MASAK NASI AYAM VERSI RAJIN

Seri Kandi Tanah Jauhar
8

 Assalamualaikum WBT

LEPAS sarapan di Kanteen pagi semalam, hantar semula Pak Inche ke pusat servis Toyota Medini. Sebelum tu singgah Mydin dulu, Pak Inche nak makan Nasi Ayam. Tak mahu guna stok ayam yang ada, nak beli ayam lain dan condiments untuk melengkapkan nasi ayam seperti salad, timun dan tomato serta lada merah untuk buat sambal nasi ayam.


Nasi ayam ni walaupun nampak mudah tapi ambil masa yang lama nak menyediakannya. Kuncinya, ayam tu nak kena rebus dulu, baru boleh sediakan nasinya, sambalnya. Lain kalau kita masak lauk- pauk, jerang nasi dulu, kemudian terus masak lauk. Siap masak lauk, nasi pun dah kering dan dah boleh makan. 

Kali ni Sk agak rajin menyediakan nasi ayam. Selalu, campak jer ayam dalam periuk noxxa tapi kali ni Sk rebus ayam cara manual. Sk sukat 5 gelas air ke dalam periuk, masukkan halia dan didihkan dahulu. Apabila air dah mendidih, baru masukkan ayam yang dipotong empat. Boleh tahan jugak harga ayam di Mydin semalam, sekilo RM8.99.. hurmmm.. tulis ajelah RM9.00!


Untuk Iman, versi Nasi Ayam Kee Chup. Cuma tuangkan kicap pekat dalam kuali semasa menggoreng ayam. Letak minyak sikit jer dan jangan goreng lama-lama. Nanti keras kematu pulak isi ayam tu, hehehe. 


Tak nampak pulak Sambal Nasi Ayam ni. Untuk sambal nasi ayam, Sk gunakan cuma 5 tangkai lada hidup (merah) sebab saiznya besar-besar. Lada tu kisar bersama halia muda dan bawang putih hingga lumat, kemudian didihkan atas api bersama setengah cawan air rebusan ayam, renihkan atas api. Masukkan garam dan gula serta jus limau secukupnya. Sk buat juga sambal halia macam The Chicken Rice Shop.

Selalu Sk masak nasi cara mudah seperti masak nasi biasa (letak air rebusan ayam sahaja tanpa menumis), kali ni Sk tumis dahulu rempah empat sekawan, bawang merah dan bawang putih serta daun pandan dengan dua sudu buttercup. Sk masukkan juga lemak ayam masa menumis tu, masukkan air, kemudian tuang atas beras yang telah dicuci dan ditoskan.


Ayam Hainan dan Ayam Kee Chup. Sampai bertambah-tambah Pak Inche makan. Memang puas makan nasi ayam masak sendiri berbanding makan di kedai. Bukan ayam jer boleh makan banyak, salad, tomato dan timun pun boleh diratah-ratah!

Resepi Nasi Ayam Versi Rajin

Bahan-bahan :

A - Ayam

1 ekor ayam dipotong empat
2" halia dihiris
5 gelas air
2 sudu minyak bijan
5 sudu kicap cair
2 sudu madu

1. Didihkan air dalam periuk bersama halia.

2. Apabila air mendidih, masukkan ayam. Rebus selama 20 minit.

3. Apabila hampir cukup masa, sediakan air sejuk berais secukupnya dalam bekas untuk masukkan ayam yang telah direbus.

4. Keluarkan ayam dari periuk, terus masukkan dalam air berais, biar 10 minit, kemudian toskan.

5. Campurkan minyak bijan, kicap cair dan madu, tuang atas ayam, tutup ayam dan ketepikan dahulu.

B - Nasi

Bahan-bahan :

2 sudu margerin (Sk guna buttercup)
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
4 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga
2 helai daun pandan
4 ulas bawang merah dimayang halus
3 ulas bawang putih dimayang halus
1" halia muda dimayang halus
3 pot beras dicuci dan toskan
3 cawan air rebusan ayam
1 kiub pati ayam
Garam secukupnya
Daun bawang dihiris

1. Panaskan margerin, tumis kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga, daun pandan, bawang dan halia hingga wangi. 

