Assalamualaikum WBT
TAK sampai lagi dua hari kita berada di bulan Jun ni. Lusa, akan melangkah ke bulan Julai. Ini minggu akhir Iman menjalani internship, minggu depan dia kata nak qada tidur puas-puas. Tu tak pa, dia suruh Sk ready anytime dia akan datang ajak lunch. Eiiiii .. tachod... Hahahaha. Makan modal ui anak bertuah ni kalau ajak lunch.
Baiklah, dari Restoran Mee Celup, jom lah kita ke Restoran Mee Rebus pulak. Mee Rebus antara makanan kegemaran PI. Dulu-dulu, antara kedai Mee Rebus yang selalu kami makan ialah Mee Rebus Hj Wahid di Plaza Angsana dan Mee Rebus Stulang di Stulang Laut. Lepas tu, setiap kali bulan puasa, hampir setiap hari PI beli Mee Rebus di bazar. SK pulak, kadang-kadang rasa pening kalau makan Mee Rebus lebih-lebih lagi jika mereka guna keledek yang wangi untuk memekatkan kuah.
Tapi, dah tua-tua ni, tekak dah boleh terima la makan Mee Rebus. Itupun, kalau tak ada pilihan makanan lain. Teringin jugak la nak rasa, rasa Mee Rebus di Restoran Mee Rebus Idaman ni. Yang atas tu, pinggan Mee Rebus PI, Mee Rebus Tetel, PI minta extra keropok dan extra cili. SK punya Mee Rebus Ori (biasa), tapi nampak macam Sk punya yang extra keropok kan?
Lain negeri, lain tekstur dan rasa kuah Mee Rebusnya, kan.
Mee Rebus adalah hidangan mi tradisional yang menggunakan mi kuning yang disiram dengan kuah pekat kaya berperisa. Kuah ikonik ini dimasak menggunakan keledek kisar yang memberikan rasa manis semulajadi.
Ciri-ciri Utama Mee Rebus Johor:
Hidangan ini lebih istimewa dan berbeza daripada mee rebus di tempat lain kerana ia dihidangkan bersama pelbagai bahan sampingan yang menyelerakan.
Bahan Utama: Mi kuning, hirisan daging lembu dan tauhu goreng.
Hiasan (Garnish): Taugeh, telur rebus, hirisan cili hijau atau merah, daun sup, daun bawang, dan bawang goreng.
Keunikan Kuah: Kuahnya pekat, berkilat dan sedikit manis. Ramai yang memakannya dengan perahan limau kasturi untuk menaikkan rasa masam.
Keropok: Selalunya dihidangkan dengan keropok tepung (atau keropok rangup) bagi memberi tekstur "kriuk".
P/S Kiut betul dia susun telur dengan limau macam tu, kan 😆.
Selain Mee Rebus Tetel, ada beberapa lagi pilihan lauk Mee Rebus di sini, antaranya Mee Rebus Bergedil Kentang, Mee Rebus Bergedil Daging, Mee Rebus Daging, Mee Rebus Cendawan, Mee Rebus Udang, Mee Rebus Paru, Mee Rebus Gearbox dan Mee Rebus Special.
Iman yang kurang menggemari Mee Rebus memilih untuk makan Mee Bandung Tetel. Ni samalah macam Sk masa muda-mudi dulu, kurang suka makan Mee Rebus. Tapi, Sk masa muda dulu kurang gemar masakan mee berkuah sebenarnya, Sk lebih suka Mee Goreng yang lebih mudah cara nak makannya.
Berbalik pasal Mee Bandung Iman ni, terkejut tengok ia datang semangkuk besar gedabak macam nak bagi dua orang makan. Tapi yang penting, ianya sedap dan tidak mengecewakan. Kalau datang lagi, bolehlah makan mee bandung pulak.
Berbandung-bandung ni, selain Mee Bandung, Iman minum Air Bandung jugak. Walaupun namanya Mee Bandung dan Sirap Bandung, kedua makanan dan minuman ini berasal dari Johor dan tiada dijual di Bandung (Indonesia). Mungkin sekarang dah ada ke? Lama tak ke sana, huhu.
Terdapat dua versi bagaiman Mee Bandung mendapat namanya.
Versi Satu
Selama ini anda pernah terfikir atau tahu kenapa mee bandung dinamakan sedemikian. Yang kita tahu makan sahaja yang penting sedap bukan!!. Perkataan 'bandung' di dalam namanya berpunca daripada maksud perkataan tersebut yang bererti 'berganda' atau 'berkembar' atau 'berpasangan' dimana sesuatu bergandingan atau bercampuran dengan sesuatu yang lain. Umpamanya seperti 'sirap bandung' untuk minuman susu bergandingan dengan sirap berperisa ros ataupun 'rumah berbandung' untuk rumah berkembar. Begitulah maksudnya Mee Bandung, masakan tradisional yang terkenal berasal dari Muar.
