NAIK JAMBATAN BARU, MAKAN DI KUKUP & KENANGAN RUMAH PAK CHU

Seri Kandi Tanah Jauhar
8

 Assalamualaikum WBT


HARI Sabtu, pi merendek naik jambatan baru, yang menghubungkan Serkat (Tanjung Piai - Tanah Penghujung Benua Asia) dan Gelang Patah. Pagi tu, dah sarapan Nasi Lemak seorang sepinggan, jadi, tengaharinya Sk tak masak. Dah petang tu, Pak Inche kata, jom pergi makan, dia nak makan seafood.. tak kisahlah kat mana, janji seafood. Sk pulak teringat, kami belum 'raso' lagi Jambatan Sungai Pulai.. bila Sk ajak tengok jambatan, Pak Inche terus cadangkan makan di New Kukup Restaurant


Disebabkan kurang pasti arah hendak ke jambatan, kami guna aplikasi waze dan set Jambatan Sungai Pulai. Waze menunjukkan kami akan sampai dalam tempoh 23 minit dan mengarahkan kami masuk lebuhraya Iskandar Puteri dan keluar di Tanjung Pelepas. Dari sini, kami melalui simpang Forest City dan terus menuju ke arah Tanjung Pelepas dan melalui simpang Pengkalan Marin Jabatan Laut di sebelah kanan. Ambil kiri dan terus naik jambatan. Tengok.. ramai yang berhenti ambil gambar atas jambatan walaupun telah dilarang, degil ni!


Jarak dari rumah hingga pangkal jambatan, 19 minit. Dalam seminit kami betul-betul atas jambatan di mana terbentang Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di sebelah kiri. Tak sampai 15 minit, dah sampai Kukup. Maknanya, dari rumah sampai Kukup dalam 35 minit aje berbanding sebelum ni hampir sejam lebih jugak nak sampai Kukup. Jadi, jika nak ke Kukup atau Tanjung Piai, masih relevan la ikut Jambatan Sungai Pulai, tapi kalau nak kupi-kupi di The Ruma Kupi Pontian atau Rumah Kopi Sogame atau lepak-lepak di Uncle Jabb's Place atau makan-makan di Iwak@Ru, atau nak ke Benut... baiklah sahaja ikut jalan biasa, sebab nanti macam kena berpatah balik.


Sotong Telur Masin, RM36

Dah pesan dengan Pak Inche, jangan pesan banyak-banyak lauk. Ambil sayur, sotong, ikan, udang, cukup. Macam selalulah, mesti nak ambil Sotong Telur Masin. Sedap sangat masakan ni, sotong lembut dan mudah lumat dikunyah menandakan ia masih segar. Rasa telur masin yang lemak tanpa ditambah garam, ada rasa pedas-pedas dari cili padi merah cincang yang ditumis bersama daun kari. Walaupun dimasak kering tanpa kuah tapi masih ada rasa lembab-lembab sikit.


Ikan Tebal Pipi Masam Manis, 750 gram, RM48.75

Tak ada stok ikan siakap, kakak staf cadangkan ambil ikan Tebal Pipi. Pak Inche terus tercengang sebab tak pernah dengar nama ikan tu. Sk tahu jer ikan tu, cuma tak pernah beli, kan. Kakak tu kata, untuk makan dua orang macam kami, sesuailah ambil ikan tebal pipi tu sebab saiznya tak besar sangat. Walaupun saiz tak besar, tapi isinya banyak, ialah, kalau tak, takkan namanya tebal pipi, kan.. haha. Pak Inche tanya harga kerapu, 110/100 gram. Mengenangkan 110 tu la, Pak Inche setuju ambil ikan tebal pipi. Sk mintak masakkan tiga rasa tapi rupanya, dorang masak Masam Manis. Tekstur ikan tebal pipi ni macam ikan siakap juga, sirip tepi pun sama rupa, jadi, mudahlah tekak Pak Inche yang cerewet tu nak terima, hehehe. Bagi Sk, rasa masam manis tu, biasa aje, hiasannya pun tak berapa nak menarik dan agak pucat. Nenas pula dipotong memanjang, tidak dipotong dadu. 


Baby Squid, RM30

Walaupun dah ada Sotong Telur Masin, Pak Inche nak jugak ada Baby Squid ni. Gasaklah, dia yang bayar, kan. Tapi, yang geram tu, lambat betul sampainya ke meja. Dua lauk tadi dah habis tau, tak sampai-sampai baby squid ni, malah, Sayur Kangkung Goreng Belacan pun tak nampak-nampak bayang. Tu.. sampai ke sudah, Sk beritahu, mintak cancel aje. Rupanya, pesanan tu tak masuk dalam sistem dapur. Oh, baby squid ni sedap, rangup dan manis-manis. Macam rasa jajan sotong kering tu, hahahaha.


