Assalamualaikum WBT
TERLUPA nak update blog semalam, hihihi.
Semalam, Sk bertugas di luar kawasan. Setiap tahun setiap kali keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan, kami akan bertugas ke SMK terpilih bagi tujuan promosi. Kali ini, Sk menerima arahan bertugas di Bandar Seri Alam. Boleh klik gambar kalau nak tahu sekolah mana, hihihi.
Macam selalu, la.. partner in crime kita, Naza. Tahun lepas Naza tak join sebab anak beliau ambil result. Masa tu, Sk bertugas bersama Hajah Azlina dan Roza di SMK Taman Daya. Selain kolej kami, ada UniKL cawangan Pasir Gudang.
Suasana selepas keputusan diumumkan. Ramai yang dapat keputusan cemerlang dan yang bestnya kali ni Sk tengok ramai yang datang berpakaian tradisional, yang pakai ala Pak Arab pun ada. Menurut adik yang pakai macam habibi tu, beliau akan melanjutkan pelajaran ke Arab Saudi. Allahuakbar, hebat sungguh rezekinya. Semoga anak-anak ini berjaya mencapai cita-cita dan impian mereka nanti, insyaAllah.
Ada anak-anak dari Tingkatan 4 dan 5 turut datang ke dewan meraikan senior mereka. Sk ajak mereka singgah makan kuih raya. Alhamdulillah, habis licin tiga botol kuih. Dari pengalaman tahun lepas, Sk terlintas nak bawa kuih raya dan nampak mereka suka. Tu la tahun ni bawa lagi. InsyaAllah tahun depan, kalau masih bertugas untuk program sebegini, nak bawakan air kotak pulak. Kira-kira jam 12 tengahari, kami tutup kaunter.
Terlanjur dah sampai Bandar Seri Alam tu, Sk ajak Naza makan tengahari di Restoran Ulam Raja by Mak Jo yang terletak di Lotus Bandar Seri Alam. Restoran ini berhadapan dengan medan selera Lotus. Lama teringin nak makan kat sini tapi belum kesampaian. Akhirnya dapat jugaklah makan kat sini semalam, hihi.
Tempahan makanan dan minuman dibuat dengan mencatat nombor kod menu pilihan di dalam order chit yang diletakkan atas meja. Menunya boleh minta dengan staf. Nanti dah siap catat, beri order chit tersebut pada staf.
Setiap meja telah diletakkan siap-siap set pinggan, sudu dan garfu ni. Restoran Ulam Raja by Mak Jo ni menawarkan menu masakan berlauk ala kampung seperti asam pedas, masak lemak dan sambal secara ala carte. Sk tak perasan pulak ada menu set atau tak. Selain tu ada jugak menu ayam penyet dan ayam gepok. Geprek jer tak ada, hihihi.
Pinggan yang atas tu, Naza punya, namanya Ayam Penyet DiRaja (RM16). Set ni lengkap nasi putih, sambal, keropok moni, ulam timun dan kacang botol, sayur bayam goreng rangup, kentang berlado dan suku bahagian ayam.
Sk pilih Ayam Penyet Siram (RM17). Yang ni bezanya ada kuah masak lemak cili api yang disiram ke atas ayam. Ayamnya rangup di permukaan dan empuk di dalam. Kalau dia bagi sambal belacan untuk makan dengan ulam tu lagi sesuai rasanya.
Sk tambah Terung Balado (RM10) Porsinya untuk dua orang makan tapi rasanya untuk tiga - empat orang pun cukup. Ada kekacang dalam masakan balado dia. Bagi Sk rasa balado dia kurang kick tapi untuk keseluruhannya tidaklah mengecewakan. Set yang kami ambil ni memang dah lengkap lauk-pauknya tapi jika nak pelbagai dan ramai yang makan, bolehlah ambil menu berlauk.
Porsinya besar betul nampaknya untuk perut kami. Sk cuba jugak nak habiskan nasi dan ayam sampai rasa nak terjeluak, lebih baik berhenti sajalah. Nak minta bungkuskan yang tak habis pun tak sampai hati. Terbayang muka Elang (kucing Sk), mesti suka kalau dapat ayam ni, hihihi.
Harga berpatutan dengan suasana restoran yang cantik dan segar mata memandang. Restorannya besar ya, sesuai la kalau nak buat apa-apa acara istimewa, bolehlah buat tempahan di sini. Oh, lepas tolak pinggan, terdengar bunyi guruh kuat, dengan tak disangka, hujan turun dengan lebatnya masa kami nak ke kereta sampai basah kuyup ya si Naza. Sk basah jugak, kasut semua basah, mujurlah ada selipar dalam kereta.
Balik rumah nak potong tembikai yang PI beli dekat gerai buah kat Flat Kangkar Pulai. Sk angkat tengok bahagian luar suku bahagian tu dah lembik kekuningan. Tembikai tu dari hari sabtu dan biasa aje pun kami lambat potong kadang sampai seminggu, tak pernah pulak jadi macam tu. Bila dipotong, memang dah lembik isinya, boleh perah ek tekan tembikai tu. Bau tak busuk tapi tak sampai hati nak bawa masuk perut sendiri, masuk perut cik tong la nampaknya, tak ada rezeki.
Yassalammmmm...














Nampak sedap menu akak tu, lagila dah penat bertugas kan. Tembikai tu dah busuk tu kak, bila lembik gitu macam dah terlebih masak pun iya jugak
ReplyDeletemenarik presentation makakan tu semua...memang makan dalam tu ye..alahai sygnya tembikai tu cik tong yang makan...mcm tu la rupanya kalau dah lama..sama ngan tembikai kuning PZ beli last week...
ReplyDelete