Ia adalah masakan gandingan antara mee dan telur sahaja pada ketika dahulu, sebabnya ia digelar sedemikian, disamping ramuan campuran cili dan bawang tumisan bersama rempah ratus, belacan dan udang kering sebelum ia kini ditambah dengan bahan tambahan seperti udang, daging, kuih ikan dan sayuran (sekarang). Ia juga lazim dikenali sebagai Mee Bandung Muar yang telah menjadi makanan terkenal dan dikenali di merata Malaysia meskipun diakui dan diketahui ramai Mee Bandung asli yang berasal dari Muar adalah yang terbaik dan tersedap dijamah. Perlu diketahui juga dan jangan dikelirukan serta disalah anggap Mee Bandung berasal dari Bandung, suatu tempat di Indonesia walaupun perkataan bandung sama tapi kedua-duanya tidak ada kaitan langsung.
Versi Dua
ASAL USUL NAMA MEE BANDUNG DI MUAR (1959 )
(Diceritakan semula oleh Dato' Kamaruddin Abdullah)
Kalau kita ke Bandung, Indonesia, kita tidak akan jumpa mi bandung. Juadah ini hanya terdapat di bandar Muar. Tahukah anda macam mana mi ini dinamakan mi bandung?
Cerita ini sudah saya ceritakan dahulu, tetapi oleh kerana ada beberapa permintaan, biar saya ceritakan sekali lagi.
Pada tahun 1959 setelah negara kita merdeka, Tunku Abdul Rahman telah menganjurkan satu pesta budaya di antara negara kita, Indonesia dan Singapura. Di bandar Muar, ia telah diadakan dipanggung Cathay.
Ketika itu saya baru berumur 10 tahun. Saya masih ingat ketika itu, Indonesia membawa artis mereka yang popular iaitu Bing Selamat, Sam Saimun, Titeik Puspa dan beberapa yang handal lagi. Setelah habis persembahan mereka, ketiga-tiga negara ini menyanyikan lagu popular negara mereka. Malaya menyanyikan lagu 'Rasa sayang hei', Indonesia menyanyikan lagu 'Ole ole bandung' dan Singapura menyanyikan lagu 'Gelang sipaku gelang'.
Setelah tamat persembahan, mereka semua mencari kedai untuk menjamu selera. Kebetulan, tidak jauh dari panggung Cathay, terdapat satu tempat yang bernama 'Kedai Siang Malam'.
Di kawasan ini terdapat sebuah restoran yang menjual sejenis mi yang diminati orang ramai. Kedai ini terletak di Jalan Sisi dan tuan punya kedai bergelar Pak Ma'il Tenuk.
Walaupun ada yang sudah balik ke hotel masing-masing, ada beberapa artis yang berasa lapar dan ingin menjamu selera. Mereka semua berjalan kaki menunju ke kedai Pak Ma'il Tenuk. Sambil berjalan-jalan, mereka menyanyikan lagu 'Rasa sayang hei, Ole ole bandung dan Gelang sipaku gelang'.
Setelah sampai, mereka semua order mi tersebut dan sambil menunggu mereka menyanyi ketiga-tiga lagu itu. Apabila mi mereka sampai dan mula menjamu selera, seorang artis Indonesia cukup suka rasanya lalu dipanggilnya Pak Ma'il'. Dia bertanya, "Aduh Pak, enak sungguh mi ini. apa namanya mi ini Pak?". Pak Ma'il menjawab bahawa mi ini tidak mempunyai nama khusus, hanya dipanggil mi kuah.
Artis itu mencadangkan dinamakan mi bandung oleh kerana apabila mi mereka sampai, mereka sedang menyanyi lagu 'Ole ole bandung'.
Semua ketawa dan bersetuju supaya mi kuah Pak Ma'il ini dinamakan 'Mi Bandung'. Mulai pada malam itulah terciptanya nama Mi Bandung.
Jadi jika anda ke Muar, jangan lupa makan mi bandung dan sambil makan nanti, bolehlah nyanyi lagu 'Ole ole bandung' sebagai peringatan terciptanya nama mi ini. :)
Dato' Kamaruddin bin Abdullah adalah penulis buku "PAGES FROM MY PAST"
Menceritakan tentang kehidupan beliau di Daerah Muar era 50an dan 60an. Sumber
Lama pulak tak makan mi bandung.
ReplyDeleteAduh, ni yg tak sempat makan sebelum balik KL minggu lalu. Mee rebus Haji Wahid salah satu makanan faveret saya masa tinggal di Johor satu masa dulu ðŸ¤
ReplyDeletetgh puasa ni tgk mee rebus & mee bandung laparrr haha...kita suka dua2 tp extra fav yg mee bandung
ReplyDeleteDua² sedap bagi PH, mi rebus ke mi bandung ke... Cuma keropok tu macam tak pernah makan dgn mi rebus...
ReplyDelete