Assalamualaikum wbt
SELEPAS menempuh sebuah pengalaman memandu sendiri melalui Lebuhraya Timur Barat, dari Gerik ke Jeli, minggu lepas, dan menemani Pak Inche memandu dari Jeli ke Gerik di tengah kepekatan malam, Sk terpanggil untuk berkongsi sejarah pembinaan lebuhraya berkenaan di Alam Sari Tanah Jauhar ni. Ini bukan soal suka ikut jalan kampung ke tidak ya, sebab itu bukan jalan kampung, tapi hutan belantara. Seperti yang sedang viral sekarang, melalui lebuhraya berkenaan ibarat bergadai nyawa, sehingga pada satu tahap Sk merasakan, nyawa ni ibarat di hujung tanduk lebih-lebih lagi ketika melalui dari arah Jeli ke Gerik menuju ke Baling, kami telah keletihan selepas menempuh perjalanan yang panjang di Machang, Kelantan, selama 8 jam. Tu nanti Sk cerita di entri yang lain.
LATAR BELAKANG PROJEK LEBUHRAYA TIMUR BARAT
Sebelum tahun 1986, Malaysia tidak menerbitkan sebarang dokumen berkaitan Dasar Pertahanan Negara (DPN), namun Rancangan Pertahanan Malaysia telah pun digubalkan pada tahun 1962 dan dikenali sebagai Plan Dynamo. Pihak Majlis Keselamatan Negara telah memperkenalkan doktrin keselamatan dan pembangunan (KESBAN) secara kolektif pada tahun 1970 yang berperanan menyelaraskan tindakan yang harus diambil oleh semua agensi kerajaan dalam semua aspek meliputi pembangunan ekonomi, politik, psikologi serta operasi ketenteraan.
Kawasan sempadan Malaysia-Thailand meliputi kawasan sempadan utara Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan dengan keluasan 5,755 batu persegi. Kawasan ini merupakan kawasan terancam oleh kegiatan subversif pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) akibat eksploitasi faktor kemunduran dan ketiadaan usaha pembangunan dan keselamatan yang bersepadu. Justeru, Kertas Kabinet mengenai KESBAN di kawasan perbatasan dan di sepanjang Lebuhraya Timur Barat (LRTB) telah disediakan oleh Majlis Keselamatan Negara berdasarkan arahan Jemaah Menteri pada 5 September 1979 yang memperakui keperluan membangunkan kawasan ini sejajar dengan keperluan keselamatan dengan melibatkan rancangan bersepadu seperti keselamatan, gerak saraf dan pembangunan sosio ekonomi di seluruh kawasan sempadan sepanjang 358 batu sehingga 15 batu ke selatan dari garisan sempadan termasuklah laluan LRTB. Strategi serampang dua mata ini adalah berteraskan program keselamatan dan pembangunan dalam negeri bertujuan untuk mengatasi dan menewaskan segala tindakan pihak Parti Komunis Malaya (PKM).
Ancaman PKM melalui peperangan insurgensi berjaya ditewaskan oleh negara, ketenteraan dan gabungan doktrin KESBAN. Strategi pertahanan yang menumpukan kepada kawasan padu diperluaskan dengan strategi Cegah Rintang, Pertahanan Hadapan dan Pertahanan Menyeluruh.
ANCAMAN PARTI KOMUNIS MALAYA DI LEBUHRAYA TIMUR BARAT
Ekoran Arahan 1 Jun 1968 yang dikeluarkan oleh 'JTAatankuasa' Pusat Parti Komunis Malaya (PKM), unit-unit pengempur PKM bangkit semula bagi meneruskan pemberontakan bersenjata dengan melakukan aktiviti penyusupan dari Selatan Thailand ke Semenanjung Malaysia bagi menguasai 'kTAasan-kTAasan' pendalaman.
Lembah Belum merupakan laluan penyusupan dan transit utama PKM, manakala jajaran LRTB yang merentasi Banjaran Titiwangsa dijadikan paksi laluan utama PKM untuk melancarkan gerakan bersenjata. Senario ini memberi ancaman keselamatan kepada projek pembinaan LRTB dan Kompleks Empangan Janakuasa Elektrik Temenggor secara langsung. Dipercayai Rejimen Ke 12 diketuai CCM Ah Sek Sze menyusup menggunakan paksi LRTB untuk berhubung dengan Markas Rejimen Ke 10 di Kampung Hala, Betong, Thailand. Pada bulan Feb 1971, CCM Chong Chor dari Unit Penggempur Ke 5 telah menyusup ke Ayer Kala melalui laluan ini.
