beriyani dan dah namanya Rumah Makan Rendang, kan.. nasi akan dihidangkan bersama rendang dengan pilihan rendang daging lembu, kambing atau ayam.




Aaaaa... nilah makanan yang diidam-idamkan PI, ketupat atau makanan raya stail utara. Jika di Johor memang banyak jer restoran yang menawarkan makanan konsep raya tapi jarang ada ketupat palas.




Kalau datang ramai-ramai bolehlah pesan Set Talam tapi kami hanya berdua, jadi kami pilih set individu sahaja.




Menu pagi hingga petang, ada cucur bawang, laksa dan nasi impit kuah kacang.




Menu pagi-pagi, kalau dah tengahari kena tengok ada lagi tak rezeki. 




Rendang dimasak menggunakan kayu api secara langsung di hadapan pelanggan. Kawah dia besar betul, seorang manusia pun muat ni nak masuk, hahaha.




Kopi O untuk SK dan Teh Ais untuk PI.




Kami pesan satu set Lemang Rendang Kambing.
Rendang kambing tu sedap sangat, lemang biasa-biasa ajelah.




Rendang Daging dan Ketupat Palas. Pun sedap rendangnya, tapi ketupat palas tu agak mengecewakan jugaklah kerana ia dikukus. Balutannya pun tak kemas, mungkin jika direbus akan masuk air. Susah nak cari ketupat palas yang dibungkus sempurna dan direbus sekarang. Dulu, Sk belajar dengan arwah mak, pulut dimasak separuh masak sahaja dengan santan, kemudian dibungkus dengan daun palas dan direbus. Hasilnya, tekstur pulut akan kenyal berdaging, liut-liut gitu.




Lempeng Pisang habis, Sk pesan sekeping lempeng kelapa. Lempeng juga dihidang bersama rendang dan dagingnya agak hancur, memang sesuai la makan dengan lempeng tu kan. Rendang kat sini memang sedap ya, lempeng tu agak berminyak sikit.




Banyak peluang nak ambil gambar sebab PI sibuk dengan urusan kerja, hahaha. Nama jer cuti tapi tetap kena berhubung dengan pejabat.




Senang sangat nak ke sini, dari Plaza Tol Kuala Kangsar tu, belok kanan, jalan depan sikit dah jumpa Rumah Makan Rendang Tok Yoep di sebelah kiri. Parkir pun luas dan boleh pilih sama ada hendak makan di dalam rumah atau di bawah khemah di luar rumah. 


Burp... Alhamdulillah.

Post a Comment

1Comments

Blog ini merupakan blog peribadi. Segala tulisan di dalamnya merupakan pengalaman sendiri atau pandangan peribadi Sk terhadap sesuatu produk, makanan atau perkhidmatan. Sk juga tidak bertanggungjawab sekiranya anda tidak mendapat kualiti produk, makanan atau perkhidmatan sebagaimana apa yang dinyatakan di dalam blog ini.

Segala komen yang dituliskan di sini adalah di bawah tanggungjawab pengomen sendiri. Untuk sebarang pertanyaan, anda boleh menghantar email kepada serikanditanahjauhar@gmail.com

Terima kasih

  1. Menarik je menu dekat tempat ni. Sama la PI dgn suami saya, jenis yg time cuti pun nak layan whatsapp / call kerja.

    ReplyDelete
Post a Comment

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!