UMPAMA MIMPI DALAM MIMPI

Seri Kandi Tanah Jauhar
5

 Assalamualaikum WBT

SUDAH 5 hari ibu meninggalkan dunia fana ini. Macam tak percaya ibu dah tak ada. Rasa macam mimpi ibu dah pergi buat selama-lamanya. Tiada lagi panggilan telefon dari ibu. Tiada lagi peluk cium ibu. Tiada lagi lambaian ibu menghantar di muka pintu.


Pagi Sabtu - sebaik menamatkan bacaan doa penutup Surah Yassin yang Sk mulakan selepas solat subuh, terdengar bunyi whatsapp group masuk. Ada mesej dari Cikwa yang menjaga ibu malam tu minta kami semua segera datang. Ibu meracau sejak subuh dan keadaan tidak membaik. Doktor mengesahkan telah berlaku jangkitan kuman pada buah pinggang dan paru-paru yang normal sebelumnya. Berebut dengan orang pergi kerja, Sk sampai di hospital kira-kira jam 8 pagi. Cuma dua orang sahaja dibenarkan berada bersama pesakit pada satu masa. Sk duduk di kiri ibu membacakan surah Yassin manakala Cik Ani tidak henti berzikir Ya Allah, di telinga kanan ibu. Ibu juga pada pandangan mata Sk masih lagi menyebut Ya Allah yang sentiasa di bibirnya sejak mula kritikal. Ada masanya bunyi Allahhhhh terhenti agak lama membuat hati berdebar kencang.


Jam 9.30 pagi, Sk mengambil tempat di kanan ibu. Sk zikir Ya Allah sama-sama ikut pergerakan mulut ibu. Masa ni ibu memerlukan bantuan oksigen. Kakak Che Li datang menziarah bersama suaminya. Kakak Che Li pegang-pegang tangan ibu sambil bercakap-cakap sesuatu dengan suaminya. 


Surat Akuan, doktor bagi pilihan jika berlaku sesuatu, sama ada nak beri bantuan pernafasan secara CPR atau intubate. Risiko CPR, tulang rusuk patah yang boleh menusuk jantung. Jika intubate, leher akan ditebuk. 

Tanya mana yang terbaik. Boleh ke kalau tak buat (kedua-dua pilihan)?

Doktor kata boleh.. makcik nazak. Lebih baik biar aje. Takut kalau buat proses tu semua nanti tak sempat ajar mengucap.


Sk bacakan Surah Al-Mulk untuk ibu. Biar mudah rohnya. Kami semua sudah redho, tak sanggup lagi lihat ibu kesakitan, tidak mahu minum dan makan pula. Pukul 11.30, Ilham sampai. Sk suruh Ilham duduk sebelah kanan nenek. Ilham bacakan ayat-ayat suci untuk nenek. Tak lama, Along sampai dari Melaka. Sk bagi peluang Along pulak duduk. Ilham juga berganjak, Cik Ani ambil tempat. Sk, Cikwa dan Angah serta Che Li duduk di ruang menunggu depan lif. Indah dan Izzat tolong jaga Zulaikha di lobi kerana Zulaikha tidak cukup umur.


Jam 12.31, nampak whatsapp Cik Ani masuk suruh semua pergi katil ibu. Ibu dah tiada tindakbalas. Seorang jururawat memasang alat menyalurkan morfin ke tangan ibu. Dalam masa yang sama, ramai anak saudara ibu sampai. Doktor beritahu agar bantuan pernafasan dibiarkan terpasang. Biar ibu pergi sendiri. 


Iman ambil tempat bacakan Ya Allah di telinga nenek. Iman dijemput Pak Inche di kolej, Alhamdulillah.. semua dapat jumpa nenek buat kali terakhir. Izzat pun dapat balik dengan bas sehari sebelumnya. Walaupun keadaan ibu sudah seperti tinggal jasad sahaja, namun tiada apa-apa pengesahan dari doktor yang bertugas. Angah balik membuat persediaan dan urusan di rumah manakala Sk, Along dan Cik Ani menunggu ibu sambil membacakan surah Yassin. Dalam tempoh tersebut , jururawat datang mengikut jadual membuat ujian tekanan darah (Error), ujian diabetes (tiada darah keluar) dan doktor membuat ujian ECG (mendatar). Ibu disahkan meninggal dunia jam 4.55 petang.

Innalillahiwainna ilaihirojiuuuunnnnn. 


Kesian Mak Enon (adik ibu). Tak sempat jumpa ibu. Masa ibu ditempatkan di Wad Timur ni, Mak Enon tak sempat datang tapi masa ibu ditempatkan di PPK 3, dapat Mak Enon melawat ibu. Masa ni Sk dah kering air mata, langsung tak menangis dah. Setiap kali Sk melawat ibu, Sk tanya, ibu sakit kat mana? Satu badan sakit.. jawab ibu. Sakit macam mana? Sakit yang tak pernah rasa, sakit yang sangat sakit. Pergilah ibu.. ibu tak sakit lagi dah 🥹🥹🥹. 


