Assalamualaikum WBT
PAGI tadi Sk keluar rumah lambat sikit dari biasa. Selalu keluar tu masih gelap lagi tapi ni dah terang-benderang. Puncanya bukan sebab bangun lambat tapi terrrrrajin nak mendobi dulu. Keluarkan baju dari mesin basuh masuk dalam pengering. Lepas tu basuh pulak baju lain sebakul. Kemudian, bersihkan pasir kucing pulak. Takpelah hari ni balik lambat sikit, hari-hari balik cepat dah, hehehehe.
Okey, marilah sambung catatan diari ke Temerloh tuari. Untuk pengetahuan pembaca, penginapan di hotel yang kami inap tidak disediakan sarapan. Macam selalu la, Sk serahkan pada PI untuk mencari tempat yang kena dengan selera dia. PI tunjuk kat TT carian dia, Warung Dapur Saya yang terletak di Kampung Lipat Kajang, Temerloh.
Warung ni terletak dalam kawasan kampung, bukan kat tepi jalan besar. Kena masuk dalam sikit ikut jalan bertar, tak jauh sangat la ke dalam pun. Cuma suasana tak sama macam vtt yang kami tengok, tak meriah, sunyi sepi walaupun ada beberapa meja sedang diduduki pelanggan yang menjamu selera. Gambar ni Sk ambil selepas mereka semua dah balik.
Dekat-dekat 40 minit jugak perjalanan barulah jumpa warungnya. PI pulak, kalau dia dah set waze nak pergi tempat tu, kemudian dalam perjalanan tu, kau jumpalah kedai meriah macam mana pun, dia tak nak pergi ya. Dia nak jugak sampai kat tempat yang dirancang. Kalau dia tak berkenan, kena cari tempat lain. Yang ni, syukurlah dia berkenan, Sk pulak yang risau awalnya, hahaha.
Kerisauan Sk terus hilang bila nampak kuih-muih tradisional Pahang ni dipamerkan di atas meja depan warung. Dua jenis kuih yang bawah tu sepatutnya ada tiga (beradik), kan, tapi ni ada dua aje. Kuih lopes tu adik-beradik tiri (pinjam kata Blogger Abu Ikhwan, hehehe).
Kuih lopes ni dia buat ekspress, masak pulut dalam loyang kemudian potong segitiga dan golek dalam kelapa parut. Kuih lopes, kuih kegemaran PI, dia makan aje tak komplen apa-apa. Habis pulak tu makan dua keping terus, tak pelawa langsung!
Ni haaa.. tinggal dua beradik, mana tah adik-beradik dia yang lagi satu, lupa pulak nak tanya dengan kakak warung tu, hihi.
Nak panggil Kuih Badak Kubang boleh, nak panggil Kuih Kubang Badak pun boleh.
Yang bulat-bulat tu doh dibuat dari tepung pulut dan tepung pulut hitam, diisi inti kelapa parut manis. Kemudian disusun atas daun pisang dan dicurahkan campuran santan dan tepung gandum, kemudian dikukus hingga doh masak. Ada jugak yang panggil Buah Melaka Kukus. Sedap dohnya kenyal tak liat, inti pun sedap, santan tempat kubang badak tu pun masin-masin, menjadikan rasanya seimbang.
Kuih Dodol Kukus.
Bahan-bahannya tepung pulut, tepung ubi, gula merah, gula pasir dan santan, diaduk hingga sebati, kemudian dikukus di atas daun pisang yang disapu minyak. Selepas dikukus permukaan dodol ditabur dengan tahi minyak iaitu santan yang dimasak sehingga pecah minyak. Sekali pandang macam kuih kole kacang kan. Dodol tu tak liut atau kenyal macam dodol sebenar, tapi masih sedap la di tekak Sk ni.
Masa baru sampai, terus keluar wahhhhhh dari mulut tengok ada kolam Teratai. Terus terngiang lagu Fauziah Latiff, Teratai Layu Di Tasik Madu, hihi. Lepas tu keliru pulak, ini teratai ke kiambang, hehehe.
Teratai, kan ni. Kalau kiambang bunganya tak bertangkai tinggi macam ni. Cantik sangat tapi sayangnya cahaya tak cukup. Cuaca macam mendung sikit pagi tu. Nak bagi yakin lagi, PI tanya dengan kakak warung tu, itu pokok teratai ke kiambang. Teratai, jawab kakak tu, hihi.
Tak lama kemudian, pesanan kami dihantar ke meja. Nasi Lemak untuk PI (sikmak lagi???) dan bininya pulak kipas susah mati lempeng, hehehe. Sk tak pasti la menu apa lagi ada dijual di sini. Tapi nampak ada pelanggan datang bungkus makanan berkuah macam Mi Kari ke.. Mi Rebus ke, tak tanya pulak.