Beberapa tindakan agresif telah dilancarkan oleh Rejimen Ke 10 dan Rejimen Ke 12 ke atas LRTB dengan melakukan sabotaj terhadap 80 buah jentera pembinaan dan sebanyak 63 buah jentera berjaya dimusnahkan dengan kerugian mencecah hampir RM10 juta pada 23 Mei 1974. Serangan secara mengejut dan lari (probing) ke atas penempatan Pos LRTB serta pekerja pembinaan LRTB turut dilakukan PKM. Pada 27 Ogos 1974 satu serang hendap ke atas pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) di Batu 2, Banun mengakibatkan 3 pekerja JKR terkorban. Serangan ke atas konvoi trak JKR pada 15 Mac 1981 di Batu 16 ½ pula mengakibatkan 6 pekerja JKR cedera. Beberapa siri serangan keatas Pos LRTB turut dilancarkan oleh PKM, antaranya serangan PKM ke atas Pos 30, Batu 20 LRTB pada 12 Nov 1981 yang mengorbankan seorang anggota Batalion 302 Inf (TA), Allahyarham LKpl Zulkifli bin Othman menerusi pertempuran selama 30 minit pada jam 1930.
OPERASI KOTA
Bagi membenteras aktiviti Parti Komunis Malaya (PKM), Tentera Darat Malaysia (TDM) yang mengetuai unit-unit pasukan keselamatan telah diatur gerak dalam pelbagai operasi. Bagi menyekat penyusupan PKM misalnya, Operasi KOTA telah dilancarkan pada 1968 bertujuan mengawasi sempadan dari dibolosi anasir PKM. Operasi ini meliputi semua kawasan perbatasan dari Perlis sehingga ke Kelantan yang terbahagi kepada 6 sektor meliputi Perlis, Kedah dan Perak manakala 2 sektor di sebelah timur meliputi Kelantan. Keseluruhan sektor operasi ini diletakkan dibawah kawalan Markas Divisyen Kedua Infantri bagi memudah pemerintahan dan pengawalan operasi.
Keseluruhan laluan LRTB ini terletak dalam sektor Foxtrot dan melibatkan paras kekuatan sejumlah 8 batalion infantri tetap, 4 batalion infantri AW, 4 Skuadron Armor, 5 bateri Artileri dan 2 batalion Pasukan Polis Hutan (PPH). Selepas tahun 1983, kekuatan battalion infantri tetap telah dikurangkan kepada 5 batalion sahaja manakala yang lain dikekalkan. Terdapat juga beberapa operasi khas seperti Operasi TEDUNG, Operasi BANDING dan Operasi GUBIR yang dilaksanakan oleh batalion infantri tetap bagi mengesan dan memusnahkan pengganas komunis. Batalion infantri AW pula ditugaskan untuk Operasi PAGAR II dan menjaga keselamatan Empangan Temenggor dan LRTB melalui penempatan pos-pos yang ditetapkan. Pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melalui PPH pula ditugaskan bagi pelaksanaan Operasi PAGAR I, Operasi PAGAR III dan Operasi UKUR.
Secara ringkasnya Operasi KOTA telah berjaya menghalang kemasukan semula unit-unit penggempur PKM secara besar-besaran ke Semenanjung Malaysia. Ini memaksa PKM menyusup dalam kumpulan yang kecil dan hanya mampu melakukan serangan ke atas kedudukan pasukan keselamatan yang terpencil.
PENUBUHAN BATALION LEBUH RAYA (AW)
Ekoran aktiviti serangan dan sabotaj oleh Parti Komunis Malaya (PKM) ke atas pembinaan LRTB, kerajaan memutus menghentikan sementara bagi merangka perancangan keselamatan agar pelaksanaan LRTB tidak terus terganggu. Di peringkat awal, pasukan kerahan tenaga dikenali sebagai Pasukan Pertahanan Tempatan (PPT) yang terdiri dari penyertaan sukarela Home Guard dan beberapa batalion Malaysian Teritorrial Army (MTA). Sebanyak 49 platun PPT telah diaturgerakkan ke pos-pos statik LRTB bermula dari Grik sehinggalah ke Batu Melintang seperti berikut:
Kelantan : Sebanyak 22 Platun PPT Lebuhraya (Dikenali sebagai PPT Kelantan) ditempatkan di pos statik bermula dari Jeli, Kelantan sehingga sempadan Perak-Kelantan. Pusat pemerintahan dan pentadbiran PPT ini ditempatkan di Kem Batu Melintang, Jeli, Kelantan.
Perak : Sebanyak 27 Platun PPT Lebuhraya (Dikenali sebagai PPT Perak) dan diaturgerakkan ke pos-pos statik bermula dari Grik, Perak sehingga sempadan Perak-Kelantan. Pusat pemerintahan dan pentadbiran PPT ini ditempatkan di Kem Grik Perak.
