Assalamualaikum WBT
PONTENG lagi masuk blog dua tiga hari ni. Hari ni pun rasa nak ponteng lagi tapi mengenangkan kehadiran lebih 11K pembaca semalam, Sk semangat sikit la nak update blog hari ni, hehehe.
Masak Kari Daging pada hari Sabtu lepas. Pagi tu, sarapan roti dan telur separuh masak aje. Tengok stok daging berkotak-kotak dalam esbox, yang beli ada, yang orang kasih pun ada (daging korban). Rasanya yang Sk masak ni, PI beli. Tiap hari sabtu memang ada penjual daging buka gerai dalam taman perumahan Sk ni. PI pantang la nampak daging baru bergantung-gantung ni, dia beli sekilo. Sk bahagikan tiga dan bungkus berasingan. Nak masak ni Sk ambil dua bungkus, anggaran 600 gram ++. Tapi tak semua la masuk dalam kari, ada semangkuk kecik Sk buat Daging Kicap. Ni Sk masak atas api guna teknik, 5-30-7 (minit).
Resipi Kari Daging Sk
400 gram daging lembu, potong jangan terlalu tebal
Minyak untuk menumis
1 bawang besar merah (dimayang)
3 bawang putih diketuk
1" halia, hiris
Rempah 4 sekawan (1 kulit kayu manis, 2 kuntum bunga lawang, 4 kuntum bunga cengkih, 2 ulas biji pelaga)
2 tangkai daun kari
4 sudu rempah kari daging
1 sudu serbuk cili
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 asam keping
Air secukupnya
50 ml santan kotak
Garam
Ajinomoto
3 biji kentang, belah empat
2 biji tomato, belah dua
Cara memasak:
1. Panaskan minyak masak dalam periuk. Tumis bawang dan halia bersama rempah empat sekawan sehingga bawang layu. Kemudian masukkan daun kari. Kacau sekejap.
2. Kemudian masukkan rempah kari, serbuk cili dan kunyit serta sedikit air secukupnya. Kacau sebati dan biar ia terbit minyak.
3. Tambah air, kacau lagi, biar terbit minyak. Ulang dua tiga kali sehingga rempah masak cantik. Letak air secukupnya, biar mendidih.
4. Masukkan daging dan kentang, tutup periuk, biar selama 5 minit, kemudian matikan api.
5. Biarkan selama 30 minit dalam keadaan periuk masih bertutup.
6. Selepas 30 minit, buka semula api, biar selama 7 minit.
7. Selepas 7 minit, buka tutup periuk, asam keping, santan, garam secukupnya dan tomato. Biar didih sekejap, kemudian boleh tutup api.
Dia macam kalau Sk masak Kari Ayam kena ada ayam goreng, masak Kari Ikan kena ada Ikan Goreng. Tapi kalau masak Kari Daging kena ada Daging Kicap. Yang ni kena hiris daging nipis, perap dengan kicap kemudian goreng dalam sedikit minyak, masak sehingga daging empuk. Tak lama memasaknya, sebab daging nipis. Nak sedap guna kicap kipas udang ya, letak ajinomoto sikit, hehehe. Tiga kali jugak la ulang makan lauk Kari Daging ni, hehehe.



Blog ini merupakan blog peribadi. Segala tulisan di dalamnya merupakan pengalaman sendiri atau pandangan peribadi Sk terhadap sesuatu produk, makanan atau perkhidmatan. Sk juga tidak bertanggungjawab sekiranya anda tidak mendapat kualiti produk, makanan atau perkhidmatan sebagaimana apa yang dinyatakan di dalam blog ini.
Segala komen yang dituliskan di sini adalah di bawah tanggungjawab pengomen sendiri. Untuk sebarang pertanyaan, anda boleh menghantar email kepada serikanditanahjauhar@gmail.com
Terima kasih