Sambal nasi lemak dia ialah Sambal Ikan Bilis. Rasa sambal dia tu mengingatkan Sk pada rasa sambal ikan bilis yang ibu Sk masak kalau nak makan dengan nasi lemak. Tak ada ikan bilis goreng, agaknya sebab dia dah ada ikan bilis dalam sambal. Memang betul-betul sedap nasi lemak macam dimasak di dapur sendiri. Sesuailah tu namanya Warung Dapur Saya.
Lempeng dihidangkan dengan Sambal Ikan Bilis yang sama dengan nasi lemak. Ya Allah, sedap betul la. Lempeng lembut biasa-biasa tapi bila makan dengan sambal tu kena betul. Sambal pun ada rasa pedas-pedas sikit tak terlalu pedas.
Sambil makan menikmati suasana alam yang tenang. Tak ada keriuhan bunyi kenderaan. Nampak dari jauh sebuah rumah kayu macam rumah yang selalu dijadikan lokasi penggambaran drama pengarah air mata Rasyid Sibir seperti Rumah Di Tepi Sawah, Quran Buruk, Daun Ketupat Kering dan macam-macam lagi la tajuk yang meruntun jiwa, hahaha.
Pokok-pokok gantung penghias Warung Dapur Saya.
Macam ulat bulu tapi warna pink. Tak tahulah bunganya tu keras ke lembut ke berbulu macam tu, tak berani nak sentuh la pokok bunga orang, kita rakamkan untuk kenangan dalam blog.
Inilah perempuan, tak boleh tengok benda pink.
Sk memberanikan diri mengambil gambar rumah ni. Nampak keseluruhan struktur hadapan rumah masih lama cuma tangga tu jer dah ditukar tangga batu. Bahagian dapur atau belakang dan dinaikkan batu. Minta maaf ya Sk ambil gambar rumah ni, teringat pulak lagu Rumah Kecil Tiang Seribu nyanyian Azian Mazwan Safwan.
Rumah kecil tiangnya seribu
Rumah besar tiangnya sebatang
Waktu kecil kau ditimang ibu
Dewasamu dipukul gelombang
Berhijrah ke alam remaja
Menguji ketabahan jiwa
Tiada seindah impian
Sesungguhnya hidup perjuangan
Cabarannya tetap datang
Umpama laut bergelombang
Yang gagah akan berdiri
Yang lemah akan ketepi
Berjaya disanjungi
Kecewa dibenci
Begitulah lumrah manusia
Agar kau tak kecewa
...
Eh, ternyanyi ke tuuuu?
Masa dalam perjalanan nak ke Warung Dapur Saya tu, nampak kereta meriah kiri-kanan jalan. Rupanya ada pasar pagi dan balik tu, PI kata, kalau ada parking kita singgah. Kebetulan nampak ada ruang untuk parkir, kami pun singgah.
Nampak acik ni jual pelbagai jenis ikan salai dan ikan kering (masin). Ada ikan patin, ikan baung, ikan seluang, ikan sepat dan beberapa jenis ikan lagi yang Sk tak ingat nama disebut, hihi. Sk pilih la beberapa ekor patin dan baung, nak beli yang hidup-hidup entah bila la nak sampai Johor, hehe.
Gerai ni pulak jual ikan patin hidup-hidup pakej siangkan sekali. Seorang pelanggan yang berdiri sebelah kami ramah berbual. PI pulak interview kakak tu tanya perbezaan harga ikan patin sangkar dengan yang liar. Tengah-tengah berbincang, boleh pulak tangan dia tertepis handphone Sk yang tengah merakam ikan berenang, hahahaha.
Berkali-kali tengok video ni pun tetaplah gelak, hahahaha. Nasib baik handphone Sk tak masuk dalam tong ikan patin tu, hihi.
Kesian tengok ikan hidup-hidup lagi tu. Tapi, kalau dah dimasak gulai tempoyak, lupa nak kesian ke tak, ek.
Sk post video patung ni kat ig stories, ada kawan reply, dia beli patung yang sama sebiji macam tu kat negara Kyrgyztan. Lepas tu, Iman pulak reply minta belikan satu yang warna pink, eiii.. tak seram ke tengok muka patung tu, hahaha. Tapi, masalahnya, masa tu Sk dah balik, jadi nantilah esok tu carikan kat Pekan Sari. Tahu tak, kebanyakan peniaga kat sini semua meniaga kat Pekan Sari jugak, hihi.
Tapi sini mungkinlah pasar pagi terpendek jer, heheheh. Hasil tangkapan, sikit aje ni. Anggaplah rehearsal nak ke Pekan Sari Temerloh esoknya, hehehe.
Sampai hotel, tengok bilik dah siap kemas. Sungguh efisyen ya housekeeping. Rasa nanti majlis kahwin Sulhi nak duduk sini lagi tak ke, tak tahulah. Kita tengoklah nanti ya, jangan berangan dulu, hahahaha.
Wah tertangkap beli ikan salai. Hehe esok beli di tempat lain pula. Oklah bukan selalu dapat singgah Temerloh.
ReplyDelete