2. Masukkan air, kiub pati ayam dan garam. Tuang dalam periuk nasi. Masak seperti biasa.

3. Apabila nasi hampir kering, gemburkan nasi, kemudian biar ia kering. Taburkan daun bawang.

C - Sambal Halia

Kisar halus seketul halia muda dengan sedikit air rebusan ayam sehingga lumat.

D - Sambal Nasi Ayam

5 tangkai lada hidup merah (saiz besar)
2 ketul kecil halia muda
4 ulas bawang putih
1 biji limau nipis (saiz besar)
1 sudu kecil garam
2 sudu gula pasir
1 cawan air rebusan ayam

1. Kisar halus lada, halia muda dan bawang putih bersama sedikit air rebusan ayam. 

2. Masukkan dalam periuk, didihkan sehingga lada cukup masak, tambah lagi air rebusan ayam secukupnya, jangan terlalu cair. 

3. Masukkan garam dan gula, kacau dan renihkan.

4. Masukkan jus limau nipis, kacau rata, tutup api.

E - Ulaman 

Salad
Timun
Tomato

Cuci dan toskan salad, hiris tomato dan timun, susun atas pinggan. Haaa.. yang ni tugas Iman.

F - Kicap Nasi Ayam

1. Keluarkan ayam, tekan dengan pisau leper, kemudian potong kepingan, susun bersama ulaman. 

2. Masukkan sesudu gula pasir dalam baki kicap dalam bekas, kacau hingga gula larut, pindahkan dalam mangkuk kecil.

G - Sup

Didihkan semula air rebusan ayam, masukkan garam dan bahagian bawah pokok bawang, renihkan seketika.


Fuhhhhhhh!! Penat, kan.. masak nasi ayam. Baca resepi jer pun dah penat!
🤣🤣🤣🤣🤣

Post a Comment

8Comments

Blog ini merupakan blog peribadi. Segala tulisan di dalamnya merupakan pengalaman sendiri atau pandangan peribadi Sk terhadap sesuatu produk, makanan atau perkhidmatan. Sk juga tidak bertanggungjawab sekiranya anda tidak mendapat kualiti produk, makanan atau perkhidmatan sebagaimana apa yang dinyatakan di dalam blog ini.

Segala komen yang dituliskan di sini adalah di bawah tanggungjawab pengomen sendiri. Untuk sebarang pertanyaan, anda boleh menghantar email kepada serikanditanahjauhar@gmail.com

Terima kasih

  1. Kalau di LD, harga ayam sejak zaman dulu memang harga kayangan.

    ReplyDelete
  2. Di dapur Mama Yan tadi pun ada nasi ayam, di dapur SK pun ada nasi ayam. Sedapnya, tambah2 masak sendiri!
    Nanti kirimkan mambang rajin tu ke SG ye SK :p

    ReplyDelete
  3. Fuh Sk, ni bukan setakat versi rajin. Tapi versi super rajin! Siap buat sambal halia, sedap tu.
    Malu nak tepek resepi nasi ayam saya kat blog sebab versi super malas 🤣

    ReplyDelete
  4. sedapnya nasi ayam,lama x buat..boleh la buat nanti..

    ReplyDelete
  5. Baca pun dah penat apa lagi nak membuatnya 😅
    Tapi berbaloi bila tengok suami dan anak2 berselera makan air tangan kita kan.

    ReplyDelete
  6. aduh sedapnya tgk nasi ayam akak tu, dana selalu buat versi malas je kak ehehehhe

    ReplyDelete
  7. Ya ampuuuun kak SK, lengkaaap sangaaat resepnya 😍😍😍. Saya dah lama ingin buat nasi ayam khas Malaysia ini, tapi cari resep nya banyak sangat, dan malah bikin bingung mana resep yg enak.

    Kalo sudah ditulis oleh blogger based on cara buat dia juga, baru saya jadi yakin 👍. Dari fotonya pun dah kliatan mirip nasi ayam yg sering saya beli kalo liburan ke Malaysia.

    Cuma saya agak bingung dengan istilah lada hidup merah. Ini maksudnya cabe rawit merah, yg kecil tuh ke? Atau lada pepper? 😅. Maaaf, Krn beda istilah terkadang saya masih bingung. Lada dlm BHS Indonesia itu pepper soalnya. 😅

    ReplyDelete
  8. Sesekali masak nasi ayam, special betul rasanya kan. Sesekali juga menumis dari rebus terus. Suka condiments extra. Ulam ulaman tu best.

    ReplyDelete
Post a Comment

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!