Beri laluan kepada staf untuk menguruskan ibu. Staf tanggalkan tiub-tiub dan bersihkan jenazah kemudian balut dengan kain (cadar hospital). 


Pukul 6, petugas bilik mayat sampai. Prosedur jika berlaku kematian di hospital, mayat perlulah dibawa terlebih dahulu ke bahagian forensik (rumah mayat). Pihak wad akan keluarkan surat pengesahan kematian yang ditandatangani pakar yang bertanggungjawab sebelum dapat dituntut oleh keluarga. Alhamdulillah, kami adik-beradik termasuk Iman dan Indah serta Zulaikha (tapi Jeika tengok ajelah) diberi peluang untuk menguruskan jenazah ibu sepenuhnya, dari mandi sehingga dikapankan dengan dibantu seorang ustazah. Masha Allahhhh.. jenazah ibu cantik sangat sehingga kami semua terpegun. 


Jenazah ibu disemadikan malam itu juga di Tanah Perkuburan Raudhah, Saleng, Kulai. Esoknya pagi-pagi Sk dan Pak Inche dah sampai bawa bunga untuk ibu. Cik Ani, Che Li dan Jeika pun ada. Sk suruh Jeika tabur bunga ros merah kesukaan ibu atas kubur nenek. 
Ibu sangat suka pokok ros dan pokok bunga. Masa ibu jadi surirumah dulu, keliling rumah penuh pokok bunga. Jadi, kita hiaslah rumah baru ibu dengan bunga-bunga kesukaannya.


اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَها وارْحمْها وعافِها واعْفُ عنْها
وَأَكرِمْ نزُلَها ، وَوسِّعْ مُدْخَلَها واغْسِلْها بِالماءِ والثَّلْجِ والْبرَدِ ، ونقلها منَ الخَـطَايَا، كما نَقَّيْتَ الثَّوب الأبْيَضَ منَ الدَّنَس ، وَأَبْدِلْها دارا خيراً مِنْ دَارِها ، وَأَهْلاً خَيراً منْ أهْلها ، وزَوْجاً خَيْراً منْ زَوْجِهِا ، وأدْخِلْها الجنَّةَ ، وَأَعِذْها منْ عَذَابِ القَبْرِ ، وَمِنْ عَذَابِ النَّار   

Ya Allah, ampunilah baginya dan kasihilah dia dan afiatkan dia dan maafkanlah kesalahannya dan muliakan kedudukannya dan lapangkan kuburnya dan bersihkan dia dengan air salju dan air dingin. Bersihkanlah dia dari kesalahannya sebagaimana dibersihkan kain putih dari kekotoran, dan gantikanlah kampungnya dengan kampung yang lebih baik. Masukkanlah dia ke dalam syurga dan lindungilah dia dari seksa kubur dan fitnahnya dan dari seksa neraka.

آمين يا رب العالمي

Post a Comment

5Comments

Blog ini merupakan blog peribadi. Segala tulisan di dalamnya merupakan pengalaman sendiri atau pandangan peribadi Sk terhadap sesuatu produk, makanan atau perkhidmatan. Sk juga tidak bertanggungjawab sekiranya anda tidak mendapat kualiti produk, makanan atau perkhidmatan sebagaimana apa yang dinyatakan di dalam blog ini.

Segala komen yang dituliskan di sini adalah di bawah tanggungjawab pengomen sendiri. Untuk sebarang pertanyaan, anda boleh menghantar email kepada serikanditanahjauhar@gmail.com

Terima kasih

  1. alfatihah untuk ibu..saya pun turut sebak bergenang airmata.saya yang tak kuat bila dapat tahu ibu dah pergi..

    ReplyDelete
  2. Al-fatihah SK...sama macam arwah Mak Pah, pagi 1hb tu dia dah start meracau- racau sampai ramai patient lain marah kat adik sebab arwah Mak Pah bising, adik tgok bacaan kat monitor macam error, terus adik panggil nurse..terus berduyun-duyun doc datang dan decided buat intubate...adik sign..Mak Pah x sedar dalam keadaan kritikal akibat jangkitan kuman..7.11pm mak pah meninggal...

    ReplyDelete
  3. Al Fatihah untuk ibu..
    Dalam masa tak sampai 2 minggu jarak antara Mak Pah & Ibu...
    Hati sangat terusik..

    ReplyDelete
  4. Menitik air mata baca saat-saat akhir pemergian arwah ibu.
    Alhamdulillah, ibu pergi dengan tenang, dengan wajah yang sangat cantik. Semoga rumah baharu ibu sentiasa indah, nyaman dan sewangi haruman ros merah sekusakaan ibu. Ya Allah tempatkanlah ibu dalam kalangan hamba-Mu yang beriman dan beramal soleh. Amin.

    ReplyDelete
  5. Sebak membacanya. Syukur dapat berada di sisi arwah di saat akhir hayatnya. Auto terkenang arwah abah dan arwah abah mentua.
    Rehatlah ibu, ibu tak perlu tanggung rasa sakit lagi. Semoga arwah ditempatkan bersama mereka yang beriman. Aamiin...

    ReplyDelete
Post a Comment

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!