KEPULANGAN YANG DINANTI - Alam Sari Di Tanah Jauhar

KEPULANGAN YANG DINANTI

Assalamualaikum...

ALHAMDULILLAH, Sk sekeluarga telah selamat sampai ke rumah waktu maghrib tadi selepas menempuh 8 jam 30 minit perjalanan dari Kuala Ketil, Kedah. Rasanya kali ini, Sk yang lebih lama mengambil giliran memandu. Tak apalah, kita berkorban kali ini, kita faham orang tu dah tak berapa nak muda. Lagipun, Pak Inche memang akan mengantuk jika memandu di lebuhraya. Nak masuk jalan lama tak bolehlah, kan.. sebab macam leceh aje kena keluar masuk pelbagai daerah berlainan, malas pulak nak bersoal jawab jika ada sekatan jalanraya walaupun kami telah mendapat kebenaran merentas dari balai polis berhampiran tempat tinggal.


Selepas mendapat berita pemergian mak, Pak Inche memang agak down. Masa tu, kami baru balik dari beli makanan untuk makan malam. Tengok keserabutan PI tu, Sk pun risau jugak, boleh ke nak memandu sampai ke Kedah. Tenaga nak berjaga malam ni dah tak macam dulu-dulu. Sekarang, kalau balik kampung, biasanya kami bertolak malam dan akan singgah berehat di hotel bajet dahulu sebelum meneruskan perjalanan pagi-pagi. Tapi, kalau kami berbuat demikian kali ini, takut tak sempat nak menatap wajah mak buat kali terakhir. Satu lagi, boleh ke dapat kebenaran merentas tiga beranak. Iman kata, dia boleh tinggal seorang kalau tak lepas. Adoi, sedih! Tapi, kalau PI sorang jer yang lepas, macam mana???

Jadi, Sk kata, apa-apa hal, kita kemas baju dulu. Lepas tu, kita pergi balai, kalau dapat kelulusan untuk tiga orang, kita terus balik. Kalau tak dapat, kita fikir kemudian. Dalam whatsapp grup keluarga PI, anak saudara beritahu, pegawai dari Balai Polis di Kuala Ketil dah sahkan kematian jadi jika ada kemusykilan dari balai polis berkaitan tempat tinggal masing-masing, boleh terus telefon balai polis di Kuala Ketil. Hurmmm.. nampak macam mudah jer kan. Tak semudah itu tapi Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan. Permohonan untuk merentas negeri diluluskan. Beg pakaian pun dah dibawa, makanan yang kami beli tu memang tak sempat makan, Sk dah siap masukkan dalam kereta. Jadi, kami terus masuk highway dalam jam 9.45 malam dan singgah di kawasan rehat Yong Peng untuk makan, rasanya masa tu dah dekat pukul 11, itupun sebab PI nak kena makan ubat.

Sampai dah nak dekat dengan Ipoh, PI dah tak tahan mengantuk, Sk kata, Sk pun tak larat nak memandu sebab Sk pun berjaga, mata pun dah kelat dan berpasir. Kami masuk kawasan rehat RTC, Sk pergi tandas, lepas tu nampak mesin jual air, terus Sk borong macam-macam air, hahaha.. lepas tu terus segar dan Sk tawarkan diri untuk memandu. Pak Inche pun tak jadi tidur, sebab risau agaknya, Sk tak pernah lagi memandu dari Ipoh ke utara. Biasanya giliran Sk dari JB - Melaka atau Sungai Buloh. Kalau dari utara, biasa jugak ambil giliran tapi waktu siang.

Sepanjang pemanduan tu sesekali aje ada kenderaan lain, lori pun satu dua aje yang jumpa tak macam masa pkpb, banyak lori di highway. Sebelum Terowong Menora tu, Sk ikut belakang bas dengan kelajuan 80km/h, memang sengaja tak nak potong bas tu, saja nak buat teman. Lepas terowong, punyalah laju bas tu turun bukit, Sk pun dah rasa macam naik roller coaster masa tu, pedal brake memang dah tekan habis, punyalah kuat kawal stereng dengan tak berhenti istighfar. Senyap semua dalam kereta.. dahlah dah lama tak memandu malam. Sebelum tol Juru, Sk pas semula stereng pada Pak Inche sebab lepas tu kami akan ikut jalan lama terus ke Kuala Ketil. Kami sampai betul-betul waktu subuh.


Syukur, semua anak-anak mak seramai enam orang yang masih tinggal dapat menatap wajah mak buat kali terakhir. Bapa dan dua abang PI telah pergi lebih awal dan kini mak pula menyusul dalam usia 93 tahun. Sk berpeluang memandikan mak juga. Mak mendapat serangan stroke 15 tahun lepas. Sebelah kiri badan mak lumpuh. Setiap kali Sk balik, mak akan luahkan kesedihannya kerana tak boleh nak bergerak sendiri. Walaupun begitu, keadaan mak agak baik, masih suka bergurau dengan cucu-cucu. Kali terakhir, kami balik pada Disember 2021, keadaan mak mula uzur, boleh baca kisahnya DI SINI.


