Assalamualaikum WBT
DAH beberapa kali Iman bagi hint nak makan di Restoran Nasi Lemak Cincai yang membuka cawangan baharu, terletak di Eco Botanic Gelang Patah. Belum rezeki la tu, asyik tuju ke lain. Hari tu, masa perlawanan Piala Sultan Ahmad Shah (Piala Sumbangsih), kami keluar dua beranak semata-mata untuk makan di sini. Eh, masa Piala Sumbangsih Tahun 2022 pun datang makan kat Eco Botanic juga, tapi masa tu makan kat Restoran Mamu Junction, hehehe. Sebenarnya, lama dah tak pergi Mamu Junction sebab sekarang servisnya lembab nak mamp**. Semalam la terpergi sana, ya ampunnnn lambat giler hantar tosei.
Jap.. nak cerita pasal Mamu ke Nasi Lemak ni, Sk?
Cuti semester akan berakhir dalam dua minggu lagi tapi tak ke mana-mana disebabkan Pak Inche dah mula sibuk dengan game yang melibatkan JDT ditambah dengan iklan Hari Keputeraan Rasmi Sultan Johor pada 23 Mac akan datang. Muka ada senyum sebab tayang Gelang Baru kat acik-acik yang rajin baca blog Mak Iman, hehehe. Mekaseh tau.
Pertama kali Sk ke Restoran Nasi Lemak Cincai ni. Dah namapun Nasi Lemak Cincai, nasi lemak menjadi menu utama di sini dengan pilihan lauk pauk seperti Sambal Paru, Sambal Kerang, Ayam Goreng, Ayam Rendang, Ayam Merah, Ayam Bakar, Ayam Buttercream, Ayam Percik, Daging Rendang, Sambal Udang, Sambal Sotong, Sambal Udang Galah, Sambal Sotong King, Sotong Sumbat Bakar, Udang Buttercream, Siakap Tepung, Chicken Chop, Lamb Chop dan Lamb Shank... fuhhhh. Tepuk dada poket tanya bajet, anda juga boleh menikmati Nasi Lemak bersama Lobster bersaiz S, M atau L dan ada juga Lobster Australia.
Tapi.. tapi.. tapi... rupa-rupanya ada juga menu selain nasi lemak seperti masakan Asam Pedas, Lemak Cili Api dan Makanan Laut yang dikukus atau dibakar. Selain tu, makanan tradisi orang Johor seperti Soto dan Mee Bandung pun ada tau.
Suka suasana dalam restoran yang terang-benderang dengan hiasan yang minima. Sk pilih meja hujung sekali sebab tertarik dengan hiasan pokok artificial yang menghijau dengan latarbelakang putih.
Sk pesan secangkir Teh O Panas (RM3), terkejut tengok cawannya besar gedabak, boleh minum dua orang ni. Iman minum Jagung Susu Ais (RM8).
Iman kata, Soto Nasi Lemak Cincai ni viral kat Tik Tok. Begitulah kuatnya pengaruh Tik Tok sekarang bukan di Malaysia saja tapi di seluruh dunia.
Semangkuk ni RM9.90. Mangkuk bukan kecik-kecik anak ya. Ayamnya letak sekeping besar terus, bukan carik-carik isi ayam tu. Soto lengkaplah dengan suhun goreng dan taugeh, bergedil macam tak nampak pulak. Iman suka soto yang ada taburan kacang tanah goreng macam ni. Seingat Sk, ibu kalau masak soto tak sediakan kacang tanah ni tapi masa Sk tinggal di Kampung Seri Jaya (Kampung Pasir) dulu, ada jiran meniaga soto letak kacang tanah. Haaa.. kat situlah baru Sk tahu makan soto dengan kacang tanah.
Kalau Iman pilih Soto, Sk pula pilih Mee Bandung Muar. Sk dah siap sedia kalau mangkuknya datang besar gedabak macam cawan Teh O dan Soto Iman. Bila staf hantar... aaaaa... dah agak dah, mesti besar porsinya sebab harganya pun dah hampir RM16 semangkuk.
Boleh makan dua orang ni, tak tipu ya, Sk yang jenis makan licin ni tak mampu menghabiskannya. Tapi jujurnya, walaupun masakannya sedap, ia tak ada rasa Mee Bandung sebaliknya rasa macam Mee Kuah. Bagi Sk, Mee Bandung ni originalitinya mestilah cuma ada satu haiwan sahaja, tak boleh ada banyak haiwan dalamnya. Macam Mee Bandung Muar di Nasi Lemak Cincai ni ada daging, udang, sotong kembang dan fishcake menjadikan hilang identiti. Ia sedap tau tapi tak ada rasa
Mee Bandung yang ori macam yang Sk pernah makan di Tangkak tu.
Lain kali nak datang makan Nasi Lemak sajalah, hehehe.
Nasi lemak cincai tapinya macam2 lauk ada 😀
ReplyDeletewah...gelang baru.Ni kalau nenek cella tengok..suka dia tengok pakai gelang macam tu..
ReplyDelete