Mintak Pak Inche berhenti depan Bangunan Pejabat Imigresen Kukup untuk ambil gambar, nak tunjuk pada Fina, sepupu Sk, anak Arwah Pak Chu, adik abah. Seingat Sk, Pak Chu mula bertugas di sini pada tahun 1983 atau 1984. Sk sekeluarga pulak, tinggal di Pontian sejak Sk darjah 3, jadi, memang keraplah kami ke rumah Pak Chu. Kadang-kadang, bila cuti sekolah, dua tiga hari jugaklah duduk rumah Pak Chu. Anak-anak Pak Chu, Aop (Farouk) dan Nana (Fina) serta Ad, Ad kecik lagi sebaya Cikwa masa tu, baru 4 tahun kot. Bila dekat rumah Pak Chu ni la, dapat rasa bebas sikit, main turun naik tangga dan terbalikkan kumbang tanduk tu, hahaha. Selain tu, tak boleh keluar ya dari bangunan ni. Kadang teringin jugak nak jalan-jalan meniti jambatan kecik kat Kampung Air Masin depan tu, tapi tak berani. Siapa bagi idea, cara nak turun atau keluar dari bangunan ni ialah dengan mencampak selipar ke bawah, nanti pura-puralah turun nak ambil, haha. Salah campak, masuk dalam lumpur bakau kat bawah tu, hahaha.


Yang atas sekali tu la rumah Arwah Pak Chu. Sk ingat lagi, dekat sinilah kali pertama Sk tonton filem Pontianak Gua Musang. Sk ingat jugak, hari tu, malam Jumaat dan setiap malam Jumaat ada tayangan filem seram di RTM, zaman tu, TV3 belum wujud lagi kot. Punyalah semangat semua duduk depan tv ala-ala nak tengok wayang, la kan.. sekali... keluar Pontianak tu menyergah kau, menjerit semua ketakutan. Banyak lagilah cerita yang menjadi kenangan yang masih segar dan seakan-akan baru berlalu padahal dah hampir 40 tahun. Tahun ini pun, Sk dah masuk 48 tahun. Oh, beberapa tahun kemudian, Pak Chu ditukarkan ke Terengganu dan bertugas di sana beberapa tahun sebelum ditempatkan di cawangan terakhir sebelum pencen di Pejabat Imigresen Muar. Pak Chu kemudian bermastautin di Melaka dan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Melaka. Nana sekeluarga pun dah menetap bersama Mak Chu di Melaka walaupun kahwin orang Kukup, hehehe.

Post a Comment

8Comments

Blog ini merupakan blog peribadi. Segala tulisan di dalamnya merupakan pengalaman sendiri atau pandangan peribadi Sk terhadap sesuatu produk, makanan atau perkhidmatan. Sk juga tidak bertanggungjawab sekiranya anda tidak mendapat kualiti produk, makanan atau perkhidmatan sebagaimana apa yang dinyatakan di dalam blog ini.

Segala komen yang dituliskan di sini adalah di bawah tanggungjawab pengomen sendiri. Untuk sebarang pertanyaan, anda boleh menghantar email kepada serikanditanahjauhar@gmail.com

Terima kasih

  1. SA pernah makan kat Kukup Restaurant masa selalu naik Tg Bin a few years back, ni cawangan baru dia ke? suka ikan2 fresh dan seafood kat restaurant mcm ni...best betul masa tu boss belanja

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dekat sini ada beberapa restoran seafood, ni kedai hujung sekali. Nama aje 'New' tapi tak baru jugak, hehe.

      Delete
  2. Saus telur Masin tuh memang sedaaap dimasak dengan berbagai seafood 😍😍🤤. Saya selalu pun pesan itu juga, terkadang pakai cumi, terkadang pakai udang.

    Nampak sedap masakannya. Tapi memang olahan seafood di beberapa kota di Malaysia yg pernah saya coba, selalunya sedap 👍👍

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul, sos telur masin masak dengan seafood memang sedap, masak dengan ayam pun sedap sangat.

      Delete
  3. Pertama kali juga nama ikan pipi tebal tu :D
    Lepas ni boleh try minum Kopi Tenggek SK... Senang dah nak berulang-alik dari JB ke Pontian :)

    ReplyDelete
  4. Ikan pipi tebal tu kalau tak silap nama lainnya ikan gerut-gerut.

    ReplyDelete
  5. Pernah dengar ikan tebal pipi tapi belum dah tak ingat rupa bentuknya..hihihi
    Tapi pipi ikan isinya berserat macam dada ayam..sedap

    ReplyDelete
Post a Comment

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!