Mak mula hilang selera makan sejak awal Julai lepas. Kak (yang sulung) kata, mak cuma makan telur dan minum air saja. Jadi, Kak Roz telefon klinik supaya mak boleh mendapat rawatan di rumah. Doktor datang dan Alhamdulillah, keadaan mak semakin baik cuma mak tak boleh makan makanan pejal lagi. Untuk tenaga, mak diberi minum susu dan air nasi menggunakan picagari. Ampunkan kami mak, keadaan pkp dan kes covid yang menjadi-jadi menghalang kami untuk pulang. Tambahan Iman sedang menghadapi peperiksaan semester. Kak kata, mak meluahkan rindu sebab dah lama tak dapat jumpa anak cucu. Mak menanti kepulangan anak cucu. Mak takut kalau nanti mak tak sempat jumpa anak cucu.


Raya terakhir bersama mak, Aidilfitri 2019. Masa ni, semua balik padahal tak berjanji pun. Cuma ada yang belum sampai masa gambar ni diambil. Tak sangka ini kali terakhir dapat beraya bersama mak yang mesra disapa Tok Min oleh cucu-cucu. Masa ni mak sihat orang tua la.. umur 91 masa ni.


Kalau tengah musim moktan di kampung, mak tak berhenti berpesan ambil moktan bagi kat besan. Selagi kita tak ambil, dia dok suruh. Dah ambil pulak, asyik ditanya dah ambil belum. Haaa.. ni Sk dah ambilkan untuk ibu.. sebab Sk ingat pesan mak, supaya amek moktan bawa balik Johor. 

Hurmmm.. rindu ketupat palas mak, popiah basah mak, kuih lopes mak, gulai lemak kuning mak.


Al-Fatihah buat mak

Hajah Che Majmin binti Abdul Aziz
7 Feb 1928 - 18 Julai 2021















11 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Salaam takziah.
    Alfatihah (dibaca).

    Semoga ruhnya diampuni dan dirahmati Allah SWT.

    Semoga ditempatkan dikalangan orang Yang beriman. Dan dilapangkan kuburnya, diterangi cahaya insha'Allah.aman ruhnya disana.

    Alhamdullillah selesai urusannya.didunia...
    Kita Yang tinggal Belum tahu bagaimana penghujungnya.. .,..

    ReplyDelete
  3. Panjang juga umurnya, tahun 1928.. Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal solih.

    ReplyDelete
  4. Saya salah faham rupanya.Mak PI.Alhamdulillah Allah mudahkan urusan.Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman..Bab nak dapat perlepasan merentas negeri tu ikut nasib kan.Ada yang pengalaman biasa2 & tak kurang juga makan ayaq mata berkali mohon & kena siapkan mental untuk terima&£#@+..huhuhu

    ReplyDelete
  5. Selesai semuanya... Moga arwah ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman..Amin.. Moga terus tabah seisi keluarga..

    ReplyDelete
  6. Alhamdulillah. Selamat pergi dan selamat kembali, sempat enatapwajaharwah buat kali terakhir. Rezeki sangat semua anak-anak dapat berkumpul. Begitulah perjalanan hidup kita sebagai hamba Allah.

    ReplyDelete
  7. Alhamdulilah kak... Segalanya dipermudahkan. Semoga roh arwah dicucuri rahmat..

    Alfatihah

    ReplyDelete
  8. Syukur semuanya dipermudahkan..
    Saya dr semalam duk terbayang muka kesedihan PI Kak..moga PI redha dan tabah dengan ujian dari Allah ...

    ReplyDelete
  9. Semuanya selamat. Dipermudahkan dan lancar. Alhamdulillah.

    ReplyDelete
  10. Alhamdulillah, dipermudahkan segala urusan Sk dan keluarga.
    Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang orang yang beriman. Aamiin.

    ReplyDelete
  11. Alhamdulillah
    Segalanya selamat dan dipermudahkan.

    ReplyDelete

Blog ini merupakan blog peribadi. Segala tulisan di dalamnya merupakan pengalaman sendiri atau pandangan peribadi Sk terhadap sesuatu produk, makanan atau perkhidmatan. Sk juga tidak bertanggungjawab sekiranya anda tidak mendapat kualiti produk, makanan atau perkhidmatan sebagaimana apa yang dinyatakan di dalam blog ini. Segala komen yang dituliskan di sini adalah di bawah tanggungjawab pengomen sendiri.
Untuk sebarang pertanyaan, anda boleh menghantar email kepada serikanditanahjauhar@gmail.com
Terima kasih