Kewujudan PPT ini terus diperkembangkan dan pada 1 Jun 1979, dengan kuasa penubuhan FED (M)/4140/79(AW), Batalion Infantri Siri 300 (AW) ini berfungsi sebagai Batalion Lebuh Raya iaitu Bn 301 Inf (AW) di Kem Batu Sebelas, Tanah Merah Kelantan, Bn 302 Inf (AW) di Kem Batu Melintang, Jeli Kelantan, Bn 303 Inf (AW) di Kem Temenggor, Grik Perak dan Bn 304 Inf (AW) di Kem Banding, Grik Perak. Tidak dapat disangkalkan kewujudan LRTB adalah amat sinonim dengan adanya pasukan Siri 300 (AW) kerana ia saling melengkapi kerana pengorbanan mereka dalam memberi perlindungan kepada usaha pembinaan LRTB adalah suatu yang tidak ternilai dalam konteks KESBAN dan mencapai visi HANRUH. Pada tahun 2008, kesemua 5 batalion ini telah ditukar designasi kepada Rejimen Sempadan (RS) dan menjadi salah satu elemen tempur kor infantri Tentera Darat.
WIRA PANGLIMA GAGAH BERANI LEBUHRAYA TIMUR BARAT
Pada 15 Ogos 1977, jam 7.00 pagi (sehari sebelum Ramadan), 5 orang anggota Batalion Ke-11 Infantri Askar Wataniah telah bergerak dari Pos 8 ke Pos 5 bagi tugasan rondaan dan mengambil bekalan. Pada jam 9.50 pagi, mereka telah diserang hendap oleh 30 orang pengganas komunis dari 3 kedudukan berasingan secara serentak menyebabkan 2 anggota terkorban. Anggota yang terselamat telah membalas tembakan musuh sambil merangkak mencari perlindungan dan mendiamkan diri seketika. Pengganas komunis yang menyangka kesemua anggota Wataniah telah terkorban menyerbu ke bawah tebing untuk membuat pemeriksaan dan ingin merampas senjata.
Melihat semua rakan telah tercedera, Pbt Ielias bin Ibrahim berpura-pura mati. Ketika musuh sedang merapati untuk merampas senjata, Pbt Ielias dengan penuh berani dan bijaksana menembak musuh satu persatu. Tindakan ini telah berjaya menyelamat rakannya dan menyebabkan 3 pengganas komunis terbunuh. Pengganas komunis yang lain cuba membantu untuk bertindak balas tetapi terhenti kerana bantuan pasukan keselamatan telah tiba dan tembakan artileri dan mortar telah mula menghujani kedudukan pengganas komunis ini. Tiada pilihan kumpulan pengganas ini terpaksa melarikan diri dari lokasi serang hendap.
Tindakan Pbt Ielias ini juga telah berjaya menyelamat dua rakannya yang tercedera iaitu LKpl Halim bin Hassan dan Pbt Ahmad Zaki bin Shamsudin @ Hj Hassan dan merampas dua pucuk senjata M16 dan sepucuk senjata Carbine bersama beratus butir peluru. Di atas sifat keberaniannya, Pbt Ielias telah dianugerahkan Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong pada tahun 1977 manakala LKpl Halim dianugerah Pingat Jasa Kebaktian (PJK). Semangat keperwiraan luar biasa mereka ini menjadi catatan sejarah kepada seluruh warga Wataniah, Pbt Ielias kemudiannya telah diserapkan sebagai anggota tetap kedalam Rejimen Renjer Diraja, beliau bersara pada 26 Okt 1989 dengan pangkat terakhir sebagai Pegawai Waran 1.
Kalau nak tahu situasi LRTB ni masa kami lalu hari tu, bolehlah baca di Blog AbamKie DI SINI.
Jalanraya timur-barat ni la yang kami lalu setiap kali balik kampung suami di kelantan. Sejak ada jumpa 'benda' di tengah-tengah jalanraya waktu malam, kami tak lagi lalu situ waktu malam. Selalu make sure sebelum maghrib dah lepas grik atau jeli.
ReplyDeletemasa lalu malam tu memang berdoa aje, janganlah jumpa 'benda' tengah jalan, syukur selamat.
DeleteMasa first time baca sejarah pembinaan highway ni, respek betul orang-orang yang sanggup bekerja... mana dengan ancaman komunisnya, bahaya haiwan liarnya. Semoga semuanya dirahmati
ReplyDeleteFuhh banyak cabaran nak membina highway. Banyak juga halangannya tu. Banyak juga nyawa yang terkorban. Projek pun makan juta juta. Seumur hidup rasanya sekali je ke Kelantan. Itupun rombongan sekolah.
ReplyDelete